Jangan Sampai Koyak Mental, Tengok Orang Lain Up Status Di Media Sosial

Ini nasihat yang sangat berguna untuk para pengguna media sosial terutama facebook. Sebab kita takkan mampu kawal apa yang orang lain mahu tulis di status media sosial masing-masing.

Tapi kita masih boleh kawal diri kita daripada terus rabak dan koyak mental. Depresi tengok dan baca status orang lain. Merasakan nasib diri tak sebahagia, seuntung mereka. Bila ada sifat mula membanding diri, itulah punca masalah terjadi.

Hadam nasihat Ammar Kamilin ini, kerana bila kita tak kawal kerisauan kita itulah, yang akhirnya mengganggu mental seterusnya merosakkan tingkah laku kita.

Mereka Yang Ada Masalah Cepat Membanding Diri Sila Hadamkan Ini

Ini penting dan saya perlu nyatakan ini dengan jelas.

Selepas beberapa tahun menggunakan Facebook, saya dapati, ia bukan tempat yang sesuai bagi mereka yang mempunyai masalah ‘cepat membanding diri’.

Kita tidak dapat mengelak untuk membanding diri dengan sesiapa saja. Waima, adik beradik sedarah sedaging juga pasti akan terdetik mahu melihat lebih dan kurang sesama mereka.

Itu normal. Jika terdetik sedikit dan kemudian kembali rasional.

Yang tidak normal, apabila terdetik untuk membanding lalu timbul kerisauan bagaimana untuk mencapai sama tahap atau lebih dari apa yang dicapai atau dimiliki oleh orang lain.

Risau keterlaluan.
Anxiety.

Itulah yang semakin menekan kita sekarang. ‘Penyakit’ yang sebenarnya sakit, tetapi tidak dirasai kesakitannya.

Risau keterlaluan itu pula, lama kelamaan, membarah sebagai ‘depression’.

Saya perlu tekankan.

Bahaya Risau Sampai Depresi Baca Status Orang Lain

Bukan bermakna semua ‘depression’ datang dari risau melampau, tetapi ada yang mengalami ‘depression’ semata-mata runsing dan risau dengan setiap perkara yang dibanding-bandingkan.

Followers dia lebih ramai, datang risau.

IKLAN

Manchester City menang EPL.
Liverpool, tak menang-menang.
Datang risau.

Eh, jangan gelak!
Mungkin bukan kita. Tapi ada.

Mereka tidak salah juga, sudah itu obsesi mereka.

Lihat pula kita,

Anak jiran dapat ‘straight A’ s’.
Oh, risau! Anak kita nanti macam mana.

Anak buah hafal 30 juz. Huffaz.
Oh, macam mana anak kita.
Risau!

Kawan ofis dapat naik pangkat. Sama masuk kerja. Kerja pula tak seberapa. Tapi dia naik, kita tidak.
Oh, risaunya!

Abang kakak, bagi mak abah macam-macam. Dibeli rumah, dibeli kereta, dihadiah TV besar. Kita nak membeli tupperware pun, jenuh tunggu duit kutu giliran ke-12.
Parah!
Aduh, risau!

IKLAN

Banyak lagi risau.
Mana saja yang kita kalah,
Risaulah kita.

Tetapi, kalau risau sekali sekala, selepas itu, hilang semula, tak mengapa. Normal. Hati pun galau sekejap saja.

Facebook ini lain. Sedap-sedap skrol punya skrol terpandang status yang ‘trigger anxiety’ kita.

Kita takkan tahu dan ada masa tak sedar pun. Status tu mencalar hati kita. Masa mula tak rasa, tahu-tahu dah pedih saja.

Sekali dua, baik lagi.

Jika dah setiap hari diasak dan digasak, lama-lama, koyak juga mental. Itu datang bahaya.

 

IKLAN

Jangan Sampai Koyak Mental, Tengok Orang Lain Up Status Di Media Sosial

Ini Nasihat Doktor Untuk Mereka Yang Ada Penyakit Ini

Cerita benar.

Seorang daripada ahli keluarga saya didiagnos ‘anxiety disorder’ hanya kerana tidak tertahan membanding-banding kenyataan daripada ahli politik Kerajaan atau pembangkang setiap hari di facebook.

Perang saraf parti politik hampir setiap hari akhirnya merosakkan mentalnya.

Nasihat doktor.
Berhenti membaca facebook.

Alhamdulillah, dia semakin baik dan pulih.

Pelik kan.
Jika mahu membanding, ada macam-macam perkara boleh dibanding. Bukan masalah kita pun, boleh dibanding.

Jika anda mula ada simptom ‘hish, macam mana dia boleh dapat macamni’ dan menghabiskan masa termenung lama memikirkannya, hati-hati. Sudah ada tanda, bermula kerunsingan.

Sekiranya anda mahu tahu bagaimana, teruskan bertanya dan ‘consult’ orang tersebut. Lakukan tindakan proaktif. Jangan bermain-main hanya di fikiran. Mental anda akan terganggu dan kesannya menjejaskan tingkahlaku.

Dapat sesuatu?
Ilmu bermanfaat.
Terus share.

Sumber/Foto : Ammar Kamilin , MAKnificent

Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI