Sering kali topik mentua menjadi topik perbualan atau ‘curhat’ bagi isteri yang tidak ‘sebulu’ dengan mentua. Begitu juga bagi mentua, sebab sayang anak, mahu tidak mahu, perlu menerima kehadiran menantu, isteri kesayangan anaknya.

Paling sedih, bila mentua mula mencari kesalahan menantu, walaupun itu hanya perkara kecil. Kadang-kadang, saja ‘mereka’ cerita tentang keburukan menantu. Ini belum lagi termasuk bab-bab masakan dan mengemas rumah. Beruntungnya, jika menantu itu menjadi kesayangan mentua.

Sering kali keadaan ini berlaku kepada menantu perempuan dan jarang kita dengar tentang menantu lelaki. Mungkin kerana lelaki lebih kepada buat hal sendiri dan tidak banyak campur tangan bab-bab begini. Apakah yang perlu dilakukan dalam menjaga hubungan mentua dan menjadi salah satu menantu kesayangannya. Kupasan lanjt bersama Prof Madya Ts Dr Hj Mohd Nor Mamat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) tentang topik ini.

Bukan Kesukaan

Ada beberapa sebab yang mungkin membuatkan menantu tidak menjadi kesukaan mentua, baik sebelum perkahwinan atau selepas perkahwinan. Antaranya:

Tidak mendapat persetujuan ibu bapa atau menolak pilihan ibu bapa sendiri sehingga membuatkan mereka tidak gembira dan menutup hati untuk menerima menantu.

Manakala bukan kesukaan selepas berkahwin, ia melibatkan soal emosi dan kebijaksanaan menguruskan hubungan antara anak, menantu dan mentua.

Salah faham atau terasa hati lebih mudah berlaku apabila menantu tinggal bersama, bersikap malas, menyakitkan hati mereka atau anak mereka.

IKLAN

Kesayangan Mentua

Kadang kala konflik yang berlaku antara menantu dan mentua disebabkan oleh sensitiviti emosi pada mentua atau ‘expectation’ yang tidak sesuai. Contohnya, budaya dan cara menghormati ibu bapa yang berbeza dari keluarga yang berlainan,

Malah, antara sikap menantu yang membahagiakan ibu bapa ialah:

  1. Sentiasa merendah diri dan menganggap ibu bapa sebagai rujukan dan model dalam kehidupan mereka.

2. Menghormati mentua dan menghargai ibu mentua.

3. Menantu perempuan yang bersungguh-sungguh menjaga hati, melayani serta menyediakan keperluan suaminya dengan mencontohi ibu mentua menjaga anaknya.

4. Menantu lelaki pula menunjukkan kasih sayang dan penghargaan kepada isterinya di hadapan mentua.

 Pikat Hati Mentua

Sebagai menantu yang bijak, kita perlu faham fitrah dan ego ibu bapa mentua. Andainya kita menantu lelaki, kita perlu rapat dengan bapa mentua dan bijak menghargai ibu mentua.

Begitu juga kalau kita menantu perempuan, kita perlu rapat dengan ibu mentua dan bijak menghormati bapa mentua. Biasanya, masalah menantu mentua sering dikaitkan dengan  menantu perempuan dan ibu mentua, tetapi sebenarnya ia boleh berlaku pada menantu lelaki dan bapa mentua juga.

IKLAN

Jangan biarkan mereka rasa tercabar dengan sentiasa mengambil berat ibu mentua dan menghormati bapa mentua. Pada masa yang sama, buktikan yang kita mampu menguruskan pasangan kita secara terbaik dan bersungguh-sungguh agar ibu bapa mentua rasa yakin yang anak mereka bahagia hidup bersama kita.

 Tip

  1. Bersihkan prasangka atau tanggapan negatif terhadap ibu bapa mentua. Sebagaimana kita terima pasangan seadanya dan rasa bahagia, begitu juga kita perlu rasa bahagia dengan kebaikan dan keistimewaan yang ada dalam keluarga pasangan kita.

2. Sebaiknya tinggal berasingan dari keluarga dan jadualkan supaya kerap menziarahi mereka. Contohnya, aturkan untuk membawa ibu bapa keluar bersama. Ini lebih efektif dan dihargai, berbanding tinggal sebumbung yang lebih membuka ruang perselisihan dan salah faham.

3. Berilah layanan kepada mentua seperti ibu bapa kita sendiri. Sentiasa jadikan mereka  idola dan belajarlah daripada mereka. Kalau sedari awal kita tidak menghormati mereka.

4. Kadang kala perbezaan budaya, taraf atau persepsi yang berbeza lebih menyukarkan kita untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan kehidupan mereka, apatah lagi kita selalunya rasa yang cara ibu bapa kita adalah yang terbaik.

IKLAN

5. Suburkan budaya positif, baik sangka dan kasih sayang dalam keluarga. Kebencian atau hati yang negatif hanyalah menyebabkan kita sentiasa mencari salah ibu bapa mentua yang kita tidak sukai dan ia hanya menambahkan lagi ketegangan dalam hubungan.

6. Perlu ingatkan diri kita, kita tak perlu terkejar-kejar gelaran menantu pilihan tetapi cukuplah hanya kita jadi menantu yang sedaya upaya melakukan apa yang menggembirakan mentua setiap masa.

Nasihat Buat:  

MENANTU

  1. Sayang dan hormat mentua sebagaimana ibu bapa sendiri.
  2. Sebaiknya cuba untuk tinggal berasingan daripada mentua dan keraplah menjenguk mereka di samping menghargainya dengan pemberian hadiah.
  3. Hargai cara hidup mentua walaupun kadang kala kurang bersetuju atau pun berbeza dengan cara didikan keluarga kita.
  4. Usaha sungguh-sungguh untuk memahami apa yang mentuasuka dan gembira, cuba jadikan teman rapat dan pakar rujuk.
  5. Elakkan daripada merendah-rendah, memperlekeh atau pun menyedihkan anak mereka terutama apabila di hadapannya.

MENTUA

  1. Hormati anak menantu yang sudah pun membina keluarga mereka sendiri dan biarkan mereka ada kebebasan mencorakkan keluarganya.
  2. Elakkan mendesak anak menantu untuk tinggal bersama kerana ia lebih mudah terbuka kepada salah faham yang berterusan.
  3. Cuba terima perbezaan gaya hidup pada zaman kita dengan menantu yang dari budaya serta generasi berbeza.
  4. Jadikan anak menantu sebagai rakan dan kongsi minat bersama.
  5. Terima kelebihan dan kekurangan anak menantu sebaiknya, elakkan daripada prasangka dan kebencian kerana akan di susuli dengan salah menyalah, kata mengata dan sebagainya.

ANAK

  1. Hormati ibu bapa kita tetapi perlu bijak supaya jangan sampai pasangan rasa terpinggir atau terlalu melebihkan ibu bapa setiap masa.
  2. Wujudkan suasana yang menampakkan pasangan kita menghargai ibu bapa. Contohnya pemberian atau masa bersama ibu bapa kita.
  3. Hendaklah bijak mengadun dua budaya keluarga yang berbeza membentuk cara hidup keluarga kita yang terbaik.
  4. Jadi orang tengah yang cuba memahami ibu bapa kita tentang pasangan dan perjelaskan kepada pasangan supaya mereka saling memahami dan menghargai.
  5. Elakkan daripada bercerita tentang pasangan kepada ibu bapa, sebaiknya berbincang tentang masalah tersebut dengan ibu bapa pasangan kita.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI