Janganlah Panik Balik Kampung, Dibuatnya Positif Covid-19, Satu Famili Kena

Share

Bukan mendoakan.. namun di sebalik kekalutan orang ramai yang mula membuat perancangan mahu balik kampung, selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan, pemandu Grab sepenuh masa ini, Nurdilla Zaini (Kak Dell) berkongsi pengalaman.

Ketika menghantar seorang doktor perubatan ke Hospital Putrajaya, doktor berkenaan memberinya nasihat yang sangat berguna. Lagi-lagi berkaitan keluar dari kawasan tempat kediaman asal (balik kampung) dalam keadaan perintah menghadkan pergerakan ini.

Barangkali disebabkan cuti panjang inilah, orang awam membuat keputusan untuk balik kampung. Namun, demi soal keselamatan dan kesihatan awam, dengarlah pesanan yang disampaikan oleh penumpang Kak Dell ini.

Pesan Doktor, Jangan Panik & Pulang Ke Kampung

Keadaan TBS sekarang adalah seperti ini (digambarkan sesak). Semalam keadaan sesak di pusat beli belah kerana panik membeli barangan. Aduh!

Dell baru sahaja turunkan seorang doktor perubatan Hospital Putrajaya.

Macam-macam yang kami bualkan berkenaan masalah wabak ini. Maklumlah perjalanan kami hampir satu jam tadi dari Cyberjaya ke Shah Alam.

Bising jugalah doktor tadi berkenaan dengan dua situasi di atas. Inilah penyebab merebaknya wabak ini.

Awak janganlah turut panik dan pulang ke kampung. Dibuatnya awak positif jangkitan, silap-silap semua famili kena. Hospital yang bagus dan sesuai untuk rawat penyakit ini hanya di Hospital Buloh dan HKL sahaja. Peralatan cukup. Jika awak kat kampung, macam mana nak pi ke hospital ni?”

Boleh naik ambulan, kan?”

Kalau kondisi awak stabil. Kalau tak, macam mana? Itu belum lagi masalah-masalah lain yang mungkin berlaku di sepanjang perjalanan.”

Betul juga ya, doktor.”

Lebih baik awak kuarantin diri sendiri di rumah. Jika ada tanda-tanda, call nombor yang disiarkan di TV tu. Jika jawapan awak menghampiri ke arah simpton wabak, mereka akan datang ke rumah untuk check.”

Cerah sikitlah pemahaman Dell.

Apa-apa pun, jagalah diri sendiri dan juga orang sekeliling kita.

*Ketika singgah ke kedai beli makanan dan pasir kucing petang tadi, Dell ternampak ada satu keluarga beli empat troli penuh makanan sedang susun di hilux. Muka masing-masing tegang.

#grabmelah

Baca sini : Anak masih menyusu badan, bimbang Covid-19 ibu botakkan rambut, mandi berkali-kali

Bertenang.. Dan Pastikan Jaga Jarak 2 Meter

Apabila orang ramai mula bersesak membeli barangan keperluan, beratur pula di hadapan Balai Polis untuk mendapatkan borang kebenaran balik kampung, ia sebenarnya telah menambah satu lagi aktiviti perkumpulan/perhimpunan.

Sila ambil cakna! Perkumpulan tidak bagus untuk mengekang wabak Covid-19.

Jika terpaksa berbuat demikian, pastikan anda jaga jarak 2 meter antara satu sama lain. Jika bersin atau batuk, cover dengan lengan bukan tangan. Elak bersentuhan, atau menyentuh hidung, mata dan mulut.

Bawalah sanitizer bersama anda. Pastikan anda bertenang dan jangan panik ya.

Malah, bermula malam ini larangan pergerakan ke luar antara negeri atau domestik dikuatkuasakan. Yang mana, orang ramai yang ingin balik kampung perlu memaklumkan pergerakan mereka kepada polis.

Borang khas untuk perjalanan itu boleh diisi di mana-mana balai polis berhampiran atau ibu pejabat polis daerah masing-masing bagi membolehkan pihak polis mengeluarkan surat pelepasan.

Jika tiada keperluan terdesak, elakkan pulang ke kampung halaman agar penularan wabak Covid-19 ini dapat dikekang. Dan inilah yang dilakukan oleh banyak negara luar ketika ini, dalam memastikan wabak Covid-19 tidak menular dengan meluas.

Fahamkan dengan betul, bagaimana wabak Covid-19 ini boleh berjangkit dengan orang lain. Stay safe wahai pembaca-pembaca Mingguan Wanita.

Semoga kita semua dilindungiNya daripada wabak kecil ini yang begitu menguji hati dan keimanan kita semua.

Sumber/Foto : Nurdilla Zaini , Malaysiakini

Published by
Netty Ah Hiyer