Jangan berkira dengan mak ayah. Bila anak-anak dah besar dan punyai kehidupan sendiri, selalu dilupakan mak ayah di kampung. Nak-nak pula bila dah kerja di bandar, lagi susah untuk melihat susuk wajah orang tua.
Biasanya, kalau bekerja di bandar boleh kira berapa kali dalam sebulan, setengah bulan atau setahun kita balik kampung. Itu pun berkira-kira bimbang duit tak cukup bila balik nanti.
Kalau nak tunggu cukup atau mampu memang tak akan balik lah kita. Mak ayah bukan harapkan duit anak-anak, tapi bila balik hilang rasa rindu, selera makan pun mungkin bertambah bila ada anak depan mata.
Persoalannnya bila nak balik. Tak perlulah nak berkira dengan mak ayah atau tunggu mampu baru nak balik. Dikesempatan yang ada inilah masanya untuk kita melihat orang tua. Antara perkongsian daripada Rohana Saad untuk renungan bersama.
Jangan Berkira Dengan Mak Ayah, Tunggu Mampu Bukan Alasannya
Pernah tak, anda dalam situasi seperti ini??
Ads
Bawa mak ayah pergi klinik, mak ayah bayar sendiri sebab kita pun tak mampu nak tolong bayar, sedangkan dari kecil mak ayah yang bayarkan bil kita. Kadang terpaksa meminjam, ada yang sampai sekarang masih mengharapkan mak ayah yang bayar.
Bawa mak ayah pegi pasar malam atau supermarket.. mak ayah bayar sendiri, sedangkan dari kecil lagi mak ayah yang turuti apa yang kita nak sampai abaikan keinginan sendiri.
Mak ayah pegang sesuatu yang dia berkenan, tapi kita buat tak tahu, sebab nanti short duit belanja kita. Dulu berguling-guling kita memberontak nak juga sesuatu tu.
Nak keluar makan takut nak pelawa mak ayah sekali sebab nanti kena bayar lebih, padahal dulu kita menangis-nangis nak KFC mak ayah terpaksa ikat perut waktu kerja sebab terguna duit belanja.
Bila Nak Balik Kampung
Nak balik kampung melawat mak ayah pun tak mampu sebab kos minyak, tol dan belanja di kampung, padahal dulu nak ke mana pun mak ayah sanggup pinjam kereta, sanggup naik turun bas bawa kita berjalan.
Ads
Waktu balik kampung tak hulur wang belanja padahal dari sekolah mak ayah la yang bagi duit belanja.
Tak payah cakap bab memberi, sampai dah kahwin dah ada anak pun masih meminta pada mak ayah, itu saya dulu waktu seronok, waktu senang.
Insan pertama yang kita cari ialah pasangan kita, rai kan bersama tapi waktu susah, waktu musibah insan pertama yang kita cari ialah mak ayah.
Mak ayah kita tak pernah berfikir dua kali untuk beli atau berbuat sesuatu untuk kita. Walaupun dia pun takda duit waktu tu, tak pernah sebut dan bagi alasan, semuanya ditelan. Kalau cakap takut kita rasa serba salah nak minta tolong, sedangkan kita sekarang mak ayah minta sikit panjang berjela pnerangan kita untuk itu ini.
Sampai BILA?
Persoalannya BILA????
Ads
Kita nak mampu beri balik, bukan soal wang sikit atau banyak sebab mereka bukan mengharapkan kemewahan tapi pemberian dari insan bergelar anak walaupun sikit..
ingat, setiap kali alasan yang kita beri. Umur mak ayah kita makin meningkat dan mereka tak ada masa yang banyak untuk tunggu kita “mampu” dan bagi mereka yang sudah tiada mak ayah, ia bukan alasan untuk kita berhenti memberi pada mereka.
Renungkanlah, masih banyak yang harus diperbetulkan, janji untuk jadi yang
terbaik dan beri yang terbaik buat mereka. Jangan sampai jenazah mak ayah masuk ke liang lahad baru kita nak menyesal!.
Mingguan Wanita : Keberkatan tengok mak ayah, insya Allah dipermudahkan. Jangan fikir tak cukup, nanti ada rezeki lain yang datang. Percayalah.
Ramai pasangan yang ingin memiliki anak kembar. Namun apabila diuji dengan kelahiran bayi kembar istimewa, Down Syndrome bagaimanakah agaknya perasaan untuk menghadapi kenyataan ini. Kelahiran Iman Razin & Iman Raziq merupakan ujian dan anugerah teristimewa buat pasangan cekal Ahmad Amin Abd Rahman, 31, dan isterinya, Khalila Ibrahim, 30.
Keluarga bahagia ini dikurniakan dengan empat orang anak-anak lelaki yang comel dan kian membesar. Aiman Hakim, 9, Akif Hakim, 6 dan sepasang bayi kembar Iman Raziq, Iman Razin 2 tahun 9 bulan.Dua kelahiran pertama mereka ini membesar dengan sihat dan ceria. Namun ditakdirkan kelahiran ketiga kali ini, pasangan ini diuji dengan dikurniakan anak-anak lebih istimewa yang mempunyai Down Syndrome.
Tiada Masalah Sepanjang Mengandung
Mengimbas kembali pengalaman ketika mengandungkan Razin dan Raziq, Khalila berkata;
“Detik perjalanan sepanjang mengandungkan kembar istimewa ini cukup mudah. Tidak mempunyai masalah dan tidak mengalami alahan seperti kebanyakan wanita lain alami. Genap kandungan dua bulan, saya telah disahkan mengandung kembar oleh doktor apabila memiliki dua kantung berasingan melalui ujian imbasan yang dilakukan. Pelbagai perasaan teruja dan gembira bercampur baur apabila bakal dikurniakan kembar.
“Apabila kandungan memasuki usia tujuh bulan, kedudukan bayi masih dalam keadaan melintang dan posisinya juga tidak berubah. Apabila kandungan menjangkau usia 37 minggu, doktor membuat keputusan kelahiran harus dilakukan melalui proses pembedahan.
“Tarikh 2 Jun 2015, si kembar istimewa ini dilahirkan. Iman Razin memiliki berat 2.7kg manakala Iman Raziq 2.8kg. Sejurus dilahirkan, doktor dan suami merahsiakan daripada saya, yang anak kami mempunyai Down Syndrome. Para doktor di Hospital Ampang Puteri mengambil masa sehingga tiga hari untuk mengesahkan bayi kembar kami mempunyai Down Syndrome .
“Ini kerana melalui ujian kesihatan dan pemeriksaan yang dilakukan sewaktu mengandung semuanya dalam keadaan normal. Hatta, kami turut telah melakukan ujian imbasan bagi menentukan ujian analisis kromosom untuk mengenal pasti keadaan kandungan ketika itu, dan keputusannya juga negatif. Bahkan, kedua-dua keluarga kami juga tidak mempunyai sejarah genetik Down Syndrome ini. Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang, takdir Allah menentukan segala-galanya.
Masalah Jantung Berlubang & Tiada Lubang Dubur
“Belum reda sepenuhnya menerima hakikat keadaan kembar, perasaan kami sekali lagi diuji apabila doktor mengkhabarkan bahawa kedua-dua bayi kami mengalami masalah jantung berlubang dan ketiadaan lubang dubur yang memerlukan pembedahan untuk membuat saluran tersebut.
“Bagaikan halilintar membelah bumi, pada mulanya agak sukar untuk saya terima hakikat, mengapa saya yang terpilih dikurniakan anak-anak syurga ini, ditambah pula dengan komplikasi yang mereka alami. Tidak tertanggung rasanya perasaan ini. Saya merasa sungguh down sehinggakan sampai satu tahap saya rasa tidak ingin melihat mereka kerana tidak sampai hati memikirkan masa depan yang akan mereka lalui jika tanpa saya di sisi.
“Selama dua minggu sepanjang tempoh berpantang beliau dan suami berulang alik ke hospital melihat keadaan si kembar, berkampung tidur di hospital. Enam bulan pertama, kami berusaha untuk tidak keluar rumah kerana dalam tempoh ini, antibodi bayi kembar istimewa ini tidak cukup kuat dan mudah mendapat penyakit,” ujar Khalila panjang lebar mengenai kronologi kelahiran dan pemeriksaan yang telah dilalui oleh si kembar Razin dan Raziq sejak bayi lagi.
Keluarga Beri Semangat
Raziq telah menjalani pembedahan Stoma iaitu bukaan pada sebahagian daripada usus atau saluran kencing di bahagian permukaan atas perut sebagai saluran keluar untuk bahan kumuh seperti najis atau air kencing, pada bulan Disember manakala Razin telah menjalani pembedahan yang sama ini pada bulan September 2016. Selepas pembedahan tersebut, Khalila dan suami, perlu mencuci, menukar beg stoma dan tapak beg stoma setiap hari demi memastikan kebersihan dan percernaan si kembar ini berjalan lancar. Berita baik juga diterima, saluran jantung mereka tidak lagi berlubang dan mereka tidak perlu menjalani pembedahan.
Selain itu, sebagai ibu dan bapa, kedua-duanya cuba sebaik mungkin untuk membantu perkembangan si kembar agar terus positif melalui terapi. Khalila dan suami melakukan inisiatif dengan mengupah ahli fisioterapi seminggu sekali untuk datang ke rumah untuk melakukan terapi khusus pada kembar istimewa ini. Ia demi memastikan tahap pembesaran dan kemahiran Razin dan Raziq berkembang dengan lebih cepat. Ini kerana bagi anak-anak Down Syndrome ini, ia perlu diberikan stimulasi dan diajar pergerakannya.
Menurut Khalila lagi, beliau amat bersyukur anak kembar istimewanya cukup mudah dijaga, tidak mudah meragam dan menangis, selain bersikap manja dan penyayang. Kehadiran mereka bagaikan memberi sinar, membuka mata dan hati beliau dan suami agar lebih mendekatkan diri pada Ilahi. Suami dan abang sulung Khalila banyak memberikan kata-kata semangat dan motivasi buatnya, untuk belajar menerima hakikat ini dan agar lebih positif, selain ahli keluarga dan rakan-rakan yang turut memberikan semangat.
Selain itu, Khalila dan suami juga turut aktif menyertai aktiviti persatuan KIWANIS dan grup ‘Bunga-bunga Syurga’ di Facebook yang khusus untuk ibu bapa yang mempunyai anak-anak Down Syndrome. Satu azimat daripada pasangan ini, banyakkan bersabar dan paling utama jangan putus asa dalam menjaga anak-anak teristimewa ini.
Buat mak ayah yang turut memiliki anak syurga yang teristimewa ini, semoga terus cekal dan tabah memiliki anak ini. Anggaplah mereka sebagai ‘saham’ kita untuk mengumpul pahala di akhirat nanti. Hakikatnya, insan-insan istimewa inilah yang mendidik kita menjadi sebenar-benar manusia.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ramai lelaki yang mengaku Isteri mereka seorang yang isteri yang baik, ibu yang penyayang dan baik hati. Tapi kelemahannya, memiliki sikap panas baran! Pantang ada silap, terus melenting. Pening juga tu! Sebagai suami, apakah tindakan anda jika memiliki isteri yang panas baran?
Elakkan Pertelingkahan
Sebagai suami, tentu anda sudah ‘masak’ dengan perangai panas baran isteri. Anda juga pasti sudah ketahui apa yang menyebabkan dia melenting. Seeloknya elakkan daripada melakukan sesuatu yang boleh membangkitkan kemarahannya. Misalnya dia pantang jika anda meletakkan baju kotor merata-rata atau gelas tidak diletakkan di dalam singki selepas digunakan.
Jika anda buat juga tanpa sengaja, elakkan daripada memberikan alasan kerana itu hanya akan lebih memanaskan hatinya. Seeloknya diam saja. Malah seseorang yang dalam keadaan marah, apa yang orang lain cakap selalunya dia tak akan dengar walau pun mungkin dia sendiri yang silap. Anda pun kenalah bertolak ansur dan banyakkan bersabar jika menghadapi situasi ‘panas’ macam ni.
Tempoh Bertenang
Kebiasaannya orang yang mudah ‘naik angin’ ini akan cepat juga ‘turun’. Jadi bila anda dapat rasa yang pasangan mula hendak ‘hot’, lebih baik anda sendiri kawal perasaan dan beri masa untuk dia redakan kemarahannya. Sabar saja jika dia menjerit atau menghempas pintu. Asal jangan cederakan dirinya sendiri, anda atau anak-anak. Tiap orang ada cara tersendiri untuk lepaskan kemarahan mereka.
Komunikasi
Berkomunikasi dengan orang yang sedang marah ini perlu kena gayanya. Jangan dia tengah marah, anda juga turut meninggikan suara dan memekik. Berusahalah untuk terus berkomunikasi dengan nada yang tenang. Jika boleh, selitkan dengan jenaka yang boleh membuatkan dia tersenyum/ketawa. Tapi, kena tengok situasi ye. Jangan sampai jenaka itu buat dia makin menyinga!
Bantuan Orang Lain
Orang yang panas baran ni kita tak boleh tegur dengan cara yang kasar atau marah-marah. Kita kena selalu gunakan ayat-ayat manis dan positif supaya dia tak naik angin. Jika sebagai suami, anda tidak mampu lagi menegur sikapnya itu, anda boleh minta pertolongan orang lain yang dihormati oleh isteri anda seperti ibu bapa atau rakan rapat. Mungkin teguran itu dapat membuka mata isteri untuk mengubah atau mengurangkan sikap panas barannya itu.
Sabar Dan Didik
Suami yang memiliki isteri yang panas baran harus memiliki tahap kesabaran tinggi. Memang tak mudah tapi itulah kunci untuk anda kekal dalam perhubungan itu. Walau bagaimana pun, sabar juga kena tahu hadnya. Jangan bersabar sehingga isteri ‘besar kepala’ dan terus menerus dengan sikap panas barannya itu. Anda sebagai suami juga tidak dihormati kelak. Ditakuti apabila benteng kesabaran itu roboh, ‘perang’ lebih besar akan muncul.
Selain itu, sebagai suami, anda juga perlu sentiasa cuba mendidik dan menjadi contoh kepada isteri.. Anda perlu tegur sikapnya itu agar dia sedar dan cuba untuk mengawalnya kelak. Ditakuti jika dibiarkan ia akan berterusan begitu atau lebih buruk lagi, sikap barannya makin menjadi-jadi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Wanita bila dah sayang sampai jadi ‘buta’ tetap setia! Ada benarnya kenyataan ini. Diakui ada sesetengah wanita yang terleka bila diulit bahagia. Walaupun sesetengahnya jiwa mereka derita dalam melayari perkahwinan.
Wanita Bila Dah Sayang Sampai Jadi ‘Buta’ Tetap Setia!
Seperti mana coretan dalam perkongsian menerusi personaliti media sosial, penulis motivasi yang juga seorang ibu tunggal Dzuriasikim Dzulkefli memberi nasihat buat kaum wanita yang terbelenggu derita dalam perkahwinan.
10 CARA UNTUK KELUAR DARI ‘SAYANG’ YANG MEMBUNUH BAHAGIA
“Saya mahu semua wanita membaca ini dan tahu membezakan apabila anda benar-benar dihargai atau tidak. Terlalu banyak wanita yang menderita dalam perkahwinan kerana sangat menyayangi pasangan biarpun terpaksa berdepan dengan banyak kesakitan.
“Wanita sanggup disakiti, dipukul atau dibuli secara fizikal dan mental demi sayang. Dan sering tidak sampai hati untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa kerana masih “sayang”.
“Sukar untuk difahami. Orang yang tak pernah lalu tak akan faham kenapa wanita bila dah sayang sampai jadi “buta” dan “tuli” begini.
“Wanita juga tetap setia meskipun pasangan mereka ada yang menjadi penagih dadah, kaki botol atau kaki pukul.
“Sayang begini boleh membunuh bahagia. Saya mahu wanita bangkit dan belajar untuk menyayangi diri. Bacalah ini…
Anda mungkin berasa takut untuk keluar dari perkahwinan. Tak berani sebab takut tak dapat survive. Sebenarnya percayalah jika anda berada dalam keadaan begini, di luar ada kehidupan yang jauh lebih sihat dan selamat.
Jangan bimbang akan rezeki. Ingat satu perkara bahwa Tuhan tidak pernah zalim terhadap kita. Rezeki itu luas. Mintalah kepada Tuhan agar dimurahkan rezeki, bukan kepada manusia.
Tidak ada siapapun yang akan dapat mengubah nasib kita, bantu kita, angkat kita… Melainkan diri kita sendiri. You need to wake up. Berkasih sayang itu lumrah, namun biarlah berpada.
Yang dinamakan sayang itu adalah apabila pasangan menunjukkan dengan perbuatan, tanggungjawab, penghargaan, pengorbanan. Bukan jadikan anda sebagai korban kasih sayang. Dan bukan sekadar kata-kata. Sayang pada bibir sahaja tidak cukup jika siang malam anda dijadikan “punch bag” mereka untuk melepaskan geram. Hargailah diri kita.
Usah gunakan alasan kasihankan anak-anak untuk keluar dari perkahwinan. Sebenarnya anak-anak akan membesar dengan lebih sihat tanpa melihat ibu mereka didera berterusan, dicerca dengan kata-kata yang memberikan tekanan mental serta penuh dengan keganasan dan kezaliman.
Mintalah kepada Tuhan agar diberikan kekuatan dan ketetapan hati. Untuk itu, usah pernah putus asa untuk berdoa agar anda menjadi kuat dan diberikan keberanian untuk membuat keputusan. Demi untuk diri dan anak-anak.
Kadang-kadang penghidupan yang gelap akan membawa kepada sesuatu yang baik. Hidup memerlukan pengorbanan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan menentukan kejayaan. Kejayaan akan memberikan kebahagiaan. Usah pernah takut untuk melangkah.
Wanita perlu tahu bahawa dipukul dan disakiti berterusan itu bukanlah cara untuk menunjukkan cinta dan sayang. Ianya adalah kezaliman. You deserve a better life ok.
Ada wanita yang tetap merasakan bahawa pasangan mereka adalah yang paling baik walaupun terpaksa menderita. “Saya sayang sangat pada dia….cuma kadang dia tak dapat mengawal tangannya ketika marah. Tapi lepas tu dia ok. Dan malam kami tidur bersama seperti biasa…”.
Sungguh hati wanita itu seperti kerak nasi. Tetapi ingatlah kadang kita berasa dia yang terbaik, namun InsyaAllah ada yang lebih baik dan bertanggungjawab darinya di luar sana. Apalah gunanya hidup berpasangan jika sering berendam airmata. Cinta itu bersifat bahagia dan bukan derita.
Bila ada orang berkata bahwa dia mencintai kamu, simpan sedikit ruang dalam hati untuk diri. Dan sematkan dalam jiwa bahawa biar sebesar manapun cinta si dia, ianya hanyalah cinta dari manusia. Cinta sejati yang tiada bersyarat adalah dari Tuhan,” kongsi Puan Dzuriasikim yang sememangnya memberi banyak motivasi kepada golongan wanita.