Sering kali topik mentua menjadi topik perbualan atau ‘curhat’ bagi isteri yang tidak ‘sebulu’ dengan mentua. Begitu juga bagi mentua, sebab sayang anak, mahu tidak mahu, perlu menerima kehadiran menantu, isteri kesayangan anaknya.
Paling sedih, bila mentua mula mencari kesalahan menantu, walaupun itu hanya perkara kecil. Kadang-kadang, saja ‘mereka’ cerita tentang keburukan menantu. Ini belum lagi termasuk bab-bab masakan dan mengemas rumah. Beruntungnya, jika menantu itu menjadi kesayangan mentua.
Sering kali keadaan ini berlaku kepada menantu perempuan dan jarang kita dengar tentang menantu lelaki. Mungkin kerana lelaki lebih kepada buat hal sendiri dan tidak banyak campur tangan bab-bab begini. Apakah yang perlu dilakukan dalam menjaga hubungan mentua dan menjadi salah satu menantu kesayangannya. Kupasan lanjt bersama Prof Madya Ts Dr Hj Mohd Nor Mamat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) tentang topik ini.
Ada beberapa sebab yang mungkin membuatkan menantu tidak menjadi kesukaan mentua, baik sebelum perkahwinan atau selepas perkahwinan. Antaranya:
Tidak mendapat persetujuan ibu bapa atau menolak pilihan ibu bapa sendiri sehingga membuatkan mereka tidak gembira dan menutup hati untuk menerima menantu.
Manakala bukan kesukaan selepas berkahwin, ia melibatkan soal emosi dan kebijaksanaan menguruskan hubungan antara anak, menantu dan mentua.
Salah faham atau terasa hati lebih mudah berlaku apabila menantu tinggal bersama, bersikap malas, menyakitkan hati mereka atau anak mereka.
Kadang kala konflik yang berlaku antara menantu dan mentua disebabkan oleh sensitiviti emosi pada mentua atau ‘expectation’ yang tidak sesuai. Contohnya, budaya dan cara menghormati ibu bapa yang berbeza dari keluarga yang berlainan,
Malah, antara sikap menantu yang membahagiakan ibu bapa ialah:
Sebagai menantu yang bijak, kita perlu faham fitrah dan ego ibu bapa mentua. Andainya kita menantu lelaki, kita perlu rapat dengan bapa mentua dan bijak menghargai ibu mentua.
Begitu juga kalau kita menantu perempuan, kita perlu rapat dengan ibu mentua dan bijak menghormati bapa mentua. Biasanya, masalah menantu mentua sering dikaitkan dengan menantu perempuan dan ibu mentua, tetapi sebenarnya ia boleh berlaku pada menantu lelaki dan bapa mentua juga.
Jangan biarkan mereka rasa tercabar dengan sentiasa mengambil berat ibu mentua dan menghormati bapa mentua. Pada masa yang sama, buktikan yang kita mampu menguruskan pasangan kita secara terbaik dan bersungguh-sungguh agar ibu bapa mentua rasa yakin yang anak mereka bahagia hidup bersama kita.
2. Sebaiknya tinggal berasingan dari keluarga dan jadualkan supaya kerap menziarahi mereka. Contohnya, aturkan untuk membawa ibu bapa keluar bersama. Ini lebih efektif dan dihargai, berbanding tinggal sebumbung yang lebih membuka ruang perselisihan dan salah faham.
3. Berilah layanan kepada mentua seperti ibu bapa kita sendiri. Sentiasa jadikan mereka idola dan belajarlah daripada mereka. Kalau sedari awal kita tidak menghormati mereka.
4. Kadang kala perbezaan budaya, taraf atau persepsi yang berbeza lebih menyukarkan kita untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan kehidupan mereka, apatah lagi kita selalunya rasa yang cara ibu bapa kita adalah yang terbaik.
5. Suburkan budaya positif, baik sangka dan kasih sayang dalam keluarga. Kebencian atau hati yang negatif hanyalah menyebabkan kita sentiasa mencari salah ibu bapa mentua yang kita tidak sukai dan ia hanya menambahkan lagi ketegangan dalam hubungan.
6. Perlu ingatkan diri kita, kita tak perlu terkejar-kejar gelaran menantu pilihan tetapi cukuplah hanya kita jadi menantu yang sedaya upaya melakukan apa yang menggembirakan mentua setiap masa.
MENANTU
MENTUA
ANAK