Jangan Buat ‘Orang Rumah’ Macam Hamba!

Share

Dilema ‘orang rumah’ yang bekerja, balik rumah tertiba rasa dilayan macam hamba. Apa tidaknya, semua benda kena buat walau masing-masing penat keluar mencari rezeki. Hal anak pun tak ada orang tolong, apa lagi bab kemas rumah dan cerita dalam memberikan ‘layanan istimewa’.

“Saya ni bukanlah enggan melayan suami. Tidak pernah rasanya dalam seminggu tu suami tak dapat layanan hubungan intim. Paling kurang pun seminggu 2 kali. Macam mana saya nak layan dia setiap hari, kalau tiap hari bekerja dari awal pagi sampai tengah malam dan semua kerja saya kena buat.

Suami tak tolong pun. Biar pun keluar dari pintu kereta kena dukung baby sambil angkat beg kerja dan beg taska. Sampai rumah kelam kabut nak sediakan makan malam. Sambil urus anak.

Dah siap masak, kena masukkan kain pula dalam mesin. Suami saya hanya tahu tengok TV lepas kerja. Kalau tak pun tidur kat atas sofa. Lepas tu marah lagi kat anak-anak kalau bising. Hanya kerana saya tak dapat melayan 100% tuntutan seks, saya sering dikatakan NUSYUZ.”

Lepas Kahwin Jadi Tambah Hutang

“Selalu dikatakan lebih mengutamakan kerja luar daripada tugas sebagai isteri. Sanggup penat kerana kerja bergaji daripada penat kerana suami. Sedangkan saya bekerja, saya tidak menikmati gaji pun. Sebelum saya mengahwini suami saya, saya langsung tiada komitmen bank. Tapi kerana ingin menolong suami yang pada masa tu banyak komitmen kad kredit yang perlu dibayar, saya buat juga loan atas nama saya…”

Bukan bertujuan memalukan sesiapa tetapi Puan Suziana Ghazali nak menjelaskan kedudukan sebenar kes bersesuaian dengan topik pilihan kali ini. Bukan wanita ini saja menerima nasib serupa malah ramai lagi tetapi hanya mampu mendiamkan diri.

Realitinya di dalam Islam, berjimak atau melakukan hubungan seks antara suami dan isteri termasuk di dalam perkara ibadat dan boleh mendatangkan pahala. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Dan pada hubungan kelamin kamu semua (bersama isteri) merupakan sedekah. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah jika seseorang kami mendatangi isterinya (untuk berjimak) maka dia mendapat pahala?

Rasulullah menjawab: Bagaimana pendapat kamu semua jika dia menyalurkan syahwatnya ke jalan yang haram, (sudah tentu) dia akan mendapat dosa kerananya. Demikian juga jika dia menyalurkan di jalan yang halal, pasti dia mendapat pahala.” – hadis riwayat Muslim.

Namun, isteri diberikan kepada suami bukan semata-mata untuk memenuhi kehendak seks suaminya sahaja. Islam tidak menafikan hak tuntutan batin isteri. Ada banyak ayat yang memberikan maksud, isteri juga mempunyai hak yang sama dengan suami di dalam kehidupan berumah tangga. Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud:

“Bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” – surah al-Nisa’ ayat 19.

Ayat ini membawa pengertian yang maha luas. Gauli isteri secara baik bererti suami perlu menjaga kebajikan isteri, menjaga makan minumnya, menjaga perasaannya. Gauli isteri secara baik juga memberi erti bahawa isteri perlu dilayani kehendak batin mereka menepati selera mereka.

Tak Boleh Paksa, Laki Bini Kena Faham

Kenikmatan hanya akan diperoleh jika kedua-dua pihak sama-sama berkehendak kepada hubungan seks tersebut, bukan dipaksa atau terpaksa. Wujud paksaan atau tidak hanya dapat dikenal pasti melalui layanan anda kepada isteri sebelum anda menerjahnya untuk melaksanakan hubungan kelamin.

Andai suami gagal melayan isteri dengan baik sebelum melakukan hubungan kelamin atau anda gagal membantu isteri melaksanakan kerja yang bukan tanggungjawabnya – ya! Mengemas rumah, membasuh pakaian atau memasak bukanlah tanggungjawab isteri sebaliknya tanggungjawab bersama apatah lagi tatkala isteri membantu suami dalam pembiayaan kewangan – mana mungkin akan wujud rasa rela dan rasa dihargai selain meyakini diri hanyalah tempat melampiaskan nafsu seks suami.

Rasulullah s.a.w seorang kekasih Allah, masih mampu membantu isteri membuat kerja rumah. Daripada Al-Aswat bin Yazid katanya yang maksudnya, “Aku bertanya kepada Aisyah: “Apa yang Nabi s.a.w kerjakan di rumah? Aisyah menjawab: “Baginda sentiasa melayani isterinya yakni membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah. Maka apabila masuk waktu sembahyang Baginda pun keluar untuk sembahyang (ke masjid).” – hadis riwayat Al-Bukhari. Kenapa anda suami akhir zaman kini enggan membantu isteri sendiri?

Buat para isteri, mulakan dari awal untuk mengajak suami anda membantu dalam kerja-kerja rumah termasuk memasak. Walau bukan tugas wajib bagi isteri tetapi melakukannya adalah bonus untuk terus menambat kasih suami. Buat para suami, isteri untuk dikasihi, disayangi dan dijaga kebajikannya, bukan sebagai pembantu rumah atau pelampias nafsu anda semata-mata ya..!

 

 

Published by
Nadia