Mak ayah bila dah berjanji dengan anak tunaikan lah. Lagi-lagi bila janji nak belanja anak makan sedap. Tak perlu nak lengah-lengahkan waktu, sebab anak yang menuntut janji itu amat mengharap sebenarnya.
Anak-anak mungkin tak tunjuk, tapi dalam hati dia sarat penantian. Ibu empat anak, Maryam Salleh berkongsi 8 tip murah rezeki. Cuma beri layanan baik dekat anak-anak saja.
Sebab bila mak ayah tunaikan janji dengan anak-anak, mereka bahagia dan doakan mak ayah mereka. Nanti lain-lain kebaikan pasti akan menyusul.
Nak Murah Rezeki? Selain Belanja Anak Makan, Mak Ayah Layan Anak Macam Ini..
1. Selalulah belanja anak-anak makan. Kita kerja susah payah pun sebab nak bagi anak-anak kita dapat makan sedap-sedap macam orang lain.
2. Minta anak-anak doakan kita selalu. Bebudak kan tiada dosa. Doa mereka cepat sampai pada Rabb tanpa halangan. Makbul.
3. Kalau anak minta sesuatu jika mampu belikan lah. Jika tak mampu bagitau mereka nanti ada rezeki lebih mummy akan belikan. Janji tau.
4. Jangan sombong dengan anak, jangan sombong dengan ALLAH. Jika sombong, semua rezeki tersebut boleh ditarik ALLAH.
5. Jangan takbur dengan anak, setiap rezeki ada bahagiannya untuk anak. Anak jadi penyebab kepada rezeki. Bukan datang dari usaha keras kita semata-mata.
6. Sediakan keperluan yang terbaik buat mereka. Prihatin terhadap perkembangan dan emosi anak-anak.
7. Ketika sedang marah, jangan keluarkan kata-kata kesat pada anak-anak kerana mereka akan belajar dari sikap kita. Lebih baik diam, minum air dan istighfar banyak-banyak.
8. Bersyukurlah kerana di kurniakan anak. Ramai orang yang masih tidak di berikan rezeki mempunyai anak. Jadi hargailah kurniaan Ilahi yang tak ternilai dengan wang ringgit ini.
Akhir kata,
setiap anak yang lahir itu sudah Allah tetap kan rezekinya sejak dari awal kandungan lagi.
Apa kita nak risau, anak adalah magnet rezeki, penyejuk hati.
Sumber/Foto : Maryam Salleh, Ibu anak empat pun masih shantek lagi.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Inilah Jelmaan Sad Parenting..’ Elakkan Anak Lalui Krisis Kehidupan Seorang ‘Joker’
Isi Kandungan
ToggleRealitinya mak ayah.. membesarkan anak dengan ’sad parenting’ itu sememangnya wujud. Watak Joker adalah jelmaan ‘sad parenting’. Iaitu sejak kecil, anak melihat malah melalui krisis kehidupan yang bermacam, dan akhirnya itulah yang membentuk keperibadiannya.
Puan Noor Afidah Abu Bakar, Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK) ini memberi penjelasan detail bagaimana krisis ‘sad parenting’ dalam diri seorang anak membuatkan masa depannya jadi lebih kelam.
Moga keluarga kita dijauhkan dari semua ini. Ambil ikhtibarnya ya.
KRISIS DALAM HIDUP SEORANG ‘JOKER’
Watak Joker bukanlah terhasil dari ‘BAD PARENTING’.
Bagi saya Joker adalah jelmaan ‘SAD PARENTING’ dan pelbagai krisis yang dialami dalam hidupnya dari kecil.
Ibu Arthur hidup dalam kesedihan dan kemurungan selama 30 tahun membesarkannya dan selama itu jugalah Arthur juga hidup dalam kesedihan dan kemurungan yang perlu dinafikan dan dipakaikan topeng.
1. KRISIS KETIADAAN BAPA
Dalam dunia realiti, Amerika Syarikat sedang mengalami krisis ketiadaan bapa (father absence crisis) yang buruk dalam sejarah negara mereka. Menurut U.S Census Bureau 2017, 19.7 juta kanak-kanak di Amerika Syarikat, iaitu lebih dari 1 daripada 4 kanak-kanak, tinggal di dalam rumah tanpa figura seorang ayah, baik ayah kandung, ayah tiri ataupun ayah angkat.
Bukan itu sahaja, dalam hampir kesemua masalah sosial yang berlaku di Amerika Syarikat, faktor ayah menjadi penyebab utamanya.
Watak ‘Arthur’ yang akhirnya menjadi penjenayah tegar dikenali sebagai ‘Joker’ mewakili mereka yang membesar tanpa kehadiran seorang ayah. Walau apa jua masalah kesihatan mental yang dihadapi Arthur, dia mendambakan kehadiran figura ayah yang memeluknya, yang prihatin tentang dirinya, seperti yang diluahkan kepada Thomas Wayne: yang menghargai, dan yang sanggup berkorban apa sahaja kerananya seperti yang diucapkan Murray Franklin dalam delusi Arthur.
“You know this stuff, the lights, the show, the audience, all that stuff, I’d give it all up in a heartbeat to have a kid like you.”
Seumur hidupnya semua ini tidak pernah dirasainya sehingga membawa kepada kesakitan yang tidak mampu diluahkan.
Krisis sebegini bukan hanya masalah di Amerika Syarikat ataupun dalam dunia fiksyen komik DC semata-mata. Ketika Wacana Khas Gejala Sosial: Isu Anak Tak Sah Taraf yang diadakan di tanah air kita pada tahun 2011, pengukuhan kepemimpinan bapa atau golongan lelaki dalam keluarga menjadi fokus utama wacana kerana faktor kelemahan kepimpinan seorang ayah adalah penyumbang utama gejala anak luar nikah di negara kita.
2. KRISIS PENAFIAN EMOSI
Apabila ibu Arthur menceritakan kepada Pakar Psikiatri tentang Arthur yang sentiasa gembira semasa kecil dan dia tidak pernah melihat anaknya menangis, saya terus terfikir itu bukanlah sifat seorang anak yang seharusnya melegakan bagi seorang ibu.
Anak yang tidak menangis belum tentu menggambarkan anak yang sihat perkembangan mental dan emosinya. Setiap kanak-kanak akan menangis dan perlu menangis. Menangis bukanlah sesuatu yang negatif baik bagi anak perempuan ataupun anak lelaki.
Menangis bukanlah lambang kelemahan tetapi menangis adalah luahan emosi yang perlu diizinkan dan dibimbing kerana anak sedang membina kekuatan dalaman.
Bagi saya, menggelarkan Arthur dengan nama panggilan ‘HAPPY’ adalah satu cubaan oleh ibunya untuk memaksa Arthur supaya menyembunyikan perasaan dan memendam kedukaannya.
Memendam perasaan tidak akan menyahkan perasaan itu, sebaliknya memendam perasaan hanya akan merobek-robek jiwa dan kewarasan secara perlahan-lahan dari dalam diri.
Penafian emosi akan melahirkan masyarakat yang tiada empati, yang tidak dapat memahami perasaan orang lain, yang tidak peduli dengan kesengsaraan dan kedukaan orang lain yang akhirnya akan meruntuhkan masyarakat sebagaimana yang berlaku di Gotham City.
3. KRISIS KEPERCAYAAN
Arthur mengalami krisis kepercayaan yang sangat kritikal dalam hidupnya. Arthur diabaikan dan didera fizikal, mental dan emosi oleh individu yang rapat dengannya sewaktu kecil. Usia awal adalah fasa di mana seorang kanak-kanak membina kepercayaan kepada orang sekelilingnya dan membina kepercayaan kepada kemampuan dirinya sendiri. Penderaan semasa kecil akan meninggalkan kesan yang berpanjangan sekiranya anak yang didera tidak mendapat bantuan dan intervensi yang sewajarnya.
Seumur hidupnya dia tercari-cari individu yang boleh dipercayainya.
Hilangnya kepercayaan ini jugalah yang menyebabkan dia membunuh ibunya sendiri iaitu satu-satunya insan yang dipercayainya selama ini dan telah mengkhianatinya.
Kemarahan Arthur memuncak menjadi satu kegilaan apabila Murray Franklin, individu yang dibayangkan sebagai figura seorang ayah dan dikaguminya selama ini juga telah mengkhianati kepercayaannya. Arthur dimalukan oleh Murray di kaca tv untuk tontonan semua.
Plot ‘PUBLIC SHAMING’ sebegini mengingatkan saya kepada kejadian di tanah air kita sendiri di mana seorang ayah tergamak memalukan anak kandungnya sendiri di media sosial setelah anak itu dipukulnya. Begitu juga seorang ibu yang sanggup memalukan anak kandungnya sendiri di media sosial setelah ‘mengajarnya’ dengan melukis mata panda.
Tiada bezanya public shaming di dunia realiti di tanahair kita ini dengan public shaming dalam filem Joker ini.
4. KRISIS PERHATIAN
In my whole life, I didn’t know if I even really existed. But I do. And people are starting to notice.” Luah Arthur.
Apabila kewujudan seseorang diberikan perhatian hanya setelah dia melakukan kesalahan (atau jenayah), maka individu tersebut akan terus melakukan jenayah kerana hanya dengan cara itu dia menjadi perhatian dalam masyarakat.
Anak-anak kita juga begitu.
Sekiranya dengan melakukan kesalahan, kesilapan, tidak mendengar kata, sepah, melawan, degil anak mendapat perhatian kita sedangkan apabila dia berbuat kebaikan kita langsung tidak hargai dan endahkan, maka dia akan terus melakukan perkara yang negatif itu kerana hanya dengan begitu dia mendapat perhatian.
NEGATIVE ATTENTION IS ATTENTION
Semoga krisis ketiadaan bapa, krisis kepercayaan, krisis penafian emosi, krisis perhatian dan ‘sad parenting’ tidak berlaku dan berleluasa dalam negara kita ini kerana kita belum tentu dapat melahirkan BATMAN untuk berhadapan dengan Joker tersebut.
Sumber/Foto : Noor Afidah Abu Bakar, Parent Connect Consultancy
Kredit foto: Niko Tavernise.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Isteri Yang Bakal Hidup Bermadu, Ini Tip & Panduan Yang Perlu Dihadam
Isi Kandungan
ToggleIsteri yang bakal hidup bermadu, berusahalah untuk berdamai dengan takdir. Usah dilayan perasaan yang remuk redam kerana ‘diduakan’ oleh suami. Memang apabila menyebut tentang poligami semua wanita tidak menginginkannya.
Isteri Yang Bakal Hidup Bermadu
Tiada wanita yang sanggup berkongsi suami. Namun, kalau itu sudah ditakdirkan, kita tidak mampu untuk menolaknya. Bagi suami, mungkin ‘seronok’ tambah-tambah bila bercakap tentang poligami. Itu kelebihan lelaki yang memang tak boleh nak sangkal. Cumanya, kalau dah poligami, kenalah adil dalam memberi tanggungjawab pada isteri-isteri yang ada.
Begitu juga dengan isteri-isteri, kalau sudah ditakdirkan bermadu, terimalah dengan reda, DIA yang merancang sebaik-baiknya. Tak perlu merasakan diri kekurangan atau silap sampai suami cari yang lain tetapi percayalah semua ini ada rahmatNya.
Perkongsian daripada Khazatul Atiqah Abu Seman yang turut mempunyai ‘madu’ ini boleh dijadikan panduan terutamanya buat isteri-isteri yang bakal bermadu.
Ini Tip & Panduan Yang Perlu Dihadam
LIMA TIP UNTUK BAKAL BERMADU/BERPOLIGAMI
Berikut dikongsikan lima ringkas untuk yang bakal berpoligami. Tip ini untuk para isteri, tidak kiralah isteri nombor berapa mahupun bakal madu. Buat suami yang berhajat, buatlah dengan cara yang baik dan bantu isteri kalian juga ya. Tip ini diharap mampu memberi manfaat kepada isteri di luar sana. Bukan untuk sarankan suami berpoligami ye, tapi sekadar tip untuk bakal madu.
