Kerap kita dengar kisah-kisah ibu bapa yang menurut kata-kata anak sehingga ada yang bergolok-gadai demi memenuhi keperluan sang anak. Situasi membiarkan anak menjadi tuan seolah-olah tidak disedari ibu bapa.
Paling malang bila senario ini berakhir dengan melayangnya nyawa sang ibu bila mana anak hilang pertimbangan demi tuntutan peribadinya. Memikul amanah mendidik dan membentuk anak- anak bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.
Kebelakangan ini selalu dibincangkan tentang senario ibu bapa yang melahir serta membesarkan “tuan”. Senario ini tidak hanya memberi kesan dalam lingkungan keluarga itu sendiri, malah turut terkena lempiasnya kepada kerabat terdekat mahupun masyarakat.
Mengapa Berlaku
Kenapa agaknya perkara ini berlaku? Ikuti perkongsian seorang pensyarah dan penulis buku, Ezatul Marini:
1. Fenomena anak ” juah “
Favouritism among parents is inevitable. Itu saya akui. Memang dalam hati ibu bapa itu ada anak yang lebih digemari berbanding anak lain. Ibu bapa memang akan katakan semua anaknya disayang, tetapi tanpa mereka sedar, pasti ada seorang yang jadi ” buah hati “. Sesetengah ibu bapa bijak mengimbangi keadaan ini namun ada ibu bapa yang tidak mampu mengawal rasa sayang hingga si anak berani melakukan apa sahaja.
Lahirnya dijulang. Kenakalannya jadi hiburan hingga satu hari keburukannya disorok dan dibela hanya kerana dia anak kesayangan ibu bapanya.
Keadaan ini pasti membuah luka dan gurisan di hati anak- anak yang tidak memegang ” title ” berkenaan. Kebiasaannya anak- anak ini jika berbuat salah, ibu bapa cenderung ambil sikap ” sweep under the carpet “. Akhirnya masalah tidak juga selesai.
2. Sindrom beri peluang
Kesalahan pertama dimaafkan. Berjangkit pula kepada kesalahan kedua. Seterusnya melarat kepada lebih banyak kesalahan. Kenapa? Kerana ibu bapa ambil sikap beri peluang untuk anak berubah.
Sebaiknya andai kesalahan pertama dimaafkan, usah beri peluang untuk berlakunya kesalahan seterusnya. Langkah pembetulan dan pencegahan perlu segera diambil.
3. Peti aduan
Ada ibu bapa suka menceritakan keburukan anak- anak pada anak yang lain. Contohnya, apa yang mereka tidak puas hati tentang anak yang ini akan diluahkan kepada anak yang lain hingga hilang rasa hormat sesama adik- beradik. Sentiasa akan ada persepsi buruk antara satu sama lain yang tambah memburukkan keadaan.
4. Membenarkan anak bersikap seperti ibu bapa
Adakalanya jarak usia menyebabkan ada anak- anak yang keluar meninggalkan rumah ibu bapa untuk bekerja atau mengikut keluarga selepas berkahwin. Maka yang tinggal bersama ibu bapa mungkin anak yang lebih muda.
Entah mengapa, adakalanya anak- anak ini kerap diberikan kemudahan dan ruang untuk bertindak seperti ibu bapa. Mereka bebas bercakap apa sahaja, bertindak ikut suka dan adakalanya kebiadapan mereka juga tidak ditegur.
Kakak abang hendak menegur memang tidak mampu kerana bila menegur akan ada hati ibu bapa yang sentap kerana teguran itu dianggap sebagai indikator bahawa mereka gagal membentuk anak yang muda belia ini. Paling dahsyat bila ibu bapa bertindak membela pula si muda. Itu lebih bahaya.
5. Takut ditinggalkan
Saya biasa melihat anak- anak bongsu yang jauh lebih muda dari adik- beradik lain jadi lebih dominan kerana ibu bapa akan bersikap mendiamkan diri tanpa berani menegur tingkahlaku negatif si anak. Alasan takut ditinggalkan kerana anak- anak lain keluar merantau paling kerap digunakan.
Si bongsu ini lama- kelamaan jadi besar kepala dan berani berbuat apa sahaja.
6. Gejala “anak saya sempurna”
Tiada manusia yang sempurna di mukabumi ini. Hanya Allah pemilik kesempurnaan. Terdapat ibu bapa yang tidak mahu menerima jika ada yang berkongsi berita tentang salah laku anak mereka. Mereka bersikap seolah seluruh dunia cemburu dan sengaja menabur fitnah mengenai anak mereka.
Sebaiknya, apabila berlaku keadaan ini, ibu bapa harus menyiasat dan memastikan kesahihan cerita agar tindakan awal dapat diambil. Simpan sedikit rasa curiga dengan perilaku anak- anak. Jangan selalu bersikap “in denial” jika mengesan sesuatu yang tidak beres dalam perlakuan anak- anak.
MW: Sebenarnya menurut Ezatul Marini, sekolah yang memberikan adab dan kemanusiaan itu bermula dari rumah. Anak-anak adalah cerminan bentuk pendidikan yang diterima dan nilai yang meresap dalam jiwa. Jadi mak, ayah perlu jadi bijak dalam mendidik anak-anak.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI