Ibu ini, Bonda Nor berhajat mahu bersedekah untuk gembirakan anak-anak. Setelah tertunai niat, diuji pula dengan ‘terpaksa keluar duit lebih’.
Itulah ujian tuhan beri untuknya belajar makna ikhlas sebenar-benar ikhlas dalam urusan bersedekah. Lagi-lagi untuk kegembiraan anak-anak.
Balik dari Kemaman, Dak Abah membelok ke kawasan rekreasi Masjid Terapung. Apa lagi, terus saja anak-anak bising nak naik motor yang ada disediakan khidmat sewanya di situ.
“Bagi sajalah, bang. Bukan selalu,” pujuk mama.
“Mahal, sayang. Lebih RM100 tu. Membazir je,” bantah Dak Abah. Maklumlah, baru pagi itu dia melayankan anak-anak ke zoo, dan shopping masa mama berseminar!
“Takpe. Kali ni mama belanja. Kan hari ni Jumaat. Elok bersedekah. Lebih afdhal sedekah pada keluarga sendiri,” balas mama. Aduhai. Masa nilah terasa pentingnya perempuan ada duit poket sendiri!
Anak-anak bersorak. Keluar kereta, terus pilih jenis motor yang digemari. Bermain dengan riang ria.
Dak Abah melayankan saja.
Mama? Awal-awal dah minta excuse.
“Mama nak rehat dalam kereta ya. Penat.”
Memang, penat berseminar dan berjaga malam masih terasa. Mahu pulihkan tenaga semula.
Dari dalam kereta, mama tengok saja mereka melintas dan saling memintas.
Entah macam mana, Izhan tersalah kawal motornya. Terlanggar sebuah kereta. Allah. Berkejar kami tengok. Telek punya telek, ya, memang kemik sedikit.
Semua dah tercengang. Dak Abah dah mula menegur kecuaian Izhan.
Mama pula terus masuk ke dalam kereta semula. Capai kertas dan pen.
“Maaf sangat, anak saya terlanggar kereta tuan. Kemik sedikit. Mohon hubungi saya..”
Nombor telefon kami dicatatkan dan mama minta Dak Abah selitkan kertas itu pada pemegang kereta yang kami pun tak tahu siapa tuannya.
Aduhai.. gara-gara mahu bersedekah RM100 untuk kegembiraan anak-anak, tiba-tiba entah berapa ratus pula duit yang terbang kerana perlu membaiki kereta orang!
Menyesal?
Tak! Mama masih mampu senyum dan tergelak. Syukur yang kemik cuma kereta. Anak mama okey saja.
Eh.. tiba-tiba mama teringat peristiwa masa di pantai yang baru saja terjadi sebelum itu. Masa tu, mama pergi ke satu gerai untuk beli baju Nona. Masa bayar, mama lebihkan RM5 pada penjualnya.
“Takpe kak, saya sedekah. Hari Jumaat ni, elok sedekah.”
Bersungguh mama yakinkan dia untuk terima setelah bersungguh dia menolaknya. Lega, akhirnya dia terima.
Usai beli baju, mama singgah ke gerai ABC yang mama dah order sebelumnya lagi.
“Berapa, dik?”
“RM10, kak.”
Mama jenguk dalam poket. Alamak. Tak cukup RM5!
Teringat duit RM5 yang baru disedekahkan pada kakak yang jual baju itu.
Aduhai. Gigih zip ketat-ketat hati ini agar tidak menyesal kerana telah memberi tadi. Laju-laju kaki melangkah jauh ke kereta semata-mata kerana terpaksa ambil RM5 untuk top up duit ABC.
Menyesal?
Subhanallah. Mohon Allah jauhkan kita daripada ibadah yang sia-sia!
Itulah yang berlaku semalam. 2 ujian keikhlasan hati dalam masa satu hari!
Demikianlah tuan puan. Kita buat kebaikan pasti akan teruji juga sesekali. Sebab apa? Sebab Allah nak tengok sejauh mana kita mampu redha dan mengikhlaskan hati.
Menyesal sebab bersedekah, tak pasal-pasal jadi rugi atau susah?
Menyesal sebab bagi orang hutang, tak pasal-pasal kita yang rugi dan susah?
Jangan!
Ingat tak apa pesan Rasulullah? Jangan kesal pada sesuatu musibah!
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda:
”Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah.
Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata:”KALAULAH aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah:
”Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘KALAU’ akan membukakan pintu amalan syaitan.” [Riwayat Muslim]
Justeru, bila teruji seperti ini, pujuk hati untuk cepat-cepat redha. Lepaskan rasa yang terbuku itu pergi, nescaya Allah segera hantarkan ganti.
Sungguh. Itu yang selalu saya cuba buat. Bila sudah beri, khalas! Khalas itu ikhlas. Maknanya cukup. Bila dah bagi, jangan fikir-fikir lagi. Titik.
Alhamdulillah, petang semalam juga, mama terima panggilan daripada seorang penganjur program.
“Maaf, bonda. Lama sangat kami menangguh untuk bayar payment hari tu.”
Payment?
Subhanallah.
Tuan puan, ini memang surprise daripada Allah semalam. Betapa eloknya Dia susun cerita hingga ianya menjadi jalinan kisah yang istimewa untuk menunjukkan kekuasaan-Nya.
Sungguh, saya betul-betul tak sangka langsung yang saya akan dibayar untuk program tersebut! Ingatkan dijemput untuk bagi talk secara percuma. Memang saya tak harap pun bayaran apa-apa. Lagipun program tu dah lama. Saya pun dah lupa!
Tapi sungguhlah.. rezeki Allah sentiasa ada alamatnya!
Justeru, selalu saya pesan, jangan serabut sangat pasal rezeki. Jangan sibuk nak kaut itu ini. Wang ringgit biar fungsinya sekadar alat untuk teruskan kelangsungan hidup saja. Jangan sampai memenuhi jiwa kita sampai nak bersedekah pun kita berkira!
Tuan puan, zuhud itu bukan bermakna kita kena pakai baju lusuh, kereta kecil atau rumah buruk. Zuhud itu bukan bermakna kita tak boleh hidup mewah dan mesti hidup serba susah.
Bukan.
Zuhud itu maknanya, kita serba tak kisah. Hati kita tidak terikat dengan dunia. Jika ada, syukur. Jika Allah ambil semula, kita akur.
Nak dapat hati tenang, banyakkan bersedekah, kurangkan berkeluh kesah. Insya-Allah. Kita cuba naaaa.
Sumber/Foto : Bonda Nor
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.