Penyanyi bersuara lunak dan lantang, Liza Hanim atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim,38, yang merupakan salah seorang peserta akhir Gegar Vaganza(GV) musim ke-empat sekali lagi membuktikan kemampuannya apabila berjaya merangkul naib Juara Gegar Vaganza 4.

Penampilan Liza Hanim yang tampil lebih langsing amat mencuri perhatian semua orang. Perkara ini bukan datang bergolek, sebaliknya memerlukan usaha keras kerana Liza Hanim tidak mahu kurus dengan bantuan pil, sebaliknya atas usaha sendiri. Oleh itu, biar pun agak sukar, namun dengan disiplin yang tinggi akhirnya Liza Hanim mendapat berat idealnya.

Liza Hanim Dedah Cara Kurus

Segalanya bermula apabila dirinya merasakan dirinya terasa tidak selesa untuk berjalan, mudah sakit kaki kerana saiz kaki yang kecil tidak mampu menampung berat badan seterusnya sukar bergerak membuatkan artis ini terdetik, inilah masanya untuk dirinya menurunkan berat badan. Selebriti ini turut akui bukan perkara yang mudah untuk turunkan berat badan secara natural, lebih-lebih lagi anaknya sedang menyusu badan ketika itu.

Bermula dengan belajar apakah jalan terbaik untuk dirinya turunkan berat badan, seterusnya Liza Hanim cuba memahami cara untuk kuruskan badan secara teratur dan mengikut kondisi tubuh sendiri. Bertambah getir apabila Liza Hanim merupakan pencinta makanan, namun dia mula mengkaji makanan apa yang sesuai untuknya dan mula mengambil makanan mengikut keperluan dan bukannya kehendak semata-mata.

IKLAN

Liza Hanim turut bersenam dengan banyakkan berjoging dan berlari. Selain menurunkan berat badan secara catu makanan, bersenam juga amat penting kerana apabila kita bersenam, dia akan dapat memantapkan otot-otot dalam masa yang sama.

Wanita ini juga banyak menyertai acara larian yang dianjurkan pada ketika itu. Tambahnya menurunkan berat badan bukanlah untuk keyakinan dan kelihatan cantik semata-mata sebaliknya untuk tampil sihat dan bertenaga. Paling penting kesihatan turut terjamin.

Turun Berat Badan Tanpa Pil Pelangsing

“Sebenarnya ketika anak dara dan baru berkahwin, berat saya hanyalah sekitar 58 kg. Tetapi selepas melahirkan anak, berat saya mencecah 78 kg. Sebab itu saya kuatkan tekad untuk dapatkan berat badan yang ideal. Jadi setelah kejadian itu, setiap kali mengandung saya lebih berhati-hati dalam mengambil makanan, jadi berat badan saya naik secara terkawal.

“Saya tak boleh terus tak makan kerana kita perlukan tenaga. Berpada-pada dalam mengambil makanan dan bersenam. Macam sekarang saya memang tiada masa untuk aktif berlari macam dulu tetapi kenalah gantikan sesuatu yang lain untuk keluarkan peluh.

“Berat badan sebenarnya mempengaruhi suara saya, sudah tentu apabila berat badan meningkat kita akan jadi cepat penat dan kurang tenaga untuk menyanyi dengan baik. Oleh itu, kita perlu kawal pemakanan seperti penyanyi baru yang miliki masalah berat badan seharusnya mulakan dengan soalan kenapa anda perlu turunkan berat badan kerana setiap orang miliki masalah yang berbeza.

“Sesetengah orang biar pun miliki badan besar tetapi mereka sihat, kurus juga tidak bermakna sihat. Oleh itu, ketahuilah berat badan ideal dan cuba usahakan untuk turun berat badan mengikut kemampuan,” jelasnya lagi.

Rahsia Bahagia

15 tahun melayari bahtera rumah tangga bersama bekas anggota kumpulan Indigo, Mohamed Shahrin Samsudin sesungguhnya satu perjalanan yang cukup indah buat Juara Bintang Penghibur HMI (1999). Perbezaan sikap Liza Hanim yang manja dan suaminya yang selamba membuatkan pasangan ini serasi bersama. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami, isteri. Sesekali bersengketa bukanlah alamat pengakhir hubungan sebaliknya ianya adalah fasa untuk pasangan ini lebih mengenali antara satu sama lain.

IKLAN

“Bagi saya dalam apa cara sekali pun dalam hubungan suami, isteri, jangan lupa bahawa lelaki yang berada di sisi adalah suami kita. Hormatilah dia seadanya dan letakkannya di tempat yang tertinggi dalam segala hal. Sikap bertolak andur dan saling mempercayai adalah ramuan utama dalam perkahwinan.

“Sampai ke satu tahap kita akan berasa bosan apabila kita melalui satu rutin yang sama dalam jangka waktu yang panjang tetapi sebagai suami dan isteri kita perlu lakukan sesuatu untuk semarakkan hubungan. Saya sendiri setelah sekian lama tak menghabiskan masa berdua, kami cuba cari kelainan dengan pergi bercuti berdua dan tinggalkan anak-anak tahun lalu.

“Walaupun susah dan kekok, maklumlah selama ini anak-anak ada bersama dan riuh sepanjang jalan. Rasa janggal apabila sunyi dan tinggal berdua sahaja. Tetapi seronok jika dapat luangkan masa berkualiti dengan pasangan, seolah-olah mood bercinta dan sweet moment itu datang kembali. Jadi bagi pasangan berkahwin, sesekali curi masa untuk habiskan masa berdua. Percayalah perkara ini berjaya untuk hangatkan kembali hubungan anda,” ungkapnya teruja.

Pantang Sebut Cerai

Jelas Liza Hanim, dirinya amat bersyukur kerana dianugerahkan seorang suami yang amat memahami dan penyayang. Paling penting, bukan sekadar bergelar suami, Mohamed Shahrin menjalankan tugasnya sebagai bapa sebaiknya. Hingga ke saat ini, Liza Hanim masih kuat memegang nasihat ayahandanya yang berpesan agar sekusut mana sekali pun berhadapan dengan masalah dalam rumah tangga, jangan sesekali menyebut perkataan “cerai”.

IKLAN

Pesanan yang diberi sejak dirinya belum bernikah dengan suami membuatkan dirinya lebih berhati-hati dan sentiasa beringat. Sekiranya berlakunya pergaduhan, dirinya cuba mengambil jalan tengah dan muhasabah diri agar masalah rumah tangga dapat diselesaikan secara tenang dan di bawah pengaruh akal yang waras.

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI