Lelaki ini, Khairul Hakimin Muhammad menjawab persoalan yang tular tentang ‘peraturan meja makan di rumah Ayah Long’. Bukan semata soal adat, tetapi boleh jadi ada kaitan dengan elemen agama.
Ini berdasarkan pengalaman sebelum ini, yang berkunjung ke rumah Tok Guru nya dan mana-mana ustaz yang pernah disinggahi.
Berhari-hari jugalah saya duk teliti tentang kes pergi rumah Pak Long kemudian yang lelaki makan dahulu, wanita makan kemudian. Tak boleh itu tak boleh ini. Hehe.
Jujurnya saya fikir bukanlah adat 100%. Boleh jadi ada juga elemen agama.
Masa di KUSZA dulu, kami terbiasa pergi ke rumah Tok Guru dan mana-mana ustaz. Benar, kami hanya makan bersama kaum lelaki. Normal yang wanita tak makan sekali. Oklah kami bukan mahram.
Sama jugalah kes sepupu kan? Bukan mahram. Apabila sekeluarga, ok sahaja. Kita pakai hujah Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam banyak membantu isteri baginda. Namun jika dah ada ipar duai sepupu sepapat semua, lelaki dan wanita wajar sahaja diasingkan mejanya.
Baca sini : Dah tak relevan, budaya lelaki makan dulu wanita standby apa tak cukup
Sebab kenapa asingkan, wanita sesama wanita juga mahu bersembang, lelaki sama lelaki juga mahu bersembang. Mereka tak galakkan lelaki dan wanita bercakap bersama dan boleh jadi galak dan beriya.
Lelaki boleh bawa pinggan ke dapur juga benda sama. Sudah terbiasa kalau mahram, suami isteri, adik beradik, ok sahaja. Namun jika bukan mahram, memang sukar nak dibenarkan.
Ada sepupu yang selinsing lengan nak basuh tangan. Ada juga yang selimpang tudung tak nak kotor sana kotor sini. Jadi akan terbuka sedikit aurat masing-masing.
Itu sahaja matlamatnya. Bukanlah adat semata.
Apabila dalam keluarga, suami isteri, adik beradik, basuhlah pinggan sekeluarga. Berlanggar tangan pun tak batal air sembahyang. Namun jika bukan, jagalah belaka adab ini.
Adab ada kaitan dengan agama.
Kawan-kawan,
Pakcik makcik kita, emak ayah kita bukan suka-suka buat itu buat ini. Zaman mereka lagilah hebat diuji sana sini. Ada rumah yang tidak berdinding, luas sahaja sampai ke dapur. Apabila mereka belajar menutup aurat, mereka faham itu boleh, ini perlu, ini wajib, ini dilarang dan sebagainya.
Fikir dengan ketelitian agama dan sahsiah kita sendiri. Kita mengadap Allah yang sama. Semoga saya dapat mencerahkan mana yang runsing. Bagi saya, ok sahaja mahu asingkan.
Kalau saya pergi rumah orang, saya takkan angkat pinggan ke dapur, saya bimbang terlihat aurat orang. Saya minta isteri saya yang buat. Kalau itu rumah saya sendiri, okey saya akan angkat. Itu sahaja mudah nak beri pemahaman. Saya bukan orang arif dalam agama, sekadar memberi penjelasan sahaja ikut pengalaman.
Begitulah.
Semoga membantu.
Sumber/Foto : Khairul Hakimin Muhammad