Terus terang, saya jarang simpan stok makanan basah sebab bukan selalu memasak pada hari bekerja.Biasanya setiap hari Sabtu dan Ahad saja dapur saya berasap. Hari bekerja, boleh dikira berapa kali dapur saya berasap. Sebabnya, hanya saya, suami dan seorang anak di rumah.
Jadi, lebih praktikal jika kami bertiga makan di luar saja ( kadangkala kami tak ambil makan malam. Nak diet konon…). Makan di luar lebih jimat berbanding jika memasak. Lebih-lebih lagi pada zaman serba mahal ini. Bayangkan, sekali ke pasar, kena sediakan tak kurang RM50 untuk membeli barang untuk dimasak. Kalau makan di luar, tak sampai angka tu untuk kami tiga beranak.
Ramai rakan yang berkongsi cara menjimatkan kos dan menjimatkan masa untuk memasak bagi ibu yang bekerja. Misalnya membuat segala jenis pes dan kemudian disejuk bekukan. Begitu juga barang basah. Ikan, sotong, udang, dan sebagainya akan diasing-asingkan mengikut hari untuk stok seminggu misalnya. Saya teringin juga buat begitu. Lagi memudahkan untuk kita membuat bajet.
Tapi, suami saya pula jenis yang tidak suka simpan barang basah berhari-hari. Confirm dia tak makan. Anak juga sudah terikut-ikut. Kalau ikan atau makanan laut itu tak segar, jangan harap mereka nak sentuh. Sebab itu kami masak pada hujung minggu. Kalau nak masak, baru kami ke pasar dapatkan barang segar di sana. Keesokan harinya pula, kami akan ke pasar lagi untuk membeli keperluan memasak. Sesekali jika ikan atau makanan laut itu benar-benar segar, baru kami akan simpan untuk dua tiga hari. Tidak lebih dari itu.
Suami juga sangat cerewet dalam bab memilih barang basah. Kalau tak segar, dia lebih rela beli ikan sardin, telur atau beli ikan bilis dibuat sambal. Mungkin sudah terbiasa makan ikan dan makanan laut segar sejak kecil kerana hobi arwah ayahnya ke laut.
Sebab itu juga saya tak ada stok barang basah di rumah. Jika ada rakan atau saudara mara yang hendak datang, mereka memang sudah sedia maklum untuk beritahu awal-awal. Bukanlah perlu buat RSVP macam hendak ke rumah VIP, tapi kami takut nanti mereka datang hanya dihidangkan keropok dengan air teh O saja! Saya orang Terengganu, jadi untuk kecemasan, stok keropok kering memang sentiasa ada di rumah. Jika ada tetamu datang mengejut, boleh juga digoreng.
Agak-agak, ramai tak famili yang macam kami?