Jangan fikir, setiap apa yang kita lakukan berjaya dengan hasil usaha kita sekarang ini. Selepas itu, mulalah mendabik dada dan menganggap kejayaan ini adalah hasil usaha kita.

Kita tidak tahu, kejayaan kita ini adalah ditentukan dan tertulis olehNya. Tanpa bantuaNya, kita tidak akan mencapai kejayaan sekarang ini. Jangan sombong dengan apa yang ada.

Begitu juga dalam kita menjalani aktiviti seharian, sibuk dengan urusan kerja sehingga kita lupa untuk bersyukur denganNya. Ada juga yang memandang remeh pada orang lain, sedangkan dirinya pun belum tentu sempurna.

Perkongsian daripada Haitun ini diharap dapat membuka mata pembaca untuk tidak sombong, sebaliknya bersyukurlah dengan pemberian dariNya.

IKLAN

Jangan Pandang Rendah

Kita diberi rezeki bangun berqiyamulail, maka bersyukurlah, tapi jangan dipandang rendah orang yang tidur kerana dia mungkin tidur dengan air mata taubat dan penyesalan.

Kita diberi rezeki gagah berpuasa sunat, maka bersyukurlah, tapi jangan pandang rendah insan yang belum mampu istiqamah berpuasa sunat, siapa tahu pahala sedekah secara sembunyinya diangkat ke langit.

IKLAN

Kita diberi rezeki mampu khatam Quran sebulan sekali, maka bersyukurlah, namun jangan diejek- ejek, disindir insan yang masih merangkak-rangkak dengan muqaddamnya. Siapa tahu Allah lebih mencintainya yang istiqamah belajar mengaji dengan segala kepayahannya.

Kita diberi rezeki dengan harta dunia dan mampu bersedekah jariah, maka bersyukurlah, namun jangan dihina si miskin yang tidak mampu memberi kerana kekurangannya. Mana tahu mulutnya tidak berhenti berzikir menjadi pahala sedekahnya.

Kita direzekikan lahir dari keluarga yang alim. Kecil- kecil sudah mantap imannya, sudah sempurna menutup auratnya, sudah sempurna solat, bacaan quran dan hadisnya. Maka bersyukurlah, tetapi jangan dihina anak- anak yang lahir dalam keluarga yang porak- peranda. Kita tidak tahu pahala yang diberi Allah atas payah jerihnya mereka mencari agama.

IKLAN

Bersyukurlah andai kita diberi rezeki beramal ibadah, namun ibadah itu hancur sama sekali saat kita berasa aman dengannya dan meremehkan orang lain.

Ingatlah sejarah Iblis Laknatullah yang hebat ibadahnya namun terhumban keluar kerana satu titik iaitu Sombong.

MW: Moga ia memberi manfaat dan panduan untuk kita semua.

Sumber: Haitun Kamarazaman

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI