baik-pada-pasangan

Balu Allahyarham Nazali Noor, penulis buku Ulu Yam Di Liverpool berkongsi pengalaman. Sepanjang bergelar isteri, Ainon Abdullah tak kedekut, tak pernah berkira baik pada pasangan. Malah, segala perbelanjaan keluarga ditanggung bersama.

Untuk merungut jauh sekali. Ketika suami susah, ihsan dirinya terus membantu suami tanpa bersungut. Bukan tidak pernah terasa ingin ada istilah ‘duit isteri duit isteri..’ disebabkan mahu membantu suami, dia sabar, terus berbuat baik pada pasangan dan mengharungi ujian getir kewangan.

Kongsinya lagi, asbab arwah suami, rezekinya tidak pernah putus. Malah, sentiasa mencukupi untuknya membiayai keperluan keluarga selepas pemergian arwah.

Macamana Sara Keluarga Sedangkan Tak Bekerja?

Antara soalan yang saya biasa terima ialah tentang kewangan kami sekeluarga. Macamana saya menyara keluarga sedangkan saya tidak bekerja.

Takkan hidup atas bantuan kerajaan sahaja, cukup ke?
Tak cukup. Duit benefits sahaja tak cukup.

Kami mula menerima berbagai benefits setelah suami diberhentikan kerja kerana hilang keupayaan untuk bekerja disebabkan stroke. Selain benefits, saya meneruskan perniagaan menjual tiket bola, tour sekitar LiverpooI dan Manchester dan juga barangan LiverpooI FC utk menambah pendapatan.

Bila suami meninggal, jumlah benefits yang diterima berkurangan agak banyak kerana saya tidak lagi perlu menjaganya. Perniagaan pula terjejas teruk disebabkan pandemik. Jadi bagaimana saya menyara keluarga?

Semasa suami terlantar di hospital selama seminggu hingga akhirnya meninggal dunia, ramai yang mengambil berat dan memberi sumbangan.

Kerajaan juga memberi bantuan kematian (bereavement support) dan bantuan perbelanjaan untuk pengkebumian.

Keseluruhan jumlah sumbangan dan bantuan kerajaan yang diterima agak besar. Wang inilah yang saya gunakan untuk menampung segala keperluan, hingga sekarang masih mencukupi. Alhamdulillah.

Bestla kan dapat benefits, tak payah kerja tapi duit dok masuk.

Saya masih menjual barang-barang LFC dan Primark serta menyediakan khidmat postage service UK to Malaysia. Cuma kebelakangan ini kurang promosi kerana sibuk memikirkan urusan rumah.

Saya juga masih dikira dalam tempoh bereavement (berkabung) di mana kelonggaran diberikan untuk tidak bekerja tetapi masih layak menerima benefits. Kerajaan UK mengambil berat masalah emosi dan mental health.

Sebab itu mereka beri tempoh bertenang sebelum saya diminta bekerja. Sejak beberapa bulan lepas saya dimasukkan ke dalam worksearch program. Mereka akan bantu mempersiapkan saya untuk mendapatkan kerja yang sesuai.

Kerja part time waktu anak-anak di sekolah.

Tak Pernah Bekerja Sejak Datang UK

Ikutkan hati dah malas nak bekerja, nak fokus pada bisnes yang dah ada sikit-sikit ni. Keadaan pun dah mula pulih, dah mula ada permintaan untuk tiket bola. Tapi sebab terpaksa memenuhi syarat harus bekerja untuk terus menerima benefits, saya terpaksa akur.

So sekarang ni saya just follow with the flow apa yang work coach program kan. Program pun tak stressful, seminggu sekali sahaja ada aktiviti. Selebihnya aktiviti dari rumah seperti search the market. Mereka target dalam masa setahun saya akan dapat kerja.

Saya tak pernah bekerja sejak datang UK, jadi takda idea kerja apa yang saya layak. Majikan mana yang nak hire wanita yang dah hampir separuh abad ni. Work experience pun takda di UK ni. Tak kisahlah kan. Just tag with the flow. Tunggu dan lihat.

Ads

So sekarang ni keutamaan adalah rumah. Dah ada buyer, dia tengah apply loan. Tadi valuer datang untuk inspect rumah. Harap-harap approved lah loan tu nanti.

Saya harus fikirkan rumah sewa pula untuk kami pindah masuk, kalau boleh biarlah yang selesa.

Hal pindah rumah ni, fikir saja pun dah rasa penat kan? Sebab tu saya tak fikir sangat lagi benda lain, tak beria-ia mempromote barang. Kalau ada permintaan baru saya belikan.

Buat sementara waktu sehingga keadaan kembali stabil, keutamaan adalah urusan rumah.

Baca sini : Berkat belanja RM1, suami tumpang rezeki isteri dan anak

Tak Perlu Risau Tentang Kewangan, Asbab Arwah Suami

Saya bersyukur dalam keadaan sekarang, saya tak perlu risau tentang kewangan sebab simpanan masih mencukupi. Tak semua orang ada kesenangan ini, pilihan untuk tidak bekerja.

Ia sebenarnya datang asbab dari arwah suami. Sumbangan dari kenalan dan followersnya yang ramai, benefits dari kerajaan, asbab dialah kami mendapat PR di UK dan layak menerima benefits. Juga perniagaan sebab dulu dia yang bersungguh mempromosi.

Saya juga masih dan akan terus menerima pencen ilat dari kerajaan Malaysia, yang kami mula terima sejak arwah stroke dan hilang upaya untuk bekerja.

Selepas arwah bertukar skim dari KWSP ke skim pencen setelah dia resigned dari dunia korporat dan menjadi pensyarah universiti, kesemua simpanan KWSP dikeluarkan dan sejumlah besar dimasukkan ke akaun ASB. Kesemua simpanan ASBnya telah dihibah atas nama saya.

Selesai urusan penjualan rumah nanti, duit lebihan jualan yang akan saya terima selepas ditolak baki pinjaman dan lain-lain bayaran pun agak besar jumlahnya.

Kesemua simpanan yang saya ada sekarang, duit yang sedang dan bakal saya terima asbabnya adalah dari arwah suami.

Saya boleh pilih untuk terus tidak bekerja beberapa tahun lagi dan masih boleh hidup selesa.

Ads

‘Jangan Kedekut Untuk Berbuat Baik Pada Pasangan’ Ini Punca Rezeki Isteri Tak Putus

Tak Pernah Berkira Dengan Suami

Salah satu punca rezeki ialah kita pernah memberi. Pada yang pernah mengikuti penulisan arwah dan membaca buku-bukunya, akan tahu bagaimana dia selalu bercerita tentang pengorbanan saya dahulu.

Saya tak pernah berkira dengan suami di sepanjang perkahwinan kami. Kami berkongsi segalanya. Tak pernah ada istilah duit isteri duit isteri, dalam duit suami ada duit isteri dalam kamus hidup saya dulu. Semua perbelanjaan kami sama-sama kongsi bayar.

Minta duit dari suami seperti post yang viral baru-baru ni? Tak pernah, malah saya yang sama-sama terpaksa menanggung hutangnya.

Satu kelemahan arwah dulu, dia kuat berbelanja menyebabkan kewangan kami sentiasa tidak mencukupi.

Sedangkan saya sangat berjimat cermat. Arwah pernah berkongsi cerita tentang wallet saya yang koyak kerana berjimat. Betul tu. Selagi boleh guna, saya guna.

Sedangkan dia ada 2,3 kad kredit yang sentiasa mencecah limit penggunaan. Dia paling suka membeli handphone dan gajet, adakala di luar pengetahuan saya. Selalunya guna kad kredit lah sebab duit dalam bank dah kering. Banyak kali kami bertengkar kerana kewangan. Bila ditegur dia insaf sekejap, tapi kemudian diulang semula. Bukan mudah untuk mengubah sikap, kan.

Itu kelemahannya dulu. Susah untuk mengawal nafsu membeli.

Namun dalam masa yang sama dia juga sentiasa berusaha untuk meningkatkan ekonomi keluarga. Pernah join beberapa MLM seperti Network 21 under Amway yang memberikan pendapatan tambahan yang agak besar hingga boleh mengurangkan sejumlah besar hutang kad kredit.

Baca sini : Suami isteri ikut tip ini, rezeki masuk mengalir tanpa henti

Hijrah Ke UK, Rezeki Makin Murah

Setelah berhijrah ke UK, rezeki kami menjadi murah. Selepas lima tahun di UK, kami bebas hutang, hanya tinggal loan rumah. Allah permudahkan banyak urusan. Arwah bekerja bersungguh-sungguh kerana perbelanjaan kami di sini besar.

Pulang bercuti, renew visa dan apply PR memerlukan wang yang banyak. Macam-macam yang dia buat untuk menambah pendapatan seperti menulis buku dan berniaga selain tugas hakikinya sebagai Pensyarah Universiti.

Ads

Hinggalah apabila matanya mula kabur dan fizikalnya semakin lemah akibat buah pinggang yang telah mula rosak. Dia diberikan cuti sakit yang panjang oleh doktor. Ketika itulah permohonan PR kami diluluskan.

Beberapa bulan kemudian dia diserang stroke. Oleh sebab kami telah pun mendapat PR, maka kami layak menerima segala benefit apabila dia hilang upaya untuk bekerja.

Sejak itulah saya mengambil penuh tanggungjawab keluarga. Alhamdulillah Allah permudahkan hingga sekarang. Rezeki tak pernah putus.

Saya share perkongsian hidup kami suami isteri ni bukan untuk dijadikan ikutan sebab watak setiap manusia berbeza, laluan hidup juga tak da yang sama. Cuma sebagai contoh bahawa setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan. Dalam banyak-banyak kebaikan seseorang itu, pasti ada satu atau dua kelemahan. Sebagai pasangan kita menikmati kebaikannya dan membantu melengkapi kelemahannya itu.

Hanya kita yang kenal pasangan kita, jadi bertindaklah mengikut penilaian kita sendiri, berlandaskan Islam, Iman dan Ehsan. Iman dan Islam dalam mencari arah dan panduan, ehsan pula atas budi bicara kita.

Walaupun tanggungjawab memberi nafkah keluarga terletak atas bahu suami, sebagai isteri yang mempunyai ehsan dan tahu bukan dia tak mahu tapi belum mampu, jadi saya bantu.

Sebelum hijrah ke UK saya banyak bantu dia.

Berbuat Baik Pada Pasangan

12 tahun bekerja di bank, semuanya untuk keluarga. Rasa cemburu pasti ada bila kawan-kawan bercerita tentang pengurusan kewangan mereka dan suami. Ada yang duit gaji hanya untuk diri sendiri, perbelanjaan lain suami tanggung.

Ada yang hanya perlu bayar duit kereta sendiri, atau kereta sendiri dan separuh duit rumah, yang lain suami bayarkan.

Jarang jumpa yang macam saya, sama-sama kongsi bayar semua perbelanjaan. Namun saya tak pernah merungut di depan dia atau membandingkan dia dengan suami orang.

Saya melepaskan jawatan ketika kerjaya sedang meningkat, punyai boss yang sangat baik dan rakan sekerja yang sekepala. Saya enjoy berada di pejabat. Namun disebabkan permohonan bercuti tanpa gaji tidak diluluskan, saya korbankan kerjaya sendiri demi memenuhi hasrat kerjaya suami. Tidak terfikir ketika itu yang kami akan terus menetap di UK.

Sebaik tiba di UK, saya dapat rasa pengorbanan mula terbalas. Walaupun hanya suri rumah, saya pegang semua duit gaji suami dan duit perniagaan. Suami beri kepercayaan penuh pada saya untuk menguruskan kewangan. Dia tak pernah tahu berapa baki dalam bank. Password online banking pun dia tak tahu.

Hinggalah sekarang Allah mudahkan urusan saya. Saya yakin asbabnya kerana saya banyak memudahkan urusan suami dulu.

Jangan kedekut untuk berbuat baik kepada pasangan kita, nanti Allah balas dengan lebih baik.

InsyaAllah.
#ukslife

Mingguan Wanita : Kadangkala isteri jangan berasa takut atau berkira-kira untuk berbuat baik pada pasangan. Teruslah berbakti dengan sabar, semoga dengan cara berbuat baik pada pasangan itulah asbab untuk isteri memperoleh ganjaran rezeki dan pahala sabar.

Sumber/Foto : Ainon Abdullah

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI