Jatuh Cinta Dengan Suami Sahabat Sendiri!

Jatuh cinta memang indah. Namun bakal bawa musibah bila jatuh cinta pada orang yang salah! Ikuti pengakuan seorang wanita yang jatuh cinta pada suami teman rapatnya sendiri!

Assalamualaikum puan yang dihormati. Elok saya memperkenalkan diri saya terlebih dahulu. Saya seorang gadis yang berusia 34 tahun, seorang guru. Saya pernah putus tunang ketika usia 25 tahun bersama  teman satu universiti.

Selepas putus tunang hati saya tertutup untuk menerima huluran cinta mana-mana lelaki walau pun ada yang cuba mengetuk pintu hati saya. Saya tak dapat menepis kesedihan putus tunang sebulan sebelum majlis perkahwinan dahulu.

Rakan Karib

Sejak di universiti, saya rapat dengan Z, kami sebilik. Hubungan kami berterusan hingga kini walau bertugas di sekolah berlainan. Ahli keluarganya sudah saya anggap umpama keluarga sendiri. Begitu juga keluarga saya yang sudah kenal dengan dirinya, umpama adik angkat mak dan abah saya.

Z bertemu jodoh dengan seorang akauntan dan saya yang jadi pengapit di hari bahagia mereka. Kini sudah mempunyai sepasang cahaya mata berusia 10 tahun dan 7 tahun. Saya juga rapat dengan anak-anak Z yang saya anggap seperti anak saya. Jika masa terluang atau cuti sekolah, pasti mereka akan saya bawa berjalan-jalan dan mereka boleh tinggal berhari-hari di rumah saya. Kebetulan saya tinggal bersama mak dan abah. Adik-beradik lain sudah berkahwin.

Dengan suami Z yang saya gelar Abang A juga saya rapat. Orangnya boleh tahan kacak, penyayang dan mengambil berat. Jika dia perlu ke luar daerah, sering kali saya akan menemani Z dan anak-anak di rumah mereka.

Jatuh Cinta Dengan Suami Sahabat Sendiri!

Tak Sedar

Puan, saya sendiri tak sedar bila saya mula menyimpan perasaan ini. Mungkin  puan akan anggap saya ini wanita jahat tapi bukan ini kehendak saya.

Beberapa tahun kebelakangan ini, dalam diam saya perasan saya mula menyimpan perasaan pada Abang A. Entahlah, mungkin kerana melihat dia menyayangi dan melayan Z dan anak-anak mereka dengan baik membuatkan hati saya menyukainya.

Jangan salah anggap, Abang A tak pernah menunjukkan minat pada diri saya malahan rasanya dia melayan saya seperti seorang adik. Mungkin juga sifat caring yang ditunjukkannya terhadap diri saya membuatkan saya terpikat.

IKLAN

Cuba Lupakan Pernah Jatuh Cinta

Puan, saya rasa bersalah terhadap perasaan yang saya rasa ini. Tak dapat bayangkan perasaan Z pada saya jika dia dapat tahu. Bagaimana saya nak bersemuka dengan dia dan abang A? Saya tak tahu bagaimana nak hilangkan perasaan yang hadir tanpa diminta ini.

Dalam masa yang sama, saya ikhlas terhadap abang A dan sanggup menjadi madu Z. Saya tetap akan  sayang dia dan anak-anak seperti sekarang dan takkan rampas kasih sayang abang A daripada mereka.

Sekarang ini saya masih mampu membendung perasaan ini bila berada di sisi Z. Tapi sedaya mungkin saya akan elakkan untuk bersua dengan abang A, takut perasaan saya makin kuat terhadapnya. Bantu saya puan.

Gadis Tersepit, KL

Jawapan:

Wanita sering mendambakan kasih sayang dari seorang lelaki mengikut “acuan”  atau spesifikasi tertentu  dari kaca mata seorang wanita. Mungkin ramai bersetuju bahawa majoriti wanita begitu teruja dengan lelaki yang baik, bertanggungjawab, penyayang dan romantis. Tidak kira  jika  dia sudah beristeri, adalah lebih baik menjadi isteri kedua  daripada memiliki  suami  yang tiada  tanggungjawab dan tidak menunjukkan sifat penyayang.

Dilema

Tidak dinafikan, jika  sudah terpaut, maka  pergelutan  dalam diri  akan wujud, sama  ada  mahu teruskan  untuk  cuba menambat dan memilikinya  atau  terus melupakan  hasrat tersebut. Namun, bukan semudah  untuk membuang perasaan melupakan jejaka  yang telah bertakhta  di hati, meskipun tahu  ia punya  halangan dan rintangan.

Mungkin cik bersetuju jika saya  katakan bahawa anda tidak  dapat menipu diri untuk menidakkan bahawa  anda mampu melupakan suami sahabat cik itu.  Namun, cuba  senaraikan  beberapa  persoalan yang perlu dijawab.  Pertama,  jika anda ingin  menyatakan hasrat  untuk menjadi  madu kepada  sahabat cik itu,  apa  yang akan isterinya (Z) rasai? Adakah dia boleh terima?  Adakah anda mampu menyatakan hasrat  hati kepada  suami Z?  Atau menyatakannya kepada  Z sendiri?

IKLAN

Wanita mana pun, jika sudah jatuh cinta terhadap mana-mana lelaki kerana sifat-sifat yang menjadi idaman wanita tersebut, sukar untuk dilupakan. Melainkan putus terus  hubungan. Bagaimana, boleh untuk  cik nyatakan?  Pilihan  ada dan anda perlu membuat keputusan untuk meneruskan atau melupakan terus.  Jika anda masih memendam, sehingga bila  cik akan menyimpan perasaan itu terhadap suami Z? Maka  keputusan perlu dibuat dan puan perlu berhadapan konsekuensinya.

Kesan Jatuh Cinta Silap Orang

Cuba senaraikan dan jawab kepada persoalan yang dikemukakan dan  apa  implikasinya. Jika cik mampu menyatakannya  dengan cara  berhemah,  tidak mustahil  akan berlaku “deraan emosi”  kepada Z. Mungkin dia kecewa dengan cik dan memutuskan hubungan persahabatan, tetapi mungkin juga sebaliknya menerima hasrat cik tetapi membantu cik mengalihkan perhatian kepada  lelaki lain.

Bila anda menyatakannya, maka anda sudah dapat kepastian  tentang hasrat anda itu  daripada Z atau  suaminya. Namun, tidak tahu sejauh mana  penerimaannya terhadap cik.   Walau apa pun keadaan, mesti berterus terang jika hati sudah berkehendak dan sanggup berhadapan dengan apa jua  respons-respons yang bakal diterima.

Tengok Respons

Jika  respons positif, Alhamdulillah, cik dapat memiliki suami Z. Namun jika sebaliknya, cik sendiri rasanya  boleh mengetahui apa  yang akan berlaku.  Anda seorang wanita, rasanya anda bijak dalam menyelami hati dan perasaan seorang wanita.  Pada cik okay untuk berkongsi kasih, namun pada wanita lain ianya  mungkin suatu yang tidak dapat diterima.

Alternatif satu lagi  adalah dengan cara puan menyampaikan kepada Z, nyatakan  bahawa  cik telah terpaut pada suaminya dan satu cara yang paling sesuai adalah minta izin  untuk menjauhkan diri daripada mereka. Atau boleh juga kepada suami Z tanpa pengetahuan Z. Dan minta  suami Z merahsiakan  apa yang cik rasai terhadapnya (suami Z).

Dalam hal ini suami Z perlu bijak mengendalikan situasi jika dia  menolak cik dan pada masa  yang sama dia (suami Z) menyembunyikan perasaan anda terhadapnya.  Jika dia menolak, cik harus  jauhkan diri daripada Z dan suaminya.  Ini bertujuan untuk  mengurangkan bebanan emosi yang anda tanggung dan pada masa yang sama anda tidak mahu mereka tertanya-tanya  kenapa menjauhkan diri dari mereka.

IKLAN

Melupakan

Sebaliknya, jika cik tidak mampu berhadapan dengan kemungkinan-kemungkinan yang boleh dijangka  atau anda sendiri keberatan untuk menyatakan hasrat  hati, maka cik perlu buat keputusan untuk berkahwin atau  perlu  belajar melupakan suami Z. Pastinya  cik perlu berundur diri. Untuk mencari jodoh, cik boleh minta bantuan Z dan suaminya.

Cik perlu tunjukkan kesungguhan untuk berkahwin. Perlahan-lahan  anda jauhkan ikatan emosi seperti suka kepada keluarga  dan anak-anak Z jika anda mahu belajar melupakannya. Cik perlu banyakkan aktiviti luar untuk melatih hati dan perasaan agar boleh melupakan perasaan terpaut  kepada  suami Z.

Jatuh Cinta Tak Semesti Memiliki

Ingatlah,  dalam hidup kita  tidak semua yang kita impikan  akan  tercapai. Kita perlu belajar menerima orang lain yang bakal menjadi suami kita, walaupun pilihan itu tidaklah sangat menepati ciri-ciri jejaka idaman.

Putus  tunang  bukan semestinya  tiada  lelaki lain dalam hidup. Belajar menerima kelainan orang lain dalam hidup kita. Cinta dan kasih akan datang kemudian.

Mungkin cik tidak dapat kebahagiaan  sepenuhnya  seperti yang diharapkan,  namun realitinya  cik dapat menjalani kehidupan yang lebih realistik dan tidak hanya  meletakkan  emosi dan perasaan yang utama  dalam menikmati kebahagiaan dalam  sebuah kehidupan.

 Bina Bahagia Sendiri

Anda ada  kerjaya, bina  kerjaya  yang lebih baik. Anda seorang pendidik, ada  anak didik. Tumpahkan  kasih dan sayang kepada mereka. Maka cik akan kecapi  bahagia  itu dalam bentuk lain. Malah ianya  mungkin lebih baik daripada  apa yang dijangkakan satu hari nanti. Seperti  yang saya  sebutkan tadi, banyakkan  aktiviti-aktiviti luar  seperti penglibatan dalam NGO,  sukan dan riadah.

Seboleh mungkin cuba  jauhkan  hubungan dengan Z dan suaminya sehingga cik berkahwin dan punya  keluarga  sendiri. Lagi rapat cik dengan Z dan suami serta anak-anak, maka “ikatan emosi”  cik akan semakin kuat dan ini akan menyukarkan cik untuk belajar melupakan Z (jika keputusan ini yang diambil).

Sekadar ini sahaja yang boleh  saya  kongsikan untuk  direnungi dan fikirkan  yang terbaik untuk diri. Bukan sahaja  di dunia, malah  akhirat yang merupakan destinasi  terakhir kita. Wallahualam…

Sumber: Dijawab oleh Puan Maimunah Mohamad, Kaunselor Bebas, juga penulis jemputan di dalam majalah Mingguan Wanita.  https://www.facebook.com/mingguanwanita/

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI