Ketika mak ayah menikmati indahnya Kemerdekaan 31 Ogos tahun 2018 ini, nun jauh di perkampungan pedalaman Orang Asli Kuala Lipis Pahang masih ada lagi anak-anak kecil keriangan meredah belantara demi menimba ilmu di sekolah.
Seakan tiada resah di wajah mereka. Biarpun ditebak cikgu dengan bermacam soalan; kenapa baju kotor, kenapa datang lambat, anak-anak ini tetap ceria. Tetap datang ke sekolah.
Dan tidak pun bersungut dengan perjalanan sejauh 45 minit berjalan kaki meredah semak belantara yang mana semua ini gerun untuk anak-anak yang terbiasa hidup senang mahu melaluinya.
Catatan perjalanan Guru Sains di SK Lenjang Pedalaman Orang Asli Kuala Lipis, Pahang, Cikgu Ameer Firdaus ketika mengambil keputusan untuk memahami kenapa anak-anak ini kotor baju sekolahnya malah adakala lambat ke sekolah pasti membuka pintu hati pembaca.
Dia turut serta bersama-sama keletihan dan bermandi peluh dengan anak-anak ini ketika menghantar mereka pulang ke rumah di Perkampungan Orang Asli Tungau, Pos Lenjang, Kuala Lipis, Pahang.
Masa ni sedang berkumpul. Sedang tunggu yang lain-lain datang. Ni murid-murid yang tinggal di Kampung Tungau. So hari ni aku teman diorang balik rumah. Aku tak sempat tukar baju. Sebab diorang macam dah lambat. Follow jom!!
Selamat Pulang Ke Rumah Sayang
Satu hari tu aku janji dengan anak-anak murid aku ni, untuk hantar mereka pulang ke rumah. So that day, aku ajak pengawal keselamatan sekolah temankan aku. Maka pergilah aku berjalan bersama-sama mereka.
Perjalanan aku menghantar anak-anak aku ni ke rumah mereka yang tinggal di sekitar “Kampung Tungau” telah memakan masa 45 minit pergi dan 45 minit balik.
Boleh tengok sendiri turutan perjalanan anak-anak ni pergi dan balik sekolah setiap hari dalam keadaan macam ni. Haa, kalo nak rasa, boleh datang sini, kami boleh bawakan.
Pesan Emak, Baju Sekolah Pakai Bila Tiba Di Sekolah
Okeh, berbalik kepada cerita sebenar.
Setiap hari, dalam pukul 5.30 pagi diorang bangun bersiap ke sekolah. Kat rumah tak ada iron pun, mak diorang lipat-lipat baju sekolah anak dia letak dalam beg. Kumpul dengan kawan-kawan, bawa lampu suluh. Pukul 6.00 pagi nak gerak dah.
Ada la sorang dua parent teman hantar. Kadang-kadang jalan kaki menyusuri semak, bukit-bukit dan titian buluh tu untuk ke sekolah. 45 minit jalan kaki dalam hutan, sampai kat pagar belakang sekolah tu, diorang cari tempat lapang sikit. Then baru diorang sarungkan baju sekolah.
Tahu kenapa? Sebab parent dia pesan, “Jangan pakai lagi baju sekolah sayang”.
Ads
“Dalam perjalanan waktu dini hari nanti embun-embun pagi kat daun-daun tu akan buat baju basah, dan tanah-tanah yang lembab tu akan buat baju sekolah kotor. Karang sampai ke sekolah cikgu marah kalau baju kotor.” (translate dari bahasa semai).
So tahan la sikit comot kat pakaian sekolah tu. Then, kira-kira pukul 6.50 macam tu, bila dah siap-siap sarung pakaian sekolah tu baru diorang masuk pagar sekolah untuk makan RMT.
Pukul 7.25 pagi tu dah siap-siap nak berhimpun dah. Sama jugalah dengan waktu balik dari sekolah.
Diorang akan tanggalkan pakaian sekolah tu dulu. Letak dalam beg. Then pergi tadah makanan tengah hari dalam tupperware, lepas tu makan sambil jalan on the way balik. Ada tu makan sambil melompat-lompat pun ada. Biarlah. Budak-budak.
Jalan makin sempit. Semak semakin menebal. Aku nampak muka diorang penat sikit. Hmmmm. Jauh….
Asrama Terhad Untuk 200 Murid Yang Terlalu Jauh Di Pedalaman
Ada asrama sekolah. Tapi asrama tidak boleh menampung semua murid. Jadi asrama di hadkan pada +-200 murid yang tinggal di kawasan yang terlalu jauh sahaja. Jadi sebenarnya Kampung Tungau ni masih lagi tidak terlalu jauh…..(tapi sebenarnya jauh).
Dalam keadaan yang macam ni tak hairan lah diorang boleh jadi malas untuk ke sekolah, lewat datang dan lewat makan RMT, ataupun baju diorang tu akan kotor sangat.
Dan aku ni, dalam beberapa tahun mengajar kat sini duk asyik tanya dan marah diorang dengan soalan-soalan ni.
“Kenapa baju kotor sangat ni?”
“Awak ni kenapa lambat sangat datang, dah la baju kotor!”
Ads
“Dah kenapa awak selalu lewat makan pagi, lewat beratur.”
Bla bla bla… Kenapa tu.. Kenapa ni.. Bla bla bla.
Macam-macam, dengan nada bengis, kadang nada elok nasihat, kadang marah. Yang di mana aku menganggap mereka ni tidak faham tentang kebersihan, mahupun menepati masa untuk datang awal ke sekolah, ataupun kepentingan untuk datang belajar kesekolah. Tapi dalam situasi mereka ni, siapa sebenarnya yang tidak faham?
Masih lagi senyum-senyum keriangan. Cikgu temankan awk semua balik hari ni oke.
Walau Keadaan Sesukar Itu, Anak-anak Tetap Ke Sekolah
Rasa kejam dan rasa bersalah. Benar-benar memberi kesedaran pada aku. Yang memberikan tamparan lebih hebat pada aku, bila dalam keadaan mereka yang macam tu, tapi mereka tetap datang ke sekolah.
Ada beberapa orang tu memang kalau tak sakit, dia akan selalu datang. Dia awal, belajar elok, suka tolong cikgu buat itu ini. Dan aku tak nampak penat pun kat muka dia ni. Dan kawan-kawan dia yang lain pun ikut sama.
Ya, mereka hidup dengan apa adanya, gembira dengan apa yang ada, tidak merungut, sedar diri, dan ingin berusaha memperbaiki kehidupan. Semua ni buat aku lebih sedar tentang kenapa aku ditempatkan di pedalaman ni.
Even jalan aku susah untuk masuk ke sekolah ni denagn meredah sungai, jalan lereng bukit berselut dan sebagainya tu. Apalah sangat nak dibandingkan kesusahan yang sedikit tu dengan keperitan hidup anak-anak murid yang lebih memerlukan cikgu-cikgu dia untuk berada di sana.
Mmmmmm, banyak dah bebel.. Dah sampai rupanya kat kawasan sekitar kampung Tungau ni. Maafkan cikgu, cikgu dah marah awak semua tanpa memahami situasi awak sebenarnya.
Ads
Terima kasih jadi anak-anak murid yang sabar dan sayangkan cikgu.
Terima kasih kerana menghilangkan rasa penat cikgu dengan senyuman riang walaupun sebenarnya awk sangat penat. Comot-comot pun, cikgu tetap sayang.
Dah sampai rumah ni, semua salam cikgu dulu.
Melambai, sambil menahan sebak.
Selamat pulang ke rumah sayang.
Belantara Inilah Yang Anak-anak Redah Pergi Dan Balik Sekolah
Memulakan perjalanan dengan riang. Happy je diorang. Melompat-lompat sambil nyanyi-nyanyi.
Kemudian, lintas titian buluh yang kecil dalam semak-semak tu.
Lepas tu pulak ada titian kedua.Yang ni macam besar la sikit. Tapi besar tu jela gayanya. Mmmmmm. Yep, Dhaif perjalanan ni.. So boleh fikir tak waktu diorang mulakan perjalanan (berjalan kaki) dalam seawal pukul 5.45 or 6.00 pagi. Melalui semak samun dan titian-titian yang macam ni.
Naik turun bukit. Aku nampak semak samun dah makin menebal bila dah jauh ni. Masa ni dah dalam 20 minit perjalanan.
Terus jumpa titian ke tiga. Yang ni macam jauh sikit menitinya. Sebab sungai bawah tu macam lebar. Dini hari dengan beg sekolah. Bersama rakan-rakan yang beberapa orang je tu. Di jalan macam ni lah diorang pergi dan balik sekolah.
Aku yang mengada acah-acah nak masuk gambar.
Ini jambatan ke empat dah. Posing sini dulu. Rehat jap. Masa ni dah 30 minit perjalanan. Aku tunggu diorang basahkan badan dalam sungai. Then gerak semula. #myadorablekids
35 minit selepas itu.. Masih melompat-lompat. Dan tersenyum.
Naik bukit. Kat atas sana dah nak sampai ke Kampung Tungau. Cikgu dah lenguh sayang.
Bai baai Aku tanya dalam hati aku.. Kenapa awak semua ni still senyum………… Sambil melambai-lambai, sambil mata aku berkaca.
Inilah yang dikatakan cinta hingga ke hujung nyawa. 70 tahun melayari bahtera perkahwinan bukannya suatu jangka waktu yang sekejap.Isabell Whitney dan Prebel Staver berjaya membuktikan cinta mereka hingga ke akhir hayat.
Bertemu Sebelum Perang Dunia Kedua
Isabell Whitney dan Prebel Staver jatuh cinta pada pandangan pertama ketika bertemu dalam satu ‘blind date’ di Philadelphia. Namun, mereka terpaksa menghentikan sebentar perhubungan apabila Amerika Syarikat menyertai Perang Dunia Kedua. Isabell telah menyertai pasukan jururawat tentera laut yang berpangkalan di Maryland manakala Preble pula berkhidmat sebagai seorang Tentera Marin. Lima bulan selepas tamatnya peperangan, mereka terus ke jinjang pelamin pada 15 Feb 1946.
Pasangan ini dikurniakan lima orang anak sepanjang tempoh perkahwinan. Salah seorang anak mereka, Laurie Staver Clinton memberitahu majalah PEOPLE, “Mereka adalah orang yang sangat hebat. Ibu sering berpesan bahawa kita tidak boleh mengubah seseorang tetapi kita boleh mengubah sikap kita terhadap mereka. Ayah saya adalah seorang yang agak sukar untuk diuruskan!”
Tinggal Di Pusat Jagaan Norfolk
Pada tahun 2013, pasangan ini berpindah dan tinggal di sebuah pusat jagaan di Norfolk selepas Isabell mula menunjukkan tanda-tanda demensia. Preble sangat kecewa melihat keadaan demensia isterinya yang semakin teruk, sehingga bilik mereka terpaksa diasingkan.
Walaupun demensia Isabell semakin kronik, dia tetap mengingati suaminya yang dicintai. Menurut Laurie, mereka perlu sentiasa meminta Isabell untuk fokus dan melihat. Namun, setiap kali Isabell melihat dan tahu itu adalah suaminya, dia akan terus tersenyum.
Semasa usia Preble hampir mencecah 96 tahun, dia memberitahu anaknya yang dia mahu berkongsi katil untuk tidur sejenak bersama Isabell. Jadi, para pekerja membuat persiapan dan menguruskan agar permintaan Preble dipenuhi.
Apabila pekerja menolak kerusi roda Isabell masuk ke dalam bilik, Isabell menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi kepada Preble. Pasangan itu kemudian berbaring di samping satu sama lain selama tiga jam tanpa mengucapkan walau sepatah kata. Mereka hanya berpegangan tangan dengan erat sehingga tertidur. Preble berasa sangat gembira kerana itu merupakan hadiah hari lahir paling bermakna daripada Isabell.
Beberapa hari selepas itu, Laurie dimaklumkan yang dia perlu mengucapkan selamat tinggal kepada ibunya. Laurie turut membawa ayahnya berjumpa ibu untuk memberikan kata-kata terakhir mereka.
Beza 14 Jam, Meninggal Hari Yang Sama
Preble hanya memegang tangan Isabell. Laurie bertanya pada ayahnya sama ada dia mahu ditinggalkan di situ selepas berdoa, namun dia menggelengkan kepala. Laurie memberitahu ayahnya, jika dia tidak mahu menghabiskan masa di situ, dia perlu melepaskan tangan ibu. Preble menitiskan air mata dan dibawa pergi.
Isabell menghembuskan nafas tidak lama selepas itu. 14 jam kemudian, Preble turut sama menutup mata buat selama-lamanya.
Pasangan yang sangat sweet ini dilahirkan dengan beza hanya 14 hari pada tahun yang sama dan meninggal 14 jam perbezaan pada hari yang sama.
Preble dan Isabel bersama-sama mengharungi 70 tahun usia perkahwinan dengan penuh komitmen. Tidak kira apabila hidup menjadi sukar ataupun menemui apa-apa halangan dan onak duri, mereka tetap tempuhi bersama sehingga ke akhir hayat.
Sebak guru ini, Muhammad Yusof mengenangkan orang tua anak muridnya ini. Tak Mampu menghantar anaknya demam ke klinik. Anaknya itu adalah pelajar asrama tempatnya mengajar.
Minggu itu pelajarnya mendapat kebenaran pulang ke rumah mereka. Sebaik tiba waktu untuk pulang ke asrama anaknya tidak dapat melakukannya kerana mengalami demam.
Menurut doktor, ada prosedur yang ibu ayahnya perlu ikut memandangkan anaknya itu adalah pelajar asrama. Walau bagaimana, guru ini berasa sebak kerana orang tua muridnya itu tidak mampu menghantar anaknya ke klinik.
Katanya, duit gajinya tinggal cukup makan saja. Memandangkan gajinya barunya belum masuk.
Semakin sebak gurunya, dan inilah tindakan baik yang gurunya lakukan.
Ibu Ayahnya Tak Mampu Hantar Anak Demam Ke Klinik
Kebetulan minggu ni budak asrama saya pulang bermalam dan hari ni sepatutnya mereka kena pulang ke asrama tapi ada parent budak asrama mesej saya, ‘cikgu, anak saya demam.’ Saya balas bagitau prosedur supaya kalau boleh anaknya dapatkan rawatan dan dapatkan surat MC.
Lama dia seen mesej saya. Sejam lepas tu parent tu mesej saya semula. ‘Cikgu, boleh tak saya tulis surat rasmi je cikgu sebab gaji saya lambat lagi.. Saya cuba korek sana sini, tapi tinggal cukup nak makan je cikgu’.
Bila dapat mesej macam tu terus saya rasa bersalah. Kebetulan saya baru gaji, terus saya mesej untuk minta akaun untuk dia hantar anaknya ke klinik.
Dia balas ‘terima kasih banyak cikgu, malu sebenarnya nak cerita kat cikgu tapi sebab nak bagi anak sihat je ni. Nanti dah gaji cikgu bagi nombor akaun cikgu ya, saya bayar..’. Saya jawab takpe puan, moga anak puan cepat sembuh.
Pesanan Untuk Murid Agar Hargai Pengorbanan Mak Ayah
Itulah.. Saya selalu pesan kat budak-budak sekolah saya supaya ingatlah jasa mak ayah dorang. Belajarlah sungguh-sungguh. Janganlah buat benda pelik-pelik yang boleh malukan mak ayah dorang.
Kalaulah anak-anak ni tau macamana susahnya mak ayah dorang cari duit, rasanya takde yang akan keluarkan konten pelik-pelik contohnya dapat 9G dalam SPM pun bangga nak viral satu Malaysia.
Pada saya, kegagalan bukanlah sesuatu untuk dibanggakan. Balaslah jasa mak ayah dengan sesuatu yang betul-betul ‘membanggakan’ kedua ibubapa. Membanggakan ibubapa maksudnya kita bahagiakanlah kedua ibubapa kita dunia akhirat.
Bahagiakan perasaan mereka. Bahagiakan kehidupan mereka sebaik mungkin bila kita sebagai anak dah ada sedikit kemampuan. Saya rasa pesanan ni relevan untuk semua anak-anak kita.
Kadang dorang nampak senang je mak ayah hulur duit kat dorang setiap hari, tapi dalam sedar tak sedar dorang tak tahu macamana peritnya mak ayah kerja pagi sampai malam nak dapatkan sesuap nasi tu, hanya Tuhan yang tahu
Nota: Saya tulis ni bukanlah nak bagitau yang saya ni orang baik. Selalu tolong orang. Bukan. Saya hanya insan yang banyak dosa cuma saya ingin berkongsi pesan arwah mak saya ‘kalau kita jaga anak orang baik-baik, nanti satu hari nanti orang akan jaga anak kita baik-baik..’. Pesan mak saya ni saya ni saya pegang betul-betul.
Mingguan Wanita :Sungguh terharu dengan usaha guru ini sedia membantu keluarga pelajarnya itu.
Kekurangan diri yang terdapat padanya sejak dari lahir lagi sedikitpun tidak dijadikan alasan untuk berjaya dalam bidang yang diceburi. Meskipun keadaan fizikal yang memerlukan Samrul Anuar, 35 menggunakan kerusi roda untuk bergerak, langsung tidak membataskannya untuk mencapai kejayaan dalam bidang jualan yang baru sahaja disertainya sejak dua tahun yang lalu.
Lebih dikenali dengan nama Anuar dikalangan keluarga dan teman-teman, berasal dari Pahang dan merupakan anak pertama daripada enam orang adik-beradik ini tidak sama sekali membebankan keluarga dalam meneruskan kehidupan. Malah Anuar yang kini merupakan Pengurus Jualan bagi sebuah jenama penapis air dari Korea ini lebih suka berdikari dan tidak menyusahkan ahli keluarga dan rakan terdekat.
“Saya memang dilahirkan tidak sempurna. Tapi saya tak jadikan itu semua penghalang untuk saya teruskan kehidupan. kalau ikutkan memang saya banyak kekurangan, dengan keadaan fizikal tidak normal membuatkan saya tidak dapat bersekolah. Struktur tulang yang tidak kuat membataskan pergerakan saya, kalau tersalah langkah boleh menyebabkan tulang saya patah. Jadi saya banyak belajar dengan arwah ibu saya dan adik-beradik yang lain untuk mengenal huruf dan sebagainya.
“Sepanjang usia saya, saya memang dengan keluarga sahaja di Jengka. Hanya pada tahun 2005 barulah saya keluar daripada kampung dan tinggal berjauhan dengan keluarga. Itupun kerana saya ingin memajukan diri dan mula belajar di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP), Bangi, Selangor. Dua tahun saya belajar kemahiran di sana sehingga tahun 2006. Sejak itu saya mula berdikari dan mencari pekerjaan yang sesuai,” ujar Anuar tentang kehidupannya.
Ke bidang jualan
Sebelum memulakan karier dalam bidang jualan, Anuar pernah berkhidmat dengan Persatuan Kebajikan Anak Yatim Malaysia, di Pos Malaysia bahagian Pengurusan Wakaf di Putra Heights. Malah menurutnya lagi, dua minggu sebelum memulakan kerjaya sebagai ejen jualan, dia turut mendapat tawaran kerja lain. Tapi oleh kerana keadaan yang tidak mengizinkan, tawaran kerja tersebut terpaksa di tolak.
“Sebelum saya berhenti daripada kerja lama, dua minggu sebelum itu saya dapat tiga tawaran kerja. Dua kerja dalam bidang pengurusan yang memerlukan saya berada di pejabat dan satu dalam bahagian jualan. Tawaran kerja di pejabat membataskan pergerakan saya kerana berada di tingkat atas bangunan dan tidak mempunyai lif, jadi sukar untuk saya bergerak, maka saya terima sahaja kerja dalam bahagian jualan.
“ Selepas ditemuramah oleh bos saya, Encik Muiz, dia ada bertanya betul ke saya nak masuk dalam bidang ini? Saya jawab ya saya nak tapi saya tak berani nak target jualan yang tinggi macam orang lain. Sejujurnya pada awalnya memang saya ada terfikir, boleh ke saya nak yakinkan orang untuk dapatkan produk saya dengan keadaan saya yang berkerusi roda, nak bersaing dengan rakan lain yang sempurna.
“Saya fikir semasak-masaknya, dan saya kuatkan semangat serta mahu beri peluang kepada diri sendiri untuk mencuba sesuatu yang tak pernah saya buat dalam hidup. Jadi saya teruskan dan bertekad. Dari situ saya tak pandang belakang lagi dan Alhamdullilah saya berjaya sampai ke tahap ini,”cerita Anuar tentang penglibatannya dalam bidang jualan.
Bersama En.Muiz yang banyak membantu Anuar
Pengurus Jualan
Dua tahun dalam bidang jualan, dari seorang ejen biasa Anuar kini sudah melangkah setapak ke hadapan apabila berjaya meletakkan dirinya sebagai pengurus jualan untuk jenama tersebut. Malah Anuar juga mempunyai rancangan untuk mempunyai booth jualannya sendiri tidak lama lagi.
“Alhamdulilah dua tahun saya menjadi ejen, saya dinaikkan pangkat menjadi Pengurus Jualan. Dalam team, hanya saya seorang Orang Kurang Upaya (OKU).
“Nak bersaing dengan orang normal itu memang agak mencabar untuk saya. Jika rakan yang lain perlu berusaha untuk mencapai target yang telah ditetapkan dengan mudah, saya pula perlu berusaha dua kali ganda daripada mereka. Kalau mereka kerja enam jam, saya kena kerja 12 jam. Saya masih ingat hari pertama bertugas, 12 jam berkempen barulah saya mendapat pelanggan pertama saya. Tapi itu semua tidak buat saya putus asa, malah saya terus belajar untuk memperbaiki hasil jualan saya setiap hari. Masa saya mula-mula masuk dalam bidang ini, ketua saya Encik Muiz banyak membantu. Dialah yang ajar saya daripada tentang pengetahuan tentang dan sebagainya.
“Cabaran lain yang saya hadapi pada permulaan karier adalah tanggapan rakan-rakan sepasukan sendiri. Melihat kepada keadaan fizikal saya yang serba kekurangan membuatkan mereka mungkin tertanya-tanya dalam hati adakah orang seperti saya boleh berjaya dalam bidang jualan yang mencabar ini? Tapi bagi saya, saya juga boleh berjaya seperti individu normal yang lain walaupun punya kekurangan daripada aspek fizikal khususnya. Jadi saya bersaing secara sihat.
“Usaha lebih, datang awal, dapatkan ilmu tentang produk yang saya jual. Saya belajar dan samakan diri dengan orang lain. Sebulan lebih saya ambil masa untuk belajar semua itu barulah saya rasa saya dapat bersaing dengan rakan-rakan lain. Syukur usaha saya itu membuahkan hasil, dan Alhamdullilah kini saya melangkah ke peringkat yang lebih tinggi,” ujar Anuar penuh bersemangat.
Kekurangan yang ada ditambah dengan menggunakan kerusi roda untuk bergerak tidak membataskan pergerakan Anuar dalam urusan seharian. Menurut Anuar dengan adanya perkhidmatan seperti Grab memudahkan dirinya untuk bergerak dari rumah ke destinasi yang lain.
“Bila kerja dengan Cuckoo sampai sekarang saya banyak gunakan perkhidmatan Grab untuk ke Brand Store di USJ, kadang ke ofis di Kuala Lumpur dan untuk temujanji dengan pelanggan.Memang ia sangat membantu orang seperti saya.
Sentiasa bersemangat.
Tidak menafikan ada ketikanya diri terasa kerdil apabila berada di samping individu normal yang lain, namun Anuar ada cara tersendiri untuk kembalikan semangatnya.
“Tipulah kalau saya kata tak pernah rasa rendah diri dengan keadaan saya. Tapi biasanya kalau saya rasa down, saya akan cari kawan baik saya yang juga OKU. Kami berkawan sejak belajar di ILPP, sejak itu kami menjadi kawan baik. Kepada dialah saya selalu bercerita jika punya masalah dan begitu juga sebaliknya.
“Kawan-kawan yang lain juga memang banyak membantu, terutamanya kawan-kawan dalam bidang jualan. Tapi saya punya prinsip sendiri. Selagi mampu saya akan cuba lakukan sendiri tanpa meminta bantuan orang lain. Kalau betul-betul memerlukan atau terbatas barulah saya minta bantuan rakan-rakan.”
Anuar ingin jadi contoh kepada OKU lain
Ingin terus mencipta kejayaan dalam hidupnya meskipun diri tidak sesempurna insan lain, semangat dan tekad Anuar seharusnya menjadi contoh buat OKU lain untuk meneruskan kehidupan.
“Kalau boleh saya mahu lebih berjaya dalam kehidupan walaupun fizikal saya tidak sesempurna orang lain. Itu sedikitpun tidak menghalang saya untuk berusaha seperti orang lain. Saya tengah mencari ejen baru, terutamanya dari kalangan OKU seperti saya. Saya nak buktikan bahawa orang seperti kami juga boleh berjaya seperti individu normal yang lain. Paling penting rajin berusaha dan tanamkan minat dalam apa yang diceburi,”akhiri Anuar menamatkan perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Gula-gula gummy bebas dijual di pasaran, jelly berisiko tercekik bagi kanak-kanak. Kejadian tragis melibatkan adik Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, seorang kanak-kanak berusia 10...