Uncategorized

Jia Hao Anak Autism Kebanggaan Avilina

Share

Jia Hao Anak Autism Kebanggaan  Avilina

Merujuk laman sesawang The Asian Parent, autisme itu merujuk kepada masalah perkembangan kompleks. Ia melibatkan interaksi sosial seorang kanak-kanak terganggu akibat masalah ketidakmampuan komunikasi, tingkah laku tidak wajar yang berulang, pemencilan diri serta menunjukkan minat terhadap sesuatu perkara pada skala masa terhad.

Hampir 47,000 orang kanak-kanak di Malaysia menghidapi gangguan autisme, atau lebih dikenali sebagai kanak-kanak autistik, namun gagal didiagnosis dengan cepat kerana ibu bapa mungkin tidak arif dengan kriteria autisme lebih terperinci.

Hal yang sama berlaku keatas pasangan suami isteri; Tan Khoon Hoe (35) dan Ooi Siew Khar (36) yang mesra di sapa Avilina apabila melihat perkembangan putera sulung mereka Tan Jia Hao (11). Cerita Avilina menerusi emel, ketika anak-anak kecil lain mula belajar bertutur dan mampu menyusun suku kata, Jian Hao masih gagal menguasai kemahiran bertutur. Hanya gerak badan dan tangannya menjadi ‘suara hati’ Jia Hao apabila inginkan sesuatu.

“Saya dan suami mula menyedari kelainan Jia Hao ketika umurnya tiga tahun. Awalnya kami hanya menganggap mungkin Jia Hao akan mula bercakap sedikit lewat dari kanak-kanak lain seusianya. Walau bagaimanapun situasi yang sama berterusan sehingga usianya tiga tahun.

“Selalunya apabila dia inginkan sesuatu dia akan menyampaikannya menerusi bahasa tubuh ataupun menarik tangan kami ke arah objek yang dia ingini. Perkataan mudah seperti “mama” pun dia tak mampu sebut. Ketika itu kami mula menyedari beliau mempunyai masalah pertuturan (speech delay),”kongsi Avilina mengenai kondisi Jia Hao sebelum didiagnos sebagai anak mild autism.

Berlapang dada

Kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah lazimnya sedang aktif melalui fasa interaksi dan komunikasi. Mereka selalunya aktif bermain, berlari, memanjat dan mengasah kemahiran motor mereka. Jika semuanya tidak berlaku dan anak menunjukkan kelainan dan kecenderungan berbeza, mungkin ada perlunya anak dirujuk kepada mereka yang lebih pakar.

Menyedari kondisi Jia Hao memerlukan sokongan dari mereka yang lebih arif, Avilina dan suami tidak membiarkan diri dari dibalut emosi rendah diri. Selekasnya Jia Hao dirujuk kepada pakar terapi.

“Mula-mula kami hard to accept, tapi saya dengan suami sama-sama sepakat perlu buat sesuatu untuk masa depan anak sulung kami. Langkah seterusnya kami rujuk Jia Hao berjumpa pakar terapi dan doktor berkaitan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star, Kedah. Ini adalah langkah sebaiknya untuk kami pandang ke hadapan. Akhirnya setelah hampir tujuh tahun melalui sesi terapi, Jia Hao akhirnya lulus dan tidak perlu lagi mengikuti terapai susulan di hospital sejak tahun lalu,”jelas Avilina mengenai anak sulungnya daripada tiga bersaudara.

Bukan mudah membimbing anak autism, menurut Avilina ada masanya dirinya tidak sekuat selalu. Seperti lilin yang mencair, begitu juga dengan semangat yang ada pada dirinya.

“Kepenatan, tertekan dan terpaksa menguruskan Jia Hao sendirian terutama apabila suami terikat dengan urusan kerja membuatkan ada masanya saya murung. Masa itu saya tak terfikir untuk menyertai mana-mana kumpulan sokongan ibu bapa yang mempunyai anak autism. Sebaliknya segala perasaan tertekan itu dilepaskan menerusi aktiviti kraf yang saya lakukan dan jual menerusi laman instagram saya iaitu @avilina_handmade ,”kongsi suri rumah ini mengenai caranya mengatasi kemurungan.

Pupuk yakin diri Jia Hao

Jia Hao kini bersekolah di SJK (C) Peng Min di Alor Star, Kedah. Menurut ibunya, prestasinya di sekolah biasa-biasa sahaja. Dia kurang fokus apabila belajar, sebaliknya dia cukup bersemangat apabila tibanya subjek pendidikan seni.

“Di sekolah menurut cikgu, ada masanya dia mengelamun. Tidak fokus bila belajar. Tetapi bila tiba subjek pendidikan seni, dia cukup bersemangat. Saya dan suami pernah menghantarnya ke kelas seni, malangnya dia tak selesa. Sebagai ibu bapa kami sentiasa memberi ruang kepada dia mencuba perkara yang dia minat.

“Selalunya kami buat satu perkara bagi rujukan kepada dia. Apabila dia rasa benda tu menarik, dia berminat nak mencuba…kami akan galakkan dia. Sekiranya sebaliknya, kami tak akan paksa. Anak-anak autisme cenderung melakukan sesuatu perkara mengikut moodnya.

“Sebagai ibu saya sering mengulangkaji bersamanya kerana saya sedia maklum dengan kemampuan dia. Jika ada buku latihan, kami akan biarkan dia lakukan sendiri (terutamanya topik yang dia boleh kuasai). Kami juga belikan dia kamus bergambar, bagi memudahkan dia buat rujukan.

“Terkini beliau mula menunjukkan minatnya dalam menguasai bahasa Inggeris. Sekarang kami menghantarnya ke kelas fonik dan dia sudah boleh bertutur dalam bahasa Inggeris sedikit demi sedikit,”kongsi ibu ini kepada Mingguan Wanita.

Harapan untuk Jia Hao

Putera sulung Avilina cukup kreatif dalam menghasilkan produk seni tangan seperti penanda buku dan membuat binaan tanpa perlu mengikut buku panduan. Kesabaran Avilina dan suami dalam membantu Jia Hao mula membuahkan hasil yang membahagiakan.

“Dia suka create things, self built lego car without book instruction. Buat rantai kunci, rantai leher, penanda buku, membina kereta menggunakan kayu aiskrim dan juga boleh meminati bidang bakeri terutamanya memasak kek. Sesekali Jia Hao dan bapanya akan mengayuh basikal untuk jarak yang jauh (sekitar dua jam) untuk beriadah.

“Ada diantara hasil kerja tangannya di jual dan juga di hadiahkan kepada guru-gurunya sempena hari guru di sekolahnya. Saya berterima kasih kepada tenaga pengajar dan guru-guru di sekolahnhya yang tak jemu-jemu membantu mendidiknya. Jia Hao semakin matang dan berdikari. Melaluinya saya belajar erti kesabaran dan dia sentiasa ada perkara baru yang membuatkan kami bangga dengan pencapaiannya.

“Di masa depan saya bercadang mahu membuka sebuah kafe kecil untuknya mengembangkan minatnya dalam dunia bakeri. Mungkin ini medium terbaik untuk memastikan anak kami punya pendapat tetap dan boleh berdikari. Besarlah harapan saya dan suami, dia mampu berdikari apabila dewasa nanti,”cerita ibu muda ini menutup bicara.

Published by
Mastura Burhanuddin