“Jangan Lupa Nanti Bila Mak Dah Tak Ada…” Yang Pernah Kehilangan Saja Akan Faham

Share

Dalam gembira menyambut Aidilfitri pastinya tidak akan dilupakan pada mereka yang telah tiada. Begitu juga dengan diri saya,sejak berusia empat tahun saya telah kehilangan ayah tercinta. Sejak itu ibu yang membesarkan saya dan adik beradik yang lain.

Saya masih ingat lagi sejak kecil setiap tahun ibu akan membawa kami ke pusara ayah pada bulan Ramadan. Ketika itu ibu akan meminta kami bergotong royong membersihkan pusara ayah dan juga arwah datuk serta moyang yang terletak berdekatan. Kemudian pada pagi 1 Syawal selepas solat sunat Aidilfitri kami sekeluarga akan ke puasa arwah ayah dan itulah rutin kami setiap tahun.

Ingat Pada Orang Tersayang

Saya masih lagi ingat pesan ibu,

“Jangan lupa nanti bila mak dah tak ada, jangan kamu semua abaikan pusara arwah abah kamu. Nanti kalau orang tanya mana kubur ayah, senang kan kamu semua dah tahu tempatnya. Setahun sekali dua saja kita bersihkan kubur, dengan cara ini dapat kita ingat pada orang yang tersayang.”

Ungkapan itu sentiasa tersemat di dalam hati. Apatah kini bila ibu sudah hampir 11 tahun kembali ke ramahtullah tradisi itu juga kami amalkan.

Cuma kini memandangkan saya sudah berkeluarga jadi kami akan menziarahi pusara beberapa hari sebelum hari raya kerana beraya di rumah mentua.

Alhamdulillah, anak-anak walaupun tidak pernah kenal nenek mereka namun setiap tahun mereka akan membersihkan pusara arwah datuk dan nenek mereka. Sejak kecil saya ajar mereka menziarahi pusara. Jika orang lain bergembira berjumpa dengan ibu dan bapa mereka di kampung saya pula seronok bila dapat menjenguk pusara arwah ibu dan ayah.

Saya sentiasa mendoakan roh mereka dirahmati Allah dan berbahagia di sana. Kepada mereka yang masih ada ibu dan bapa hormati dan hargailah mereka.

Namun paling saya tak boleh lupa sudah tentu masakan arwah ibu terutama bila menjelang petang raya iaitu,Ketupat, Rendang Daging,Rendang Ayam dan Kuah Kacang.

“Ibu kenangan bersamamu takkan ku lupa. Semoga Allah mencucuri rahmat buat Arwah Ayah Suboh bin Mohd Amin dan juga ibu Salamah binti Othman.”

Malah saya juga terapkan amalan murni menziari kubur di hari raya kepada anak-anak.
Dikesempatan ini saya mengucapkan selamat hari raya maaf zahir dan batin buat semua umat Islam.

 

Published by
Norhayati Suboh