Jihad sertai misi kemanusiaan, Heliza Helmi tak serik pengalaman di Syria. Penyanyi yang lahir dari rancangan realiti TV Akademi Fantasia ini begitu aktif dengan misi-misi kemanusiaan di dalam dan juga luar negara.
Meskipun perlu bertarung nyawa memasuki kawasan bergolak seperti di Syria, Palestin dan juga kawasan tinggalan perang di Marawi, Filipina.
Itu semua sedikit pun tidak menggentarkan hati dan jiwa figura wanita kental ini. Niatnya cuma satu, ingin menghulurkan bantuan dan menyelami sendiri keadaan sebenar di kawasan yang terjejas.
Ternyata aura wanita hebat ini menjadi inspirasi buat wanita-wanita lain di luar sana. Wanita kecil molek ini mempunyai cerita tersendiri setiap kali mengikuti misi kemanusiaan ke luar negara.
Kisah yang pernah dikongsi oleh Heliza kepada Mingguan Wanita sebelum ini sememangnya cukup meruntun jiwa apatah lagi melibatkan kanak-kanak dan mangsa-mangsa perang akibat kerakusan manusia yang inginkan kuasa.
Sungguh mulia hidup wanita berani ini, mendedikasikan diri ke jalan Allah hanya untuk memberi manfaat dan juga memudahkan urusan orang lain di dunia. Semoga setiap urusan dan misi mereka mendapat sokongan dan bantuan ramai agar lebih banyak lagi misi dapat dilaksanakan.
Heliza yang terkenal dengan kepetahan dirinya dalam memberi motivasi dan ceramah sememangnya membuatkan ramai yang respek dengan dirinya termasuklah penulis sendiri. Paling menginsafkan apabila Heliza berkongsi kisahnya satu ketika dulu sewaktu berkunjung ke Syria.
“Kunjungan ke Syria cukup menginsafkan hidup mereka berdepan dengan risiko tembakan dan bedilan bom bertalu-talu tanpa henti.
“Itulah senario yang tidak dapat digambarkan yang menjadi kehidupan biasa masyarakat di sana.
“Namun, mereka sungguh tabah, menganggap semua itu sebagai ujian Allah yang perlu dihadapi dengan sabar.
“Saya turut berkongsi pengalaman getir semasa keluar secara tergesa-gesa dari sebuah kawasan yang dikhabarkan akan di bom dalam tempoh yang agak singkat semasa kunjungan ke Syria.
“Kawasan tersebut dinamakan Kafa Zeta dan ketika melawat untuk memberi bantuan penduduk di sana, secara tiba-tiba dikhabarkan kawasan itu bakal dimusnahkan dengan bedilan bom.
“Keadaan ketika itu sungguh cemas kerana kami perlu keluar dari kawasan tersebut dengan pantas untuk menyelamatkan diri. Ibaratnya bila berada di sana nyawa dihujung tanduk.
“Tapi itu semua bukan penghalang untuk saya meneruskan aktiviti sosial ini. Malah setiap kali ke sana saya tidak kisah jika mati syahid, ” ujar Heliza yang akan menulis surat wasiat kepada keluarganya sebelum berangkat menjalankan misi kemanusian ke negara bergolak.
Semangatnya untuk memperjuangkan isu ummah semakin kuat setelah dirinya berpeluang melihat sendiri keadaan di Gaza, Palestin pada tahun 2012.
Walaupun pada mulanya keluarganya tidak membenarkan dia pergi atas faktor keselamatan namun akhirnya dengan izin Allah SWT, dia dapat pergi dengan keizinan keluarga dan dapat berkongsi isu ini dengan masyarakat.
Bukan bersendiri malah Heliza juga turut mendapat semangat apabila adiknya Hazwani sentiasa disisi dalam menjayakan misi kemanusiaan. Heliza juga turut berkongsi pengalaman lain tatkala di Syria.
“Apa yang boleh saya katakan keadaan dekat sana memang sangat memerlukan bantuan. Ketika kami sampai di sana, musim sejuk, keadaannya memang cukup menginsafkan di kem pelarian yang menempatkan orang Syria yang serba kekurangan.
“Mereka tidur dalam kesejukan, memang sangat menyedihkan melihat keadaan mereka di sana. Justeru itu sumbangan daripada semua sangat dialu-alukan untuk mendapatkan dana bagi membantu mereka.
“Misi Syria yang kami jalankan ini juga mempunyai perancangan untuk membina penempatan rumah tetap di sana dan juga bina masjid serta sekolah. Ini semua memerlukan dana yang berterusan daripada kita semua bagi merealisasikan semua ini sekali gus dapat membantu rakyat Syria yang terkesan dengan peperangan yang berlaku,” ujar Heliza.
Kongsi Heliza lagi apa yang dilakukan atas dasar tanggungjawab yang perlu digalas sebagai seorang hamba Allah.
“Dalam melakukan misi kemanusiaan dan juga kerja dakwah ini, sebenarnya semua orang ada tanggungjawabnya.
“Barang siapa yang mengucapkan Kalimah Lailahailallah, kita semua merupakan milik Allah. Jadi yang paling penting fokus kita adalah kita buat apa yang Nabi suruh seperti dalam hadisnya, “Sampaikanlah dariku walau hanya sepotong ayat”.
“Jadi kita nak sampaikan apa yang Rasulullah suruh dan mudah-mudahan itu semua boleh jadi asbab untuk kita dekat dengannya dan menjadi sebab untuk ramai orang sama-sama buat kerja kemanusiaan dan dakwah.
“Kami memang sangat memerlukan doa semua orang kerana saya juga tahu saya sendiri banyak kelemahan, banyak kekurangan terutamanya bila berada dalam kerja-kerja lapangan seperti ini.
“Orang ramai mungkin nampak kami hebat buat semua misi kemanusiaan sebegini, tapi hakikatnya kami juga seperti manusia lain yang memerlukan doa dari kalian semua.
“Syukur alhamdulillah kami memang mendapat sokongan, doa dan kata-kata semangat dari ramai orang atas misi yang dijalankan.
“Bukan sahaja daripada kalangan muslim malah orang bukan Islam juga turut menyatakan sokongan mereka,” luahnya.
Menyertai misi ke tempat yang penuh dengan risiko pastinya bukan mudah. Faktor keselamatan diri perlu diambil kira, namun bagi Heliza ini semua perjuangannya untuk ummah yang memerlukan bantuan.
“Ia adalah perjuangan isu peduli ummah, ia adalah untuk ummah, seperti sabda Nabi s.a.w yang menyatakan “Barang siapa yang memudahkan urusan orang lain, Allah akan memudahkan urusan kita dunia dan akhirat.”
“Bila kita dapat lihat senyuman, kebahagiaan daripada orang-orang yang kita tolong, walau mereka bukan siapa-siapa dengan kita, menjadi tugas kita untuk bantu mereka semua kerana mereka adalah saudara kita.
“Dengan beri bantuan kepada mereka secara tak langsung kita juga bantu diri kita sendiri. Apa yang dapat saya lihat, walaupun memerlukan bantuan dan berada di kawasan yang bergolak, mereka semua sangat sabar dan reda apabila mendapat satu-satu ujian.
“Itu semua sedikit sebanyak memberikan rasa keinsafan dan rasa bersyukur berada di bumi Malaysia yang mana kita mendapat pelbagai jenis nikmat.
“Semua ini membuatkan kita sedar apa yang disebut dalam al-Quran, apabila kita bersyukur, Allah akan tambah lagi nikmat.
“Jadi mudah-mudahan kita semua menjadi insan yang lebih bersyukur dan lebih dekat dengan Allah, Insya-Allah,” tambahnya.
“Bila berada dalam perjuangan kemanusiaan, perasaan dan semangat cinta tentang misi seperti ini tak dapat digambarkan dengan kata-kata.
“Perasaan dan pengalaman ini tak dapat dibeli dengan wang ringgit.
“Kita di sini tak dapat makan sehari malah sekejap pun dah rasa tak tentu arah, lapar dan sebagainya.
“Apatah lagi mereka yang tak dapat makan berhari-hari. Mereka terpaksa makan kotak, rumput, daun dan sebagainya.
“Bayangkan kita kena jadi pelarian dalam rumah sendiri. Di Malaysia kita boleh tidur dengan aman dan selesa, tapi tidak untuk mereka.
“Bom sana sini, mati dalam kebuluran, ketakutan, kesejukan. Jadi saya ingin perjuangan dapat saya teruskan sehingga hujung nyawa saya, insyaAllah,” ujarnya penuh semangat.
Menarik Lagi : Heliza Helmi Tersentuh Lihat Kesabaran Kanak-kanak Syria
Sumber Foto : Instagram Heliza Helmi & MAPIM MALAYSIA
Mingguan Wanita : Suka tengok perjuangan yang tak pernah lelah dari Heliza. Tekad dan berani dalam meneruskan aktiviti kemanusian terutama di Syria.
Follow kami di :
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
TikTok: https://tiktok.com/@mingguanwanita
ZAMAN DAHULU BOLEH LAH NAK PERMAINKAN WANITA. SEKARANG ‘BIG NO’ Wanita hari ini PANTANG DICABAR!
Pernah diperlekehkan? Dipijak kepala? Buli atau takut berdepan masalah hidup? Dengar apa nasihat pakar. Jom sertai webinar sehari, AURA: Wanita Pantang Dicabar ini.
Klik link ini untuk daftar penyertaan: https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-aura-wanita-pantang-dicabar/ atau whatsapp : http://www.wasap.my/60196328758/DaftarAura