Dalam menguruskan rumah tangga dan anak-anak jangan terlalu mengejar kesempurnaan kerana kesan akhirnya akan memberi impak kepada mak-mak.
Mak-mak bukan mengadap rumah tangga dan anak-anak sejam, dua tetapi sepanjang hari, bulan malah bertahun-tahun. Jadi berhentilah menghukum diri dan lakukan saja ikut kemampuan.
Jangan sesekali bebankan diri kalua tak mampu, sudah pasti lebih senang mak-mak nak uruskan keluarga. Ikuti perkongsian Puan Wawa Shauqi dan hadam baik-baik ya mak-mak.
Jangan Bebankan Diri Kalau Tak Mampu
Berbeza betul kesannya bila saya jaga anak waktu stres dengan waktu emosi lebih stabil.
Kalau waktu stres itu, mereka minta tolong temankan carikan baju pun, saya sudah marah-marah suruh cari sendiri. Lepas itu berlarutan merengeknya. Bertambah-tambah stres saya.
Jadi panjang pula dramanya. Kasihan pula. Dah la nak peluktak dapat. Buat baik saya buat tak nampak.
Mintak manja sikit, sudah kena marah.
Lepas itu, sampai ke anak pun jadi moody. Kalau dibiar lama bersama, mulalah bercakaran. Nada suara mereka pun sudah mula ikut macam nada suara saya yang tengah stres.
Tapi kalau waktu emosi stabil…. Saya kejutkan mereka bangun pagi dengan senyuman dan pelukan, bukan main tenang saya nak handle mereka.
Bila anak-anak minta tolong carikan baju waktu saya memasak, tenang dan senyum saya jawab “Mama boleh tolong carikan, tapi kalau Aqlan cari sendiri, lagilah mama bangga.
IKLAN
Suppp.. terus cari tanpa banyak tanya. Dengan ceria, terus datang balik tanya “Tengok ni mama, Alan dah siap sendiri. Hensem kan?”
Saya pula yang terhibur.
Bila dia senang hati, dengan abangnya pun dia buat baik. Ambilkan abang air, pujukkan abang yang tak berjaya gunting selofan tape. Semua jadi ceria. Cakap pun sopan aje.
Saya tengok pun bertambah senang hati.
Kalau Tak Mampu, Jangan Bebankan Diri
Bila saya fikir balik, rugi juga kalau saya biarkan stres menguasai diri. Dia punya spiral nak jatuh tu sangat mudah.
IKLAN
Tapi bila kita mulakan hari dengan ceria, positif dan usaha mula hari dengan bertenanga, satu hari dalam satu rumah penuh dengan drama cinta.
Sebenarnya, kita kena kecilkan expectation. Jangan bebankan diri kalau rasa tak mampu. Kurang ber’jangan’. Raikan aje sifat mereka yang tak tentu hala di mata.
Lapangkan dada lihat rumah sepah dek sifat mereka yang suka meneroka. Dan pandang mereka sebagai anak kecil nan ceria.
Pasti lebih senang hati, insyallah. Esok kita berjuang lagi ya kawan-kawan.
Berjuang melawan ketaklaratan, kemalasan, kemurungan dan ke-tak-ada-mood-an. Let’s make tomorrow better than yesterday!
MW: Semoga mak-mak di luar sana sentiasa kuat menguruskan keluarga kerana maklah nadi kebahagiaan sesebuah rumah tangga. Betul tak?
Rasa kasihan pula bila tengok anak buat kerja rumah, pula tu anak masih kecil dan disruh macam-macam. Sampai orang pun boleh cakap mak malas sampai anak kena buat sendiri.
Hakikatnya, mak malas bukan saja-saja nak ‘dera’ anak buat kerja rumah, tapi nak ajar anak supaya berdikari dan tahu tanggungjawab. Jangan sampai dah besar pun masih mak yang buat dan anak pula macam raja, goyang kaki.
Ada beberapa tip yang diajar oleh Cikgu Ilyani Munsarikh tentang cara mak malas didik anak. barulah nanti anak tahu erti tanggungjawab dan ringan tulang.
5 tip didik anak ada ‘common sense’ di rumah dengan cara mak ‘malas’
1. Sebelum tidur
Mak ‘malas’ tak sediakan barang sekolah anak dia. Dia galak kemas sendiri. Cari sendiri baju, seluar, seluar kecil.
2. Anak makan.
Mak ‘malas’ tak kemas meja makan. Mak ‘malas’ kata, “lepas makan kemas meja, basuh pinggan, itu tanggungjawab”. Budak kecil umur 3 tahun sudah kena selesai sendiri. Mak ‘malas’ cuma touch up kasi elok saja.
3. Anak main
Mak ‘malas’ tak penat-penat kemas semua. Dia panggil semua datang kemas. Semua kena stop main. Kena kemas. Kadang-kadang mak ‘malas’ memetir juga. Memetir dengan ayat berpengaruhlah, bukan berleter.
4. Anak mandi.
Baju sepah depan tandas, dalam tandas. Mak ‘malas’ tak kutip. Mak ‘malas’ kata, “baju kotor masuk bakul”. Yang kecil umur 3 tahun pun kena buat. Nasiblah dapat mak ‘malas’.
5. Spring cleaning rumah.
Mak ‘malas’ tak buat sendiri-sendiri. Katanya, “Anak-anak hari ini spring cleaning, Kakak sapu sampah, mop, abang dengan adik cuci toilet, abi buang sampah, kemas dapur”. Nasiblah dapat mak ‘malas’.
Hakikatnya mak ‘malas’ bukan malas. Mak ‘malas’ nak bagitahu semua orang ada tanggungjawab. Mak ‘malas’ bukan kuli. Tak ada raja, tak ada permaisuri, tak ada kuli.
Ini keluarga kita, tanggungjawab kita. Yang ada pembantu rumah lagi kena hati-hati. Anak kita ada tendency ‘meraja’.
Mingguan Wanita : Bila ajar macam ni, anak-anak akan terbiasa dan buat sendiri tanpa di suruh. Begitulah cara mak malas ajar anak ye!
Dilema apabila usia makin bertambah namun jodoh belum juga sampai. Ditambah pula bila orang sekeliling desak untuk kahwin. Itu yang dialami oleh gadis ini. ikuti pengakuannya.
Dalam Dilema
Assalamualaikum puan. Saya berusia 39 tahun, berkerjaya mantap dan masih bujang. Saya sedar, pada usia ini, orang sudah ‘cop’ saya sebagai andartu (anak dara tua). Saya tak kisah orang nak bercakap apa saja tentang diri saya. Tapi apabila ahli keluarga sendiri yang bercakap, saya rasa jauh hati.
Saya anak ketiga daripada enam beradik. Semua adik-beradik yang lain sudah pun mendirikan rumah tangga. Kakak sulung berusia 44 tahun ada anak empat, kakak kedua berusia 42 tahun sudah ada anak dua. Manakala adik lelaki yang berusia 37 mempunyai anak dua dan isterinya sedang hamil anak ketiga, adik perempuan yang berusia 35 tahun ada tiga anak dan adik bongsu lelaki yang berusia 32 tahun sudah ada lima anak. Bermakna saya ada 16 anak sedara!
Tumpang Kasih Sayang
Hidup saya tidak sepi dengan adanya anak-anak saudara yang ramai. Adik perempuan saya sekeluarga hanya tinggal di sebelah rumah mak dan ayah. Manakala saya sendiri memang tinggal bersama mak dan ayah. Boleh dikatakan sepanjang masa tiga orang anak adik yang berumur 10, 9 dan 6 tahun berada di rumah mak dan ayah.
Lebih-lebih lagi bila adik dan suaminya bekerja, anak-anaknya akan makan dan bersiap di rumah mak dan ayah. Malam selepas makan malam baru mereka balik rumah. Bahkan selalu juga tidur di rumah atuk dan nenek saja. Dengan mereka bertiga saya paling rapat, umpama anak sendiri. Tempat saya menumpang kasih. Bila keluar berjalan-jalan, sering kali mereka dianggap anak-anak saya apatah lagi mereka memanggil saya ‘mummy’.
Dalam Dilema Dan Rasa Tertekan
Saya bahagia dengan hidup saya sekarang. Namun bila mak yang sejak akhir-akhir ini asyik memerli saya agar cepat kahwin, saya rasa tertekan. Saya boleh pekakkan telinga jika orang lain bercakap, tapi bila mak sendiri yang bercakap, saya tak boleh nak cakap apa. Mungkin kerana umur saya hampir mencecah angka ‘4’ buat mak rasa gusar.
Puan, bukan saya tak nak kahwin tapi belum jodoh. Bukan saya tak pernah bercinta, pernah dua kali bercinta tapi tiada jodoh. Bila dah umur makin meningkat, tak nafikan saya lebih memilih. Takkan nak cari lelaki yang muda? Setahun dua okaylah. Tapi kalau lebih lima tahun, rasa macam bercinta dengan adik pula.
Ramai lelaki yang cuba pikat tapi kebanyakan suami orang. Maaf, bukan nak riak, tapi kalau boleh saya akan elakkan kahwin dengan suami orang. Tak sanggup lukakan hati wanita lain.
Puan, bagaimana saya nak berterus terang dengan mak supaya faham dengan perasaan saya? Tidak lagi mendesak saya berkahwin? Saya buntu dalam dilema.
Gadis Pilu, KL
JAWAPAN KAUNSELOR
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang…
Assalamualaikum cik yang dirahmati Allah. Tidak dinafikan semua orang mahu bahagia… bahagia dengan keluarga, pasangan dan anak-anak. Daripada ini dapat berkongsi kasih – memberi dan menerima kasih sayang daripada orang yang siginfikan dalam hidup. Namun ada juga orang yang bahagia hidup berseorangan. Mungkin dia juga mahu hidup bahagia dengan mempunyai keluarga sendiri, namun keadaan belum mengizinkan lagi. Bukan mudah utuk mendapat suami yang baik dan bertanggungjawab, apatah lagi membelai isteri dengan kasih sayang yang menjadi idaman setiap wanita.
Anak Dilema, Keluarga Risau
Mana-mana ibupun mahukan kebahagiaan anaknya. Salah satu bahagianya seorang ibu adalah apabila melihat anaknya berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Apabila melihat anaknya belum mempunyai pasangan, sudah menjadi kelaziman soalan-soalan atau kata- kata yang tidak sedap didengar oleh anak. Pada ibu asalkan anaknya berkahwin dengan lelaki yang baik sudah memadai. Namun pada anak mungkin tidak. Cik ada menyebut dalam tulisan cik….. “bila dah umur makin meningkat, tak nafikan saya lebih memilih.…
Perkataan memilih itulah yang mungkin dilihat oleh ibu sebagai halangan kepada cik untuk berkahwin. Cik kata cik bahagia dengan keadaan sekarang. Bagi seorang ibu tidak sama seperti apa yang dilihat oleh anaknya. Bahagia bagi cik tidak semestinya bahagia buat seorang ibu.
Ibu dikelilingi oleh masyarakat yang kerap bertanya kenapa cik tidak berkahwin lagi. Ini menyebabkan ibu tidak gemar dengan keadaan cik, walhal ibu lihat puan ada rupa, ada pekerjaan yang baik. Maka mustahil untuk sukar mendapat pasangan hidup. Walhal adik beradik lain mempunyai kelebihan dan kekurangan yang sama seperti puan. Jodoh mereka ada, walaupun tidak sempuna seperti yang diinginkan.
Cik, jika kita terlalu memikirkan “kesempurnaan” dalam memilih jodoh, maka kita akan akhiri dengan hidup membujang. Puan pada masa kini di kelilingin anak saudara yang hidup bersama cik. Di kala cik muda dan bertenaga. Cuba bayangkan apabila cik sudah mencecah umur 70-an, sakit demam. Adakah cik yakin mereka yang sudah berkeluarga sendiri akan menunggu dan merawat cik?
Inilah antara kebimbangan lain yang dilahirkan oleh ibu cik dengan kata-kata yang cik tidak suka. Pada ibu, mungkin sifat cik yang memilih menyebabkan puan tidak bertemu jodoh. Bukan tidak ada, tetapi disebabkan kesukaran dalam memilih, maka usia cik berlalu begitu sahaja. Tahukah cik bahawa peratus wanita yang tidak berkahwin kini ramai? Jika cik bahagia, maka tidak perlu gusar dengan soalan-soalan yang ditanya oleh ibu mahupun ahli keluarga yang lain.
Dilema Andai Cari Kriteria Idaman
Kesempurnaan kriteria yang diidamkan itu mungkin satu dalam sejuta. Kebarangkalian untuk dapat sukar bukan? Jika cik tidak bersifat memilih, maka cik boleh serahkan urusan itu kepada ibu untuk memilih jodoh. Asalkan cik memberi ruang dan peluang untuk berkahwin. Pastinya ibu akan mencari lelaki yang baik untuk anaknya…bukan lelaki yang menjadi idaman anaknya.
Persoalannya adakah cik masih meletakkan kriteria tertentu untuk lelaki yang menjadi calon suami? Jika masih ada, maka sukar untuk bertemu jodoh… dan jika kata-kata yang keluar dari mulut ahli keluarga puan tidak boleh terasa…kerana itu adalah kebiasaan bagi ahli keluarga kepada anaknya yang sukar untuk berkahwin.
Kerjaya setakat mana sahaja…sampai masa akan bersara…sampai masa kita akan tinggal keseorangan. Ini yang ahli keluarga cik bimbang. Namun cik tidak melihat ini sebagai masalah.
Abaikan Cakap Orang
Justeru, jika cik ingin meneruskan kehidupan tidak berkahwin, maka cik perlu ada kekuatan diri yang tidak kisah apa orang kata. Ramai juga orang tidak berkahwin yang bahagia. Cik boleh juga mengambil anak angkat seorang atau dua buat peneman di hari tua. Cik boleh saja melibatkan diri dengan pertubuhan NGO untuk membantu manusia lain. Sehingga cik merasa hidup cik penuh bermakna. Namun, jika cik kasihkan ibu, pastinya cik boleh “berkorban” sedikit kriteria yang ditetapkan untuk mendapat calon suami.
Berkahwinlah, asalkan suami itu baik dan bertanggungjawab. Jangan kisah soal pendapatan, asalkan dia mahu bekerja, hidup insya-Allah akan bahagia. Sesuaikan diri dengan keadaan dan pasangan, yang kurang dan tidak sempurna itu, berikan “sedekah” kepadanya. Insya-Allah cik akan dapat ganjarannya. Kalau tidak di dunia, insya-Allah di akhirat…bahkan apa yang cik berkorban ini sebenarnya “hadiah” buat ibu….meskipun cik tidak mahu berkahwin, namun dengan membahagiakan ibu, insya-Allah, akan memberi kebahagiaan itu buat cik…Wallahuallam.
Artikel: Hajah Maimunah Muhamad, Kaunselor.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bergurau tak salah dengan isteri, namunlah biarlah tentang perkara yang baik-baik yang mampu membuatkan dia tersenyum gembira. Jangan pula jadikan topik berpisah atau ingin berkahwin lain sebagai topik gurauan.
Permulaan mungkin isteri seakan tidak ambil pusing dengan gurauan suami, namun ia cukup berbekas di hati isteri dan dia akan ingat sampai bila-bila. Oleh itu, diingatkan kepada suami agar bergurau dengan isteri biarlah berpada-pada. Jangan sampai dia terasa hati, kelak buruk kesannya.
Dengan isteri ini, bukan boleh bergurau ikut suka dan bercakap sembarangan…
Dalam tawanya, dalam gelaknya, dalam senyapnya, ada “terasa”nya…
Cuma dia tak tunjuk dia terasa dengan gurauan dan kata-kata kita itu… Kita nampak dia macam biasa, tapi dia akan ingat perkara itu sampai bila-bila…
Sebab itulah, tak perlu hendak ugut-mengugut isteri dengan perpisahan atau menggantikan dia dengan orang lain walaupun ianya sekadar SATU GURAUAN, nothing serious…
“Abang tipu saja, abang tak buatlah, bukan betul-betul pun”
Apatah lagi kalau gurauan dan kata-kata itu diulangi berulang kali sehingga dia sudah bersedia untuk hidup tanpa kita dengan berkata,
“Kahwin sajalah abang…” “Nak cerai, cerailah…”
Nak harap isteri kata, “Ayang tipu saja…ayang bergurau..”
Kalau dia serius? Kalau dia betul-betul mahukan perkara itu untuk berlaku? Apa yang kita akan rasa?
Kalau Nak Isteri Berubah, Beritahu
Kalau hendak dia perbaiki kekurangan dia, beritahu… Kalau hendak dia perbaiki kelemahan dia, beritahu… Kalau hendak dia perbaiki keburukan dia, beritahu… Beritahu saja, dia boleh dengar dan cuba untuk penuhi…
Tapi jangan mengugut dia dengan bergurau seperti hendak tinggalkan dia asbab dia masak lambat… Jangan mengugut dia dengan melawak hendak tambah lagi, cari “kawan” untuk dia sebab dia sibuk di office…
Kalaulah dia boleh buat perkara yang sama pada kita, sudah lama kita ni menangis tepi bucu katil setiap hari… Sebab?
Isteri kata nak cari orang lain sebab kita tak penah menghargai dirinya… Isteri kata nak tinggalkan kita sebab kita tak penah tolong dia buat kerja rumah…
Lagi kasar melawak isteri kalau dia cakap macam ini… Tapi ada pernah keluar dari mulut seorang isteri tentang perkara ini?
Tak pernah… yang banyaknya, dari mulut lelaki yang kononnya BERGURAU, tidak ada niat pun… Tapi tanpa disedari, isteri sudah terasa dan menangis keseorangan di malam hari…
MW: Bergurau dengan isteri berpada-pada, jangan sampai dari bergurau-senda mampu menyakiti hati isteri yang telah banyak berkorban untuk suami dan anak-anak. Renung-renungkan.
Ayu Raudhah Bakal Timang Anak Ke-7. Sebelum ini Mingguan Wanita menerusi segmen Video Ambil Tahu pernah menemubual pelakon Ayu Raudhah tentang dirinya yang mempunyai...