1. Cari ilmu yang betul
Poligami ada ilmunya. Kena fahami dan tak boleh sembarangan. Bukan seperti yang selalu kita nampak dalam drama sinetron. Memang banyak yang gagal, namun tak kurang banyak juga yang berjaya. Carilah pengamalnya yang berjaya mengamalkan dan tuntut ilmu dari mereka. Bukan ilmu yang pelik dan guna-guna, bukan juga untuk suka-suka. Besar padahnya jika tak betul caranya. Poligami yang baik adalah sepertimana yang Nabi ajar.
2. Berkawan dengan orang yang positif dan bukan anti poligami
Kebanyakan yang ini orang buat. Jika rasa tak kuat, kena kurang bergaul dengan orang yang anti. Bagi yang nak poligami tu, kita. Maka, kita jaga lingkungan kita untuk membantu diri kita lebih positif. Biasanya di peringkat awal, ujian perasaan jadi haru bila kita dengar pandangan yang negatif dari golongan sebegini. Lagi bila tersembang masalah, makin negatif jadinya.
3. Elakkan layan perasaan
Perasaan kalau dilayan makin menjadi. Pulak tu, tengok cerita romantik dan sebagainya, kita letakkan diri kita dalam cerita tu. Sedangkan dalam Islam, romantik adalah cinta sampai Syurga. Walau monogami, nanti kita juga berMadu dengan bidadari di sana. Maka, bantu diri dengan jaga perasaan dan jangan berperasaan yang bukan-bukan. Bila mana Suami tengah baik, malah cuba menjadi lebih baik dan bertanggungjawab, jangan hambur dan tuduh yang bukan-bukan pada suami. Perasaan perlu dipandu. Rujuk dan tanya, betul ke perasaan demikian dan demikian jika perlu. Kalau sekadar kita sorang berperasaan, jangan diikut sangat. Nanti kelaut jadinya.
4. Elak periksa telefon suami
Ini sangat crucial. Kata orang, jangan cari penyakit dan cari punca bergaduh. Kena belajar letak boundary. Tak kira pada isteri mana-mana isteri pun. Ia baik buat isteri terutamanya yang mudah beremosi dan berperasaan. Letakkan hormat pada barang suami, sekalipun isteri yang dah bertahun, apatah lagi isteri baru akad nikah. Buang prasangka bukan-bukan kerana suami berhubung dengan yang halal dan yang berhak. Bukanlah kepada yang bukan muhrim. Ia sebahagian dari tanggungjawab Suami untuk berhubung dengan yang berada di bawah tanggungannya.
5. Jangan saja meninggalkan kesan pada suami dengan sengaja
Ini untuk yang dah berkahwin. Bila mana suami mendatangi mana-mana isteri, kemudian sengaja meninggalkan Love Bite pada uami dan kemudiannya ditonton pada isteri lain.
Tips 4 dan 5 adalah tip yang saya dapat dari seorang sahabat sebulan sebelum saya berjumpa calon dan menginjak alam poligami.
5 tip ini adalah teknikal sahaja sebenarnya. Atau bahasa lainnya, fancy tip. Namun yang sebenarnya, poligami mengajar kita untuk bergantung lebih pada Allah. Dari poligami kita belajar kenal diri dan kenal Pencipta kita. Kalau dulu sandaran hati adalah suami, bila berpoligami, kita belajar tawakal yang lebih tinggi dari itu, namun tetap tidak menidakkan kedudukan suami selagi mana dalam syariat. Belajar taat pada suami walau kita tidak setuju pada beberapa perkara.
Maka ada tambahan LIMA tip Ektra ‘Special’ lagi iaitu:
1. Belajar bangun malam. Ia ubat buat hati. Keajaibannya sukar untuk digambarkan.
2. Belajar merintih dan mengadu pada Allah, bukan pada sembarangan orang. Nak menangis, masa itu jugalah.
3. Belajar perbaiki solat, perhalusi cara berdoa. Nak Allah bantu memang tiada cara lain melainkan kita betulkan solat kita. Ia adalah talian hayat utama kita.
4. Tiba-tiba timbul rasa sunyi dan keseorangan, kata pada diri, nanti aku mati juga seorang diri. Tetaplah suami juga tak masuk kubur sekali. Kalau sebelum ni suami boleh outstation atas dasar kerja duniawi, kenapa tidak atas sebab tanggungjawab yang membawa kepada akhirat, kita gundah gulana pula.
Perbanyakkanlah selawat dan zikir. Isi masa dengan perkara berfaedah. Kalau sebelum ini teringin nak ikut kelas mengaji, atau nak buat kerja sukarelawan, inilah masanya. Tengok youtube, banyakkan menonton video yang membangkitkan hati kepada ilmu Agama, perihal akhir zaman dan sebagainya. Perkara yang lagha boleh mematikan Hati. Maka, berhati-hatilah.
5. Sebelum persoal orang lain, persoal diri sendiri dulu. Ia membantu kita untuk kenal diri kita. Aku nak kahwin atas niat apa sebenarnya. Suami itu jambatan menuju akhirat. Suami juga pinjaman dari Allah. Apa jua kesenangan mahupun kesusahan, penghujungnya Allah mahu kita dekat dan ingat padaNya sebelum kita menghadapNya. Allah nak kita sedar, di sebalik semua ini, Allah jualah semuanya.
Maka, ujian dari suami atau madu, susah mahupun senang, jangan lepaskan Allah. Manusia takkan pernah sempurna, semua dari kita adalah hamba. Maka santuni satu persatu dengan penuh sabar dan berhikmah selagi ada umur Allah pinjamkan di dunia.
Perkahwinan itu satu ibadah dan satu bentuk kasih sayang. Ia adalah separuh kesempurnaan dalam beragama. Suburkan rasa kasih, cinta dan sayang. Jangan letakkan perasaan yang tidak sihat di dalamnya. Bagi yang nampak salah dan kurang suami, doakan kesalahannya.
Perkahwinan monogami juga boleh bertolak ansur dan berlebih kurang, maka poligami juga sama. Semoga bermanfaat buat yang memerlukan.
NOTA: Jika ditakdirkan oleh kita untuk hidup bermadu, boleh guna tip ini sebagai panduan.
Sumber: TiQa Ummimerahjambu (Khazatul Atiqah Abu Seman)
Artikel ini diolah daripada artikel asal Mingguan Wanita
Artikel berkaitan: Poligami, Isteri Bukan Takut Atau Ego Tapi Ada Sebabnya ‘Tak Mahu’
Berpoligami Kemudian Jandakan Isteri
‘Isteri Pun Perlu Hadir Ke Mahkamah’ Peruntukan Baru Dalam Permohonan Poligami Suami
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lapan Jenis Penipuan Kaum Ibu Selalu Buat Semata-mata Nak Tengok Anaknya Bahagia
Isi Kandungan
ToggleKadang-kadang demi menjaga hati anak, kaum ibu sanggup berbohong. Tapi ibu bukan mengajar anaknya berbohong. Di sekolah, guru juga mengajar kita jangan berbohong. Apalagi dalam ajaran agama. Kerana bohong perbuatan tidak terpuji.
Tapi dalam kehidupan seorang ibu, berbohong menjadi perbuatan baik dan perlu dilakukan. Sudah tentulah ibu berbohong demi kebaikan. Pembohongan yang dilakukan ibu, tanpa kita sedari tujuannya, didorong oleh perasaan kasih sayang yang paling indah dalam dunia ini.
Bila masa ibu berbohong. Apa sebab ibu berbohong?
Kehidupan kita dulu-dulu ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ibu dan ayah berhempas pulas mencari rezeki buat anak-anak. Apa-apa yang ada tidak pernah berlebih malah selalu tidak cukup. Ketika makan, ibu akan mengagih-agihkan makanan untuk anak-anak. Sambil menyendukkan nasi ke pinggan anak-anak, ibu berkata:
1. “Makanlah nak, ibu tidak lapar…” Itulah kebohongan ibu yang pertama!
Apabila kita semakin dewasa, perbelanjaan keluarga bertambah. Ibu menggunakan segala kemahiran yang dimiliki untuk menambah pendapatan. Ada masa ibu memancing di sungai dekat rumah. Sepulang dari memancing, ibu masak sup ikan yang segar dan membangkit selera. Sambil melayan anak-anak makan, ibu duduk dan mengutip sisa ikan yang masih menempel di tulang. Ibu mencicip isi ikan yang tersisa. Kita melihat ibu seperti itu, hati tersentuh. Apabila kita mempelawa ibu makan, ibu cepat-cepat menolak. Dia berkata:
2. “Makanlah nak, ibu tidak suka makan ikan…” Itulah kebohongan ibu yang kedua!
