Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, selain perlu membeli keperluan dapur dan isi rumah, ayah-ayah melalui beberapa fasa termasuklah menjadi imam solat berjemaah di rumah.
Bermula solat fardhu, kemudian solat tarawih dan tak lama lagi, ayah-ayah akan menjadi imam solat sunat Aidilfitri pula. Suami di luar sana tak perlu takut, jika ada kesilapan tidak disengajakan tak mengapa. Jangan takut jadi imam solat sunat hari raya, biasalah kalau ada kesilapan tak disengajakan. Pertama kali bukan.
Suami Jangan Takut Jadi Imam
Lelaki yang berhasrat mengimamkan solat sunat Aidilfitri bersama keluarga di rumah dinasihatkan supaya tidak takut seandainya melakukan kesilapan bukan disengajakan ketika menunaikannya menjelang 1 Syawal nanti.
Penceramah bebas, Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek berkata, ia kerana kesilapan kali pertama itu perkara biasa dan sebahagian daripada proses pembelajaran.
Sembahyang Raya Adalah Sunat
Menurutnya, solat sunat Aidilfitri juga memadai diadakan mengikut rukun asasnya iaitu lafaz niat, takbir sebanyak tujuh kali, bacaan Al-Fatihah diikuti surah ringkas, rukuk, iktidal, sujud, duduk di antara dua sujud, sujud kali kedua dan bangkit dengan takbir untuk rakaat pertama.
Ads
Manakala, katanya, rakaat kedua diteruskan dengan takbir sebanyak lima kali, tasbih, bacaan al-Fatihah dan surah ringkas serta disudahi dengan memberi salam selepas membaca tahiyat akhir.
“Solat sunat Aidilfitri hukumnya sunat, buat boleh dan bukan berdosa jika tidak menunaikannya.
“Cuma, rasa tidak lengkap sambutan Syawal tanpa menunaikannya dan situasi berbeza kali ini apabila orang ramai perlu melakukannya di rumah dalam suasana normal baharu kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Ads
Memang Gementar Pengalaman Pertama
Mohamed Hanafiah, 46, mengakui, perasaan gementar tentunya ada bagi mereka yang pertama kali menjadi imam, tetapi beliau mengingatkan supaya tidak takut sebaliknya niat di hati untuk belajar.
“Jika silap, mohon ampun dari Allah dan Insya-Allah, Allah ampunkan,” katanya
Mengenai khutbah selesai solat, beliau berkata, ia satu pilihan untuk dilakukan atau sebaliknya.
Ads
Namun, beliau mengesyorkan khutbah ringkas diberikan dengan mengambil tajuk berkait rapat dengan keadaan semasa. Katanya, khutbah selepas solat Aidilfitri berbeza dengan khutbah Jumaat, ia tidak wajib dan ada baiknya seseorang itu menyampaikan khutbah biarpun ringkas.
“Memandangkan kita masih berada dalam ancaman Covid-19, khutbah dengan inti pati mengajak makmum mengingati hari kiamat adalah disyorkan.
“Ia supaya cenderung untuk bertaubat, membaiki diri untuk tidak mengulangi kesilapan lepas dan hijrah kembali kepada fitrah bersesuaian dengan makna Aidilfitri,” katanya.
Sumber: Harian Metro
MW: Semoga perkongsian ini dapat menghilangkan debaran suami atau ayah yang merancang untuk mengimamkan solat sunat aidilfitri tak lama lagi. Niatlah apa yang kita pelajari sepanjang tempoh PKP ini sebagai satu proses pembelajaran.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Hukum suami isteri berkongsi gambar/video bercumbu di media sosial. Apakah hukum sekiranya suami dan isteri bercumbu di khalayak ramai dan media sosial bagi menzahirkan kemesraan mereka?
Sejak kebelakangan ini semakin ramai suami isteri tanpa segan silu berkongsi gambar dan juga video bermesraan dengan pasangan masing-masing. Mungkin ada yang kata, “halah, tak apalah, bukan orang lain, suami dia sendiri, isteri dia sendiri,….”Persoalannya bolehkah sebenarnya kemesraan ini ‘dikongsi’ secara terbuka?
Bermesraan antara suami dan isteri setelah berkahwin adalah sesuatu yang dihalalkan. Ia adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang mempunyai naluri untuk memiliki dan dimiliki. Justeru, menzahirkan rasa cinta kepada pasangan masing-masing melalui sentuhan dan kata-kata adalah perkara biasa.
Walaubagaimanapun, Islam amat memberi perhatian terhadap isu kehormatan dan maruah suami dan isteri. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: “Iman itu ada tujuh puluh lebih cabang. Dan rasa malu salah satu cabang dari iman.” (Riwayat Muslim, no. 35)
Rasa malu menurut Imam an-Nawawi rahimahullah adalah: “Akhlak terpuji yang mendorong seseorang untuk meninggalkan sesuatu yang buruk dan mencegahnya dari kelalaian dalam memenuhi hak para pemiliknya.”
Dalam hal lain, beliau juga menyebutkan antara perkara yang menjatuhkan maruah adalah mencium isteri di khalayak ramai. (Lihat Minhaj al-Talibin, m. 345)
Justeru, perbuatan suami isteri bercumbu hendaklah dielakkan di khalayak umum dan juga di media sosial kerana ia bukannya akhlak Muslim dan jauh sekali daripada adab ketimuran yang kita junjung selama ini.
Sabda Nabi SAW:
الحَيَاءُ لاَ يَأْتِي إِلَّا بِخَيْرٍ
Maksudnya: ”Sesungguhnya sifat malu tidaklah mendatangkan apa-apa kecuali hanya kebaikan.” (Riwayat al-Bukhari, no. 6117)
Semoga kita semua berusaha menzahirkan akhlak dan adab yang mulia dalam kehidupan kita.
Membesar di kawasan kejiranan kediaman yang dikelilingi masyarakat Melayu, sedari kecil pemilik nama sebenar Sandhyalini a/p Subramaniam atau kini nama Islamnya, Nur Sandhyalini Sumayyah binti Abdullah, 26 sudah terbiasa dengan aktiviti masyarakat Islam setempat. Anak bongsu dari dua orang adik beradik ini berasal dan membesar di Ampang.
“Saya membesar di kawasan perumahan yang dipenuhi dengan masyarakat Melayu dan Cina. Keluarga saya satu-satunya berbangsa India pada ketika itu. Jadi rakan-rakan sepermainan saya orang Melayu semuanya.
“Kami membesar bersama-sama dan masih berhubung sehingga kini. Jadi saya dah biasa dengan aktiviti harian mereka terutamanya keagamaan seperti contoh saya akan berdiam diri ketika azan, baca doa sebelum makan, baca ayat Al-Qursi kalau takut, berpuasa, bersahur, berbuka puasa, cara solat dan menyambut hari raya Aidilfitri dan Aidiladha bersama-sama rakan yang beragama Islam,” bicara anggota Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang berpangkat Lans Koperal ini.
Tidak Kekok Bergelar Mualaf
Wanita yang mesra di sapa dengan panggilan Sumayyah ini juga akui tidak berasa kekok selepas memeluk Islam.
“Pergaulan dengan orang Muslim sudah sebati dengan diri saya sejak dilahirkan dan tidak kekok untuk membawa diri sebagai seorang Islam. Saya fasih berbahasa Melayu membuatkan ramai orang ingatkan saya memang keturunan Melayu atau Mamak,” sambung Sumayyah.
Berkongsi kisah bagaimana dia tertarik untuk memeluk agama Allah ini, Sumayyah meneruskan perbualan bersama penulis.
“Saya tertarik memeluk Islam ketika menonton sebuah video banjir besar di Kelantan pada tahun 2014, saya merasakan seperti mahu mengambil wudhu dan solat bagi mendoakan mangsa banjir iaitu seorang ayah yang tenggelam timbul demi menyelamatkan anaknya dan akhirnya lemas. Saya tidak tahu kenapa rasa demikian sedangkan saya tak pandai solat.
“Video seterusnya ialah video rakaman semula bagaimana Rasulullah SAW wafat, video dengan muzik yang sedih dengan ayat-ayat cinta. Selepas habis menonton video yang ditunjuk oleh rakan sebilik rumah sewa itu, saya terus menyatakan bahawa saya mahu ke pejabat agama untuk memeluk Islam.
“Sebenarnya sejak zaman sekolah lagi saya sudah pandai membaca surah al-Fatihah, doa belajar, doa makan, mengucap, istighfar, tasbih, takbir, selawat kerana sering terikut-ikut dengan perbuatan kawan-kawan Islam saya,” ujar Sumayyah.
Menangis Selepas Mengucap Dua Kalimah Syahadah
Memeluk Islam pada 29 Disember 2014 di Jabatan Agama Islam Wilayah, Sumayyah mendalami Islam melalui pelbagai buku yang dibeli. Selain itu dirinya juga sering mendengar ceramah-ceramah di youtube dan mendengar kisah-kisah para Nabi dan Rasul dari rakan-rakan.
“Perjalanan hidup saya sebelum Islam adalah sangat sosial dan berpakaian agak kurang sopan. Tetapi sejurus memeluk Islam, saya menangis selepas mengucap dua kalimah syahadah dan pada pagi sebelum ke JAWI saya sudah mulai bertudung. Saya menangis kerana merasakan aman,tenang dan selamat akhirnya. Ramai kawan-kawan yang marah dan tidak mahu berkawan dengan saya, tetapi ramai juga yang masih berkawan dengan saya kerana mereka memang sedia maklum dengan persekitaran saya membesar dahulu.
“Saya juga merasakan sangat tenang, tidur lena, aman, selamat, syukur, terharu, gembira dan bahagia. Ini kerana beberapa bulan sebelum memeluk Islam, saya mengalami jiwa kacau seperti sering bermimpi buruk, tidak boleh tidur lena, dan telah lama lupa pada cara sembahyang.
“Gaya hidup saya sebagai seorang muslimah dengan kehidupan lama jauh bezanya bagaikan langit dengan bumi, kalau dulu saya berpakaian ketat dan tidak sopan pakaian saya yang menutup aurat sekarang lebih membuatkan saya rasa selamat dan selesa untuk bergerak ke mana-mana dan tidak dipandang serong. Pergaulan lebih kepada menjaga batasan, adab dan tutur kata,” luah Sumayyah.
Kini berasa lebih tenang selepas memeluk Islam.
Di Sebalik Nama
Mahu berkongsi kisah di sebalik nama Sumayyah yang dipilih, wanita ini sebenarnya telah mencari agak lama nama Islam yang sesuai untuk dirinya.
“Pada malam sebelum saya ke JAWI untuk mengucap dua kalimah syahadah, saya telah mencari nama-nama Islam di carian internet tetapi tidak berkenan. Kemudiannya saya menutup data internet dan melelapkan mata, dalam mimpi saya ketika itu cukup gelap kedengaran satu suara lelaki yang memanggil Sumayyah lalu saya terjaga dari lena. Saya pun terus sambungkan semula data internet dan mencari maksud nama Sumayyah. Keesokkannya di JAWI apabila ustaz bertanyakan nama, lalu saya terus menyebut Nur Sandhyalini Sumayyah,” kongsi Sumayyah.
Aktif belajar Iqra.
Aktif Belajar Agama
Selepas memeluk Islam, Sumayyah mula mendalami ilmu agama di PERKIM BAHAGIAN WILAYAH pada tahun 2015 tetapi tidak dapat memberi komitmen kerana terlalu sibuk dengan kerjaya.
“Bermula pada bulan Ogos 2018, saya tertanya pada diri sendiri “sampai bila aku nak terkontang-kanting tanpa ilmu agama ni, cemburu tengok budak kecil yang sudah pandai mengaji al-Quran sedangkan aku belum”.
“Selepas itu saya mula aktif semula memberi komitmen sepenuhnya dalam pelajaran agama suci ini. Selain itu, bermula pada bulan Januari 2019 saya telah mendaftar dan mula belajar di Kompleks Darul Hidayah yang terletak di Jalan Sentul Pasar pada waktu pagi dan masih belajar di Perkim pada waktu petang. Selain itu,saya juga banyak melibatkan diri dengan menghadiri program-program agama seperti yang terbaru Ceramah Ustaz Abdul Somad dari Indonesia di Masjid Wilayah dan pada menyertai Bengkel Belia : Generasi Pelapis Pendakwah siri 1 oleh Penceramah Profesional iaitu Ustaz Mohd Fadli Yusof.
“Setelah lima tahun memeluk agama Islam dan tidak komited dalam pelajaran agama akhirnya dibuka hati untuk mula belajar dengan serius Iqra. Banyak hikmah kehidupan saya sekarang di mana jauh lebih tenang dari sebelumnya. Ini kerana saya banyak menghadirkan diri ke majlis ilmu agama, saya juga berharap dapat menjadi seorang pendakwah atau ustazah suatu hari nanti,” akurnya.
Baiki Diri
Sebagai insan biasa Sumayyah akui tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Dan kini dia masih dalam proses memperbaiki diri sebagai seorang muslimah sejati.
“Saya juga tidak tercicir dari melalukan kesilapan yang biasa dilakukan oleh orang lain dan masih lagi dalam proses untuk membaiki diri bagi menjadi seorang muslimah yang solehah. Dugaan datang dari pelbagai bentuk dan cara, soalnya tinggi mana keimanan dalam diri kita, bagaimana menjaga akhlak agar akidah tidak terpesong, semuanya atas pada diri kita sendiri. Bagi saya setiap agama ada larangan dan suruhan, cuma dalam agama Islam ni saya rasa lebih ketat peraturan yang kita perlu ikut. Contohnya dulu jika tidak sembahyang sehingga terlupa bagaimana caranya dan tiada apa-apa perasaan, kini saya akan berasa tidak tenteram dan serba salah jika meninggalkan solat disebabkan kelalaian sendiri atau kerja.
“Saya juga sangat bersyukur dengan bantuan dari buku panduan solat yang dihadiahkan oleh sahabat yang saya kenal selama 26 tahun iaitu Fitri Suraya. Alhamdulillah sy telah menghafal bacaan-bacaan dalam solat dan pernah juga mengimamkan solat bersama kawan-kawan saya beberapa kali,” akhiri Sumayyah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Dalam kehidupan kita pasti akan diberi ujian dan masalah yang mampu membuatkan hati gelisah dan tak bahagia. Namun bagaimana kita melihat masalah itu, sama ada suka menyalahkan orang lain atau menyemak kembali memperbaiki diri.
Sebenarnya formula mudah bagi mendapat hati yang tenang adalah jangan suka menyalahkan setiap perkara yang terjadi pada orang lain. Ini kerana jika merasakan bahawa diri sendiri sahaja yang betul, ia petanda kita mempunyai masalah hati.
DIA BUAT TAK BAIK DENGAN KITA, DIA TANGGUNGLAH AKIBATNYA..ALLAH ADA
Kehidupan adalah ujian. Bila kita ada masalah dengan orang,perbanyakkan istighfar. Kuncinya taubat dan check ourself. Jangan cari salah orang lain. Kadang-kadang masalah itu timbul sebab hubungan kita dengan ALLAH tidak baik. Kunci hidup bahagia adalah memiliki hati yang bersih.
Dalam hidup ni, ada satu hal yang perlu kita jaga, jika nak mudah dapat hati yang tenang iaitu jangan suka salahkan orang. Kita uruskan diri kita. Uruskan emosi kita. Uruskan tahap iman kita. Itu yang lebih penting sebenarnya! Hidup jangan asyik cari salah orang. Risaukanlah diri sendiri tiada bekal ke sana nanti.
Jangan Cari Kesalahan Orang
Paling mudah memang menyalahkan orang lain, bila kita ada masalah. Padahal masalah sebenarnya adalah kita terlalu sibuk mencari-cari kesalahan orang lain, sehingga kita terlupa memperbaiki diri. Jangan rasa diri kita sentiasa betul, kita juga banyak salah. Bila kita rasa kita saja yang betul, itu petanda kita ada masalah hati.
Sungguh kita boleh cuba bantu orang lain tapi ingat kita tak boleh ubah orang lain. Kalau kita dah penat berusaha untuk membantu orang lain menjadi lebih baik, dah letih mengingatkannya soal tanggungjawab tapi dia masih begitu juga, bertenanglah dan terus mendoa’kan agar suatu hari dia akan berubah.
Rehatkan diri kita dari kesibukan menguruskan urusan orang lain. Urusan yang telah di atur oleh ALLAH tak perlu kita ikut sibuk masuk campur. Orang yang sabar itu hatinya tenang. Orang yang redha itu hatinya bahagia. Kerenah orang, itu urusan dia dengan ALLAH. Dia buat tak baik dengan kita, dia tanggunglah akibatnya. ALLAH ADA!
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Ada benarnya, bila terjadinya sesuatu masalah, cuba semak balik diri kita. Muhasabah diri berbanding kerap menyalahkan orang lain. Percayalah hati akan jadi lebih tenang, kehidupan akan lebih bahagia.
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...