Kita selalu menyangka kehidupan orang lain lebih baik daripada kehidupan kita, betul tak? Sebaik sahaja kita keluar rumah otak kita mula memikir tentang semua yang kita lihat.
Nampak nyonya memandu kereta baru kita berkata dalam hati, ‘Tentu nyonya itu banyak duit. Tatkala aku sedang pokai dia boleh pandu kereta baru.’
Belum lagi melihat kehidupan orang yang memang betul-betul kaya. Lalu di hadapan rumah mereka pun, kita berasa amat kecil dan langsung tak bertuah.
Kita sentiasa memikirkan orang yang tinggal dalam rumah besar seperti itu sedang bahagia. Kita juga yang masih tidak beruntung, terpaksa tinggal dalam rumah sewa.
Tatkala kita bersama-sama orang ramai yang sama taraf dengan kita pun, kita tetap merasakan mereka semua serba cukup, berbanding kita yang tidak pernah cukup-cukup.
Apakah masalahnya dengan diri kita? Masalahnya kerana kita selalu percaya kehidupan orang lain lebih baik daripada kita. Sedang sebenarnya orang lain itu pula percaya kehidupan kita jauh lebih baik daripada mereka.
Semua itu terjadi kerana kita kehilangan sesuatu yang penting dalam kehidupan iaitu berasa cukup (qanaah).
Mari semak tiga fasa kehidupan yang mungkin telah kita lalui atau bakal lalui atau sedang lalui. Kita perbetulkan mana-mana yang sempat untuk diperbetul.
Semak Fasa Demi Fasa Ini
Fasa Pertama
Ketika kita dalam umur remaja. Pada waktu itu kita ada masa yang cukup banyak campur tenaga yang bukan kepalang cemerlang, tetapi kita tidak punya harta.
Ads
Lihatlah para remaja hari ini yang kerap menghabiskan masa tidak tentu hala, pada usia kita yang telah melaluinya kita melihat betapa ruginya mereka itu.
Andainya kita dikembalikan pada usia mereka, kita akan gunakan sepenuh masa dan tenaga untuk berbuat perkara-perkara berfaedah.
Fasa Bekerja
Tetapi fasa itu sudah terlalu, dan sekarang kita dalam fasa bekerja. Kita memang ada pekerjaan yang hendak dilakukan.
Hari-hari kita bangkit awal pagi untuk bekerja lalu mendapat pendapatan daripadanya. Kita memiliki harta dan tenaga tetapi kita sudah tidak mempunyai masa.
Masa kita habis di tempat kerja, selebihnya menguruskan rumahtangga, menjaga anak-anak serta berkhidmat kepada pasangan.
Fasa ini adalah fasa ramai orang kandas dalam peribadahan. Ramai yang terlalu tertumpu pada pekerjaan hingga tidak sempat hendak solat, memperuntukkan masa untuk mendaftar haji, apalagi pergi ke masjid untuk belajar agama.
Ads
Masanya terpenuh semata-mata untuk kerja dan keluarga. Memang oleh kerja bukti kita bertenaga dan berharta, tetapi sudah tidak punya masa.
Fasa Usia Emas
Fasa ketiga adalah fasa usia emas di mana pada fasa ini kita memiliki harta dan masa tetapi sudah tidak punya tenaga.
Ramai orang pada usia persaraan hanya menghabiskan masanya di rumah menonton TV dan tidak berbuat apa-apa. Hartanya banyak, masanya juga banyak tetapi sudah ketiadaan tenaga.
Andai sewaktu muda pada fasa pertama dan kedua tidak pernah membiasakan diri dengan kerja-kerja keagamaan, boleh jadi pada usia ini pun demikian.
Lainlah, secara tiba-tiba timbul kesedaran untuk berubah, menggunakan sedikit usia yang tinggal itu untuk berbakti kepada ALLAH.
Ads
Fasa Keempat; Antara Sakit Dan Fasa Ketiga
Tahukah anda apa pula fasa keempat? Fasa keempat adalah seandainya kita sakit pada fasa ketiga. Dan biasanya begitulah.
Pada usia persaraan memang macam-macam penyakit akan mula bangkit. Kerana apa? Kerana kita terlalu ‘melemakkan’ diri berehat sepanjang hari dengan menonton TV dan makan tidak berhenti.
Pada fasa ini kita akan amat-amat menyesali semua yang telah dilalui. Kalaulah pada usia remaja kita penuhkan hidup dengan aktiviti berfaedah.
Tentu pada usia pekerjaan kita lebih terpantau, lalu pada fasa ketiga kita menikmati hasilnya – kesihatan (lantaran tidak pernah terlibat dengan pengambilan bahan- bahan berbahaya);
– qanaah (lantaran telah memahamkan diri terhadap berasa cukup, syukur lagi redha);
– bahagia (kerana kita cukup memotivasikan diri dengan pelbagai kaedah membahagiakan diri selari dengan cabaran semasa).
Pada fasa apa pun anda berada sekarang ini, sebenarnya belumlah terlalu terlewat untuk berbuat sesuatu. Yang diperlukan hanyalah kesedaran untuk berubah.
Motivasi terbaik adalah bertindak walau satu tindakan berbanding unjuran hebat tetapi hanya berada dalam fikiran. Mari jadi orang cemerlang untuk dunia kita, sementara kita masih diberi kesempatan untuk memperolehnya, tanpa sekali-kali melupakan untung nasib kita di akhirat pula nanti.
Penulis : HM Tuah Iskandar al-Haj, kolumnis ruangan Motivasi majalah Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Berhenti bandingkan keputusan. “Masih ramai yang cemerlang spm tapi akhlaknya gagal. Tak salah raikan anak-anak yang berjaya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi berpada-padalah.
SPM bukanlah pengakhiran hidup sebaliknya ianya permulaan kepada anak-anak untuk menempuh masa depan. Sekalipun mereka gagal, insyallah masih ada banyak peluang untuk mereka tebus kegagalan hari ini.
Ikuti perkongsian Dr Arisman MD ini dan hadam baik-baik apa yang disampaikan:
Berhenti Bandingkan Keputusan
“Berapa A anak akak dapat? 10A? 9A?”
“Anak akak dapat 10A SPM. Nak jadi doktor katanya… anak ko siti dapat berapa A? Sama-sama pergi tuisyen kan?”
“Oklah dapat 5A anak bongsu aku tu… kakak-kakak dia semua dapat 6A. Ada anak orang lain yang tak dapat A langsung. Bersyukurlah kan Kiah..”
Antara ayat yang kita akan dengar apabila hari keputusan SPM diumumkan.
Kadang-kadang ibu bapa yang berkata atau bertanya sedemikian tidak mempunyai niat untuk memperkecilkan atau membandingkan.
Tetapi lumrah seorang ibu atau bapa mahu melihat bagaimana pencapaian anak mereka tersebut dengan anak-anak SPM yang lain.
Nak tahu sama ada tahun SPM anak dia tu susah atau senang. Iyalah, kalau ramai yang dapat A, so dia akan cakap SPM tahun itu senang. Lebih kurang begitulah…
Tapi sebaiknya janganlah keluarkan lagi pertanyaan sebegitu. Jika nak beritahu keputusan anak kerana bangga dengan pencapaian dan didikan kita, sampaikanlah dengan mesej bersederhana.
Tapi Akhlaknya Gagal
Kemudian pada akhir ucapan atau perkataan, doakan kepada anak-anak lain yang kurang cemerlang untuk jangan berputus asa. Berikan selingan nasihat dan pujian sama rata.
Dalam rumah, nak puji nak bangga diri silakan. Itu dalam rumah dan hak anda. Tiada siapa akan berkecil hati melainkan adik beradik sendiri hehe..
Mesej terakhir, berhentilah untuk membandingkan keputusan. Insyallah itu akan membuatkan kita sebagai ibu bapa menjadi lebih positif dan terus bersyukur dengan takdir Allah. Begitu juga si anak.
Dr. Arisman, MD.
Jangan putus asa. Doa dan teruskan buat yang terbaik. Insyallah yang terbaik akan datang kepada mu.
Mingguan Wanita : Mak ayah jika anak-anak gagal hari ini, beri nasihat dan kata-kata semangat. Mereka juga sudah pasti kecewa, cubalah fahami mereka.
Menjadi impian dan besar harapan mak ayah apabila anak-anak menjadi seorang tahfiz, menghafaz 30 juzuk AlQuran. Kejayaan 3 adik beradik berjaya menghafal Alquran pada usia yang masih kecil, sebelum umur 5 tahun dan direkodkan sebagai Hafiz Termuda Dunia merupakan satu pencapaian yang luarbiasa.
1.Tabarak Kamil El Leboody
Anak pertama, lelaki, bernama Tabarak Kamil El Leboody, mula menghafal pada usia 3 tahun , berjaya melengkapkan hafalan 30 juz ketika usianya 4 tahun 6 bulan.
Tabarak diiktiraf sebagai hafiz termuda di Masjid Syu’aibi, Jeddah, Saudi Arabia, oleh Syeikh Dr. Abdullah Ali Bashfar, Ketua Umum Lembaga Kebangsaan untuk Tahfizhul Qur’anil Karim.
2.Yazid Tamammudin El Leboody
Anak kedua, lelaki, Yazid Tamammudin El Leboody, juga berjaya melengkapkan hafalan 30 juz ketika usianya 4 tahun 6 bulan dan berjaya memecahkan rekod dunia dengan pencapaian terbaik 95% .
Yazid Tamammudin El Leboody menyatakan bahawa beliau tidak pernah menonton rancangan kartun.
3.Zeenah El Leboody
Anak ketiga Zeenah El Leboody, anak perempuan juga berjaya melengkapkan hafalan 30 juz ketika usianya 5 tahun.
Mereka adalah 3 adik beradik dari pasangan suami isteri Dr. Kamil El Laboody dan Dr. Rasya Abdul Mun’in El-Gayyar, berasal dari Mesir dan ketiga -tiga adik beradik ini menyelesaikan proses hafalan dirumah mereka sendiri.
Dr. Kamil El Laboody dan isterinya adalah seorang pensyarah, yang ketika itu mengajar di Batterjee Medical College, Jeddah, Saudi Arabia.
Pada 29 Ramadhan 1437H, Dr. Kamil El Laboody berkongsikan program khas yang digunakannya sehingga anak -anaknya berjaya menyelesaikan hafalan 30 Juz sebelum umur 5 tahun.
Berikut tips yang dikongsikan sebagai panduan;
1. Ketika anak baru lahir dan umurnya 1 hari, perdengarkan Al Quran pada bayi setiap hari sebanyak 1 juz dan ulang sebanyak 5 kali.
2. Kemudian jika hari kedua, perdengarkan Al Quran juga dengan juz yang sama dan ulang sebanyak 5 kali.
3. Langkah ini berulang-ulang setiap hari selama 30 hari. Maka bayi telah mendengar 1 juz yang sama sebanyak 150kali dalam tempoh 1 bulan.
4. Setelah masuk bulan ke 2,barulah masuk juzuk ke 2. Ulangi langkah yang sama setiap hari, sebanyak 5 kali dan berjalan untuk tempoh sebulan (30hari).
5. Setelah masuk bulan ke 3, barulah masuk juzuk ke 3. Ulangi langkah yang sama setiap hari, sebanyak 5 kali sehari dan berjalan untuk tempoh sebulan (30hari).
5. Maka, tempoh yang diperlukan untuk menamatkan mendengar bacaan Al Quran sebanyak 30 juz ,diulang 150 kali adalah 30 bulan atau 2 tahun 6 bulan .
Secara ringkasnya begini :
Usia anak sehari-30hari : Juzuk : 1 Jumlah ulangan/hari : 5 Tempoh :30 hari Begitu juga seterusnya sehingga 30 juzuk.
6. Pilihlah bacaan dari para qari yang terkenal bacaannya fasih, seperti qari Syeikh Mahmud Khalil Al Hushari, Syeikh Shiddiq Al Minsyawi, atau para qari dari Saudi Arabia, seperti Syeikh Ali Al Hudzaifi atau Syeikh Muhammad Ayyub.
7. Selepas anak sudah tamat mendengarkan bacaan Al Quran 30 juz tadi pada umur 2 tahun 6 bulan ,maka mulakan ajarkan hafalan iaitu sehari separuh muka surat atau satu muka surat. Langkah hafalan ini diulang setiap hari sebanyak 5 kali.
8. Dengan kaedah seperti ini, tempoh yang diperlukan untuk anak menghafal Al Quran 30 juz adalah 1 tahun 6 bulan iaitu ketika usia anak 4 tahun jika istiqamah dan konsisten menghafal setiap hari.
9. Menurut Dr. Kamil El Laboody , mereka menyediakan 3 jenis hadiah untuk anak-anak mereka . Jenis hadiah itu meliputi jenis hadiah biasa, hadiah lebih menarik dan hadiah yang sangat menarik. Hadiah itu diletak di tempat yang tinggi dan dipamerkan pada anak-anak.
10. Berdoa kepada Allah Taala agar dimudahkan dalam membimbing anak kita dalam proses menghafal Al Quran 30 juzuk.
MW: Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat mak ayah dalam mendidik anak-anak cintakan Al Quran dan mudah menghafaz Al Quran sejak dari kecil.
Sebagai manusia biasa, kita tidak lepas daripada membuat tanggapan dan persepsi (bersangka). Jika persepsi itu adalah sebuah persepsi yang baik, ia amat digalakkan dalam Islam. Malah dalam sebuah hadis Qudsi,yang maksudnya: Sesungguhnya Allah itu sepertimana yang ditanggapi oleh hamba-Nya.
Maka hadis ini memberikan kefahaman bahawa persepsi yang baik akan menatijahkan kebaikan kepada kita. Begitu juga dengan persepsi yang negatif atau tidak baik pasti juga akan mendatangkan musibah kepada diri kita sendiri, Nauzubillah.
Hal berkaitan persepsi ini juga telah diperingatkan oleh Allah SWT dengan kalamnya yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”
Jangan Bersangka Dengan Anak
Begitu jugalah halnya dalam mendidik anak-anak. Pelbagai persepsi akan menerjah fikiran kita setiap kali berhadapan dengan mereka. Ada kalanya ianya sangkaan yang baik malah tidak lepas juga persepsi atau sangkaan yang tidak baik.
Persepsi yang tidak baik inilah yang wajar kita hindari ketika bersama dengan anak-anak. Jika persepsi yang ini hanya bermain di benak pemikiran kita sahaja mungkin kurang mudaratnya, namun persepsi akan mempengaruhi tingkah laku kita terhadap anak-anak.
Contohnya, jika kita mempunyai persepsi bahawa anak yang sulung rajin, maka kita akan kerap dan senang untuk meminta bantuan dan pertolongan daripadanya. Hal yang berlainan dengan anak yang tengah kerana pada tanggapan kita, anak yang tengah ini malas dan pasti mengecewakan jika meminta bantuan daripadanya.
Dua keadaan ini adalah hasil daripada tanggapan yang ada dalam pemikiran kita. Ia mungkin betul dan mungkin juga tidak betul. Namun, anak-anak telah pun menerima hukumannya iaitu melalui layanan berbeza yang kita berikan kepada keduanya.
Ubah Bersangka Dengan Doa
Rakan penjaga yang saya hormati, inilah hakikat kehidupan yang harus ada titik perubahannya. Kita tidak mungkin keluar 100% daripada norma ini namun kita mampu untuk mengurusnya dengan mengubah persepsi, tanggapan, sangkaan atau yang lebih buruk lagi label kita terhadap anak-anak dengan doa.
Sungguh Allah tidak pernah salah dalam memberikan janjinya, Rasul juga tidak pernah silap memilih kata-katanya. Allah berjanji dalam kalam-Nya: “Wahai hamba-Ku mintalah daripada-Ku, pasti akan Ku kabulkan permintaanmu”.
Rasulullah s.a.w juga berpesan: “Doa itu adalah senjata umat Islam. Maka gunakanlah senjata yang kita ada dalam usaha mendidik dan membentuk peribadi anak-anak yang baik, soleh dan solehah.”
Caranya Ialah Dengan:
Setiap kali kita mula mempunyai sebuah tanggapan dan persepsi yang negatif kepada anak-anak kita, kita cepat-cepat gantikannya dengan mendoakan yang baik-baik untuknya.
Allah Maha Mendengar, Allah Maha Mengetahui.
Dalam setiap masa ketahuilah bahawa apa sahaja yang anak-anak kita tunjukkan daripada perilaku mereka, ada sesuatu yang Allah ingin ajarkan kepada kita yang bertanggungjawab menjaga dan mendidik mereka. Ia juga merupakan teguran manja daripada-Nya.
Anak-anak ini fitrahnya amat suci. Malah bagi anak-anak yang belum mencapai akil baligh mereka belum mempunyai dosa. Tidakkah sebenarnya kita yang banyak dosa ini yang lebih layak diberikan peringatan daripada diri mereka yang suci?
Mustajabnya Doa Ibu
Oleh yang demikian, doakanlah mereka dengan doa yang baik-baik. Doa ibu adalah penawar kepada segala kesakitan anak-anak.
Doa ibu didengar Allah dan doa ibu punca keberkatan dalam kehidupan anak. Justeru, gunakan senjata itu untuk harta kita yang paling berharga di dunia, moga dia juga bisa mendoakan kita sewaktu tiada lagi talian hayat yang dapat membantu kita melainkan doa daripada anak-anak yang soleh kelak.
Rakan penjaga yang saya hormati, jika persepsi boleh mempengaruhi tindakan maka doa yang ikhlas juga boleh menatijahkan tingkah laku yang positif ketika melayani anak-anak kita. Hasilnya nanti, anak-anak akan juga memiliki persepsi dan tanggapan yang sentiasa positif untuk dirinya serta keluarganya, insya-Allah..wallahualam.
Penulis : Dr. Nurul Asiah Fasehah Binti Muhamad (Usim) merupakan kolumnis majalah Mingguan Wanita ruangan Permata Hati
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...