Bila bekerja, masa mak ayah dengan anak mungkin hanya pada waktu malam saja. Itu pun hanya beberapa jam saja sebelum mereka tidur. Keluar pagi dan pulang petang. Itulah rutinnya setiap hari.
Jika ada pun hanya pada hujung minggu, seharian bersama anak-anak. Tapi, adakah masa yang mak ayah ada itu betul-betul berkualiti dan mencapai tahap ‘prime time’ bersama anak.
Ada sesetengah mak ayah menggunakan masa-masa tertentu yang wajib untuk bersama. Inilah masa untuk anak-anak luahkan perasan atau bercerita tentang aktiviti yang dilakukan seharian.
Sebenarnya, mak ayah kena terapkan ‘prime time’ yang betul-betul berkualiti. Ada yang gunakan masa makan bersama waktu prime mereka sekeluarga. Tak kurang juga ketika sama-sama bersolat jemaah.
Tak kisahlah waktu prime macam mana sekali pun, tapi mak ayah wajib adakan. Jangan sesekali bagi alasan untuk kejar bahagia dan sukses bersama keluarga. Antara perkongsian Zulfikarullah Ren tentang saranan waktu prime mak ayah dengan anak-anak.
“Anak yatim piatu sebenar bukan anak yang kehilangan ibu ayah, tetapi anak yatim piatu sebenar yang mempunyai ibu yang cuai dan ayah yang sentiasa sibuk.”
Pendek sahaja tulisan ini, tetapi deep sangat. Ia benar-benar menghentak hati sanubari bagi orang yang berfikir.
Saya duduk termenung bila baca tulisan ini. Menyesali diri yang tak habis-habis kata sibuk pada anak-anak.
Yelah, kerja seperti saya ni tak kira masa. Kadang sampai ke tengah malam buat kerja.
Bila saya terlalu sibuk sangat fokus pada kerja, saya jadi culas terhadap tanggungjawab kepada anak-anak.
Bukan salah kerja sebenarnya, yang salah diri saya. Tidak bijak urus masa dengan baik.
Antara masalah dalam rumahtangga ni adalah nak konsisten melakukan sesuatu perkara yang baik. Nak buat senang je, tetapi nak konsisten tu agak payah.
Sebab itu suami dan isteri kena main peranan sama-sama. Nampak isteri leka suami tegur, bila suami leka isteri tegur.
Ads
Sebab manusia ini mudah alpa. Saya sendiri pun macam tu jugak. Kadang nasihat orang pandai, tapi diri pun tergelincir jugak sekali sekala. Alhamdulillah punya isteri yang sentiasa mengingatkan saya.
Saya faham, kita semua sibuk mencari rezeki demi kelangsungan hidup. Tetapi ianya bukan alasan untuk kita mengabaikan tanggungjawab kepada anak-anak.
Saranan 3 ‘Prime Time’ Bersama Anak
Ulamak sarankan 3 masa penting yang wajib kita luangkan bersama anak-anak.
1. Waktu Solat 2. Waktu Taa’lim 3. Waktu Makan
Inilah prime time dalam sesebuah keluarga. Kena pastikan ianya dijaga dengan baik waima sibuk mana sekalipun diri kita.
Sejarah menunjukkan keluarga yang menjaga prime time ini akan bahagia dan sukses di dunia dan akhirat.
Alaa, 3 je kot. Takkan tak boleh buat.
Seperti saya bagitau sebelum ini, nak buatnya mudah sahaja. Nak istiqamah itu yang sulit.
Saya sendiri pun terkadang ada hari yang culas. Semoga dapat istiqamah melakukannya setiap hari.
Untuk buat ini tiada alasan. Nak dan tak nak je. Tak kisah lah sibuk macam mana pun kita dengan pekerjaan, apakah ianya lebih penting daripada kejayaan dunia dan ukhrawi keluarga kita?
Contoh Keluarga Bahagia
Lihat keluarga Ustaz Ebit Lew, keluarga Imam Hassan Al-Banna, keluarga Dr. Abdullah
Nasih Ulwan. Dan ramai lagi keluarga yang bahagia dan sukses.
Ads
Mereka tidak meninggalkan 3 waktu prime ini. Mereka jaga dengan baik.
Jika suami terpaksa keluar, isteri akan galas tanggungjawab ini bagi memastikan ianya terus dilaksanakan.
Tidak ada alasan untuk tidak melakukan amalan ini.
Tambahan lagi di zaman yang fitnah semakin dahsyat mutakhir ini. Teruslah teguhkan akidah dan iman ahli keluarga kita.
.
Bagaimana nak buat?
1. Waktu Solat. Ajak keluarga solat berjemaah. Jika suami pergi masjid, Isteri pula solat berjemaah dengan anak-anak. Orang lelaki kena solat di masjid.
2. Waktu Taa’lim. Boleh buat lepas subuh @ lepas Isyak. Minta ahli keluarga berkumpul dan suami bacakan hadis-hadis Nabi s.a.w dan sirah Nabi s.a.w bersama sahabat. Biar keluarga kenal sahabat lebih daripada kenal artis.
3. Waktu Makan. Pastikan semua keluarga makan bersama. Kalau saya akan makan dalam talam bersama isteri dan anak-anak. Impak dia memang luar biasa.
Tak susah kan. Tetapi tak ramai yang mampu buat. Semuanya cerita tentang hati.
#MekanikCinta
Mingguan Wanita : Kadang-kadang kesibukan mak ayah inilah tanpa sedar anak membesar. Ruginya bila tidak dapat lalui hari-hari indah sepanjang proses pembesaran mereka.
Chocodap’s, Faith Fleur, Anggun Cotton Collection, Teh Ais Pyorr, Masak-masak Cekyana (Oden viral) dan bayak lagi jenama lain mempunya ratusan ribu pelanggan masing-masing.
Tak ramai anak Melayu kita mampu bina empayar perniagaan dari bawah dari tiada apa-apa. Ia bukan dicipta sehari dua. Banyak pengorbanan terpaksa dilakukan sepanjang pendakian.
Ads
Apa rahsia mereka?
• Apa yang mereka lakukan?
• Apa ilmu-ilmu yang diamalkan?
• Siapa yang susah senang bersama mereka?
• Apa dugaan dan keperitan yang dilalui?
Teringin ikut jejak mereka?
Semua ini akan terjawab di program Webinar Eksklusif CEO BIsnes Viral anjuran Mingguan Wanita pada 25 September 2021 secara virtual. Dangarkan sendiri perkongsian jujur mereka. Eksklusif!
Menangi hadiah-hadiah cabutan bertuah serta wang tunai bernila RM100.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Setiap pasangan yang berkahwin tentunya inginkan zuriat sebagai penyambung keturunan. Zuriat yang sihat, sempurna fizikal dan mental. Begitu jugalah pasangan Rohani Md Tahir, 40 tahun dan Nik Mustaffa Siddiq Nik Mohamed, 42 tahun. Langsung tidak terlintas akan menerima anugerah istimewa ini, lebih-lebih lagi ini adalah anak sulungnya.
Walau bagaimanapun, Rohani dan suami tetap bersyukur dengan ketentuan yang Allah berikan ini. Dia dan suami menerima Nik Afiq Muzakkir, 16 tahun dengan seadanya dan terbuka.
Rasa Tidak Sedap Hati
Menyingkap tentang awal-awal mengandung, semuanya tidak mengalami sebarang masalah termasuklah membuat imbasan 3D sehinggalah Rohani selamat melahirkan anak secara normal di Hospital Selayang pada 1 April 2003.
“Peliknya, sebaik selamat bersalin, jururawat terus membawa anak saya keluar untuk dimandikan tanpa memberikan kepada saya terlebih dahulu. Dari situlah, saya mula rasa tidak sedap hati.
“Hampir satu jam, barulah doktor datang membawa anak dan memberitahu tentang anak lelaki saya mengalami masalah. Belum sempat doktor memberitahu, saya terus mengambil anak dan membuka lampinnya. Terus terkeluar tangan anak. Dia hulurkan sendiri tanpa sempat doktor memberitahu dan pandangan simpati mata anak tepat ke mata saya,” kata Rohani penuh syahdu mengimbas kembali kenangan itu.
Bayangkan masa itu, perasaan sedih dan pilu bermain-main di fikiran Rohani. Memikirkan bagaimana bila dia besar nanti, macam mana dia makan, menulis dan sebagainya sehingga membuatkan Rohani menangis setiap hari mengenangkan nasib anaknya.
Tangan Di Syurga
Walau bagaimanapun, Rohani bersyukur kerana suami sentiasa memberi kata-kata semangat untuk dia terima dan reda.
“Kami langsung tidak menyalahkan sastu sama lain, sebaliknya menerima Nik Afiq dengan hati yang terbuka, seadanya dan tahu Allah berikan ini sebagai satu hikmah,” mengingatkan Rohani kata-kata suaminya.
Dalam tempoh membesarkan Nik Afiq, Rohani sentiasa bersamanya. Malah, Rohani bersyukur, kecacatan yang dialami oleh anaknya hanyalah sedikit berbanding dengan ibu bapa laIn yang dikurniakan anak istimewa yang mungkin boleh meruntun hati.
“Walaupun tidak sempurna tetapi dia mempunyai harapan yang sama seperti anak normal yang lain, boleh berjaya, sokongan dan motivasi yang berterusan perlu diberikan.
“Malah, mempunyai anak OKU bukanlah satu perkara yang mudah kerana dia akan sentiasa bertanya tentang keadaan dirinya. Jadi, saya kena perlu bersedia dengan jawapan yang terutamanya apabila dia sudah pandai bercakap.
“Pernah dia bertanya ke mana tangannya? Saya hanya menjawab ada di syurga dan tangan itulah yang akan menarik dia masuk syurga. Selepas itu, barulah dia tidak bertanya lagi,” kata Rohani yang sentiasa memberi semangat kepada Nik Afiq.
Hati seorang ibu, bila sebut tentang keadaan anak, terus hati terusik dan rasa sebak. Begitu juga bila Afiq bergaduh dengan adik-adiknya dan si adik mengatakan tangan dia cacat, Rohani terus menangis.
“Pada masa inilah, ayahnya memainkan peranan dan menjelaskan pada mereka supaya jangan sesekali tak suka atau benci abang. Malah, adiknnya pernah bertanya kenapa tangan abang pendek. Saya hanya beri jawapan, jangan bermain pisau sebab inilah akibatnya. Sejak itu, adiknya tidak bertanya lagi,” kata Roahni yang turut selitkan nasihat dan contoh-contoh supaya anak tidak bertanya untuk kali kedua.
Berdikari Sejak Kecil
Jelas Rohani lagi, dia dan suami turut mendisiplinkan anaknya sejak dari umur dua tahun lagi. Dia mengambil langkah dengan memberi pendidikan agama seawal umur lima tahun dengan menghantar ke sekolah KAFA di Masjid Wilayah Kuala Lumpur berbanding dengan adik-adiknya ke tadika Cina.
“Begitu juga suami yang sama-sama memainkan peranan dalam mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan kawan-kawan. Contohnya, sembahyang berjemaah dan dia sendiri menjadi iman,” kata Rohani yang turut mengambil pendekatan secara lembut dalam menasihatkan anak-anak.
Menariknya, dalam usia 16 tahun ini, Nik Afiq boleh diharapkan dalam memasak, membasuh baju dan membuat kerja-kerja rumah.
“Sejak kecil Nik Afiq suka melihat saya dan ayahnya memasak. Sehingga pada usia 10 tahun, dia mampu memasak walaupun telur goreng untuk diberikan kepada adik-adiknya.
“Dari situlah, dia mula belajar memasak hidangan yang ringkas dan turut menjadi kegemaran adik-adiknya adalah masak lemak cili api, nasi goreng kunyit, maggi goreng, ayam popcorn dan sebagainya,” kata Rohani yang turut berkongsi video masakan anaknya di youtube dengan tagline ‘Masak Cara Afiq’ dan wakil paralimpik badminton untuk Selangor OKU.
Cukup Bertuah
Walaupun dianugerahkan anak istimewa, Rohani dan suami langsung tidak merasa malu, sebaliknya bangga dengan kurniaan ini. Baginya, Allah anugerahkan anak istimewa ini kepada ibu bapa yang istimewa dan Dia tahu kita mampu memikul tanggungjawab ini.
“Kita adalah ibu bapa yang teristimewa kerana dipilih untuk menjaga amanah yang diberikan. Apa yang penting, kita kena kuatkan pendidikan agama sebaiknya untuk mereka, satukan ahli keluarga dengan kasih sayang dan anak istimewa ini adalah ladang pahala untuk kita,” kata Rohani yang turut mempunyai dua lagi anak perempuan, Nik Afiqah Musfirah, 11 tahun dan Nik Aqilah Muslihah, 9 tahun.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Baru sahaja mengumumkan berita gembira pada bulan ramadan lalu, isteri berbadan dua, namun hasrat penyanyi lagenda Rock Suhaimi bin Abdul Rahman atau lebih dikenali Amy Search,60 untuk menimang cahaya mata yang keenam ini tidak kesampaian apabila isterinya Norhasniza Hassan, 37, atau Nourish disahkan mengalami keguguran.
Berita sedih tersebut dikongsikan oleh penyanyi lagu Isabella ini didalam instagram beliau.Difahamkan, pasangan ini kehilangan bayi mereka yang berusia 11 minggu itu pada Khamis lalu selepas doktor tidak dapat mengesan degupan jantung bayi.
Menerusi perkongsian itu, Amy memuatnaik video sesi pemeriksaan doktor ujian ultra bunyi degupan kandungan anak mereka serta meluahkan rasa sedih seperti berikut;
“Degupan itu akhirnya terhenti dan hilang dari pandangan. Alex, Sania dn Qaqa tertunduk saat mendapat berita ini. Qaqa menangis teresak-esak. Kini tiada lagi cerita baby yang bakal mereka miliki antara mereka.
“Moga kami semua reda dengan dugaan yang tak terpandang ini. Aku pasti dugaan itu datang bersama keindahan dan sabar itu sama seperti berbesar hati dengan dugaan-NYA. AmeenYRA,”
Bukan itu sahaja, Amy juga telah menulis kata-kata yang meruntun hati dedikasikan khas buat bayinya itu.
” Aku tersentak langsung tersedar
Cuaca dingin menanda hati yang kian rawan
Terbayang seribu kemungkinan
Sejenak ku mendakap
Kau pun hilang, dari pandangan. ”
#amysearch
Amy dan Norish mendirikan rumah tangga pada Oktober 2003 dan ia merupakan perkahwinan keempat bagi penyanyi rock ini. Pasangan bahagia ini dikurniakan tiga cahayamata iaitu Alexander Zulkarnain 14, Sania Samara, 13 dan Qaqa At-Tameemi, 9. Manakala dari perkahwinan terdahulu Amy memilki dua anak iaitu Nabila Huda,32 dan Irisha Myra,21 serta seorang cucu Keisha Laila,8 yang merupakan anak tunggal Nabila Huda.
Memang perit harga sebuah kehilangan, apatah lagi saat menanti dan benar-benar mengharapkan kehadiran seorang bayi sebagai penyeri.Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat Amy Search sekeluarga, semoga sabar dan redha dengan ketentuan ini.Insya Allah ada rezeki yang lebih baik menanti.
Bila Allah bagi lebih pada harta pada dia, mungkin ada sudut kurang yang kita tak pernah tahu. Kalau secara logiknya pun, mana mungkin ada pasangan sempurna 100%.
Bak kata saudara Firdaus Shakirin, andai terlihat kebahagiaan pasangan lain, tolonglah jangan bandingkan dengan kemampuan pasangan kita dengan orang lain. Rezeki yang Allah bungkuskan pada hambanya tak akan pernah sama.
Lebih Pada Harta
Untuk kaum hawa yang akan atau dah bergelar isteri, jangan bandingkan hidup anda dengan kawan-kawan anda.
Ada kawan anda, suaminya mampu menyediakan dia rumah mewah, kereta besar, mampu membawanya bercuti di luar negara, mampu belikan dia barang-barang berjenama.
Jangan jeles, jangan iri hati, jangan dengki kerana mungkin suaminya jarang ada masa dengannya, sibuk dengan urusan kerja, outstation sana sini. Dia sunyi di rumah, apa yang dia rasa suaminya tak pernah ambil peduli, kerja rumah semua dibuatnya sendiri dan disebalik kemewahan yang dia ada tu, dia tak gembira dan tak bahagia dengan hidupnya.
Ada kawan anda, suaminya hanya mampu menyediakan dia rumah kos rendah dan kereta kecil, hanya mampu membawanya bercuti di dalam negara, hanya mampu belikan dia barang-barang biasa. Jangan kesian, jangan simpati, jangan pandang rendah pada dia, kerana mungkin suaminya selalu ada di rumah, selalu ambil tahu akan perasaannya, selalu menolongnya melakukan kerja-kerja rumah dan disebalik kesederhanaan yang dia ada tu, dia gembira dan bahagia dengan hidupnya.
Ada kawan anda, suaminya itu nikmat untuknya, dan ada pula kawan anda, suaminya itu ujian terbesar dalam hidupnya.
Mana Ada Pasangan Sempurna
Sebab itu dalam hidup kita ni, Allah tak bagi kita semuanya sempurna dari setiap sudut, Allah tak bagi kita segala-galanya. Bila Allah bagi lebih diharta, maka kurang pada masa. Bila Allah bagi lebih pada masa, maka kurang pada harta.
Jadi, anda bekerja atau tidak, anda duduk rumah mewah atau sederhana, anda bercuti di luar negara atau didlm negara, anda pakai pakaian jenama atau biasa, bila anda dah berkahwin, gaya hidup anda hanyalah mengikut kemampuan suami anda. Kalau hanya itu yang mampu ditunaikannya, diberikan oleh suami anda, maka bersyukurlah dan ucapkanlah alhamdulillah dan terima kasih.
Jangan Bandingkan
Kurang di satu tempat, lebih di tempat yang lain. Jangan bandingkan hidup anda dengan kawan-kawan yang lain, semuanya atas REZEKI masing-masing.
Harus diingatkan, tak semua yang indah itu indah, kerana kita hanya nampak apa yang mereka ada, dan bukan apa yang mereka rasa.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sekeluarga dirempuh treler pemandu microsleep, ibu belum tahu anak meninggal kerap tanya mana anak sulung. Sebuah keluarga yang menaiki kereta proton saga mengalami detik...