Tular satu video di facebook…mengenai isi perbualan antara sepasang suami dan isteri. Rata-rata komen yang ditinggalkan mencemuh tindakan suami yang seolah-olah merendah-rendahkan maruah isteri dengan sengaja mencari isu demi isu, atas nama ‘prank’.
Menurut Ustazah Isfadiah Ahmad Dasuki yang dihubungi MW petang tadi, sebenarnya gurauan antara suami isteri itu ada waktunya berbunyi agak kasar dan kedengaran menyakitkan hati. Walau bagaimanapun ianya adalah gurauan normal dikalangan mana-mana pasangan suami isteri.
Gurauan ini akan menjadi sebaliknya, sekiranya dirakamkan dan dimuat naik ke platform media sosial. Sekaligus ia membuka ruang untuk orang luar meninggalkan komen, membuat penilaian dan menghentam perbuatan itu.
Tambah Ustazah Isfadiah lagi, jangan kerana mahu mengejar ‘like’ dari manusia, kita sampai jadi manusia yang lupa mengejar ‘like’ Allah SWT.
“Pada pandangan saya ini merupakan perkara yang berkaitan suami isteri yang sepatutnya tak perlu pun didedahkan kepada umum. Ia termasuk dalam perkara yang harus dihijab atau ditutup oleh pasangan suami isteri dan bukan untuk bahan pengisian dalam media sosial. Mungkin bahasa gurauan tersebut hanya difahami oleh pasangan itu sahaja.
“Sebaliknya apabila dikongsikan di media sosial, kita khuatir ia menjemput penyakit hati, mengundang emosi marah dan menjadi perkara yang mengaibkan. Janganlah kerana mengejar ‘like’ dari manusia, kita sampai terlupa mengejar ‘like’ dan keredhaan dari Allah SWT,”pesan beliau.
Elakkan mengikut budaya negatif
Budaya prank ini adalah satu bentuk gurauan melampau bertujuan untuk menunjukkan perangai dan sisi lain seseorang. Elakkanlah terikut-ikut dengan budaya yang tak memberi manfaat. Sebaiknya dalam mengejar redha Allah, suami mahupun isteri haruslah saling sakinah, rahmah dan mawaddah dalam sesebuah perkahwinan.
Inilah sebahagian cita-cita dan tujuan perkahwinan itu sendiri, benarlah firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚإِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir”.
(Surah Al-Rum: 21)
Demikianlah indahnya ungkapan ayat-ayat al-Quran yang menyatakan, betapa perlunya kepada perkahwinan dan bagaimanakah terhasilnya perlindungan, kebahagiaan dan ketenteraman.
Menurut Ustazah Isfadiah lagi, suami haruslah menjadi pelindung dan pemimpin yang baik kepada isteri serta rumah tangga. Kita berkahwin untuk dapatkan redha Allah, bukan hanya cinta semata-cinta. Berhati-hatilah dalam bergurau.
“Budaya ‘prank’ kan pasangan masing-masing ini telah menjadi popular sejak akhir ini. Budaya gurauan melampau ini perlu dielakkan. Elakkan melakukan perkara yang lagha, sia-sia sama ada di dunia mahupun akhirat. Sebaiknya sama ada suami atau isteri kedua-duanya haruslah menjaga aib yang sepatutnya dalam rumah tangga dan bukan sebaliknya. Berpadalah dalam bergurau,”ulasnya.
Elakkan mengecam
Budaya berkongsi perkara lagha terutamanya mengenai hal ehwal serta isu rumah tangga ke media sosial ini sangat tidak baik dan menakutkan kerana ia boleh menjatuhkan maruah keluarga sendiri. Melakukan perkara lagha (perkara sia-sia yang tak membawa faedah) demi nak popular di media sosial bukanlah perkara yang diunjurkan dalam Islam.
“Sebaiknya jadikan isu ini sebagai panduan. Elakkan mengecam, sebaliknya titipkan nasihat yang baik-baik. Apa yang membimbangkan orang yang kita kecam itu, mana tahu satu hari nanti…Allah pula akan mengangkat darjat mereka dan menjadikan mereka manusia yang lebih baik dari apa yang kita sangka. Wallahualam,”ulas Ustazah Isfadiah.