Selera manusia ini sukar dijangka. Berbeza saban hari menunya. Kalau asyik makan makanan yang sama jemu juga kan. Mingguan Wanita TalkShow hari ini membincangkan topik berkenaan Ketagih Jeruk yang dikendalikan oleh Kak Engku. Menurut Nurul Zaiza Zainuddin yang merupakan Pakar Nutrisi Bahagian Pemakanan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) trend makan jeruk ni sudah menjadi sebahagian dari habit masyarakat Malaysia. Tak salah makan jeruk, tapi yang salah kalau kekerapan makan jeruk itu sehingga menjadi obses.
“Sejak jeruk mangga menjadi viral dan mudah didapati, menjadikan jeruk menjadi kegemaran rakyat Malaysia. Kalau dulu, kita sering dimomokkan dengan orang mengandung kalau mengidam dia mesti suka makan sesuatu yang masam-masam; seperti jeruk. Tak salah kalau kita makan jeruk…sesekali. Tetapi tidaklah sehingga makan jeruk dengan keterlaluan sampai lupa mengambil makanan yang berkhasiat.
“Satu lagi suka juga saya syorkan ibu-ibu hamil ataupun mereka yang gemar makan jeruk, ubah menu anda dengan menggantikannya dengan buah-buahan bersifat masam bagi melegakan rasa loya ataupun teringin. Ini kerana buah lebih berkhasiat dan tidak mengandungi kandungan gula dan garam tambahan yang boleh mengundang penyakit darah tinggi dan juga kencing manis,”jelas Nurul Zaiza.
Kimchi & Tempe
Tidak semua produk yang dijerukkan itu tidak bermanfaat. Sekadar mengambil contoh manfaat yang terdapat di dalam jeruk maman misalnya, baik untuk kesihatan.
“Jika proses penapaian atau dijerukkan itu tidak menggunakan tambahan garam mahupun gula dan cuka, ia boleh diambil tanpa bimbang. Sebaliknya kalau kandungan bahan tambahan itu ada, berpada-padalah makan…Mungkin ramai juga yang tak tahu, makanan yang melalui proses penapaian seperti kimchi, tempe, budu dan cencalok mengandungi kandungan probiotik yang tinggi. Probiotik adalah mikroorganisma hidup yang memberikan manfaat kesihatan jika diambil dalam amaun yang mencukupi. Dalam bahasa mudahnya probiotik itu adalah kuman baik yang bermanfaat kepada tubuh,”jelasnya.
Mingguan Wanita TalkShow turut mengundang Chef Adu Amran dan dengan bantuan kak Engku mereka berdua bersama menghasilkan dua resipi menggunakan jeruk kedondong yang boleh bikin kecur air liur. Jika anda terlepas cerita menarik dan nak tau sejauh mana manfaat jeruk, jangan lupa saksikan ulangan Mingguan Wanita TalkShow jam 8 malam ini di Astro Prima 105 dan Prima HD 121.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI