Jangan Main-main Air Mata Suami, Ada Perkara Yang Buat Dia Terguris

Share

Bila kita tengok agak susah untuk melihat air mata suami. Ada pun mungkin sebab kejadian-kejadian sedih yang mungkin berlaku pada ahli keluarga. Selepas itu, rasanya susah nak lihat air matanya.

Kalu dibandingkan dengan isteri atau wanita, air mata ini memang sinonim dengannya. Kadang-kadang perkara yang remeh pun dia boleh mengalirkan air mata.

Begitu juga dalam rumah tangga, dalam tempoh perkahwinan itu, pernah tak, anda melihat pasangan anda menitiskan air mata? Hanya yang kelihatan adalah air mata isteri sahaja. Mahalnya air mata suami. Ikuti kupasan tentang isu ini bersama Puan Asniza Mamat, Pegawai Psychology Kanan, Pusat Asasi UIA.

Puan Asniza Mamat

Lumrah Wanita

Bagi wanita, menangis itu melegakan. Mudah menangis bukanlah dikaitkan dengan sifat keanak-anakan sebaliknya, ia adalah ruang luahan apabila kata-kata tidak mampu untuk digambarkan.

Lelaki juga seperti wanita. Mereka memiliki sensitif spot (soft spot) yang tersendiri dan apabila spot ini disentuh dan ditekan keterlaluan ia juga boleh membuat dia menangis, cuma sukar untuk dia tunjukkan secara terang-terangan.

Sebenarnya, lelaki sukar memperlihatkan air mata mereka kerana sifat semula jadi lelaki untuk melindungi dan menjadi benteng yang kuat walau pun dalam hati mereka juga remuk dan parah.

Ada lelaki menangis kerana tekanan orang yang dia sayang, keluarga atau isteri, ada yang menangis ketika bermunajat pada Allah, ada yang menangis kerana dikhianati sahabat. Cuma kadang ia mudah terlihat dan kadang sukar disebabkan memilih untuk tidak diperlihatkan

Hati Sudah Terguris

Ketahuilah, apabila suami menangis, itu tandanya dia sudah buntu, lemas, tersepit dan tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Jika hati mereka terguris dengan kata-kata yang terlalu tajam dan penghinaan juga mampu membuat mereka menangis terutama dari seorang isteri.

Apabila suami menangis, bermakna hatinya sangat terguris. Bergantung pada situasi mereka, menangis itu tanda sayang yang sangat dalam dan apabila suasana mampu dipulihkan mungkin hubungan masih berjalan dengan baik atau sebaliknya.

Tawan Hati Suami

Bagi isteri, jika sifat diri membuatkan jatuhnya air mata suami, segeralah memohon maaf kerana maaf itu adalah ‘master eraser’.

Berbincanglah dari hati ke hati dengan matlamat kebaikan bersama bukan untuk menang atau mencari salah. Lelaki suka bila dirinya didahulukan dan diutamakan. Sesuai dengan fitrah seorang ketua keluarga.

Nasihat Untuk Isteri

Sebagai isteri perlu belajar memahami suami, bagaimana didikannya, tahap pengetahuannya dan suai padankan bagaimana peranan yang perlu dimainkan isteri agar mampu menjadi pasangan yang didambakan bukan menghambarkan.

Published by
Nora