Jangan normalisasikan maksiat, Dr Ahmad Sanusi. Dalam dunia hari ini, kita semakin melihat perkara yang dahulunya dianggap salah, kini diterima sebagai kebiasaan. Sama ada dalam media sosial, hiburan, mahupun kehidupan seharian, batasan antara yang baik dan yang buruk semakin kabur.
Jangan Normalisasikan Maksiat – Dr Ahmad Sanusi
Media Sosial: Alat Normalisasi Maksiat?
Tidak dapat dinafikan bahawa media sosial memainkan peranan besar dalam membentuk pemikiran masyarakat hari ini. Apa yang dulunya dianggap tabu kini menjadi perkara biasa, hanya kerana ia kerap dipaparkan di skrin telefon kita. Pergaulan bebas dipamerkan secara terbuka, pakaian seksi dianggap fesyen, hiburan melalaikan dijadikan norma – semuanya ini dilakukan tanpa rasa bersalah.
Lebih membimbangkan, ramai yang berbangga dengan perbuatan maksiat. Jika dahulu orang melakukan dosa dalam sembunyi, kini ia dipamerkan untuk mendapat likes dan followers. Kita seakan-akan lupa bahawa Allah sentiasa melihat, walaupun manusia tidak.
Jangan Biasa Dengan Dosa
Apabila kita terlalu kerap melihat sesuatu perkara, kita akan menjadi terbiasa dengannya. Inilah bahaya normalisasi maksiat. Apa yang pada awalnya membuat kita rasa janggal atau bersalah, lama-kelamaan kita anggap biasa sahaja. Daripada biasa, kita mula membela dan mempertahankan. Akhirnya, kita sendiri jadi sebahagian daripada budaya itu.
Sedar atau tidak, inilah yang sedang berlaku. Dosa tidak lagi dirasakan sebagai satu kesalahan. Malah, orang yang menegur pula dianggap “kolot”, “bajet alim”, atau “suka jaga tepi kain orang”.
Ini bukan soal menjadi terlalu konservatif atau menghukum orang lain, tetapi tentang menjaga nilai moral dan agama yang sepatutnya menjadi pegangan hidup kita.
1. Bagi yang belum berkahwin, janganlah pula kita menormalisasikan perkara yang dilarang oleh Allah. Bertepuk tampar sesama pasangan yang belum mempunyai sebarang hubungan yang sah adalah dicegah dalam Islam.
Ads
2. Rasulullah memberikan amaran yang keras kepada pasangan yang bercinta namun mereka seronok berpegangan tangan.
“Andai sekiranya kepala salah seorang di antara kamu ditusuk dengan jarum besi itu adalah lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal buat dirinya.” (HR al-Tabrani)
3. Apatah lagi sekiranya yang melakukan itu merupakan seorang yang dikenali ramai, namun dia menunjukkan contoh yang bercanggah dengan perintah Allah. Sekiranya perbuatan melakukan maksiat ini diikuti oleh anak muda yang lain, maka dia akan menanggung dosa orang yang mengikuti perbuatannya itu.
“Dan barangsiapa yang melakukan perbuatan jahat dalam Islam, lalu diikuti oleh orang yang lain, maka akan ditulis baginya dosa bagi orang yang melakukan perbuatan tadi, tidak berkurang sedikit pun dari dosa tersebut.” (HR Muslim)
4. Bagi orang awam pula, janganlah menunjukkan sokongan terhadap perbuatan yang bertentangan dengan syarak. Jangan pula kita berkongsi dan turut menyebarkan kerosakan ini. Malah kerosakan yang disenyapkan ini mengundang azab Allah.
Sabda Rasulullah:
ما من قومٍ يُعْمَل فيهم المعاصي، ثم يقدرون على أن يغيِّروا ثم لايغيروا؛ إلا ويوشك الله أن يعمَّهم بعقابٍ
“Tidak ada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dikalangan mereka yang mampu mencegahnya namun mereka tidak mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya” (HR Abu Daud)
Ads
Semoga Allah membimbing kita.
Maksiat tidak sepatutnya dinormalisasikan, walau dalam apa jua bentuk sekalipun. Islam bukan agama yang menyekat kebebasan, tetapi agama yang membimbing kita ke jalan yang benar. Jika kita benar-benar sayangkan agama, sayangkan diri, dan sayangkan masyarakat, kita harus berani berkata tidak kepada budaya normalisasi maksiat.
Kerana yang salah tetap salah, walaupun ramai yang melakukannya. Dan yang benar tetap benar, walaupun hanya sedikit yang mengikutinya.
Grup WhatsApp bukan perkara asing. Rasanya rata-rata orang ada memiliki beberapa grup whatsApp seperti grup teman sekolah, teman sepejabat, jiran setaman dan sebagainya.
Namun, orang selalu fikirkan lebih kepada negatif. Mula-mula memang diwujudkan untuk menyambung silalaturahim tapi akhirnya ke lain pula. Ada yang bertukar jadi grup membawang!
Grup WhatsApp Tali Penghubung
Zaman sudah canggih. Walau dalam tempoh PKP dan ramai yang terpaksa berkurung di rumah, namun masih ada cara untuk mengumpul pahala bersama rakan-rakan atau adik beradik tanpa perlu keluar rumah dan bersemuka.
Oleh sebab itu, terdapat pelbagai cara untuk kita menyambung silaturrahim dan meraih pahala bersama-sama.
Begitu juga yang dilakukan oleh Hamidah Abdul Aziz. Menurutnya, wanita yang bekerja atau yang sibuk menguruskan keluarga di rumah, terdapat pelbagai cara untuk meraih pahala. https://www.facebook.com/hamidah.ronif
“ Bagi kita ibu yang bekerja, kesibukan memang tak boleh nak elak. Tapi Alhamdulillah, ada kemudahan whatsApp untuk kita berhubung dan belajar dalam grup tanpa perlu terkejar-kejar.” Ujarnya memulakan perbualan.
Empat Grup whatsApp Berkaitan Agama
Tambah Hamidah, antaranya grup WhatsApp yang diikutinya ialah grup khatam al-Quran di sebelah keluarga suaminya, Abdul Ronif Jamaluddin, grup khatam di kalangan adik beradiknya dan satu grup khatam komuniti kampung.
“ Saya juga ada menyertai satu grup untuk belajar tajwid dengan keluarga sebelah suami. Bagi saya, untuk belajar agama, tak perlu beri alasan tak ada masa untuk menghadiri kelas-kelas agama. Bahkan, sekarang ini terutama pada musim PKP ini banyak pengajian agama yang dilakukan secara online.
“ Grup WhatsApp yang paling ramai saya sertai ialah grup khatam kampung saya. Kami akan update tiap juzuk yang kami baca di dalam grup. Selepas habis baca juzuk itu akan disambung juzuk seterusnya hingga khatam. Memang seronok sebab grup ni paling cepat khatam. Kaum bapa paling cepat habiskan satu-satu juzuk.” Jelasnya lagi.
Grup WhatsApp Penyambung Silaturahim
Menerusi whatsApp komuniti kampung juga, penduduk akan saling bertanya khabar penduduk sekampung sepanjang PKP, mungkin ada yang tak dapat bekerja dan sebagainya. Jadi bantuan yang diedar dan bantuan barang makanan yang sedia ada diletakkan untuk diambil bila bila masa.
Perkembangan semasa kuliah ceramah dan isu agama yg dihantar melalui aplikasi whatsApp ini juga membolehkan kita belajar secara santai pada saya.sambil rehat kita buka dan dengar. Memang rasa seronok sebab semua yang bagi ceramah dan kuliah itu orang-orang yang hebat.
Persiapkan Ruang Khas
Berkongsi tentang mengimarahkan al-Quran dalam famili, Hamidah memberitahu, sebelum masuk Ramadan lagi dia sudah mempersiapkan ruang khas untuk dia meletakkan al-Quran di ruang tamu.
“ Saya sebagai ibu, sebelum masuk bulan Ramadan dan siapkan ruang untuk saya letakkan al-Quran di ruang tamu. Saya susun siap-siap di situ supaya mudah anak anak buka dan baca. Anak anak, Nur Aishah Hafilah, Muhammad Aided dan Muhammad Aideen Arief, dah besar, tak perlu arahan dan mereka akan buat sendiri. Pagi selepas solat subuh dan setiap kali lepas solat adalah waktu masing-masing akan mengaji. Anak bongsu saya, Aideen Arief telah mampu hafaz 32 surah masa dia berusia 4 tahun,” kongsinya.
Jangan Berhenti Berdoa
Jelas Hamidah yang merupakan seorang guru, untuk menyemai dan tanam rasa cinta kepada al-Quran dalam diri kita dan anak-anak, saya selalu mohon doa kepada Allah, agar Allah jadikan saya dan seluruh keluarga cinta dan sayangkan al-Quran.
“ Saya bukan ada latar pendidikan agama macam anak-anak dan suami. Itu yang menyebabkan saya rasa saya kena belajar lebih gigih menimba ilmu agama. Susah payah kita kerana Allah adalah sebagai persediaan di alam kubur.
“ Saya sentiasa ingat satu ayat yang lebih kurang maksudnya; barangsiapa yg menuntut ilmu maka Allah akan permudahkan jalan untuknya ke syurga. Jadi kena sentiasa menuntut ilmu selagi ada peluang dan peluang itu kena cari dan rebut.” Akhirinya.
Jaga solat kerana solat itu adalah tiang agama. Mari kita mulai kehidupan tahun baru ini dengan muhasabah diri. Kita tinggalkan pengalaman tahun lalu dengan keazaman untuk melalukan sesuatu yang lebih baik pada tahun ini.
Mendepani kehidupan yang serba mencabar, kita perlu kembali kepada asas-asas kehidupan yang dituntut dalam Islam. Antara yang sangat diperlukan adalah kesyukuran.
Ibadah Malam Rasulullah
Bercerita mengenai syukur, sirah tentang ibadah malam Rasulullah s.a.w hingga bengkak-bengkak kaki menjadi motivasi untuk dicontohi. Bila Saidatina Aisyah r.a. bertanya kenapa dilakukan sampai begitu rupa, baginda ingin menjadi hamba Allah SWT yang sentiasa ingin bersyukur (‘abdan syakura).
Keinginan untuk menjadi hamba yang sentiasa bersyukur ini perlu meresap di dalam sanubari muslim mukmin. Ia menjadi tuntutan daripada satu ayat dalam surah al-Fatihah yang dibaca saban waktu, “Hanya kepada Engkau kami menyembah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan”.
Ikrar ini meletakkan manusia berstatus sebagai hamba kepada Tuhan. Antara tanggungjawab hamba tentunya memiliki perasaan bersyukur kepada-Nya.
Pelihara dan Jaga Kefarduan Solat
Bila Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa amalan pertama yang bakal disoal di hari pembalasan adalah solat, dan ia penentu penerimaan atau penolakan amalan-amalan lain, maka jelas kedudukan solat di dalam kehidupan seseorang muslim.
Justeru itu, kayu ukur tanda bersyukur kepada Tuhan adalah dengan menilai solat yang dikerjakan. Individu perlu bermuhasabah tentang solat yang dikerjakan saban waktu agar solat yang dikerjakan itu benar-benar menjadi tanda kesyukuran kepada Tuhan.
Muhasabah Tentang Solat
Bagaimana bermuhasabah tentang solat? Bila mengerjakan solat, individu meyakini bahawa solat yang dikerjakan berlaku dengan izin-Nya. Maksudnya, individu merasai bahawa Tuhan beri pertolongan untuk bersolat. Tuhan buka hati untuk menunaikannya. Tuhan memudahkan segala urusan berkaitan solat. Dia meyakini Tuhan kurniakan perasaan khusyuk serta kehadiran hati sewaktu dalam solat.
Mohon juga agar solat yang dilakukannya itu datang daripada kurniaan kasih sayang-Nya. Dengan kata lain, Tuhan menyayangi dirinya dan Tuhan berkehendakkan dirinya menjadi hamba yang pandai bersyukur. Maka dengan sifat kasih sayang-Nya (al-Rahman dan al-Rahim), Tuhan rezekikan kemudahan untuknya bersolat.
Kejayaan Didahului Dengan Jaga Solat
Sesungguhnya Allah SWT menjanjikan kejayaan dan kecemerlangan hidup melalui solat. “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1 – 2)
Dengan memperbanyakkan solat serta memelihara waktu dan kualitinya, seseorang mengukuhkan nilai ketakwaan diri. Nilai ketakwaan bakal menambah rezekinya. Bukankah Tuhan menjanjikan rezeki yang luas melalui jalan yang tidak disangka-sangka kepada orang-orang yang bertakwa!
Maksudnya, cara betul seseorang beroleh rezeki adalah melalui ibadah solat yang dikerjakan demi mencari keredaan Tuhan. Solat dipelihara maka barulah rezeki akan dilimpahkan kepada seseorang sebagai memenuhi janji Tuhan kepada hamba yang bertakwa serta banyak bersyukur.
Bagaimana jika nikmat atau rezeki yang diperoleh itu tidak didahului dengan solat? Nikmat diperoleh dalam keadaan seseorang masih cuai atau meninggalkan solat, atau solat dalam keadaan leka dan lalai. Maka nikmat yang diperoleh itu belum menepati syarat sebagai rezeki Tuhan yang penuh berkat.
Rezeki dalam bentuk sedemikian belum mampu menambah kesyukuran dalam hati. Ia hanya menjauhkan seseorang daripada Tuhan, sambil menambah keegoan dan kesombongan diri. Ia bakal menjerumuskan seseorang ke lembah kebinasaan “al-Istidraj” sebagai tanda kemurkaan Tuhan kepada seseorang hamba.
Jaga Kualiti Solat
Dalam hal ini, maka tidak salah untuk bertanya kepada orang-orang yang sering dilanda masalah hidup tentang solatnya atau tentang kekhusyukan solat yang mereka lakukan. Kita khuatir masalah itu sebagai tanda Tuhan tidak memandangnya dengan pandangan rahmat dan kasih sayang-Nya.
Memang masalah hidup itu ujian Tuhan, namun solat yang menjadi keutamaan dalam hidup mampu memberi kekuatan emosi dan spiritual, lantas menyuburkan kesyukuran dalam hati.
Rasa Syukur Ubah Persepsi Masalah
Dengan kesyukuran itu maka persepsi tentang masalah hidup yang dihadapi mampu ditukar menjadi ujian Tuhan yang penuh hikmah untuk disyukuri. Lalu terhindar diri daripada sebarang rungutan, kekecewaan dan berburuk-sangka kepada Tuhan.
Semoga tahun baru ini menjanjikan kebahagiaan dan ketenangan hidup untuk kita. Tidak salah mengejar kejayaan yang dicita-citakan, namun jangan lupa untuk sentiasa bersyukur serta memelihara kefarduan solat. Mudah-mudahan kita dikurniakan rezeki yang berkat oleh-Nya, insya-Allah.
Selalunya kalau kita nak lakukan sesuatu, ada amalkan doa tertentu yang dikhaskan. Contohnya, doa makan, menaiki kenderaan, doa tidur dan sebagainya. Doa supaya kita sentiasa dalam lindunganNya.
Namun, tanpa kita sedar, setiap doa itu tidak hanya khususkan pada apa yang ingin kita lakukan. Kita boleh saja baca bila-bila masa. Yang penting kita faham maksud, insya Allah akan makbul dengan izinNya.
Begitu juga dengan doa makan, jangan hadkan doa untuk makan saja. Mustajabnya sesuatu doa bika kita yakin dan faham maksudnya.
Inilah antara perkongsian daripada Sharifah Nurzehan tentang apa yang dikatakan doa makan bukan hanya sekadar doa makan.
Isteri ditinggalkan suami selepas derita kanser payudara, tak mampu bekerja sara dua anak. Berat ujian seorang isteri apabila dia ditinggalkan suami selepas mengambil keputusan...