Jangan Jadi Wanita Berjaya Dalam Pekerjaan Tapi Gagal Jadi Isteri Bahagiakan Suami Di Rumah

Share

Realitinya bukan mudah nak jadi wanita berjaya dalam dua sudut. Kebanyakan mampu jadi pekerja cemerlang di ofis tetapi gagal sebagai isteri yang mampu lengkapkan kehidupan seorang suami.

Allah… minta dijauhkan kita terus hanyut!

Kalau dah kahwin rencah rasa dalam mana-mana perhubungan mana nak sama. Sudah tentu ada rasa bosan, gembira, masam manisnya dan menjuruskan kepada gangguan-gangguan yang boleh menjejaskan perhubungan.

Cuba tanya dengan pasangan-pasangan yang berada dalam tiga hingga lima tahun usia perkahwinan: “bahagia tak kahwin?”

Ada yang jawab, “pening betul menguruskan keluarga, kerjaya, macam nak gila.” Itu dia belum dengar jawapan saya yang sudah 24 tahun berumah tangga.

Ini nasihat untuk golongan wanita yang jadi isteri dalam usia muda. Walau sesibuk mana tugas di tempat kerja, jangan sesekali mengabaikan rumah tangga. Antaranya aspek fizikal rumah seperti kebersihan. Jangan biarkan rumah berselerak dengan baju, bantal, kain, cawan pinggan memenuhi ruang tamu rumah.

Kalau masuk rumah tengok ruang tamu, punyalah berselerak sampai tamu datang pun nak balik. Itu belum masuk dapur, pinggan mangkuk, periuk belanga, tulang temulang ikan, makanan basi seminggu lepas pun masih bersangga di singki dan periuk belanga yang tidak berbasuh!

Peti sejuk jangan ceritalah. Sayur, buah, minuman berselerakan hingga sejuk peti sudah tidak berbekas pada makanan. Bilik tidur yang merupakan bilik kasih sayang suami isteri macam bau kucing beranak,. Bertebaran dengan pakaian, lampin pakai buang, najis anak dalam lampin tidak sempat dibuang. Baju-baju dilonggokkan, memang memualkan.

Ini semua senario benar sebahagian rumah pasangan muda yang sibuk bekerja. Tetapi sesibuk mana pun kita sebagai isteri atau suami, kalau kita bekerjasama membantu membersihkan rumah dan menyusun atur perancangan kebersihan. Pasti rumah akan kelihatan bersih teratur.

Soalnya JANGAN MALAS dan JANGAN SUKA BERI ALASAN.

Wanita, tolonglah jangan jadi isteri yang berjaya dalam pekerjaan tetapi gagal menjadi isteri yang membanggakan suami di rumah. Ada suami mengadu, rumah berselerak, memasak sekali-sekala sahaja. Minuman suami segelas pun suami buat sendiri.

Sebelum kahwin suami makan di kedai, dah kahwin pun tidak ada bezanya. Bila isteri hendak keluar berjalan atau bekerja, solekannya bukan main. Wanginya bertebaran satu rumah. Langkahnya bukan main cantik tapi cantik itu hanya untuk orang lain dan bukan untuk suami!

Ya, ini yang boleh membuatkan hati si suami semakin tawar untuk balik rumah. Jadi lebih suka pergi kursus dan tinggal di hotel yang lebih menyenangkan hatinya. Makan minum dengan rakan sekerja yang penuh gurau senda daripada situasi di rumah yang menjadi penolak kepada dirinya.

Tetapi semua itu boleh dijayakan jika kita tahu satu ayat ‘power’ yang mesti kita uruskan iaitu MASA.

M – Mengurus kehidupan dengan teratur.

A – Amanah dengan tugas. Sebagai isteri, jalankanlah tugas-tugas isteri dengan baik mengikut keupayaan kita. Jangan bongkak kerana kita bergaji besar dan berpangkat tinggi kerana itu tidak memberi makna jika tugas isteri tidak kita laksanakan dengan jaya.

S – Suai padankan aktiviti-aktiviti yang hendak kita jalankan di tempat kerja agar seimbang dengan keluarga.

A – Aspirasi kita untuk menjadi isteri mithali adalah pemangkin usaha untuk menjadi isteri dan ibu yang berjaya dan bahagia!

Penulis: PROF MADYA DR RUSINAH SIRON

Published by
Nadia