Jangan Main-Main Dengan Sedekah, Banyak Keajaibannya Kita Tak Sangka Muncul…

Share

Ya…Jangan main-main dengan sedekah. Sedekah itu, banyak keajaibannya. Hanya orang yang biasa bersedekah sahaja yang dapat merasainya.

Hulur RM50, Dapat RM1,500

Pernah berlaku, seorang sahabat saya memberi sedekah RM50 kepada seorang lelaki yang kelaparan bersama anaknya. Padahal, masa itu di dalam kocek sahabat saya itu, hanya itulah duit yang dia ada. Tapi, dia jenis orang yang tidak boleh nampak orang lain susah. Dirogoh juga saku seluarnya. Dia pejamkan mata lalu RM50 pun bertukar tangan.

Sedekah suburkan rezeki.

Selepas itu, sahabat saya pun meneruskan niatnya. Mengunjungi seorang kenalan yang sedang sakit di hospital. Di sanalah keajaiban itu bermula.

“Lan, engkau ada apa-apa urusan ke lepas ini?”


Seorang kenalan kepada sahabat saya yang sama-sama mengunjungi sahabat yang sakit di hospital bertanya kepada sahabat saya.
“Tak ada. Aku free…” Balas sahabat baik saya itu.
“Okay. Aku nak jumpa seorang kawan di restoran . Jika engkau free, jom ikut aku.”
Pelawa lelaki berkenaan kepada sahabat saya itu.

Ringkas cerita, sahabat saya pun mengikutinya. Di restoran itu, berlakulah keajaiban seterusnya.

“Saya memang sedang mencari mana-mana akauntan yang boleh buat audit dan akaun syarikat saya. Tuan ada kenal mana-mana akauntan yang bertauliah?”
Lelaki yang ditemui di restoran berkenaan bertanya kepada kenalan sahabat saya.
“Apa susah-susah. Ini ha, sahabat baik saya ini, si Razlan. Dia memang akauntan bertauliah, malah juruaudit terlatih lagi.”
Balas kenalan sahabat saya.
Wah…Alhamdulillah. Jika begitu, saya minta tuan sahajalah uruskan akaun saya. Boleh?” Ujarnya lagi, dengan wajah ceria dan mengharap.
Lalu di saat inilah, berlakunya keajaiban ketiga. Ya, hari itu sahabat baik saya telah mendapat sekeping cek bernilai RM1,500.00. Jumlah itu adalah pendahuluan untuk kerja-kerja yang baharu sahaja dia dapatkan.

Sedekah mengajar kita untuk lebih bersyukur.

Kisah Benar Keajaiban Sedekah

Ada satu lagi kisah benar. Ia berlaku ke atas diri saya sendiri. Tahun 2013, saya mendapat tawaran dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk mengerjakan umrah. Melonjak rasanya hati. Suatu hari, saya ke Kaunter Zakat Selangor di Selayang. Tujuannya, untuk menunaikan sebahagian zakat.

Pulang daripada menunaikan zakat, saya keletihan lalu tidur. Tidak lama, isteri datang mengejutkan.
“Abang, tadi orang daripada wakil kesihatan datang. Mereka buat pemeriksaan jentik-jentik mengejut…”
“Habis tu…” Saya terkejut, bingkas duduk, memotong sebelum sempat isteri saya menamatkan cerita.
“Mereka jumpa jentik-jentik, bang. Ikutkan boleh kena denda. Tapi, mereka bagi amaran sahaja dan juga ubat jentik-jentik.” Isteri saya terus menerangkan.

Saya termanggu. Kata isteri saya, jika diikutkan kami boleh didenda sehingga ratusan ringgit. Namun, kebaikan hati pihak berkuasa berkenaan telah meringankan dengan diberikan amaran dan juga ubat pemati jentik-jentik.

Yakin

Hakikatnya, saya yakin. Itulah keajaiban sedekah. Bukankah pagi tadi, saya baharu sahaja menunaikan zakat. Zakat adalah sedekah wajib. Tidak mustahil, itulah punca mereka menjadi baik hati.

Bayangkan. Saya mahu ke Mekah mengerjakan umrah. Pasti saya memerlukan wang yang banyak. Didenda pula kerana ‘memelihara’ jentik-jentik. Tentu ia mengganggu saya. Mengganggu kewangan saya.

Moral daripada cerita di atas apa? Ya, jangan main-main dengan sedekah. Jangan takut untuk bersedekah. Ia adalah cara paling mudah menjemput rezeki. Jika tidak yakin, maka bertaubatlah. Kerana bersedekah dan berzakat, memang dijamin Allah. Kelak jika ada kesempatan, saya akan berkongsi lagi mengenai tip bersedekah. Wallahuallam.

**Artikel ini dikongsikan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Pengurus Perundingan Zakat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS), yang disiarkan di dalam Majalah Mingguan Wanita.

Published by
Nurul Azwa