Setiap anak ujian hidupnya berbeza-beza. Walau untuk anak sepuluh sekalipun, matlamatnya tetap satu mencari keredhaanNya dunia akhirat. Lagi-lagi urusan menjaga orang tua yang sakit.
Perkongsian Dr Tiny Azleen Yahaya yang diberi kesempatan menjaga orang tuanya yang sakit.. berkongsi kisah. Bagaimana setiap anak itu ada bahagian rezeki masing-masing dalam urusan menjaga orang tua yang sakit mahupun sudah uzur.
Setiap kali balik pejabat, inilah dahulu yang dikelola, kemudian nanti, baru balik rumah.
Saya tak tahu pada orang lain, tapi pada saya, antara yang saya terkesan adalah kata-kata ini yang kemudian saya cuba kaitkan dengan realiti.
‘Mak seorang boleh jaga anak sepuluh orang, anak sepuluh tak tentu mampu jaga mak seorang.’
Ibu Boleh Jaga Sepuluh Anak, Tapi Anak Sepuluh..
Apabila menjaga ayah, baru saya sedar, menjaga orang tua seorang tidak langsung sama seperti menjaga anak yang sepuluh!
Ya. Ibu seorang boleh jaga sepuluh anaknya sebab kalau sekali ibu itu tempik dan jegil bijik mata, berterabur anak-anak yang sepuluh lari ikut cakap mak dia.
Tambahan pula, mak yang ada anak sepuluh, tugas jaga adik-adik yang kecil, di delegate / di alihkan kepada kakak abang yang besar untuk membantunya.
Mak Ada 10 Adik Beradik..
Seperti mak Zakiah Hashim. Mak ada 10 adik-beradik dan antara tugas yang arwah tok delegate kepada mak adalah masak, basuh baju, mandikan adik-adik, siapkan makan pakai adik-adik dan sebagainya.
Sampailah mak kahwin, tetap ada kebajikan dan keperluan adik-adik yang mak bantu selia, yang memudahkan kerja arwah Tok dan Wan dalam mengasuh anak-anak yang sepuluh itu.
Ads
Kalau lap muka, ayah mahu, kalau suruh makan, jenuh bergaduh.
Anak Kena Dengar Cakap Mak, Walaupun..
Dan anak-anak, tiada pilihan melainkan duduk jugaklah mengadap mak yang garang, cengei, tarzan atau singa. Mau tidak, duduklah dalam rumah tu juga. Kena dengar patuh pada apa yang mak suruh. Kena DENGAR CAKAP!
Anak yang sepuluh, kalau degil tak dengar cakap, kuasa veto mak membolehkan segala cubitan, jeritan, jegilan mata, rotan, tali pinggang, hanger, segala peralatan naik badan anak.
Kalau anak malas mandi, cempung je masuk bilik air. Kalau malas makan, cekak pinggang suruh diaorang duduk makan. Takpun ugut akan tinggal di rumah tak bawa jalan kalau taknak makan. Senang kerja mak!
Kalau anak dapat hukuman daripada mak, berbirat badan anak, tiada siapa yang persoalkan. TITIK!
Nak Kata ‘Ugh’ Kat Mak Pun Tak Gamak
Cuba kalau mak / ayah kita perlakukan begitu. Aduh. Jangan setakat kutukan makian orang sekeliling, memang menempah neraka paling bawah la tu!
Malah, hati sendiri pun tak gamak, waima untuk berkata “Ugh”!
Itu yang kami lalui saat ini.
Untuk angkat ayah seorang diri, aduhai, silap gaya mahu terlari tulang atau terkena slip disc.
Dua orang minimum diperlukan untuk kelola ayah terutamanya urusan cuci najis, salin lampin dan salin alas katil.
Ads
Selesa mukanya dan badannya dilap.
Gelak Dan Tangisan Sudah Sama Banyak
Dan lagi, kami adik-beradik alami sendiri tekanan emosi apabila desak ayah supaya makan. Kakak sampai terpaksa ‘ugut’ ayah untuk suap makannya.
Ayah marah, “Apa ni ugut-ugut!“, jerit ayah dalam suara yang tidak berapa jelas biji butirnya.
Nak gelak atau nak menangis, sama banyak dan sudahnya dah tak tahu nak bertindak apa.
Apabila mak paksa suruh ayah makan, dia kata, “orang kata tak mau, tak mau la. Awat dok paksa-paksa ni?“ lepas tu mukanya merah. Tak tahulah sama ada marah atau sedih, atau mungkin kedua-duanya.
Selepas itu, ayah tak nak cakap dengan mak. Dia panggil anak kakak sahaja walaupun mak ada di sisinya.
Inilah juga yang saya kena semasa di IJN. Dia tetap panggil nurse walau saya ada di sebelah. Dia tak hirau. Merajuk!
Puncanya kerana saya tak bawa dia masuk bilik air untuk mandi! (dah wayar berselirat seluruh badan, celah mananya nak boleh tolak masuk bilik air bagi mandi?!)
Ads
Rasa hati, Tuhan sahaja mengetahui.
Takut, sedih, kesal, bimbang…
Semua rasa ada.
Adik bongsu sepenuh tenaga membetulkan kedudukan ayah.
Logiknya Anak Yang Ramai Tak Mampu Nak Jaga
Berbalik kepada mak / ayah yang seorang dan anak-anak yang ramai itu tak mampu nak jaga.
Logiknya di sini adalah:
1. Anak sudah berkeluarga dan keluarganya juga perlu dijaga; 2. Anak bekerja dan kebanyakan kerjaya sekarang mengikat waktu dan tenaga individu kepada kerjayanya, baik yang makan gaji mahupun yang bekerja sendiri. Tipu sangatlah kalau ada yang mempunyai masa yang banyak jika masih perlu mencari duit sara bulanan untuk perbelanjaan (yang memang dah duit berkepuk dalam simpanan, itu memang betullah masa dah terlebih-lebih). 3. Meski ada anak yang ramai, tak tentu mak / ayah serasi untuk tinggal bersama semua anaknya. Mak ayah kadang2 ada ‘anak feveret’ mereka yang tersendiri.
… Dan ya, banyak lagi kekangan anak yang 10 itu untuk menjaga mak / ayah yang seorang itu!
Janganlah Sesuka Hati Jatuh Hukum Dekat Anak..
Jadinya, janganlah sesuka hati menjatuh hukum anak sepuluh tak mampu jaga mak seorang dengan perbandingan mak seorang mampu jaga anak sepuluh.
Setiap anak yang sayangkan mak ayahnya pasti mahu merawat dan menyantuni mak ayah mereka sebaiknya.
Namun, pelbagai kekangan dan ketidakmampuan menyebabkan ada anak yang tak mampu merawat dan menyantuni usia tua mak ayahnya dengan sebaik-baiknya (yang memang sengaja, itu lain kategori!)
Kerana Semua Ini Berbalik Pada Rezeki
Dan ya, semua ini berbalik kepada rezeki.
Rezeki anak dan rezeki mak ayah.
Bagaimana bentuk rezeki yang Allah janjikan kepada hambaNya, dalam menyantuni juga disantuni dengan cara yang DIA aturkan, itu adalah hak-Nya!
Dan kita, terus sahaja doa, usaha, ikhtiar dan tawakal, mohon Allah permudahkan semuanya. Amin.
Kaktiny,
Paling takut mak ayah merajuk atau terasa hati. Boleh rasa macam nak bunuh diri woi!
Kenapa ramai isteri yang menjadi mangsa dera suami masih tetap ingin bertahan dalam ikatan perkahwinan itu? Apakah kerana mereka ‘tak sedar’ atau tak tahu apa hak mereka?
Kenapa terus biarkan isteri jadi deraan; sama ada secara emosi atau pun fizikal? Tiap rumah tangga berharap akan kekal bahagia hingga ke hujung nyawa. Namun, tiap pasangan perlu berusaha untuk meraih bahagia. Tak mudah, tapi itu yang perlu dilakukan andai ingin rumah tangga itu berjaya.
Kenapa Pura-pura Bahagia?
Jika kita lihat pasangan lain dapatkah kita menduga sama ada rumah tangga mereka bahagia atau tidak? Mungkin ya dan mungkin tidak. Itu hal rumah tangga orang. Buat apa kita mahu sibuk-sibuk, bukan? Rumah tangga kita bagaimana pula?
Bertuah sungguh jika kita bahagia dan memang orang lain dapat melihat kebahagian itu. Atau orang lihat anda bahagia sedangkan setiap hari anda berpura-pura bahagia untuk menyembunyikan rasa siksa rumah tangga itu. Atau yang lebih malang apabila kita sendiri tidak pasti apa yang berlaku. ‘Entahlah. Rumah tangga aku ini bahagia atau tidak?’
Tak Bahagia Makna Ada Tak Kena
Jawapannya mudah. Jika anda bahagia maka anda pasti tahu anda bahagia. Jika tidak maka ada sesuatu yang tidak kena dan perkara itu seperti barah yang perlahan-lahan sedang memusnahkan rumah tangga anda.
Walaupun penulis seorang lelaki dan juga seorang suami tetapi saya boleh kata tanpa ragu-ragu bahawa isteri lebih berisiko menjadi mangsa dalam rumahtangga. Terdapat beberapa kategori ‘mangsa’ dalam konteks rumah tangga dan itulah yang kita akan lihat dalam nota minggu ini.
Ketahui Undang-undang
Kategori pertama ialah mangsa keganasan fizikal. Kita semua memang bersetuju bahawa keganasan fizikal tidak boleh diterima dalam menyelesaikan apa juga konflik rumah tangga. Di Malaysia telah ada peruntukan Undang-undang tentang perkara ini. Ada laporan polis, ada laporan perubatan maka laporkanlah kepada pihak berkuasa. Namun atas pertimbangan lain yang hanya isteri itu sahaja yang tahu, ada ramai isteri yang terus rela menjadi mangsa dalam kategori ini.
Kategori kedua ialah mangsa keganasan kata-kata. Pedang yang tajam hanya boleh melukakan badan tetapi lidah boleh menusuk hati. Kutukan, hinaan, cercaan dan makian mampu membawa kesakitan yang sama seperti dalam kategori pertama bahkan lebih teruk lagi. Ini kerana kesan keganasan fizikal boleh dikesan oleh doktor bertauliah dan dibuktikan di mahkamah. Kesan keganasan kata-kata boleh membuatkan mangsa menjadi gila dan si pelaku bebas begitu sahaja.
Mangsa Dera Seksual
Kategori seterusnya ialah mangsa seksual. Bukan lagi rahsia apabila ada kes-kes yang dibawa untuk perundingan membuka kisah hitam isteri yang menjadi mangsa seksual. Walaupun saya tidak setuju dengan istilah ‘rogol’ dalam rumah tangga tetapi mendesak isteri melayani suami tanpa didahului dengan kasih-sayang bukanlah apa yang sepatutnya berlaku setiap masa.
Rasa berdosa serta keliru yang ditanggung isteri kerana suami sentiasa menggunakan hujah ‘setiap masa walau di belakang unta’ ini menyebabkan isteri tidak pasti samada dia bahagia atau tidak.
Deraan Mental Dan Fizikal
Kategori terakhir ialah didera mental dan emosi. Kategori ini adalah yang paling kabur dan sukar untuk difahami. Antara perkara yang termasuk dalam kategori ini ialah pasangan yang terlalu cemburu, pasangan yang tidak menghormati hak-hak peribadi, terlalu mengongkong dan sebagainya.
Bagaimana ini boleh berlaku? Sebagai contoh, kata orang cemburu tanda sayang. Tetapi hanya anda yang tahu betapa siksanya hidup anda kerana dia terlalu cemburu. Dia cemburu sehingga ayah kandung sendiri tidak dibenar berada di rumah semasa dia keluar bekerja. Bimbang sumbang mahram katanya.
Selain itu, oleh kerana dia suami maka dia rasa mempunyai semua hak ke atas kewangan, masa depan dan tindakan anda. Tidak ada kompromi dan semua mesti menurut apa yang dia mahu.
Kenapa Terperangkap Dalam Rumah Tangga Tak Bahagia?
Keempat-empat kategori ‘mangsa’ yang telah dikongsikan tadi semuanya terperangkap dalam rumah tangga yang sebenarnya tidak bahagia. Anda tidak memilih untuk berada dalam keadaan itu. Syukur jika anda bebas dari mana-mana kategori ini.
Namun jika anda terpaksa membaca berulang-ulang kali satu atau lebih daripada kategori ini dan melihat diri anda berada di dalamnya maka elok anda mula berfikir kaedah untuk menghadapinya.
Sumber: Artikel ini disumbangkan oleh Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training & Consultation, juga penulis di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bila bersembang dengan mak ayah lain, jangan bandingkan bab anak orang lambat membaca dengan anak kita. Nanti ada yang teguris dalam, kita bukan tahu.
Lagi pun, setiap anak ada kelebihannya sendiri. Kadang bukan tak pandai cuma lambat sikit.
Tapi kalau nak bagi orang yang suka ”cakap-cakap” pasal anak lambat membaca ni, bagi dia baca perkongsian saudara Firdaus Shakirinni. In shaa Allah, orang tu akan sedar sendiri.
Bila Anak Orang Lambat Membaca
“Anak Su dah boleh membaca ke belum?”
Belum lagi… baru sikit-sikit, baru kenal-kenal huruf.
“Ye ker? Puteri dah pandai membaca dah, cakap dalam English pun dah boleh.”
Aaaa… baguslah.
“Anak Su sama umur dengan Puteri kan, kenapa anak Su lambat bleh membaca?”
Hallluuuuu puuuuliiiss….!!!
Anak orang lambat membaca, anak orang lambat mengira, anak orang lambat bercakap, anak orang lambat berjalan, anak orang lambat merangkak, semua nak compared dengan anak sendiri eh?
Anak kita advance dari anak orang, one step ahead of anak orang lain, terus diagung-agungkan. Terus dijadikan satu penanda aras yang setiap anak itu kena capai macam mana yang anak kita capai.
Perkembangan, tahap kebolehan dan kemampuan berfikir setiap anak itu berlainan, kita sesama adik beradik kita pun lain-lain kebolehan dan kemampuannya, apatah lagi anak kita dengan anak orang lain.
Jaga Hati Orang, Jangan Sampai Tersasul
Bukan tak boleh buat perbandingan, cumanya kata-kata kita tu boleh menyebabkan ibu bapanya terasa, kata-kata kita tu menyakitkan hati ibubapa nya. Ibubapa mana nak anak dia lambat membaca, mengira dan sebagainya? Semua ibubapa nak anak dia sama macam anak orang lain.
Kita rasa macam tak ada apa-apa, biasa ja percakapan kita, walhal ‘makan dalam’ bagi ibubapa yang mendengar especially si ibunya… 9 bulan 10 ari dia mengandung, then bila dah lahir, anaknya pulak dibanding-bandingkan.
Ubah cara kita bertanya tu… bagi harapan, dan doakan anak tu. “Lama-lama nanti boleh la tu, lama-lama nanti, dia pandai la tu, InsyaAllah” and stop judge anak orang lain dengan pencapaian anak sendiri.
Anak awak, anak awak… anak dia, anak dia.
Perangai-perangai kuno yang tak bertamadun tu, tinggal-tinggalkan la. Mungkin hari ini dia lambat membaca, lambat mengira, tapi once dia dah boleh, dia yang selalu score dalam exam, dia yang selalu dapat no 1. Anak kita yang cepat membaca tu pulak, dapat biasa-biasa ja.
Masa tu, kita pulak yang nak meroyan, kita pulak yang nak meletakkan tekanan kepada anak kita.
“Puteri, ko tengok anak makcik Su ko tu, si Aleesya… dulu dia lambat membaca dari ko, tapi kenapa sekarang dia yang selalu dapat no 1 dalam kelas?”
Berlapang dada lah dengan setiap perkembangan anak-anak yang ada disekeliling kita tak kisah lah anak ipar ke, anak kawan-kawan ke, anak rakan sepejabat ke atau anak sapa-sapa pun dan tak payah rasa nak membanggakan sesuatu yang belum pasti lagi apa hasilnya kelak bila dia besar nanti.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga Dan Guaman Syarie, berkongsi kisah salah seorang kliennya, seorang wanita yang mengaku dah hilang rasa sayang dan hormat pada suaminya. Hendak tuntut cerai, dia tak berani.
Wanita yang berusia hujung 30-an, merupakan isteri dan ibu kepada lima cahaya mata berusia antara 15 hingga 10 tahun. Dia kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenarnya berkongsi kisah perkahwinannya berusia hampir 17 tahun.
Ditangkap Polis
Menurut wanita ini, perkahwinan atas dasar cinta cuma bahagia pada beberapa tahundi awal perkahwinan. Tika dalam pantang bersalin anak bongsu, suaminya ditahan polis kerana terlibat dengan perjudian tanpa lesen.
Biar pun dibebaskan dengan jaminan, tangkapan tersebut menggelapkan masa depan mereka sekeluarga kerana suaminya dipecat. Menjadi tambah bermasalah apabila si suami enggan bekerja sebaliknya lebih minat berjudi.
Bermula detik itulah juga, wanita ini mengambil alih segala tanggungjawab si suami. Si isteri pernah protes tapi si suami buat tak peduli sebaliknya memberi amaran; kalau nak mohon cerai, jangan harap akan berjumpa dengan anak-anak lagi sampai bila-bila.
Takut dan bimbang dengan amaran si suami, wanita ini bertahan walau tanpa rasa sayang. Baginya, biarlah dia berkorban demi anak-anak. Bila ditanya, bagaimana hubungannya dengan suami? Katanya, dalam hatinya kini hanya ada perasaan benci! Kalau boleh, dia berharap sangat suaminya cepat mati!
Hak Ke Atas Anak
Suami tak berhak nak halang anda bertemu dengan anak-anak jika benar berlaku perceraian. Hukum syarak dan undang-undang memperuntukkan seorang ibu lebih berhak ke atas anak-anak berbanding ayah.
Yang penting, kena usahakan jalan penyelesaian. Bukan sekadar takut, bimbang, menunggu, bertahan dan berkorban hingga menganiayai diri sendiri malah berdosa kepada Ilahi. Sebagai individu muslim, hanya satu yang perlu kita utamakan iaitu reda Allah. Tiada guna hidup jika tiada reda Allah. Kita takkan mungkin kekal di dunia. Tiba masanya kita akan kembali kepada-Nya.
Lantas; pastikanlah segala yang kita lakukan tika hidup di dunia ini adalah berasaskan reda-Nya. Jika tak berdaya untuk menyayangi dan menghormati suami lagi, keluarlah daripada perkahwinan.
Semua Pihak Kena Bahagia
Perlu difahami, Islam tentukan perkahwinan perlu membahagiakan semua pihak yang terlibat; isteri, suami, anak-anak dan keluarga kedua-dua pihak. Perkahwinan juga perlu berlandaskan kasih sayang, bukan semata-mata tanggungjawab. Bererti tidak boleh wujud rasa benci kepada pasangan.
Apatah lagi, seorang isteri wajib tunjukkan rasa hormat dan kasih kepada suami biarpun suami tersebut bukan suami yang baik asalkan si suami tidak menyuruh isteri melakukan perkara yang dilarang syarak.
Dalam kes ini, si suami melakukan perkara yang ditegah oleh syarak. Dalam masa yang sama, mengabaikan tanggungjawab tetapi tidak memaksa isteri melakukan perkara ditegah syarak. Bererti, tanggungjawab isteri masih kekal untuk terus menghormati suami. Sebab? Isteri reda biar pun terpaksa untuk mengambil alih segala tanggungjawab suami.
Walau paksa rela? Ya! Barulah sinonim dengan pengorbanan. Cuma, pengorbanan wanita ini tidak sepatutnya berlaku sebab wanita ini tidak mampu berkorban yang memungkinkan dirinya terus di dalam reda Ilahi.
Nak Berkorban Pun Ada Syaratnya…
Setiap individu boleh berkorban tetapi nak berkorban harta atau nyawa tu pula, ada syaratnya; jangan sampai terpinggir daripada landasan syarak. Paling penting, biarlah pengorbanan tersebut tetap kekal atas dasar takwa dan reda Allah.
Jika berkorban hingga bersubahat membenarkan orang lain ingkar tanggungjawab yang patut dengan Allah, pengorbanan anda sia-sia malah mengundang dosa.
Anda korbankan diri, emosi malah ketenangan hati semata-mata nak kekalkan perkahwinan supaya anak-anak di depan mata. Hakikatnya, ada cara lain yang boleh anda lakukan. Kita diberi hak untuk menikmati bahagia malangnya kita tidak usahakan ke arah bahagia tersebut bererti kita kufur nikmat-Nya.
Tak guna korbankan hati, perasaan malah diri semata-mata nak pertahankan perkahwinan yang melanggar prinsip ketentuan syarak hingga sebabkan anda menerima dosa.
Berkorban untuk anak-anak biarlah berbaloi untuk diri sendiri, malah untuk anak-anak. Walau tika berkorban, anda tidak lakukan perkara yang ditegah syarak tetapi perlu diingat, apabila kita melakukan yang tak sepatutnya sebagai seorang isteri atau suami juga, ia termasuk dalam kategori melanggar arahan syarak.
Allah tak sukakan perceraian tetapi Dia halalkan demi kemaslahatan hamba-Nya juga dan ingatlah, perceraian bukan musibah sebaliknya hikmah. Berkorbanlah tetapi letakkan DIA yang lebih utama, insya-Allah segala pengorbanan anda berbaloi dan diterima oleh-Nya sebagai ganjaran pahala.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengantin baharu maut kemalangan motosikal berkuasa tinggi, rempuh Proton Saga. Seorang lelaki yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 79, Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu berhampiran Bukit Grebar, pagi Rabu.