Tidak dinafikan ramai yang mengambil kesempatan untuk pulang beraya walaupun kerajaan sekerasnya menghalang rakyat Malaysia berbuat demikian. Namun begitu bagi sesetengah kes apabila mendapat surat kebenaran daripada pihak polis, mereka boleh memulakan perjalanan merentas negeri.
Ibu hamil yang tular semalam merupakan salah seorang yang mendapat kebenaran kerana bakal bersalin tidak lama lagi. Netizen mula menyelar tindakannya pulang ke kampung, padahal dia sudah memiliki surat kebenaran dari awal.
Sebagai ibu, sudah tentu merasa sedih apabila tindakan anaknya dikecam tanpa usul periksa. Oleh itu, Norazlina Abdul Rahim meminta semua orang untuk berhenti dan jangan kecam anaknya lagi kerana dia balik dengan kebenaran polis.
Tolong Jangan Kecam
“Tolong jangan kecam anak saya tanpa usul periksa, anak saya pulang ke kampung untuk bersalin, bukannya semata-mata menyambut Aidilfitri.”
Demikian luahan Norazlina Abdul Rahim, 50, iaitu ibu kepada wanita hamil yang positif Covid-19 dari Kuala Krai ketika mengulas kepulangan anaknya mendapat kecaman daripada netizen.
Ada Alasan Kukuh
Norazlina berkata, anaknya yang berusia 32 tahun mempunyai surat kebenaran untuk pulang ke kampung dan dijadualkan bersalin pada 19 Jun nanti.
“Anak saya pulang untuk bersalin memandangkan usia kandungan sudah 35 minggu. Untuk bersalin di Ampang, Kuala Lumpur agak sukar kerana suami anak saya bekerja dan mereka juga mempunyai anak yang masih kecil berusia tiga tahun.
“Sejak berita mengenai anak saya tular, ramai yang mengecam tindakan anak saya pulang ke kampung, sedangkan mereka tidak tahu anak saya mempunyai alasan kukuh untuk pulang.
“Pada mulanya anak saya agak tertekan sehingga terpaksa nyahaktifkan akaun Facebook untuk sementara waktu. Namun kini keadaannya kembali stabil selepas saya dan suami memujuk supaya bertenang dan tidak mengendahkan kecaman itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sukar Terima Positif Covid-19
Beliau berkata, anaknya sendiri agak sukar untuk menerima berita apabila pihak hospital menghubungi memaklumkan dia positif Covid-19 kerana sepanjang di Kuala Lumpur, anaknya tidak ke mana-mana melainkan keluar untuk membuat pemeriksaan di klinik kesihatan.
“Namun saya sentiasa menasihatkan anak supaya menerima perkara ini dengan hati terbuka. Syukur alhamdulillah sehingga kini anak saya dalam keadaan sihat dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
“Malah, pagi ini saya sempat ‘video call’ (panggilan video) dengan anak saya dan setakat ini keadaan anak saya dalam keadaan baik.
“Namun, doktor memaklumkan mungkin perlu bersalin secara pembedahan memandangkan anak saya positif Covid-19,” katanya yang mereka sekeluarga kini dikuarantin selama dua minggu.
Merentas Negeri Dari Ampang
Akhbar melaporkan, wanita hamil yang positif Covid-19 di Kelanyan, dikesan melakukan perjalanan rentas negeri dari Ampang yang berstatus zon merah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, wanita itu hanya disahkan positif Covid-19 apabila berkunjung ke klinik kesihatan ibu dan anak di Kelantan untuk menjalani rutin pemeriksaan.
Sumber: MyMetro
MW: Semoga ibu dan anak selamat hingga anak dilahirkan kelak. Berhenti kecam dan cuba fahami jika kita berada di tempatnya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI