Pernah tak kita dengar rezeki cukup-cukup makan saja. Nak menyimpan pun tak dapat, cukup-cukup untuk keperluan bulan itu. Lebih sedih lagi, bila duit yang ada itu digunakan untuk baik kereta, tayar pancit. Terus lari badget.
Sebenarnya, kalau gaji banyak sekalipun, tidak akan cukup kalau kita sentiasa berkira-kira dengan keluarga. Lebih-lebih lagi isteri dan anak-anak. Ada sahaja benda yang nak kena bayar. Sedangkan kalau gaji kecil tapi sentiasa menjaga kebajikan isteri dan anak. Insya Allah, semua itu mampu di atas.
Ikuti perkongsian daripada Firdaus Shakirin tentang rezeki berkat apabila kita tidak berkira dengan anak dan isteri.
Abah selalu cakap,
“Nak makan apapun, beli…teringin apapun, beli…duit boleh cari…”
Sampai ke hari ini, bila dah berkahwin pun saya masih guna pakai ayat ni…saya pesan kat isteri, kalau ada benda yang dia teringin, yang dia nak, bagitau ja kat saya, saya akan usahakan untuk beli…tak kisahlah samada ianya makanan, barangan, pakaian ataupun kelengkapan2 lain…
Kalau tak beli bulan ni, bulan depan…kalau tak bulan depan, bulan satu lagi…
Rezeki Makin Bertambah
Apa yg kita akan dapat sekiranya kita berkira dgn anak isteri sendiri…? Duit kita semakin bertambah…? Kita semakin kaya…?
Sama ja pun…duit habis mcm tu jugak…lagi teruk, tak nampak apa-apa hasil tapi duit dah habis…
Isteri nak beli pencuci muka, kita kata xpyh, tapi kita beli rokok, xpe pulak…? Isteri nak beli baju baru, kita kata pakai ja baju mna yg ada, tapi kita tukar sport rim kereta, xpe pulak…? Isteri nak beli kasut, beg tgn, tudung baru, kita suruh pakai yg lama, tapi kita beli yang baru-baru untuk diri sendiri, boleh pulak…?
Suami jenis yang macam mana kita ni…
Doa Anak Isteri
Jangan terlalu berkira dengan anak isteri…apa yang kita dapat pada hari ini sangat berkait rapat dengan mereka…boleh jadi kita ni yang menumpang rezeki anak isteri kita sendiri ataupun kita dimurahkan rezeki hasil doa tanpa henti dari anak isteri…cubalah untuk tunaikan apa yang anak isteri inginkan, insya Allah, Allah akan membalasnya berlipat kali ganda lagi dari nilai yang kita keluarkan…
Nak percaya atau tak, terserahlah…dapat tengok anak isteri tersenyum gembira setiap hari itu lebih bermakna daripada ada duit banyak, tapi dengan anak isteri sendiri pun BERKIRA…
MW: Bersyukurlah, sebab kita pun menumpang rezeki daripada mereka. Moga ia memberi manfaat pada pembaca.
Kredit: Firdaus Shakirin
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bercerai! Bukan Mudah Wanita Terima Kenyataan, Ini 10 Nasihat Mereka Yang Baru Bergelar Ibu Tunggal
Bercerai! Bukan mudah wanita terima kenyataan, ini 10 nasihat mereka yang baru bergelar ibu tunggal. Sememangnya perceraian atau perpisahan dalam perkahwinan bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilupakan. Apatah lagi terhadap kaum wanita. Sememangnya sesuatu yang memeritkan.
Kunci utama untuk memberikan ketenangan hati yang lari adalah bersabar. Namun kesabaran itu bukalah satu perkara yang mudah. Dan bukan semua wanita mampu bangkita semula.
Bercerai! Bukan Mudah Wanita Terima Kenyataan
Puan Dzuriasikim Dzulkefli menerusi perkongsian di akaun Facebooknya memberikan suntikan semangat untuk wanita diluar sana terutamanya mereka yang baru bergelar ibu tunggal.
Menurut Dzuriasikim ramai wanita, bukan mudah untuk menerima kenyataan selepas berpisah atau bercerai. Ada yang berasa malu untuk berdepan dengan keluarga dan rakan. Ada yang tidak boleh menerima kenyataan. Ada yang rasa dirinya serba kurang dan berasa kerana kekurangan diri itulah dia ditinggalkan. Ada yang tidak bersedia untuk menjawab banyak soalan yang diajukan.
“Berasa rendah diri, stress, tidak tahu bagaimana mahu bangkit semula. Ada yang anak-anaknya masih kecil, anak menangis cari ayah, sedangkan bekas suami tidak ambil kisah. Lebih malang jika wanita itu tidak mempunyai pelajaran, tiada wang simpanan, tidak mempunyai pekerjaan atau pendapatan sendiri, tidak menerima bantuan dari keluarga atau tiada tempat untuk mengadu.
“Hanya dengan sabar kita mampu menerima segala takdir dan ketentuan Ilahi. Sabar dan redha, menerima tanpa mempersoalkannya… InsyaAllah, satu hari nanti, anda pasti tersenyum kembali.
Bertenang dan baca 10 nasihat ini:
- Cuba sebaik mungkin untuk lupakan kisah silam anda. Anda perlu melangkah ke hadapan. Melihat ke belakang tidak akan mendatangkan sebarang faedah. Cari kekuatan diri and you need to move on ok!
- Fikirkan apa cita-cita anda sebelum ini. Inilah waktu terbaik untuk anda memenuhi segala impian anda. Cari jalan dan usah sesekali putus asa. Sekiranya ramai yang memburukkan anda kerana bergelar janda, pekakkan telinga sahaja. Jika tiada teman rapat, mengadulah kepada Tuhan. Ingat Dia sentiasa ada dan kasihNya tidak pernah bersyarat. Yakin akan itu!
- Cuba kawal minda anda. Letakkan masalah peribadi dalam satu “kotak” berbeza. Sentiasa senyum bila berhadapan dengan orang sekeliling terutama anak-anak. Usah sesekali menyalahkan orang lain atas apa yang berlaku. Ini adalah sangat penting untuk membentuk minda dan emosi anak agar tidak terganggu. Mereka perlukan lebih perhatian. Seburuk atau sejahat manapun bekas pasangan anda, dia tetap ayah kepada anak-anak anda. Usah heret anak-anak ke dalam emosi. Minda anak-anak yang positif dan ceria akan mempengaruhi keperibadian serta pencapaian akademik mereka. You have to be strong ya!
- Cari rakan yang positif dan boleh membina. Ianya mungkin sukar. Lebih-lebih lagi dalam keadaan kita serba kekurangan. Namun, circle yang positif adalah sangat penting dan membantu. Jika tiada, cuba baca buku-buku yang boleh memberikan inspirasi dan semangat. Jika tidak mampu untuk membeli buku, cuba buat carian di internet dan baca kisah kejayaan ramai wanita hebat dunia dan bagaimana mereka berjaya bangkit semula dalam hidup. Bacaan positif begini akan menjadi makanan minda yang sangat baik. Jika tidak mampu untuk membeli data, anda boleh cuba menggunakan wifi percuma yang disediakan di kebanyakan tempat awam. Sentiasa penuhi masa dengan perkara berfaedah dan elakkan dari termenung.
- Jika kurang minat membaca, anda boleh lakukan apa sahaja yang boleh memberikan pulangan wang atau kebaikan. Sebagai contoh, anda boleh belajar membuat kuih, nanti boleh dijual. Atau tanam pokok, anak pokok yang disemai boleh dijual. Anda perlu kreatif atau cubalah untuk menjadi kreatif. Jika memilih untuk menanam pokok contohnya, cuba tanam pokok herba atau yang sukar diperolehi di nursery. Pasti orang akan beli! Perlu berkorban tenaga dan waktu untuk berjaya. Perlu ada kesungguhan dan semangat yang berterusan.
- Semat dalam hati bahawa anda boleh berdikari dan bahagia seperti orang lain juga. Sabar sedikit. Ianya mungkin akan memakan masa. Orang yang sabar pasti akan memperoleh kemenangan. Bertahanlah. Saya yakin anda boleh!
- Jika sukar meninggalkan anak untuk keluar bekerja atau mencari rezeki, usahakanlah sesuatu dari rumah sahaja. Ambil upah jahit butang baju pun tidak mengapa. Ada banyak pekerjaan yang boleh dilakukan selagi kita mahu berusaha. Upah yang diperolehi itu nanti bolehlah dibelanjakan sedikit dan simpanlah juga (walau sedikit untuk kecemasan dan untuk mengejar impian yang ada). Susah sedikit tidak mengapa… Buktikan anda boleh hidup dengan berdikari.
- Usah mudah jatuh cinta pula. Belajar dari kesilapan lalu. Jika mahu bernikah lagi, pilihlah pasangan dengan lebih berhati-hati. Sebaiknya anda berikan sedikit ruang untuk diri sendiri. Tingkatkan penjagaan dan kualiti diri. Pastikan anda tampil bersih, berseri, kemas dan rapi. Utamakan kebahagiaan diri dan anak-anak (jika ada). Ingat, alam perkahwinan tidak sama dengan alam bercinta. Usah tersilap langkah untuk kali kedua. The best thing to do is self love before falling in love. Faham kan?
- Pilih rakan yang membina dan berkualiti. Tersilap pilih kawan akan membinasakan masa depan nanti. Ingat, ikutkan hati …mati. Ikutkan rasa…binasa jadinya. Usah bersosial dengan teman untuk menghilangkan stress hingga tanggungjawab terhadap anak-anak terabai. Lagipun, menghilangkan stress dengan cara begitu hanya membazir waktu dan wang serta tidak boleh membantu untuk meningkatkan diri. Anda boleh bawa anak-anak keluar. Jika tiada bajet, anda boleh beriadah di taman atau berkelah di sungai. Sediakan makanan dari rumah. Nasi putih dengan ayam goreng pun sudah cukup. Baiklah, jika ayam mahal kita boleh beli ikan. Atau buat nasi goreng pun sedap juga. Dulu saya pun tak ada wang untuk bawa anak-anak keluar ke shopping complex. Atau ke Zoo dan mana-mana tempat berbayar. Jadi saya akan bawa anak-anak ke sungai setiap hujung minggu without missed! Ada banyak lagi cara untuk tenangkan minda dan bergembira. Ia juga boleh membantu untuk divert your attention. Cubalah!
- Saya suka ingatkan. Usah putus asa untuk berdoa. Jangan lupa bertahajjud. Sehina manapun kita di mata manusia, hanya Allah sahaja yang menentukan untuk menerima segala amal dan doa kita. Percayalah, tidak akan sia-sia untuk bangun pada setiap malam dan bertahajjud. Bersihkan hati. Maafkan orang sekeliling. Usah sesekali berdendam. Yakinlah dengan kekuasaanNya.
Sumber / Sumber Foto : Facebook Dzuriasikim Dzulkefli
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
TikTok: https://tiktok.com/@mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Konflik Mentua Menantu, Jangan Sampai Isteri Jadi Korban
Walau di zaman moden sekali pun, konflik mentua menantu tetap jadi isu yang tak pernah habis dibincangkan. Punyalah susah nak selesaikan, kerana konflik ini bukan sekadar melibatkan fizikal tapi jiwa dan raga dipertaruhkan.
Suami tersepit di tengah-tengah. Mahu lebihkan isteri, mak terasa. Nak dilebihkan mak, isteri pula merajuk berhari-hari.
Pening kepala suami dibuatnya. Tak tahu jalan mana nak diambil. Suami yang bijak, sabar dan kuat dia takkan hanyut sama dalam emosi konflik mentua menantu.
Sebaliknya, dia sebagai orang tengah akan memainkan peranannya dengan baik. Sebaik anak yang taat dan suami yang sayangkan isteri dan setia.
Ketiga-tiganya nanti akan dapat manfaat. Sayangnya ramai yang tak ambil pendekatan itu. Tak nak kusut punya pasal, salah satu dilepaskan.
Jika isteri dipilih, sanggup menjauh dari mak ayah sendiri. Pandai-pandailah adik beradik lain pujuk mak ayah. Sebaliknya, mak ayah jadi pilihan, maka berkorban kasihlah pasangan suami isteri itu.
Sebelum melarat teruk, nah! Mingguan Wanita kongsikan tip ambil jalan tengah yang adil untuk kedua-dua belah pihak.
1. Suami Jangan Jadi Boneka
Kalau isteri mengadu tak puas hati pasal mak mentua. Dengar dulu ceritanya, tapis mana yang patut kau nasihatkan isteri itu.
Cara berbaik dengan mak. Lagipun, suami kan dah hidup lama dengan mak. Tentu dia tahu mana yang mak suka dan tak suka.
Jelaskan dengan isteri. Jangan pula kau ikut saja kehendak isteri. Dan jangan kau paksa pulak isteri tu ikut apa yang mak mentua mahu jam jam tu jugak.
Isteri pun orang, ada emosi, ada rasa.. beri dia masa untuk sesuaikan diri. Jangan sampai isteri tu makan hati baru kau nak pulihkan keadaan salah tu.
2. Jadilah ‘Orang Tengah’ Yang Adil
Bila mak kau cerita betapa dia berbulu tengok menantu yang dia tak berkenan tu, kau sebagai suami.. diam dulu. Dengar, hadam baik-baik.
Terangkan dekat mak betapa isteri tu sebenarnya tak seperti yang dibayangkan mak sendiri.
Teranglah background isteri tu macam mana. Dan tak semua anak-anak dibesarkan dengan cara yang sama. Masing-masing, ikut cara didikan mak ayah masing-masing juga akhirnya.
Bila dah berkahwin, berdepan dengan keluarga mentua.. barulah didikan itu di ‘blend’. Mana yang baik ambil, yang kurang sesuai tapis buang. Itu pun jika ada inisiatif untuk ‘blend’. Syaratnya jangan dipaksa ya. Biarlah perubahan itu dilakukan dengan ikhlas.
Mungkin picit ubat gigi dari atas tu normal untuk isteri dan ahli keluarganya. Sebaliknya janggal bagi mak dan ayah yang membesarkan anda.
Tapi benda boleh bincangkan. Teranglah sejelasnya. Mintalah mak ayah berdamai dengan takdir dan jodoh pilihan anaknya itu.
Jangan didesak-desak.
Kalau melibatkan kewangan pun begitu. Misal kata anak dah tak lagi memberi seperti sebelumnya, fahamlah yang anak kini sudah berkeluarga.
Berilah dia masa.
Dan kalau disindir mak ayah sendiri. Cepat-cepatlah, pujuk mak ayah dengan cara paling halus. Belanja mak ayah saja keluar makan ke. Dan dari situ ceritalah situasi anda dan isteri. Mohon pengertian mereka.
Ada sesetengah mak ayah ni kadang mereka terlalu sayang dengan anaknya, sampai susah nak terima hakikat yang anaknya itu dah jadi milik orang lain juga.
Jadi, gunalah kuasa memujuk sebagai anak untuk berlaku adil.
Memang hal ini tak semudah menulis dan membaca. Nak praktikkan tu pun ya ampun.. Apa pun ketika dilanda masalah sebegini, dekat-dekatkanlah diri padaNya.
Doakanlah ibu dan isteri anda agar kedua-duanya dapat bersatu hati dan berdamai menerima takdir masing-masing.
Jangan kerana tidak tahan dengan kerenah yang ditimbulkan, akhirnya isteri makan hati. Dan jalan perpisahan jadi pilihan.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tak Perlu Sibuk Dan Bandingkan Kehidupan Orang Lain. BAHAGIALAH Cara Kita
Setiap pasangan, keluarga mempunyai cara tersendiri untuk bahagia. Ia bukan dengan mempunyai duit berjuta-juta dalam bank, barulah rasa bahagia. Kena ingat, duit yang banyak pun belum tentu menjaminkan kebahagiaan.
Malahan, tidak perlulah kita bandingkan kehidupan kita dengan orang lain. Ioni kerana masing-masing ada cara tersendiri untuk mencari kebahagiaan. Bersyukurlah dengan apa yang telah dianugerahkan olehNya.
Perkongsian daripada Hannah Alias dihara mampu memberi manfaat agar kita dapat membina kebahagiaan yang kita ada ini dengan cara kita sendiri. Tak perlu nak bandingkan atau menyibuk pasal orang lain.
Ikut Cara Kita
Hidup ini mudah sahaja.
Jangan sibuk dengan kehidupan orang lain. Sibuk nak memberi komen tentang kehidupan orang lain. Mencari ruang untuk mengetahui tentang kehidupan orang lain sehingga timbul fitnah dan ghibah.
Kalau kita nak bergaya tak salah, tapi bergayalah mengikut ukuran baju di badan sendiri. Kalau tiada, jangan dipaksa untuk mengadakan. Berbelanja mengikut kesesuaian sendiri. Jangan menyeksa diri jika hanya mahu dipuji orang. Percayalah, pujian itu tidak membawa kita ke mana pun.
Nikmati hidup yang sementara ini dan jadilah seperti apa yang kita inginkan. Syukuri dan nikmati apa yang kita ada saat ini. Usah rungsing dengan apa yang tiada.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Suami Kena Sensitif Dengan EMOSI Isteri. Dengar Cerita Pun Boleh Buat Isteri Bahagia
Bila Sepakat Terima Kekurangan Masing-Masing Itulah Nikmat Bahagia Sebenar
Info Lebih Menarik DI SINI
Tak Mampu Tutup Mulut Orang
Jangan terpengaruh dengan kata-kata manusia lain. Ingat! Kita takkan mampu menutup mulut orang dengan dua tangan kita. Tapi kita ada dua tangan untuk menutup dua telinga kita agar tidak terpengaruh dengan kata-kata mereka.
Hidup ini mudah. Bagaimana mudahnya orang lain untuk berkata apa pun tentang kita. Maka kita juga mudah untuk menolak apa yang dikatanya itu.
Apa sahaja keadaan kita saat ini, kita takkan lepas dari kata-kata orang. Kita baik dikatakan menunjuk, jahat dikatakan zalim. Kita terbiar dikatakan kita bodoh. Semua tidak kena.
Usah Ambil Hal Orang
Jangan pernah terkesan dengan kata-kata negatif orang terhadap kita. Kita tahu keupayaan kita. Mereka berkata negatif kepada kita kerana mereka sendiri pun tidak pernah berjaya. Jangan terlalu ambil hal dengan kata-kata orang. Kadang mereka hanya punya mulut. Tapi mereka tiada otak. Sebab itu mereka mampu berkata macam-macam kepada orang lain. Seolah dirinya begitu mulia dan sempurna.
Jangan pernah terkesan dengan kata-kata orang. Sebab jika kita baik, tapi dia membenci kita, maka kita tetap terlihat salah di matanya. Jika kita orang yang disayanginya, kita tetap akan disayangi dan dicintai walau apa pun keadaan kita. Bagaimanapun keadaan kita. Mereka tetap terima kita tanpa sebarang syarat.
Bukan Sesiapa
Siapa pun berhak bercakap tentang kita. Kerana kita bukan sesiapa. Kita juga berhak untuk menerima atau menolak apa yang kita dengar. Jadinya, diri kita tanggungjawab kita. Jangan kita musnahkan diri kita hanya kerana kata-kata orang. Kerana yang Allah pandang itu adalah apa yang kita lakukan. Bukan apa yang mereka katakan.
Soal mereka berkata buruk tentang kita, fitnah kita, itu urusan mereka dengan Allah. Sekarang diri kita. Kita kena jaga diri kita. Agar nanti Allah tanya semua yang kita lakukan. Sama juga halnya kita dan suami. Suami nak buat apa pun kepada kita, itu hal dia. Hal kita ialah bagaimana kita respon terhadap dia.
Allah tak tanya kita apa yang suami buat kepada kita. Tapi yang Allah tanya apa yang kita dah buat kepada suami. Segalanya Allah tanya perbuatan kita. Takkan depan Allah kita nak beralasan suami jahat? Rasanya Allah terima ke alasan itu?
Sebaik-baik Ciptaan
Ingat kita ni, direndahkan tak mungkin jadi sampah. Disanjung pula tak mungkin jadi bulan. Kerana apa? Kerana kita adalah sebaik-baik ciptaan yang Allah ciptakan. Cumanya kita sahaja yang memusnahkan diri sendiri dengan mengizinkan diri untuk terkesan dengan tindakan dan kata-kata orang.
Sebab setiap orang menerima kita dengan pemahaman dan kepentingan yang berbeza. Tidak sama. Jangan menghabiskan usia kita untuk jadi seperti yang orang nak. Sebaliknya jadilah diri sendiri. Diri yang fitrah sentiasa inginkan kebenaran dan kembali hidup bertuhan dengan cinta ilahi.
Hidup kita terlalu berharga untuk hanya sekadar mendengar kata-kata orang. Nikmati dan syukuri apa yang Allah berikan saat ini. Usah sibuk mencari apa yang tiada. Tidak bahagia dengan pasangan, namun kita masih mampu cipta kebahagiaan itu dengan tuhan.
Kalau tidak suka, jangan dilihat dan dicari.
Apabila kita tidak tahu, diam.
Kalau tidak pernah peduli, jangan sesekali kita menghakimi.
Apabila kita tidak mampu memiliki, jangan kita membenci.
Percayalah pada kata hati mu. Bukan pada kata orang lain. Lakukan apa yang kamu rasa benar. Bukan kerana orang lain benar. Jadilah apa adanya kamu, kerana lebih baik dibenci sebab menjadi diri sendiri dari selalu dipuji, tapi diri sendiri menderita kerana terpaksa menjadi orang lain.
MW: Moga apa yang diperkatakan itu memberi manfaat. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada.
Sumber: Hannan Alias
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI