Sejak dari kecil hinggalah dewasa dan mempunyai keluarga sendiri, jangan sesekali lupa tentang jasa kedua orang tua kita. Kerana merekalah, kita berada di dunia ini dan kita berjaya hari ini kerana kita tumpang rezeki mak ayah.
Selalu kita dengar, mak ayah tak perlu mengeluh bila ada anak dan merasakan duit tidak cukup. Tapi sebenarnya anaklah yang membawa rezeki pada mak ayah.
Sebenarnya, bila kita fikir, masa kecil, kita tidak tahu dan belum kenal dunia, segalanya ditanggung oleh mak ayah. Syukur, rezeki yang diberikan oleh Allah dalam memberi tanggungjawab menjaga kita tidak pernah habis.
Namun, kena ingat, apabila dewasa dan berjaya, kita pula yang tumpang rezeki mereka. Sebab apa, sebabnya doa daripada mak ayah yang tak pernah lekang untuk memastikan kita berjaya dunia akhirat.
Jadi, jangan ingat, apabila kita berjaya dan setiap bulan memberikan wang untuk mereka atau mwnjaga mereka, kita sudah dianggap membalas jasa-jasanya. Seperti apa yang dikongsikan oleh Sri A’jilah Mohd Samsir ini ada benarnya.
Bila kita jaga orang tua, sama ada mak ayah sendiri atau pun mentua, kadang-kadang ada juga terlintas dalam kepala, “nasib baik aku ada. Nasib baik aku duduk dengan diorang.”
Kita nampak pengorbanan sendiri, nampak jasa sendiri sedangkan kita tak nampak yang sebenarnya kita sedang menumpang rezeki mak ayah. Sedang menumpang doa mak ayah.
Ads
Beberapa hari lepas, saya teringin sangat nak makan pisang berangan. Dah terlepas dari kedai pisang, baru sibuk beritahu suami.
“Laa kenapa tak bagitahu awal-awal. Abang pusing balik nak?”
Tentulah jawapannya, tidak! Dah lepas jauh kot. Esok-esok pun boleh.
Tak lama selepas sampai rumah mentua, ada jiran bagi pisang berangan. Subhanallah, saya tumpang rezeki mak mentua sebab jiran tu bagi pada dia. Syukur dan sebak dalam satu rasa.
Ads
Esoknya pula, jiran mentua yang lain beri cendawan. Orang sini panggil kulat. Allahuakbar!
Baru saja sebut pada mak mentua, “sedapnya kalau ada cendawan kan, mak?” Tup tup jiran mentua bagi.
See! Kau masih menumpang lagi rezeki mentua. Dan asbab kau sebut hajat kau pada mereka, diam-diam mereka tadah tangan dan panjatkan hajat kau itu pada Tuhan.
Jangan nampak jasa kita saja pada mereka. Sedangkan kau hidup hari ini atas ihsan mereka, atas doa mereka juga.
Kita rasa kita belanja barang dapur, belikan makan, dan hantar mak ayah pergi check-up, kita yang mudahkan urusan mak ayah. Sedangkan merekalah penyebab urusan kita jadi lebih mudah dan rezeki kita jadi melimpah ruah.
#SriAjilahSamsir
Yang mengharap doa mak ayah
MW: Sebab tu, kita jangan berkira dengan mak ayah. Pengorbanannya memang tak terbalas.
Normal sekiranya terbit rasa cinta di hati antara pasangan dara dan teruna. Anak-anak remaja zaman sekarang, susah nak halang mereka daripada bercinta sebelum nikah. Mereka ingin memilih sendiri pasangan hidup mereka dan tidak mahu mak ayah yang carikan.
Normal Jika Jatuh Cinta
Jika begini keadaannya, mak ayah wajib pantau siapakah jejaka/gadis pilihan hati anak agar hubungan yang terjalin itu patuh syariah.
Namun, ada juga mak ayah yang sangat tegas dalam soal ini. Anak-anak terutamanya anak gadis tak dibenarkan bercinta sebelum nikah dan mereka berhasrat untuk mencarikan jodoh untuk anak gadis mereka kelak. Normal bagi mak ayah yang takut anak-anak terjerumus dalam perkara yang tak elok jika diizinkan bercinta.
Normal Bila Nak Sembunyikan Aib Diri
Berpasangan sebagai kekasih sebelum kahwin itu haram! Bercinta selepas nikah itu sunnah! Betulkah pandangan sebegini?
Bagaimana jika proses berkenalan itu belum sempurna, terburu-buru, tidak selidik betul-betul bakal suami atau isteri? Biasanya disebabkan sangka baik yang terlalu baik akhirnya kecundang jua. Tudung labuh serban besar bukan jaminan yang memakainya memiliki iman sempurna dan akhlak mulia. Tiada siapa tahu rahsia yang disembunyi, aib yang sengaja ditutupi dan kemunafikan yang dihias indah!
Malang sungguh, disebabkan mahu menjaga diri dari berpacaran yang tidak patuh syariah maka seorang anak dara patuh suruhan ayahnya untuk menerima pinangan lelaki yang tidak dikenal. Tak sampai setahun bercerai walaupun lelaki itu berkelulusan agama dan warak kononnya tapi rupa-rupanya menyimpan syaitan dalam jubahnya. Kaki pukul, tak bagi nafkah batin, seorang gay yang sengaja mahu menyembunyikan seksualitinya yang sebenar.
Suami Rupanya Bukan Lelaki Normal
Demi mengaburi mata masyarakat ramai lelaki gay yang sengaja kahwin untuk menutupi identiti asli mereka. Akhirnya yang merana adalah wanita-wanita yang masih dara lagi harus menjadi janda.
Lagi teruk kisah isteri yang terpaksa bersaing dengan lelaki yang ‘diminati’ suami, suami biseksual yang tak nampak kepondanannya tapi mempunyai kelaian seks yang teruk, kenapakah mereka tidak mencium kelainan suami sebelum bernikah lagi? Apakah ini bahana cinta sebelum nikah?
Kita tidak nafikan dalil-dalil dalam al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w tentang haramnya bergaul bebas tetapi ia bukan bermakna langsung tiada pergaulan dalam urusan proses sebelum kahwin. Sehinggakan menutup mata terhadap segala kelemahan dan aib manusia yang mungkin disembunyikan bakal pengantin.
Ikhtiar Tak Salah….
Sangka baik itu dituntut dalam agama tapi selepas ikhtiar meneliti asal usul dan keperibadian sebenar sebagaimana yang diketahui orang-orang rapat kepada bakal pengantin. Bukankah Ummul Mukminin khadijah RA mengutuskan sahabatnya, Nafisah binti Muniyyah untuk menjadi ‘mata dan hatinya’ mencari maklumat yang cukup sempurna tentang Muhammad s.a.w.
Bercinta selepas nikah kadang dicampuri unsur riak, mahu menunjuk suci walaupun ia perbuatan hati yang tiada seorang boleh menilainya selain Allah tetapi perlu diteliti apa niat sebenar orang yang mengabaikan asal usul bakal suami atau isterinya itu. Padahal agama menyuruh seorang lelaki melihat wanita yang akan dinikahinya .
Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:“Jika salah seorang di antara kalian melamar seorang wanita, maka jika kamu mampu untuk melihat apa yang bisa membuat tertarik untuk menikahinya maka hendaknya dia lakukan”. Jabir berkata, “Maka sayapun melamar seorang wanita lalu saya melihatnya dengan sembunyi-sembunyi (tanpa sepengetahuannya) sampai akhirnya saya melihat darinya apa yang membuat saya tertarik untuk menikahinya maka sayapun menikahinya”. (Hadis riwayat Abu Daud dengan sanad yang hasan)
Pergaulan Patuh Syariah
Tidak bermakna bercinta selepas nikah itu tidak mengikut syariat bahkan jika kedua bakal pengantin telah meneliti latar belakang dan akhlak kemudian menjalani proses pergaulan patuh syariah sebenarnya ia lebih menepati keadaan masyarakat sekarang.
Kita hidup dalam sistem maklumat dan komunikasi paling canggih yang memudahkan pergaulan yang halal ini dilakukan secara tanggungjawab. Selagia tidak berdua-duaan, tidak menyentuh, tidak merayu dengan suara yang memikat, tidak memandang dengan syahwat maka pergaulan cara Islam ini dihalalkan.
Jangan Abaikan Latar Belakang Bakal Pasangan
Pada pokok pangkalnya jangan abaikan latar belakang bakal pasangan, minat dan sikap, sumber pendapatan dan harta bendanya, latar belakang keluarga dan pendidikanya, kawan-kawan karib dan hobinya, sifat dan tabiat negatifnya, semua ini kerja besar yang perlukan pertolongan spy profesional.
Malang jika rasa cinta yang membuak-buak boleh menutupi segala kejahatan yang sudah pun nampak di mata. Hati kata sayang maka mata jadi buta, cinta buat mabuk kepayang! Namun beitu jangan pula terlalu cerewet memilih dan menyusah-nyusahkan proses perkahwinan kerana terlalu fobia, bukankah dalam setiap ikhtiar itu ada satu kewajipan untuk tawakkal kepada Allah SWT?
Mesti Dengan Niat Nak Bernikah
Mengapa gerakan cinta selepas nikah ini menjadi trending? Apakah disebabkan masyarakat sudah marah melihat kemaksiatan yang mengotori pergaulan lelaki dan wanita sehingga mereka yang menyokongnya bersungguh-sungguh mengamalkan proses pernikahan sebegini.
Pergaulan sebelum menikah itu halal, jangan haramkan apa yang tidak diharamkan Allah, ia sama seperti merosakkan kuasa veto Tuhan. Jangan pula mengambil kesempatan dengan melambat-lambatkan proses pernikahan padahal sebenarnya tidak berniat mahu menikah. Pergaulan yang disyariatkan adalah pergaulan yang berakhir dengan matlamat pernikahan bukan untuk main-main cinta.
Tak Semudah Dilafazkan
Cinta selepas nikah memang indah dilafaz tapi terlalu berat dipikul. Bukan mudah untuk memahami orang yang tidak pernah bercakap dan melihat satu sama lain. Apatah lagi jika mereka ada masalah komunikasi, masalah moral yang sebelumnya tidak diketahui, masalah kewangan seperti isteri terpaksa membayar hutang suami sewaktu bujang, masalah penyakit, masalah keluarga mentua dan pelbagai cabaran lainnya.
Wahai wanita, perkahwinan adalah ujian maka eloklah bersedia melihat kejutan yang tak dijangka!
Artikel ini telah dikongsikan oleh Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam dan juga penulis jemputan di dalam majalah Mingguan Wanita. https://www.facebook.com/juanda.jaya.9
Ajal, maut, jodoh semuanya ketentuan tuhan. Mengharapkan jodoh perkahwinan berpanjangan sampai ke syurga, rupanya badai gelora melanda di pertengahan jalan. Apabila tak lagi bersefahaman, tiada lagi rasa cinta dan pengabaian dalam tanggungjawab serta nafkah dalam rumahtangga, ada baiknya segera mengundur diri.
Namun demikian sebelum nekad melangkah ke fasa perceraian, ada baiknya bersiap sedia terlebih dahulu, dari segi emosi, fizikal, ekonomi dan sebagainya. Apatah lagi jika sebelum ini hanya bergantung sepenuhnya pada suami dalam mengemudi rumahtangga.
Baca dan hadam betul-betul perkongsian daripada Kaunselor Keluarga, Puan Normaliza Mahadi ini.
“Apa nak buat jika tiada pekerjaan dan bakal diceraikan. Anak ada 5 orang. Simpanan zero. Rumah sewa. Kenderaan hanya ada sebuah motor. Semua 3 sekolah rendah. 2 belum sekolah. Selama ini bergantung dengan suami 100%.”
“Alasan suami mahu ceraikan kerana isteri tidak mahu dimadukan. Dan isteri tahu suami tak mampu dari segi kewangan, keadilan dan juga suami tiada perancangan masa depan cara untuk menafkahi 2 keluarga.”
Pastikan diri tidak hamil lagi. Kena jaga diri sendiri. Janganlah nak tambah anak kononnya akan mengikat hubungan suami isteri. Dah ada 5 dah pun. Tak terikat jugak. Kalau tambah 1 lagi sudah tentu tak ada perubahan pun.
2. Kira Jumlah Wang Diperlukan Selepas Bercerai
Buat kira-kira terperinci berapa yang diperlukan untuk meneruskan hidup jika bercerai. Terperinci. Tuliskan satu-satu. Nak tahu berapa jumlah wang yang diperlukan. Mesti tahu.
3. Cari Pendapatan Ikut Minat Di Sukai
Mulakan research untuk mencari jalan mendapat pendapatan. Jalan yang disukai. Bukan sebab orang lain berjaya! Contohnya ada orang suka jual buku. Ada suka masak. Ada yang suka buat perkhidmatan macam kemas rumah orang. Apa-apa ajelah, asalkan disukai. Kenapa kena cari cara yang disukai, sebab motivasi benda yang kita suka buat adalah tinggi.
4. Simpan Duit, Jual Barang Tak Digunakan
Mulakan misi menyimpan duit walau pun sepuluh sen. Kemas rumah. Jika ada barang yang masih elok tetapi tidak digunakan, sila jual. Duit tu simpan.
5. Cari Mentor Online
Mulakan misi mencari mentor online untuk mendapat kekuatan, maklumat, cara bangkit yang betul dan sebagainya. Ambil tahu juga tentang cara terbaik untuk membantu anak-anak melalui fasa yang sukar ini.
6. Ketahui Jenis Penceraian
Cari maklumat tentang jenis penceraian. Sebab penceraian ada banyak jenis. Jadi menambah maklumat adalah penting. Jika pandai bukak FB, maka tahulah cara nak cari maklumat ini.
7. Berdoa Dan Usaha
Berdoalah kepada Allah. Pergantungan 100 % juga hanyalah kepada Allah. Tapi usaha kena ada. Usaha sendiri. Menangis lama-lama pun orang bukan nak tolong.
8. Lakukan Persediaan
Jika penceraian berlaku, InsyaAllah dah ada serba sedikit persediaan. Jika Allah tak izinkan, sekurangnya telah cerdik.
9. Ramai isteri minta cerai atas pelbagai cara tetapi tiada langsung persediaan. Hanya sibuk meluah perasaan.
by NM
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan rujukan buat wanita yang sedang berada di dalam fasa ini. Bukan menggalakkan perceraian daripada terus berlaku, namun jika telah tiada persefahaman sering bertelingkah dan memendam luka dengan pasangan, ini adalah jalan yang terbaik. Paling penting telah melakukan persediaan jika berlakunya perceraian.
Keadaan ekonomi sekarang semakin meruncing, pendapatan isi rumah mula terjejas. Banyak syarikat yang tutup dan tak dapat menampung pekerja. Jalan terbaik, diberhentikan atua berhenti kerja.
Kalau difikirkan, ada baik buruknya isteri menjadi suri rumah sepenuh masa. Mungkin terkurang di situ dan terlebih di tempat lain. Contohnya, duit belanja mula kena catu dan tidak boleh nak bermewah-mewah seperti sebelum ini. Baiknya, bila dapat melihat anak membesar depan mata.
Begitu juga bila isteri bekerja sudah tentu banyak wang yang dilaburkan untuk bayaran anak di rumah pengasuh, penggunaan kereta dua buah (suami isteri kerja lain-lain syarikat), kos minyak, bayaran makan minum dan sebagainya. Jika dihitung dan dikira wang keluar masuk, kaedahnya sama seperti isteri hanya duduk di rumah dengan menjaga anak-anak.
Bila difikirkan balik, jumlahnya sama seperti isteri hanya menjadi suri rumah, menguruskan keluarga. Sudah tentu, segalanya dapat dijimatkan. Ulasan lanjut tentang baik buruknya bila isteri berhenti kerja oleh Dr Ben Fadzil Mohd Salleh, Business Forencic Psychologist Grand master Hypnotherapist dari Practice Training & Consultancy di Asia Barat
Terdesak
Isteri bekerja atau tidak adalah satu perkara yang subjektif serta ia adalah pilihan sendiri, individu dan mengikut jenis pekerjaan yang dipegangnya. Tiada siapa yang boleh memaksa seseorang itu untuk bekerja walaupun dihalang oleh ibu bapanya supaya jangan berhenti.
“Alasan tidak mahu bekerja boleh diberi dengan pelbagai sebab. Dari yang tidak masuk akal sehinggalah ke suami melarang isteri bekerja. Sekiranya suami melarang isterinya bekerja, suami tersebut hendaklah mampu memberi belanja dengan sewajarnya untuk menyara keluarga dan wang saku isteri tersebut.
“Ramai suami yang berjanji pada isteri hendak memberi belanja yang cukup untuk keluarga tetapi ia tidak ditepati. Perkara tidak cukup wang yang diberi oleh suami ada kalanya akan membosankan isteri di rumah dan seringkali akan berbalik kepada bertugas semula,” jelas Dr. Ben.
Boleh dikatakan, ada isteri yang bekerja mempunyai gaji yang cukup makan untuk menyara dirinya sendiri. Namun, tidak mustahil ada isteri yang bekerja kerana di suruh oleh suami bagi menambah pendapatan untuk keluarga.
“Mungkin juga ada sesetengah isteri yang melepaskan jawatan dan memilih menjaga anak-anaknya adalah disebabkan desakan keadaan. Sekiranya suami boleh memberi wang saku dan jaminan yang boleh memuaskan hati isteri bahawa masalah kewangan tidak akan timbul.
Catu Perbelanjaan
Sebenarnya, keputusan isteri untuk menjadi suri rumah tangga mempunyai risiko tersendiri dan suami isteri hendaklah berbincang dan menimbangkan keputusan dengan sebaik mungkin sambil melihat segala segi sudut ekonomi.
Cara yang terbaik adalah dengan mencatu ekonomi dan mentadbir perbelanjaan keluarga dan seisi rumah dengan rapi. Tidak membelanjakan dengan perkara yang tidak penting serta berhemah. Suami hendaklah mempercayai isteri dalam mentadbirkan perbelanjaan rumah tangga agar tidak ada syak wasangka di kemudian hari serta memahami kekurangan dana untuk bermewah.
Pilihan kerjaya lain:
Menjual secara online – Perkara begini sama seperti bekerja atau mungkin lebih teruk dari bekerja tetapi isteri akan sentiasa ada di rumah untuk mentadbirkan rumah dan juga jualan.
Menjaga atau jadi pengasuh – Sambil menjaga anak sendiri dan mengambil upah untuk menjaga anak orang lain.
Kemahiran lain – Isteri mempunyai kemahiran lain seperti menjahit, membuat kuihmuih untuk dijual, mengajar tuisyen dan sebagainya. Ia boleh dijadikan tugasan atau kerjaya dari rumah, yang mana pergerakannya adalah agak terhad.
Baik Buruk Berhenti Kerja
Pro:
Sekiranya si isteri berhenti kerja, sudah pasti masanya akan diluangkan bersama keluarga. Serba serbi tentang keluarganya akan terjaga.
Namun begitu, isteri tersebut kemungkinan akan terputus dengan dunia luar dari segi pergaulan dan persahabatan. Sekiranya dia tidak memerlukan dunia luar dan mempunyai duit perbelanjaan yang cukup, maka tidak bekerja adalah pilihan yang terbaik. Isteri juga perlulah pandai untuk menguruskan dirinya.
Kontra:
Tidak dinafikan, menjaga anak sendiri dengan menghantar anak ke rumah pengasuh tidak sama. Persediaan, penjagaan dan pelajaran anak mungkin terabai jika digaji kepada orang lain, tetapi tidak semestinya penjagaan itu tidak elok. Pemakanan dan kesihatan keluarga juga mungkin terjejas disebabkan fakta masa dan kewangan.
Walau bagaimanapun, perbelanjaan isteri terhadap anak dan makan adalah terhad dan terpulang kepada wang saku dan belanja yang diberikan oleh suami. Sekiranya wang saku tersebut tidak dapat tepat pada masanya atau dikurangkan disebabkan suami perlu membayar insurans, road tax dan pelbagai lagi perbelanjaan yang mengejut dan yang tidak diduga, maka perancangan isteri perlu sentiasa bertukar untuk menghadapi keadaan yang tidak disangka.
Suami Perlu Bersedia
Apabila seorang suami mengambil keputusan untuk berkeluarga, dia pasti telah memikirkan bebanan yang akan menimpa pada dirinya dan telah bersedia sekiranya isteri tidak bekerja dan memilih untuk menjaga rumah dan keluarga.
Malahan, dalam keadaan ekonomi sekarang ini, lebih baik isteri juga bekerja dan membantu pendapatan suami. Walaupun pendapatan dan penjimatan itu tidak seberapa kerana pendapatannya akan bertukar dari masa ke semasa. Kebajikan isteri dan anak dari segi kesihatan dan mendapatkan rawatan klinik akan terjaga. Isteri juga dapat membeli keperluan dirinya, rumah dan anak-anak tanpa meminta bantuan suami jika tidak perlu. Kesimpulannya, lebih baiklah isteri itu juga bekerja.
Cara Terbaik Suami Isteri
Suami dan isteri perlu mencari mekanisme yang bersesuaian dan dipersetujui bersama agar tidak menambahkan perbelanjaan serta bebanan.
Membuat carta aliran wang tunai dan perbelanjaan untuk penjimatan dan simpanan. Dari segi penjimatan, suami isteri hendaklah berkongsi kenderaan atau menggunakan kenderaan awam bagi menjimatkan kos tambahan seperti minyak, tol, parking dan perbelanjaan membayar ansuran kereta, insurans, road tax, penyelenggaraan dan kerosakan.
Pasangan perlulah menukar kereta kepada yang kecil dari segi kuasa kuda dan tidak sering menukar kereta pada tiap-tiap tahun untuk menjimatkan kos.
Dengan pergi kerja bersama, suami isteri akan dapat mengeratkan lagi kasih sayang dengan juga minum pagi bersama sambil berbincang hal keluarga. Sama-sama mengharungi dan berkongsi masalah yang dihadapi serta mencari penyelesaian.
Sekiranya perjalanan ke pejabat berlainan haluan, carilah perkhidmatan yang dibayar bulanan untuk ke pejabat dan membawa bekal yang telah dimasak dirumah untuk penjimatan, berhenti merokok serta bataskan keseringan makan diluar. Walau sedikit pun pendapatan dari bekerja, ia tetap duit berlebihan dari perbelanjaan seharian.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...