Jangan Percaya Ramalan, Cukuplah Sekadar Suka-suka…

Share

Setiap tahun apabila tibanya bulan Ogos, sudah pasti memberi makna kepada rakyat Malaysia kerana ini adalah bulan sambutan kemerdekaan Negara. Tahun ini bulan Ogos bertambah bermakna kerana Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA.

Bagi saya pula, bulan Ogos tidak boleh dilupakan kerana inilah bulan saya dilahirkan. Seronok rasanya dapat berkongsi bulan dengan hari penuh bermakna buat rakyat Malaysia ini.

Setiap orang mempunyai cara tersendiri menyambut hari lahir mereka. Bagi saya, tidak pernah ada sambutan setiap kali usia saya bertambah. Cukup sekadar mengucap syukur kepada Allah kerana diberikan peluang untuk menikmati kehidupan dunia yang sementara ini.

Kalau bercerita mengenai bulan kelahiran ini, sudah pasti tidak dapat lari daripada mengaitkannya dengan zodiac atau bintang. Bagi bulan Ogos sudah pasti zodiac nya adalah Leo.

Masa kecil dulu jika terjumpa, saya baca juga ramalan bintang di suratkhabar. Bukannya hendak percaya sangat tetapi sekadar suka-suka. Tetapi sekarang ini sudah agak lama saya tidak membaca ramalan bintang. Ramalan ini bukannya boleh dipercayai. Kita hanya merancang dan Allah SWT yang menentukannya. Jangan pula kita percaya ramalan orang.

Berkaitan dengan ramalan ini, saya pasti kebelakangan ini anda akan melihat dan saya yakin ada juga yang pernah mencuba permainan ramalan di laman sosial. Biasanya apa yang perlu anda buat adalah menjawab beberapa soalan yang dikemukakan dan setelah selesai anda akan mendapat jawapan.

Saya yakin juga anda pernah menjawab soalan untuk artis mana yang sama seperti anda, apa karakter anda dan sebagainya. Saya percaya ramai yang mencuba ini hanya sekadar mahu suka-suka dan melepaskan rasa tension.

Kadang-kadang rasa kelakar juga dengan jawapan yang diberikan. Kadang-kadang rasa sakit hati juga. Namun hiburan ini ambillah sebagai hiburan dan jangan percaya seratus-peratus.

Ingatlah ! Sebagai umat Islam kita perlu percaya Qada dan qadar Allah. Jangan sesekali percaya apa yang keluar daripada mulut peramal yang sudah pasti dia itu juga adalah manusia biasa seperti kita.

Published by
Julie Roshana