Jangan TAKUT Jadi Imam Sembahyang Raya, PERTAMA Kali Biasalah Ada KESILAPAN

Share

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, selain perlu membeli keperluan dapur dan isi rumah, ayah-ayah melalui beberapa fasa termasuklah menjadi imam solat berjemaah di rumah.

Bermula solat fardhu, kemudian solat tarawih dan tak lama lagi, ayah-ayah akan menjadi imam solat sunat Aidilfitri pula. Suami di luar sana tak perlu takut, jika ada kesilapan tidak disengajakan tak mengapa. Jangan takut jadi imam solat sunat hari raya, biasalah kalau ada kesilapan tak disengajakan. Pertama kali bukan.

Suami Jangan Takut Jadi Imam

Lelaki yang berhasrat mengimamkan solat sunat Aidilfitri bersama keluarga di rumah dinasihatkan supaya tidak takut seandainya melakukan kesilapan bukan disengajakan ketika menunaikannya menjelang 1 Syawal nanti.

Penceramah bebas, Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek berkata, ia kerana kesilapan kali pertama itu perkara biasa dan sebahagian daripada proses pembelajaran.

Sembahyang Raya Adalah Sunat

Menurutnya, solat sunat Aidilfitri juga memadai diadakan mengikut rukun asasnya iaitu lafaz niat, takbir sebanyak tujuh kali, bacaan Al-Fatihah diikuti surah ringkas, rukuk, iktidal, sujud, duduk di antara dua sujud, sujud kali kedua dan bangkit dengan takbir untuk rakaat pertama.

Manakala, katanya, rakaat kedua diteruskan dengan takbir sebanyak lima kali, tasbih, bacaan al-Fatihah dan surah ringkas serta disudahi dengan memberi salam selepas membaca tahiyat akhir.

“Solat sunat Aidilfitri hukumnya sunat, buat boleh dan bukan berdosa jika tidak menunaikannya.

“Cuma, rasa tidak lengkap sambutan Syawal tanpa menunaikannya dan situasi berbeza kali ini apabila orang ramai perlu melakukannya di rumah dalam suasana normal baharu kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Memang Gementar Pengalaman Pertama

Mohamed Hanafiah, 46, mengakui, perasaan gementar tentunya ada bagi mereka yang pertama kali menjadi imam, tetapi beliau mengingatkan supaya tidak takut sebaliknya niat di hati untuk belajar.

“Jika silap, mohon ampun dari Allah dan Insya-Allah, Allah ampunkan,” katanya

Mengenai khutbah selesai solat, beliau berkata, ia satu pilihan untuk dilakukan atau sebaliknya.

Namun, beliau mengesyorkan khutbah ringkas diberikan dengan mengambil tajuk berkait rapat dengan keadaan semasa.
Katanya, khutbah selepas solat Aidilfitri berbeza dengan khutbah Jumaat, ia tidak wajib dan ada baiknya seseorang itu menyampaikan khutbah biarpun ringkas.

“Memandangkan kita masih berada dalam ancaman Covid-19, khutbah dengan inti pati mengajak makmum mengingati hari kiamat adalah disyorkan.

“Ia supaya cenderung untuk bertaubat, membaiki diri untuk tidak mengulangi kesilapan lepas dan hijrah kembali kepada fitrah bersesuaian dengan makna Aidilfitri,” katanya.

Sumber: Harian Metro

MW: Semoga perkongsian ini dapat menghilangkan debaran suami atau ayah yang merancang untuk mengimamkan solat sunat aidilfitri tak lama lagi. Niatlah apa yang kita pelajari sepanjang tempoh PKP ini sebagai satu proses pembelajaran.

Published by
Nur Syazwani Mehat