‘Jangan Kacau Cucu Aku…’ Gangguan Tidur Rumah Nenek Tapi Tak Pernah Serik, Takut

Share

Anak-anak mesti teruja bila balik kampung rumah nenek dan datuk. Atara momen indah yang pasti akan dikenang selagi mereka masih ada. Rumah mak ayah kita membesar dan bila berhijarah musim-musim raya atau cuti panjang baru balik.

Untungnya bila balik kampung rumah nenek dan datuk yang jauh dari hiruk pikuk kota. Rasa tenang dan aman saja. Tapi takutnya tetap ada maklumlah rumah orang dulu-dulu.

Ada antara kita yang mempunyai pengalaman seperti yang dikongsikan oleh Zezedeha Azizi ini kan. Takut tapi seronok, pengalaman cucu cicit nanti.

Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Berani Betul Cikgu Ros Jejak Bangunan Berhantu, Daki Solo Puncak Gunung Hijau, Relaks Je Layan Misi Lasak Tu

Jangan Biarkan Bilik Kosong Dalam Rumah, Bimbang Ada ‘Menumpang’, Jenguk & Gunalah

Rumah Nenek, Gangguan Masa Tidur

Setelah lama tidak bercuti aku merancang pulang ke kampung nenek. Sudah lama aku tidak tidur di rumah nenek.

Kalau balik raya pun semalam saja aku bermalam di situ. Tidak puas rasanya. Kebetulan pula ketika itu musim buah. Riangnya rasa di hati. Bolehlah aku menikmati buah-buahan kampung sepuasnya. Mesti nenek buka meja depan rumah untuk menjual hasil kebunnya.

Bila sampai di kampung beberapa orang sepupuku telah ada di rumah nenek. Mereka datang bermalam bersama makcikku yang kebetulan mengikut suaminya yang ‘out station’ di daerah nenek.

Niat di hati mahu bermanja dan tidur di celah ketiak nenek tak dapatlah sebab nenek tidur dengan cucu-cucunya yang masih ‘kenit’ tu. Terpaksalah aku mengalah lalu tidur sendirian di bilik.

Masa tu masih awal lagi. Baru pukul 10.00 malam tak silap aku. Aku merebahkan diri di katil sambil membaca novel. Makcik dan nenek masih belum tidur. Aku dengar mereka masih bersembang di ruang tamu.

Gangguan Pintu Tingkap

Malam itu nenek dan makcik serta anak-anaknya tidur di ruang tamu. Setelah hampir setengah jam berlalu aku dengar tingkap bilik seperti cuba dibuka dari luar.

Tingkap bilik tersebut menggunakan kunci jenis selak. Jika cuba dibuka dari luar akan mengeluarkan bunyi bising.

“Siapa tu ?” Aku memberanikan diri bertanya. Senyap sebentar.

Bila aku meneruskan pembacaan, bunyi tingkap cuba dibuka berulang semula.
Setiap kali aku bersuara, bunyi tingkap senyap sekejap dan kemudian akan berulang semula.

Oleh kerana panas hati, aku bangun dan membuka tingkap.

“Jangan main-mainlah” sergah aku.

Namun tiada sesiapapun kelihatan di luar. Bunyi orang berlari atau berjalan pun tiada. Hanya kegelapan semata.

Nenek menyoal dari ruang tamu apa yang berlaku. Bila aku cakap ada orang cuba membuka tingkap dari luar, nenek bergegas masuk ke bilik.

Nenek mengeluarkan parang dari bawah katil dan menuju ke tingkap di mana aku berada ketika itu.

“Jangan kacau anak cucu akulah” jerit nenek sambil mengacu-acu parangnya ke luar tingkap.

Pelik aku melihat perlakuan nenek. Nenek marah siapa? Soalku di dalam hati sebab aku tak nampak sesiapapun.

Nenek membebel sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Nenek suruh aku tidur.
Nenek pesan nyalakan lampu tidur, jangan bergelap. Selepas nenek keluar aku terus berbaring dan cuba melelapkan mata.

Ketika aku hampir terlelap aku dengar sayup-sayup suara orang bergelak ketawa tapi tidak begitu jelas. Mungkin suara budak-budak kampung yang melepak di “bus stop” yang tidak jauh dari rumah nenek.

Suara gelak ketawa itu bukan sekejap aku dengar. Aku terus mendengar suara tersebut hingga aku terlena.

Esok paginya aku bertanya kepada nenek tentang peristiwa semalam. Kata nenek benda tu selalu datang. Sebab itulah nenek sediakan parang di biliknya.

Pada mulanya nenek ingat pencuri cuba masuk ke rumah. Masa tu kecoh ada banduan lari dari tahanan dan dipercayai berada di kawasan sekitar kampung nenek.

Namun heboh penduduk kampung nampak pocong selalu berlegar-legar dalam pagar rumah nenek.

Bila aku bertanya tentang budak-budak kampung melepak di “bus stop”, nenek cakap budak-budak tersebut pun sudah tidak berani melepak lagi.

Merekalah yang nampak pocong di kawasan rumah nenek. Tambah nenek lagi bunyi gelak ketawa itu bukanlah suara budak-budak melepak tapi mungkin bunyi benda tu mengilai.

Biasanya selepas benda tu dihalau atau digertak ia akan beredar dan mengilai.
Baru aku cemas dan takut mendengar cerita nenek. Selepas makan malam aku menonton televisyen. Belum habis cerita yang ditayangkan rasa mengantuk pula.

Mungkin banyak sangat makan tadi. Balik kampungkan, rugilah tak makan masakan nenek puas-puas.

Suara Halus Panggil Nama

Malam itu tiada lagi bunyi gangguan tingkap. Lega rasa hatiku. Namun baru aku mahu melelapkan mata katilku bergegar. Terus tegak bulu roma.

Kaku aku di tempat tidur. Bau kemenyan sekali sekala mencucuk hidung.


Hilang seketika rasa takut apabila katil berhenti bergegar.

Kemudian terdengar pula suara halus memanggil namaku beberapa kali.
Aku fikir aku bermimpi, lalu aku buat tak endah saja. Tapi makin kerap pula namaku diseru.

Bila aku amati, itu bukan suara nenek atau makcik. Aku membuka mata. Kelihatan lampu tidur di bilikku terpasang. Padahal aku telahpun mematikannya sebelum tidur tadi. Untuk menyedapkan hati aku memanggil nenek.

“‘Nek, panggil orang ke tadi?” soalku separuh menjerit pada nenek yang tidur di ruang tamu.

Tidak semena-mena bunyi mendengus di bawah rumah. Aku cepat-cepat keluar dari bilik menuju ke ruang tamu. Aku lihat nenek sedang terbaring lena bersama cucu-cucunya. Aku menelan air liur. Aku dah mula rasa takut. Aku tercegat di situ. Aku tidak berani masuk ke bilik semula.

Kedengaran tingkap bilik diketuk. Mula-mula perlahan saja. Namun makin lama makin kuat. Aku tunggu juga kalau-kalau nenek terjaga, bolehlah nenek sergah macam semalam.

Sakit hati pula rasanya bila tidak berhenti-henti bunyi ketukan itu. Laju aku menuju ke arah bunyi ketukan lantas menolak jendela. Hitam pekat. Tiada kelihatan apa-apa. Cuma bau kemenyan menerpa hidungku.

“Tuk, tuk” bunyi ketukan perlahan pada dinding kayu. Rupanya bunyi itu datang dari bawah jendela.

Terlolong aku menjerit bila mendapati sesusuk tubuh dengan kepala berbunjut ada di situ. Ia sedang menghantukkan kepalanya yang berbungkus tidak jauh dari tempat aku berdiri. Lintang pukang aku keluar mendapatkan nenek yang tidur di ruang tamu.

Dengan kusut masai nenek bangkit dari tempat tidur. Setelah mendengar ceritaku nenek terus mengambil parang dan membuka pintu. Aku mengekori nenek menuju ke tepi bilik di bahagian luar rumah. Kelihatan terlompat-lompat si bunjut itu beredar menuju ke kaki bukit tidak jauh dari rumah nenek.

Power Betul Nenek

Tak sangka “power” betul nenek. Pocong pun takut dengan dia. Kagum aku dengan nenek.
Esoknya aku nampak nenek menabur garam kasar di sekeliling rumah sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu.

Petangnya pula ada seorang pemuda menghantar sepasu anak pokok bidara.
Nenek menempatkan pohon tersebut di tepi tingkap bilik sebelah luar.

Kata nenek kawasan tu jadi tempat kegemaran makhluk2 halus untuk singgah.
Bila ayah datang aku ceritakan gangguan di rumah nenek. Kata ayah biasanya yang pandai memanggil hantu raya. Lagilah kalau ia sudah cam dan selalu dengar nama kita dipanggil.

Terus aku rasa nak balik hari tu jugak. Tapi masa tu ajelah rasa sedikit takut.
Bila aku kongsikan peristiwa di rumah nenek dengan sepupu yang lain teruja pula mereka mahu menempuh pengalaman serupa.

Namun aku tidak pernah merasa serik dan takut mahu tidur di rumah nenek.
Nenek aku kan “power”. Hantu pun takut dengan dia. Cayalah nek.

Mingguan Wanita : Walaupun takut tapi tak pernah serik. Siap bagitau sepupu lagi untuk rasai pengalaman itu. Sabar ajelah.

Karya : Zezedeha Azizi

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita

Published by
Nora