Demi membiayai persekolahan anak-anak, ibu mengambil upah menjahit atau membuat jualan kuih. Hasil upah menjahit dan jualan kuih muih, dapat menampung serba sedikit keperluan persekolahan anak-anak. Kala anak-anak sibuk menelaah buku untuk menghadapi peperiksaan, ibu juga tidak lelap mata menemani anak-anak belajar sambil menyiapkan tempahan. Apabila disuruh ibu tidur, dia berkata:
3. “Ibu belum mengantuk, cepat belajar kemudian masuk tidur…” Itulah kebohongan ibu yang ketiga!
Ketika peperiksaan tiba, ibu tidak putus-putus berdoa agar anak-anak dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang dan beroleh kejayaan. Malah ibu sanggup menghantar makanan ke sekolah agar anak tidak perlu pulang dan masa yang ada boleh digunakan mengulang kaji pelajaran. Ibu sabar menunggu hingga loceng berbunyi untuk menghulurkan bekas berisi makanan dan minuman. Ketika kita mempelawa ibu minum, apabila melihat ibu berpeluh, dia menolak.
4. “Minumlah nak, ibu tidak haus…” Itulah kebohongan ibu yang keempat!
Setelah kematian ayah kerana sakit, ibu menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Dialah ibu, dialah ayah. Ibu sendirian memenuhi tanggungjawab. Dengan kudratnya, ibu meneruskan usaha membiayai keperluan hidup keluarga. Saudara mara melihat kehidupan yang begitu sengsara, menasihatkan ibu untuk kahwin lagi. Tetapi ibu yang keras kepala tidak mengendahkan nasihat mereka.
5. Ibu berkata: “Saya tidak perlu cinta…” Itulah kebohongan ibu yang kelima!
Setelah anak-anak semuanya tamat sekolah dan bekerja, ibu yang sudah tua sepatutnya bersara daripada pekerjaan. Tetapi ibu tetap rela bekerja setidak-tidaknya berkebun dan menjual hasil tanamannya di pasar. Kita yang sudah bekerja, mengirimkan sedikit wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu tetapi ibu tidak mahu menerima wang itu. Malahan mengirim balik wang tersebut.
6. Kata ibu, “Tak apa nak, ibu ada duit…” Itulah kebohongan ibu yang keenam!
Apabila kehidupan anak-anak sudah berjaya, kita pun berhasrat mengajak ibu tinggal bersama. Kita mahu membalas jasa ibu dengan kesenangan kerana ibu memang layak menerimanya. Tetapi ibu yang baik hati bermaksud tidak mahu menyusahkan anak-anak, dia berkata:
7. “Tak ada siapa nak jaga ayam itik dan kebun kita…” Itulah kebohongan ibu yang ketujuh!
Semakin lanjut usia, kesihatan ibu semakin menurun. Anak-anak susah hati melihat ibu terbaring lemah di katil. Ibu yang kelihatan sangat tua. Nyata betapa penyakit itu menjamah tubuh ibu sehingga dia lemah dan kurus kering. Kita menatap wajah ibu dengan linangan air mata. Hati perih, sakit melihat ibu dalam keadaan seperti itu. Tetapi ibu dengan tegarnya berkata:
8. “Jangan menangis anakku, ibu tak apa-apa…” Itulah kebohongan ibu yang kelapan!
Setelah mengucapkan kebohongannya yang kelapan, ibu tercinta menutup mata untuk terakhir kalinya.
Adakah itu cerita kita atau cerita orang lain yang pernah kita dengari?
Apabila kita sendiri sudah bergelar ibu ayah, kita lebih tahu apa perasaan ibu ayah kita terhadap anak-anaknya. Cubalah kita renungkan kembali, adakah kita masih mempunyai kesempatan untuk membalas budi orang tua kita. Jika ada, lakukanlah yang terbaik. Jangan sampai ada kata menyesal di kemudian hari.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI