Ketibaan penulis dan juru foto disambut mesra oleh wanita yang berusia 51 tahun ini. Senyuman manis sentiasa menghiasi bibir. Pada awalnya penulis tidak menyangka isteri dan juga ibu kepada tiga orang anak ini sudah menjangkau usia 50-an.

Rashidah Rahmat merupakan salah seorang daripada sebilangan kecil Pengurus Agensi wanita di AIA Malaysia yang berpengalaman dan disegani dalam industri insurans dan takaful di negara ini. 22 tahun terlibat dalam bidang ini, wanita hebat ini mengetuai agensi yang dimiliki bersama suami tercinta – PJ HIJRAH yang merupakan sebuah Multi-Million Dollar Agency yang 100 peratus dianggotai oleh ejen-ejen (lebih dikenali sebagai Perancang Hayat AIA) bumiputera yang dinamik, profesional dan mempunyai semangat berpasukan yang tinggi.

Inspirasi

Aura kejayaan yang ada pada Rashidah sememangnya boleh dijadikan inspirasi terutamanya buat wanita-wanita di luar sana. Ditanya tip yang diamalkan untuk berjaya, kongsi Rashidah, “Amalkan solat di awal waktu dan dekatkan diri dengan Allah. Selain itu, bersedekah kepada mereka yang memerlukan kerana dengan bersedekah insya-Allah boleh menjemput rezeki. Selain itu, saya biasakan diri dengan banyak melemparkan senyuman dan bila marah, jangan terlalu lama.”

Meneroka tentang gaya hidupnya, Rashidah akui sebagai seorang wanita yang berkerjaya, jadual sehariannya fleksibel namun cukup padat.

“Kebiasaannya, saya mulakan hari dengan bangun sebelum Subuh dan akan bersarapan sebelum jam 7 pagi. Walaupun tinggal di Kajang tetapi pada jam 8 pagi saya dan suami sudah sampai di pejabat kami yang terletak di Petaling Jaya. Pada waktu itu, selama sejam adalah ‘me time’ saya di mana saya akan membalas e-mel, membuat persediaan untuk temu janji mahupun sesi training saya pada hari tersebut.”

“Hari Selasa dan Khamis merupakan hari paling sibuk buat saya. Tiba jam 9 pagi, Perancang Hayat akan mula sampai dan akan berjumpa saya untuk mendapatkan bantuan atau nasihat bagi menyelesaikan kes-kes pelanggan. Tidak semua Perancang Hayat di bawah agensi saya menetap di Kuala Lumpur, ada juga yang berada di bandar-bandar lain di Semenanjung Malaysia. Jadi, cara saya berkomunikasi adalah dengan melawat mereka, melakukan online training mahupun memberi tunjuk ajar melalui panggilan video. Mereka sebenarnya sudah anggap saya seperti kakak dan hubungan kami memang rapat.”

“Pada waktu makan tengah hari pula, biasanya saya akan mengadakan sesi one-to-one bersama Perancang Hayat saya dan akan melakukan training yang agak intensif pada sebelah petang kepada mereka yang memerlukan bimbingan yang lebih khusus,” sambung Rashidah yang mempunyai lebih daripada 100 orang Perancang Hayat tetap dan sambilan yang bernaung di bawah agensinya.

“Sebelah malam, saya akan cuba memasak dan menikmati makan malam bersama suami. Pada waktu itu juga saya akan lakukan senaman ringan untuk memastikan badan kekal berstamina,” kongsi Rashidah.

Menyentuh tentang masa bersama keluarga, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini akui sejak anak-anak meningkat dewasa mereka masih dapat melakukan aktiviti bersama walaupun tidak sekerap dahulu.

“Ketiga-tiga anak saya sedang melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi. Masa mereka kecil, memang kami kerap melancong bersama. Tapi sekarang dek kerana kesibukan dan jadual cuti mereka tidak sama, saya dan suami benarkan mereka pergi “cuti-cuti adik beradik” tanpa kami. Jika ada masa terluang, saya pastikan kami sekeluarga beriadah bersama. Saya juga sering mengajak mereka untuk menyertai aktiviti team building yang saya jalankan bersama Perancang Hayat saya.” kata Rashidah yang gemar memasak dan meluangkan masa berkebun bersama anak-anak.

Berkongsi tentang bagaimana dia mendidik anak-anak, Rashidah menyatakan, anak-anaknya dididik supaya berdikari.

“Mungkin disebabkan kerjaya saya dan juga tidak mempunyai pembantu rumah, anak-anak saya belajar untuk berdikari dan tidak dimanjakan. Kami mewahkan juga tapi mereka tahu batas dan tanggungjawab. Mereka pandai menguruskan diri sendiri malah anak bujang saya juga hebat di dapur,” terang Rashidah yang mengakui anak-anaknya juga menunjukkan minat untuk mengikuti jejak langkah dia dan suami untuk terlibat dalam bidang insurans dan takaful selepas tamat pengajian.

Santai & Kongsi Ilmu

Bercerita tentang dirinya, wanita berwawasan tinggi ini memulakan kerjaya dalam bidang insurans dan takaful ketika usianya sekitar akhir 20-an. “Saya mula terlibat dalam bidang ini pada tahun 1997, ketika sedang mengandung anak bongsu yang kini sudah berusia 21 tahun. Pada waktu itu saya bekerja di sektor perbankan. 2 tahun saya menjadi Perancang Hayat AIA secara sambilan sebelum akhirnya menjadi Perancang Hayat sepenuh masa.

“Bila saya sedar tentang kepentingan perlindungan insurans dan takaful, juga kerana kurangnya golongan bumiputera lebih-lebih lagi wanita, yang berkecimpung dalam bidang ini pada waktu itu, saya tekad untuk menjadi Perancang Hayat yang berjaya.

“Saya nak ubah persepsi masyarakat terutamanya orang Melayu yang kurang kesedaran tentang perlindungan kewangan. Bila orang dengar ejen insurans/takaful, orang takut dan mula jauhkan diri. Maka saya tekad buat perubahan. Pendekatan saya lebih kepada konsep berkongsi maklumat dan ilmu dengan klien, lebih santai dan berterus terang. Saya berazam melindungi keluarga satu demi satu. Lagipun melindungi insan lain adalah suatu pengalaman penuh berkat.

Ads

“Pada tahun 2000, saya dan suami membuatkan keputusan untuk menubuhkan agensi ini, hasil titik peluh kami berdua. Suami merupakan mentor saya dan dialah yang memantau perkembangan kerjaya saya. Ramai yang kagum melihat saya seronok bekerja di samping suami. Dan mereka juga jadikan kami role model dan bercita-cita mahu membuka agensi bersama pasangan mereka,” tambahnya.

“Jangan Cepat Mengalah, Berubah Jadi Lebih Baik,” Rashidah Rahmat
Rashidah bersama suami, Hazamri Ibrahim.

Raih Pelbagai Kejayaan
Kejayaan demi kejayaan diraih dengan penuh cemerlang sepanjang penglibatan Rashidah dalam bidang ini. Paling membanggakan, baru-baru ini Rashidah telah diiktiraf di tahap industri takaful kerana berjaya merangkul Tempat Kedua – Pengurus Agensi (Direct) – Kategori Bisnes Takaful Keluarga Individu daripada Persatuan Takaful Malaysia (MTA).

Ditanya tentang rahsia kejayaannya, Rashidah pantang mengalah dan terus memperbaiki diri.

“Jika mahu berjaya, seseorang itu perlu ada disiplin diri. Asam garam dalam kehidupan memang ramai orang cepat mengalah, lebih-lebih lagi dalam bidang ini. Jadi kena bangkit dan kita kena teliti macam mana kita nak berubah menjadi lebih baik. Pada saya kejayaan itu tidak ada kaitan dengan bangsa, agama mahupun jantina. Jika ada kemahuan, saya pasti kita boleh lakukan,” ulasnya.

Mahu Bantu Perkasa Wanita

Ads

Membina mahligai dan menguruskan rumah tangga bersama suami tanpa bantuan luar bukanlah sesuatu yang mudah tetapi ia bukanlah alasan untuk Rashidah putus asa dan leka. Rashidah juga mahu wanita lain bantu menaik taraf ekonomi keluarga mereka.

“Sewaktu masih membina nama di dalam industri ini, saya dan suami bersyukur dapat uruskan anak-anak sendiri dengan bantuan ibu bapa kami. Masa anak masih kecil, saya bawa mereka ke pejabat. Jadi sekarang, kami tidak mempunyai masalah jika Perancang Hayat kami membawa anak-anak mereka ke pejabat apabila mahu bertemu saya atau mempunyai sesi latihan. Saya terapkan budaya ini agar mereka tidak menjadikan anak itu sebagai alasan untuk tidak mempertingkatkan diri dan bina kerjaya mereka. Asalkan mereka tahu bagaimana untuk mengawal anak-anak, saya bersifat terbuka dalam hal ini.”

“Kalau boleh, saya mahu lihat golongan wanita berdikari, jana pendapatan sendiri dan boleh beri persaingan yang hebat kepada lelaki. Saya mahu membantu wanita-wanita di luar sana terutamanya golongan ibu tunggal dan suri rumah. Ada yang mempunyai kelayakan akademik tapi menjadi suri rumah jadi apa salahnya tambahkan pendapatan melalui kerjaya yang mulia ini. Paling penting mereka perlu pandai menguruskan masa,” sambungnya.

Persekitaran Sihat
Rashidah juga menjelaskan dia gemar bekerja dikelilingi mereka yang memiliki sikap positif dan persekitaran yang sihat.

“Dalam merekrut Perancang Hayat, saya mementingkan individu yang mudah bekerjasama, mempunyai semangat tinggi untuk berjaya dan tidak mudah putus asa. Paling penting mereka berperwatakan ceria kerana saya mahukan persekitaran yang positif dan mahu mereka lebih bersemangat daripada saya.

“Sebulan sekali, agensi saya akan melakukan aktiviti yang sihat bersama. Secara tidak langsung kami merupakan duta-duta kepada AIA yang mempunyai misi untuk membantu rakyat Malaysia untuk hidup lebih sihat, berpanjangan dan bermakna. Jadi sebagai Perancang Hayat, kami perlu menjadi contoh kepada para pelanggan,” terang Rashidah yang memupuk suasana agensi yang mesra dan bersifat kekeluargaan.

AIA Elite Academy

Sebagai Pengurus Agensi, Rashidah bertanggungjawab terhadap tahap profesionalisme serta perjalanan kerjaya Perancang Hayatnya. Salah satu cara memastikan kecemerlangan mereka adalah melalui program AIA Elite Academy.

“Perancang Hayat yang dilihat berpotensi menjadi usahawan dan pengurus agensi kelak akan diserap menerusi program AIA Elite Academy. AIA merupakan syarikat insurans dan takaful pertama yang menawarkan program eksklusif selama 18 bulan seumpama ini.

“Program ini bukan sahaja membantu menyediakan kemahiran dan latihan, tetapi juga menawarkan skim pembiayaan, silibus pembelajaran yang terbaik untuk membantu Perancang Hayat memulakan kerjaya dengan AIA.” akhiri Rashidah yang kini telah berjaya merekrut 34 orang Perancang Hayat berbakat di bawah program AIA Elite Academy.
Jika anda berminat untuk menjana pendapatan lebih atau berhasrat untuk mengetuai agensi anda suatu hari nanti, layari www.aia.com.my/eliteacademy

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI