Ibu ini, Bonda Nor berhajat mahu bersedekah untuk gembirakan anak-anak. Setelah tertunai niat, diuji pula dengan ‘terpaksa keluar duit lebih’.
Itulah ujian tuhan beri untuknya belajar makna ikhlas sebenar-benar ikhlas dalam urusan bersedekah. Lagi-lagi untuk kegembiraan anak-anak.
Gara-gara Mahu Bersedekah RM100
Balik dari Kemaman, Dak Abah membelok ke kawasan rekreasi Masjid Terapung. Apa lagi, terus saja anak-anak bising nak naik motor yang ada disediakan khidmat sewanya di situ.
“Bagi sajalah, bang. Bukan selalu,” pujuk mama.
“Mahal, sayang. Lebih RM100 tu. Membazir je,” bantah Dak Abah. Maklumlah, baru pagi itu dia melayankan anak-anak ke zoo, dan shopping masa mama berseminar!
“Takpe. Kali ni mama belanja. Kan hari ni Jumaat. Elok bersedekah. Lebih afdhal sedekah pada keluarga sendiri,” balas mama. Aduhai. Masa nilah terasa pentingnya perempuan ada duit poket sendiri!
Anak-anak bersorak. Keluar kereta, terus pilih jenis motor yang digemari. Bermain dengan riang ria.
Dak Abah melayankan saja.
Mama? Awal-awal dah minta excuse.
“Mama nak rehat dalam kereta ya. Penat.”
Memang, penat berseminar dan berjaga malam masih terasa. Mahu pulihkan tenaga semula.
Entah Berapa Ratus Pula Duit Yang Terbang
Dari dalam kereta, mama tengok saja mereka melintas dan saling memintas.
Entah macam mana, Izhan tersalah kawal motornya. Terlanggar sebuah kereta. Allah. Berkejar kami tengok. Telek punya telek, ya, memang kemik sedikit.
Semua dah tercengang. Dak Abah dah mula menegur kecuaian Izhan.
Mama pula terus masuk ke dalam kereta semula. Capai kertas dan pen.
“Maaf sangat, anak saya terlanggar kereta tuan. Kemik sedikit. Mohon hubungi saya..”
Nombor telefon kami dicatatkan dan mama minta Dak Abah selitkan kertas itu pada pemegang kereta yang kami pun tak tahu siapa tuannya.
Aduhai.. gara-gara mahu bersedekah RM100 untuk kegembiraan anak-anak, tiba-tiba entah berapa ratus pula duit yang terbang kerana perlu membaiki kereta orang!
Menyesal?
Tak! Mama masih mampu senyum dan tergelak. Syukur yang kemik cuma kereta. Anak mama okey saja.
Ads
RM5 Yang Disedekahkan
Eh.. tiba-tiba mama teringat peristiwa masa di pantai yang baru saja terjadi sebelum itu. Masa tu, mama pergi ke satu gerai untuk beli baju Nona. Masa bayar, mama lebihkan RM5 pada penjualnya.
“Takpe kak, saya sedekah. Hari Jumaat ni, elok sedekah.”
Bersungguh mama yakinkan dia untuk terima setelah bersungguh dia menolaknya. Lega, akhirnya dia terima.
Usai beli baju, mama singgah ke gerai ABC yang mama dah order sebelumnya lagi.
“Berapa, dik?”
“RM10, kak.”
Mama jenguk dalam poket. Alamak. Tak cukup RM5!
Teringat duit RM5 yang baru disedekahkan pada kakak yang jual baju itu.
Aduhai. Gigih zip ketat-ketat hati ini agar tidak menyesal kerana telah memberi tadi. Laju-laju kaki melangkah jauh ke kereta semata-mata kerana terpaksa ambil RM5 untuk top up duit ABC.
Menyesal?
Subhanallah. Mohon Allah jauhkan kita daripada ibadah yang sia-sia!
Ads
Dua Ujian Keikhlasan Hati Dalam Sehari
Itulah yang berlaku semalam. 2 ujian keikhlasan hati dalam masa satu hari!
Demikianlah tuan puan. Kita buat kebaikan pasti akan teruji juga sesekali. Sebab apa? Sebab Allah nak tengok sejauh mana kita mampu redha dan mengikhlaskan hati.
Menyesal sebab bersedekah, tak pasal-pasal jadi rugi atau susah?
Menyesal sebab bagi orang hutang, tak pasal-pasal kita yang rugi dan susah?
Jangan!
Ingat tak apa pesan Rasulullah? Jangan kesal pada sesuatu musibah!
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda:
”Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah.
Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata:”KALAULAH aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah:
”Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘KALAU’ akan membukakan pintu amalan syaitan.” [Riwayat Muslim]
Ads
Bila Teruji, Mak Cepat-cepat Pujuk Diri
Justeru, bila teruji seperti ini, pujuk hati untuk cepat-cepat redha. Lepaskan rasa yang terbuku itu pergi, nescaya Allah segera hantarkan ganti.
Sungguh. Itu yang selalu saya cuba buat. Bila sudah beri, khalas! Khalas itu ikhlas. Maknanya cukup. Bila dah bagi, jangan fikir-fikir lagi. Titik.
Alhamdulillah, petang semalam juga, mama terima panggilan daripada seorang penganjur program.
“Maaf, bonda. Lama sangat kami menangguh untuk bayar payment hari tu.”
Payment?
Subhanallah.
Tuan puan, ini memang surprise daripada Allah semalam. Betapa eloknya Dia susun cerita hingga ianya menjadi jalinan kisah yang istimewa untuk menunjukkan kekuasaan-Nya.
Sungguh, saya betul-betul tak sangka langsung yang saya akan dibayar untuk program tersebut! Ingatkan dijemput untuk bagi talk secara percuma. Memang saya tak harap pun bayaran apa-apa. Lagipun program tu dah lama. Saya pun dah lupa!
Tapi sungguhlah.. rezeki Allah sentiasa ada alamatnya!
Justeru, selalu saya pesan, jangan serabut sangat pasal rezeki. Jangan sibuk nak kaut itu ini. Wang ringgit biar fungsinya sekadar alat untuk teruskan kelangsungan hidup saja. Jangan sampai memenuhi jiwa kita sampai nak bersedekah pun kita berkira!
Tuan puan, zuhud itu bukan bermakna kita kena pakai baju lusuh, kereta kecil atau rumah buruk. Zuhud itu bukan bermakna kita tak boleh hidup mewah dan mesti hidup serba susah.
Bukan.
Zuhud itu maknanya, kita serba tak kisah. Hati kita tidak terikat dengan dunia. Jika ada, syukur. Jika Allah ambil semula, kita akur.
Nak dapat hati tenang, banyakkan bersedekah, kurangkan berkeluh kesah. Insya-Allah. Kita cuba naaaa.
Guru ini, Faridah Salleh (Cikgu Eida) terangkan dengan jelas bagaimana membantu anak-anak yang berada di tahap 2 iaitu tahun 4, 5 dan 6 memahamkan apa yang dibawa dan fahamkan petikan ayat yang dibaca.
Ini kerana, ramai di kalangan anak-anak sekolah yang boleh membaca tapi bermasalah dalam memahamkan apa yang mereka baca.
Cara Ajar Anak Faham Apa Yang Dibaca, Baca Dan Fahamkan Petikan
Selepas anak-anak boleh membaca menggunakan buku yang mempunyai suku kata berwarna, kita sebagai ibu bapa atau guru tidak boleh menyatakan bahawa anak-anak sudah selesai dan boleh membaca.
Membaca adalah satu proses dan ianya menjadi penekanan utama oleh KPM bagi murid tahap 1 yang sudah diketahui tiada peperiksaan. Apabila melibatkan proses ianya adalah perlu berterusan.
Usah andaikan apabila anak kita boleh mengeja dia sudah boleh membaca. Pentaksiran PBD melibatkan proses membaca yang lancar dan intonasi yang betul.
Itu bermakna bacaan lancar ialah anak tidak lagi bersangkut-sangkut atau tersekat-sekat atau terhenti-henti untuk mengeja. Intonasi di mana perhentian mempunyai koma atau tanda noktah.
Ramai anak-anak yang bersekolah di tahap 2 iaitu tahun 4, 5 dan 6 yang boleh membaca tetapi tidak faham apa yang mereka baca.
Ini boleh dilihat dengan melihat markah keputusan peperiksaan anak setengah tahun ini. Adakah anak-anak sahabat lulus dengan baik atau cemerlang untuk mata pelajaran Bahasa Melayu?
Proses ini sangat mudah cuma kesediaan untuk melakukan secara konsisten oleh ibu bapa atau guru. Bagaimana cara kita nak anak kita fahami apa yang dibaca?
Di sini Cikgu Eida senaraikan apa langkah yang perlu dilakukan. Di harap langkah ini dapat membantu anak-anak sahabat semua.
Langkah 1
Selepas anak mahir membaca gunakan buku apa juga tak kisah buku teks keluaran KPM atau buku cerita atau cerita yang ditaip sendiri yang mempunyai tulisan berwarna hitam sahaja.
Bukan lagi buku berwarna suku kata. Ini supaya kita mahu anak biasakan dengan realiti kehidupan. Semua buku adalah mempunyai tulisan berwarna hitam sahaja. Bukan berwarna. Biasakan anak membaca buku seperti ini.
Pada peringkat permulaan ibu bapa boleh memenggalkan suku kata dengan menggunakan pensel atau gunakan teknik 12345 iaitu memahirkan anak dengan jumlah suku kata.
Langkah 2
Selepas anak membaca petikan cerita. Ibu bapa perlu menyoal secara lisan sama ada anak faham apa yang dibaca. Biasanya petikan mempunyai 6- 10 atau lebih ayat.
Tapi kita perlu menyoal setiap ayat. Bukan menyoal selepas anak baca semua ayat dalam petikan. Jika anak sudah biasa barulah kita boleh menyoal setelah anak selesai membaca semua petikan.
Pada peringkat awal, selepas membaca ayat, ibu bapa perlu menyoal sama ada anak faham atau tidak.
Apa yang dikatakan ayat?
Ayat ialah bermula dengan huruf besar san berakhir dengan tanda noktah. Ne fahaman paling mudah untuk ibu bapa.
Contoh, Nama saya Faridah Salleh. Saya berusia 38 tahun. Saya bekerja sebagai guru. Saya bekerja di SK Bukit Mahkota Kota Tinggi Johor. Saya suka membaca novel. Saya mempunyai 5 orang cahaya mata.
Caranya ialah, apabila anak membaca ayat :
Nama saya Faridah Salleh.
Pastikan anak menbaca dengan nada dan intonasi yang betul. Berhenti apabila ada tanda noktah. Kemudian soal anak.
Siapakah nama dalam petikan ini?
Jika anak jawab Faridah Salleh. Bermakna anak faham apa yang dia baca.
Selepas anak sudah biasa. Ajarlan anak memahami dengan berstrukur iaitu menjawab pula secara penuh. Siapakan nama dalam petikan ini? Nama dalam petikan ini ialah Faridah Salleh.
Selepas anak kuasai secara ayat per ayat barulah ajar memahami secara keseluruhan petikan.
Langkah 3
Selepas anak membaca petikan dan memahami apa yang dibaca. Ibu bapa dan guru perlu membuat imlak atau perkataan mudah ialah ejaan. Pastikan anak ada buku ejaan atau imlak.
Buatlah sehari 10 perkataan sahaja. Selepas anak kuasai imlak perkataan barulah buat imlak ayat. Ibu bapa sebut dan anak tulis. Sambil memasak pun boleh lakukan. Kemudian ibu bapa tanda apa yang anak tulis. Betul atau salah. Jika salah minta anak buat pembetulan.
Langkah 4
Berikan anak soalan secara bertulis. Kita tidak mahu anak tahu baca tetapi tidak tahu menulis. Pastikan anak menggunakan ayat penuh dan menulis dengan cara yang betul.
Mana nak cari soalan?
Gunakan petikan yang sama dan soalan yang sama cuma ibu bapa tulis sahaja soalan itu dalam buku tulis. Jika anak kita boleh jawab secara lisan pasti dia boleh menulis jawapan kerana kita menyoal dan menulis soalan yang sama.
Cuba praktikan 4 langkah ini.
In sya Allah anak-anak akan dapat markah yang tinggi dalam peperiksaan dan memudahkan urusan mereka pada masa kini dan depan.
Kita biasa lihat anak-anak yang kita minta buat benda lain tapi benda lain yang dibuat. Itu menunjukkan mereka tidak faham arahan. Cara nak atasi adalah sama.
Apabila kita biasalah 4 langkah ini nescaya kita dapat atasi masalah dalam apa juga subjek peperiksaan iaitu masalah memahami.
Sumber/Foto/Video : Faridah Salleh, Cikgu Eida juga membantu anak-anak yang tidak kenal huruf, tidak boleh membaca, tidak lancar membaca atau tidak memahami apa yang dibaca.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pagi ini selain kes penahanan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dibicarakan di mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, negara dikejutkan dengan berita kematian adik Adam Rayqal yang dijumpai di rumah pengasuh dalam peti sejuk beku 2 pintu.
Sejak semalam, berita kehilangan Adam Rayqal menjadi viral dan ramai yang membantu menyebarkan dengan niat agar akhirnya anak kecil usia 5 bulan ini ditemui. Ya, Adam Rayqal akhirnya ditemui tapi dalam keadaan yang cukup menyayat hati.
Dalam tersebarnya berita sebegitu, ada juga sisi negatif netizen yang memberikan komen tak agak-agak, ‘suci bak malaikat’. Hadamkan teguran yang dibuat oleh bapa viral kebangsaan, Khairul Hakimin Muhammad ini. Jagalah kata-kata agar tiada hati yang makin terluka.
Anak Ini Dijumpai Dalam Peti Sejuk Beku 2 Pintu
Acapkali ada berita kehilangan, kita semua bersatu dan sepakat untuk membantu supaya anak yang diberitakan hilang itu kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat. Dan butang share, print screen serta apapun gambar dan teks dilaungkan sebanyak-banyaknya di medan media sosial kita.
Maka, ianya viral.
Seperti semalam, kehilangan Adik Adam Rayqal berjaya dibuat dengan cukup berkesan apabila kita sama-sama berjuang menyebarkannya semoga sesiapa yang nampak, membawanya pulang.
Usianya 5 bulan. Awalnya diberitahu yang anak ini dilarikan seorang lelaki yang pecah masuk ke rumah pengasuhnya.
Lalu malam tadi, dapatlah berita yang menyakitkan. Anak ini dijumpai di dalam peti sejuk beku 2 pintu di rumah pengasuh yang masih lengkap berpakaian di dalam sebuah beg. Beliau sudah meninggal dunia.
Lalu ianya tersebar sekali lagi, 200 share, 10,000 share. Dan kali ini ia membawa perit beribu kali ganda.
Banyaknya komen yang secara tak langsung membantai si ibu kerana sibuknya pergi kerja, sepatutnya tak perlu kerja. Sepatutnya juga menjaga anak sendiri di rumah.
Ada yang siap perli-perli ala ugamawan ‘syukurlah saya jaga anak saya sendiri, saya sanggup berhenti kerja demi anak-anak, anak-anaklah permata saya, alhamdulillah’.
Dan belum lagi komen yang bukan-bukan. Dari sedih, jadi mahu maki pula membacanya.
Inilah Malaysia Kawan-kawan
Kita sepakat membantu, kita juga bersatu menolong. Namun ada segelintir dari kita yang suka persoal, suka begitu begini apabila ada sahabat kita, keluarga kita ditimpa musibah.
Dalam bab 6 (Fikiran dan Rasa Seni), naskah ‘Peribadi’ tulisan Buya Hamka, Buya berpesan yang kita ini seharusnya membereskan apa yang ada di dalam fikiran terlebih dahulu, sebelum meluahkannya di mana-mana.
Perkataan beres itu sangat kuat. Yang mana ianya perlu ditafsir, diletakkan dalam compartment sabar, kemudian diteliti beberapa detik barulah kita luahkannya dalam bentuk perkataan atau perbuatan.
Sekiranya apabila kit abaca 1-1 hal, mendengar 1-1 hal dan melihat 1-1 hal, kita tidak ada respon untuk meneliti, memuhasabah serta menasihati diri untuk tenang dari membuat ulasan, maka hati kita boleh rugi dan hancur berkali-kali.
Kesukaan dan kebencian ini harus diasingkan. Saya merayu sangat-sangat.
Bayi adalah satu bentuk kecintaan, kasih sayang serta luahan hubungan antara suami isteri. Dan kematian dalam bentuk begini, bukan untuk dipersoalkan, namun untuk kita hadam, belajar dan melihat semuanya dalam banyaknya bentuk yang sedang ada di sekeliling kita.
Kemudian, kita tanam dalam diri. Kita di sebelah yang mana.
Sebelah kasih sayang, atau di sebelah kebencian. Ibu dan ayah bayi ini sedang bersedih. Dan kita semua, menambah-nambah lagi keruntuhan hati itu dengan komen begitu.
Pilih.. Mahu Jadi Siapa Di Medan Sosial
Kawan-kawan yang baik,
Media sosial ini medium yang tidak terdidik. Kita gunakannya dengan membeli telefon. Kemudian memuat turun aplikasi dan menggunakannya mengikut hak-hak kita sendiri.
Kita pilih mahu jadi siapa di medan itu. Jadi diri sendiri, jadi ibu penyayang, jadi isteri yang berlumba-lumba, jadi suami yang menayang-nayang, jadi anak yang lawa, segak, jadi politician yang berjuang, jadi pengusaha restoran yang berusaha, apa sahaja. jadilah.
Semua ini tidak ada langsung latihan khas, sekolah hebat serta mana-mana institusi yang mengajarkannya untuk menggunakan dengan akal dan hati. Tak ada.
Namun kawan-kawan, asbab tidak terdidik ini, menjadikan kita ini sebagai orang lain. Yang diluarnya dikenali sebagai begitu begini, namun di tulisannya begitu begini pula.
Kita manusia sahaja. Yang mana pusinglah ikut mana pun, balik-balik hati kita yang dilihat. Objek yang kita tak boleh lihat itu, hari ini boleh dipandang melalui apa yang kita tuliskan, kemudian up.
Sungguh, kadang-kadang, dari memenangkan hati sendiri, eloklah kita diam, biar otak memaksanya supaya jadi santun dan sopan. Dan seluruh tubuh termasuk mata, kaki, serta apa sahaja bentuk yang memalukan dan mengaibkan diri sendiri itu akan setuju dengan hati kita.
Dan pada waktu itu kita sedar kita sedang puas melihat banyaknya cela diri sendiri berbanding orang lain. Lalu perbaikinya perlahan-lahan tanpa media sosial.
Hubungan otak dan hati ini saling berkait, jika ke2-2nya bersatu menuju kemuliaan, maka baiklah yang keluar, hebatlah yang menonjol. Dan pastinya, ada keistimewaannya selepas kita pergi nanti.
Tak mungkin Allah berikan kelebihan teknologi, pembangunan serta media sosial yang sangat hebat hari ini sekadar saja-saja. Pasti ada yang boleh kita bereskan untuk kehidupan yang lebih baik.
Masa kecil, bersusah payah mak menjaga anak-anak yang ditinggalkan oleh suami. Tapi, bila anak berjaya, mudah sangat dia mengaku zuriat. Sedangkan selama ini, ayah langsung tak ambil tahu.
Inilah realiti yang boleh dikatakan berlaku pada masyarakat sekarang. Bila ayah ada kehidupan baru, anak dan bekas isteri diabaikan. Belum lagi apa yang dilakukan semasa hidup bersama.
Sedar tak sedar, anak dah berjaya baru nak mengaku zuriat, anaknya sendiri. Jangan mudah nak mengaku, mentang-mentanglah anak sudah berjaya dan berkerjaya hebat. Barulah nak mengaku anak bila hilang segalanya yang diburu selama ini.
Bila anak dah besar, dah berjaya, bekerjaya, baru claim tu anak dia. Kalau anak buat tak tahu kat ayah, dikatakan itu anak derhaka.
Masa anak kecik, langsung buat tak tahu kat anak. Sementelah masa anak tengah membesar, pun tak ambik tahu hal anak. Rapat dgn anak, tak langsung, apatah lagi hal kebajikan anak pun tak dijaga.
Lepas tu kata anak derhaka.
Anak ni, kalau boleh kata ayah dia derhaka, lama dah dia kata. Tapi atas dasar hormat, anggap itu org tua dia, tentunya dia simpan ketat-ketat perasaan marah, dendam, sakit hati terhadap bapa dia sendiri.
Dia nampak bagaimana ayah dia layan ibu dia. Anak nampak perangai dan perbuatan bapa dia. Selama mana ayah dia macam tu, dia kira dan akan ingat.
Kedudukan anak ni, bila marah orang tuanya, tentu sekali orang akan label dia kurang ajar.
Sebab tu bila dia besar, dia tak bangga dengan ayahnya kerana yang membesarkannya tu, ibunya, orang yang selalu tunaikan dan bagi apa yang dia nak, ibunya, kebajikan dia ibunya yang sediakan.
Ayah bila ada kehidupan lain, dia lupa dah anak-anak, bila kehidupan tu tiba-tiba hilang dari genggaman dia, automatik dia nampak anak-anak, ingat anak-anak.
Masa inilah anak-anak sudah jadi manusia tatkala si ayah hanyut dibawa arus dunia.
Mingguan Wanita : Begitulah, bila diri terbuai dengan kehidupan lain, terus tak ingat anak isteri. Tapi bila jatuh terduduk, isteri dan anak ini jugalah dicarinya.