Jika bukan isteri menghulur, maka semua dalam rumah kebulur. Nasib isteri lebih teruk dari seorang hamba! Allahu Akhbar, jauhkanlah nasib seorang wanita bergelar isteri yang diperlakukan seperti hamba dalam bahtera yang dibina.
Hari ini ramai wanita yang berada dalam dilema. Mana tidaknya, rumah tangga yang dibina bersama insan disayangi terpaksa diharungi dengan penuh penderitaan.
Ada yang akui suaminya baik namun dari segi nafkah perbelanjaan harian golongan isteri yang lebih banyak menghulur.
Penulisan penuh bermakna dan perkongsian manfaat dari Puan Sharifah Zahidah menerusi akaun Facebooknya membuka mata para wanita di luar sana terutama mereka yang masih belum bertemu jodoh agar mencari seorang calon suami yang baik dan bertanggungjawab.
Janganlah hanya mencari lelaki yang baik saja ya, carilah lelaki yang bertanggungjawab. Mudah dan ringkas saja namun hal nafkah biasanya selalu terlepas pandang.
“Ramai wanita berdepan dengan kebuntuan apabila diuji dengan suami yang ‘tidak kecil baiknya, tetapi tidak besar pula jahatnya.’ Ini adalah dilema yang paling banyak wanita hadapi. Teruskan membaca.
Suaminya bukan orang jahat.
Tidak mencaci maki.
Tidak memukul.
Tidak panas baran.
Tidak kaki perempuan, kaki botol atau kaki dadah.
Bahkan ada juga baiknya.
Sesekali atau kerap kali berjemaah di masjid.
Selalu ikut aktiviti-aktiviti agama.
Rajin main dengan anak-anak.
Hormat orang tua.
Suka meneman isteri ke sana ke mari.
Tetapi….
Segala beban nafkah diletakkan di pundak sang isteri.
Kereta rosak isteri kena pergi baiki dan keluarkan wangnya untuk kereta sendiri termasuk kereta suami.
Yuran sekolah anak-anak 100% ditanggung isteri. Suami menambah RM100 setahun sekali.
Yuran pengasuh anak juga sama.
Apatah lagi susu, pampers, baju dan alat pendidikan untuk anak-anak. Semuanya di bahu isteri. Si suami sekadar jadi tukang bawa pergi membeli, tetapi beban kewangan semua di bahu isteri.
Soal wang belanja dapur pula.
Baca Disini : Bila Isteri Kena Angkat “Baby Tua”, Gelagat Suami Minta Didukung Buat Ramai Terhibur
Suami Tegap Pukul Isteri Hingga Lunyai, Tular Video Anak Menangis Ketakutan Saksi Mak Dibelasah
Ikan, sayur, beras, minyak, rempah ratus. Semuanya isteri perlu siapkan dan sponsor. Ada juga sesekali suami bawa balik telur, tepung dan beras sekampit dua; katanya ’melunaskan nafkah keluarga’ yang belanjanya sekitar RM50 sahaja.
Si suami yang manis dengan senyuman pada anak dan isteri ini fikir; ayam, ikan dan dan daging yang mereka 6 beranak itu nikmati, semuanya turun dari langit.
Belum kira bab perabot dan kelengkapan di rumah, bayaran sewa rumah, bil air, api, elektrik dan internet.
Jika bukan isteri yang membayar, sudah lama mereka bergelap gelita.
Kata suami,
“I tahu you taste tinggi. I support saja apa yang you suka. You beli mesin basuh mana you suka, peti apa you nak. I izinkan you beli ikut selera you..” Sambil tersengih-sengih lagak suami misali.
Bila sampai di kaunter untuk bayaran, suami hilang tanpa bayangan. Terkial-kial isteri sekali lagi keluarkan segala simpanan demi mencukupkan keperluan asas dalam kediaman.
Kemudian isteri sebegini jumpa saya, dan mengadu;
“Puan, suami saya baik Puan. Saya sayang dia. Dia pandai buat lawak. Dia selalu senyum dekat saya dan anak-anak. Tak pernah maki atau pukul saya. Tapi kenapa saya rasa STRESS dan TAK BAHAGIA? Kufurkah saya Puan? Orang lain suami kaki pukul, perompak, lari dari rumah tinggalkan anak bini. Saya ni dah bertuah dah suami tak buat semua tu. Tapi kenapa saya betul-betul hilang bahagia dan rasa terlalu penat menjadi isteri dia… Berdosakah saya?”
Saya tarik nafas panjang.
Dan saya mulakan dengan soalan,
“Dari segi urusan kewangan rumahtangga macam mana? Siapa bayar segala belanja rumah, makan, utilities, sekolah anak-anak, kesihatan, kecemasan, belanja balik kampong semua tu…”
Belum saya habis sebutkan satu persatu dia sudah memintas,
“Saya puan. Saya semuanya tanggung apa juga belanja. Kadang-kadang ada juga dia hulur seratus dua.. Sebab gaji dia lebih kecil dari gaji saya..”
“Gaji lagi kecil dari Puan? Maafkan saya bertanya, berapa kecil tu? Berapa gaji Puan dan berapa gaji dia?”
“Gaji saya RM3500, gaji dia dalam RM2800 macam tu.”
“Beza RM700. Tapi tanggungan semua di bahu Puan atas alasan suami gajinya lebih kecil?” Saya sekadar menduga. Ada bayangan keliru yang nyata di wajahnya.
“Sekarang Puan keliru, apa yang membuatkan hilang sudah senyuman di bibir Puan, tak rasa kebahagiaan tapi sang suami sentiasa tenang dan kelihatan ‘menyenangkan’ di mata Puan? Kalau Puan yang berada di posisi suami Puan sekarang, agak agak Puan bahagia tak?”
Persoalan demi persoalan saya lontarkan untuk dia mencari jawapan.
Akhirnya saya tanya,
“Sebenarnya, puan tahu ke apa yang membuatkan suami sentiasa tersenyum bahagia tapi puan menjeruk rasa dan menderita?” Saya bertanya tanpa berselindung apa-apa lagi.
Tugas saya bila mendengar, adalah membawa dialog kami kepada satu kesimpulan yang membuka mata dan letak duduk perkara bagi mereka yang bercerita.
Bukannya saya yang perlu beri jawapan. Bahkan jawapan itu perlu dicari sendiri oleh sang isteri yang meluahkan.
Masalah ini, dilema ini, bukan seorang dua wanita yang merasa. Tapi sangat ramai dalam kasut yang sama.
Dia rasa dia bahagia sebab suami tak caci tak cela dia. Tak main judi tak makan pil kuda. Tapi dalam masa yang sama, hampir seluruh jiwa raga dia sudah ‘HILANG’ dalam rumahtangga yang dibina. Sedangkan suami bersenang lenang bersuka ria melepaskan segala tanggungjawab di bahu isterinya.
Bahkan lepas beberapa ketika, ada suami yang tiba-tiba perasan,
“Banyak pula wang aku ini.. Boleh ‘menanggung’ seorang isteri lagi nampaknya”
“Banyak pula masa lapang aku ni. Asyik ditinggal isteri yang sibuk bekerja sampai jiwa rasa sunyi. Nampaknya kena cari lagi calon isteri..”
“Banyak lagi tenaga aku ini rupanya. Tiba-tiba rindu suara tangis dan ketawa bayi. Bolehlah tambah bini untuk menambah bayi..”
Dia tak tahu wang yang banyak itu sebab isteri yang melepaskan hak-haknya sebagai isteri demi menyenangkan suami.
Dia tak tahu masa lapang yang banyak sebab dia tak pernah nak bantu isteri dalam hal ehwal rumahtangga walhal keduanya bekerja.
Dia tak tahu tenaga yang banyak bukan sebab dia masih muda perkasa, tapi sebab keringat jantannya yang tak pernah diguna!
Suami makin senang lepas kahwin sebab dibela isteri yang melunaskan serba serbi tentang keluarga. Isteri pula dari anak dara jelita dah bertukar menjadi naga gara-gara keringat dan segala upayanya diperguna untuk membela seorang bayi tua.
Akhirnya, isteri nampak serba tak kena sebab asyik serabut dan hilang sinar di muka. Suami nampak sempurna ala-ala jejaka idaman Malaya sebab selalu tampil kemas bergaya, senyum setiap masa.
Kawan,
Suami yang BAIK dan suami yang BERTANGGUNGJAWAB adalah 2 perkara yang berbeza.
Seorang lelaki boleh jadi suami yang baik tapi langsung tak bertanggungjawab. Seorang lelaki juga boleh jadi suami yang tidak berapa baik tetapi bertanggungjawab.
Kedua ini adalah karakter yang berbeza yang WAJIB dimiliki oleh seorang ketua keluarga.
Suami tidak baik yang bertanggungjawab akan MEMBELI isterinya dengan harta. Dia tabur harta pada isteri, menafkahi secukupnya – tetapi ada perempuan lain, menonton porno, berkata-kata kesat, bermuamalam dengan kelat, meninggalkan solat dan sebagainya. Dia MEMBELI isteri dengan menyempurnakan keperluan materi tetapi dia tetap gagal sebagai seorang ketua keluarga.
Suami baik yang tidak bertanggungjawab pula MEMPERKULI isteri dengan layanan baiknya kepada isteri. Anjing mana tak setia dengan Tuan kan? Itupun belum tentu kesetiaan yang berpanjangan. Hujung usia, diduakan juga sang isteri ’tua.’
Dalam situasi pertama, ramai wanita dilema tapi dia SEDAR sesuatu tidak kena. Tapi situasi kedua, adalah apa yang LEBIH berbahaya kerana wanita ini tidak sedar apa yang dilalui, dek kerana tersorok dengan baiknya perilaku seorang suami menyebabkan dia merasa tiada apa-apa yang salah dalam rumahtangganya.
Sedar-sedar, sosok seorang isteri yang penyayang, isteri yang menjadi penyejuk hati, isteri yang menjadi sumber ketenangan keluarga – semuanya sudah ’HILANG’.
Yang ada dalam rumahtangganya, cumalah seorang suami yang memperkuli isteri dan seorang wanita yang menjadi hamba.
Kawan,
Hamba pun kadangkala lebih mulia dari isteri yang diperguna.
Kenapa?
Sekurang-kurangnya hamba disuruh buat kerja. Tetapi upahnya adalah makan, pakai dan tempat tinggal yang disedia. Dia tak pening memikirkan segalanya.
Sudahlah segalanya dia usahakan dengan tulang 4 keratnya. Makan, pakai dan tempat tinggal pula dia perlu sediakan kepada ‘tuannya’? Segala masalah rumahtangga juga, terbeban atas dirinya untuk diselesaikan.
Rupanya, nasib seorang isteri boleh jadi lebih teruk dari seorang hamba. Inilah isteri yang telah ‘HILANG’ fungsinya dalam rumahtangga.
Yang ada kini, seorang suami kepada suaminya sendiri,” kongsi Sharifah Zahidah.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Sumber / Sumber Foto : Facebook Sharifah Zahidah
RAHSIA CANTIK NASHA AZIZ