Rm28,000 itulah antara nilai harga bayi baru lahir yang didagangkan oleh sindiket penjualan bayi. Sasaran sindiket ini adalah pada ibu-ibu yang hamil luar nikah yang tiada arah tempat perlindungan dan mengharap ihsan untuk diselamatkan. Mangsa dijanjikan dengan tempat tinggal dan dijaga semasa dalam tempoh berpantang, sebaliknya dihalau keluar pada hari kedua selepas bersalin.
Bagi wanita yang terlanjur hamil luar nikah, mungkin atas dasar tidak sanggup membunuh bayi yang tidak berdosa atau bagi mengelakkan keluarga menanggung malu, menyerahkan anak kepada keluarga angkat merupakan salah satu penyelasaian berbanding meninggalkan di tepi jalan.
Namun, kesilapan dalam ‘mencari’ keluarga angkat buat anak yang dikandung serta tempat berlindung disaat tiada arah tujuan, mengundang padah apabila mangsa sebenarnya ditipu dan anak tersebut dijual oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Perkara ini didedahkan oleh seorang Peguam Syarie, Salina (bukan nama sebenar) kepada Mingguan Wanita sendiri.Kes ini merupakan kisah anak guamannya dan beliau berharap masyarakat sedar kewujudan sindiket penjualan bayi serta berharap wanita-wanita terlanjur mahupun yang memerlukan perlindungan tidak mudah tertipu sebegini.
Menurut peguam ini lagi, modus operandi sindiket tersebut adalah dengan mengiklankan didalam sebuah grup di facebook, untuk menjaga dan menyediakan tempat perlindungan buat wanita-wanita mengandung sehingga habis tempoh berpantang.Malah turut menjanjikan menyediakan keluarga angkat bagi bayi yang baru lahir.
**Biomum merupakan istilah yang digunakan bagi ibu mengandung diluar nikah/mangsa rogol.
Peguam Syarie ini juga ada menitipkan pesanan;
Keluarga kena terima kesalahan anak yang terlanjur. Kena jaga dia. Jangan ikut nafsu nak marah. Ada 2 nyawa yang terlibat dalam hal ni.
Jika anda wanita yang telah terlanjur, taubat, taubat dan taubat. ambil masa untuk muhasabah. Jika ditakdirkan mengandung, carilah pusat-pusat perlindungan seprati Raudhatus Sakinah dan lain yang sedia menerima kalian dengan tangan terbuka.
Semua manusia ada zaman gelap masing-masing. Semua manusia ada dosa. Terpulang kepada manusia tu untuk bangkit dari kesalahan dan bertaubat atau terus hanyut dengan dosa.
Usah dicela anak yang dikandung. Itu adalah anugerah. Berapa ramai wanita yang berendam air mata mengenang nasib tidak dikurnia zuriat. Anda dianugerahkan zuriat. Itu nikmat yang cukup besar.
Carilah tempat perlindungan sehingga kalian bersalin. Didiklah anak itu. Lupaklan kisah silam yang lalu. Semua manusia layak diberikan peluang kedua.
Nasihat kami di Mingguan Wanita, jadikan kisah ini sebagai satu pengajaran. Seeloknya buat wanita yang dah terlanjur dan hamil diluar nikah, mohon cari pusat perlindungan yang benar-benar boleh dipercayai.Meskipun dalam keadaan buntu dan tidak dapat mempertimbangkan masalah, jangan mudah tertipu dengan perlawaan dan ‘pertolongan’ orang untuk membantu, lebih-lebih lagi yang diiklankan di media sosial.
Semoga bermanfaat.