Suasana hiba dan sebak di set studio Mingguan Wanita TalkShow hari ini membuatkan ramai pemanggil cuba menembusi talian dan ingin menyuarakan pendapat mereka sendiri tentang isu "Syurga Yang Dipinggirkan". Dikendalikan oleh Iman Muda Naufal Hatta dan Siti Elizad saling berkongsi pandangan berkenaan isu ibu bapa yang ditinggalkan di rumah orang tua. Hadir sama memberi pandangan adalah Encik Rashid Mohd Nor yang merupakan pengasas Pusat Jagaan Husna Arrashid di Kuala Lumpur.
Menurut pandangan Encik Rashid, beliau meluahkan rasa kecewanya apabila ada anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah jagaan ini dengan sengaja memutuskan terus hubungan dengan orang tua mereka. Walaupun ramai kakitangan lain yang menguruskan, orang tua ini tetap mahukan 'Encik Rashid' menghubungi anak mereka.
"Disini kami menetapkan peraturan ketat berkenaan waktu wajib melawat ibu bapa yang ditempatkan disini. Walaupun pada permulaannya ada yang mematuhi, lama kelamaan anak-anak ini sengaja melanggar peraturan dan tidak melawat orang tua mereka. Ada yang dengan sengaja tidak melawat sehingga bertahun-tahun lamanya. Orang tua disini yang mengalami macam-macam masalah kesihatan, sering menyuarakan hasrat hati mereka dan merayu saya menghubungi anak-anak mereka. Apa yang menyedihkan mereka sentiasa ternanti-nanti kedatangan anak-anak, tetapi anak-anak dengan sengaja menghampakan penantian ibu bapa mereka,"kongsinya mengenai ragam anak-anak yang sengaja mengabaikan orang tua terutamanya yang berurusan dengan pusat jagaan orang tua kendaliannya.
Jangan anggap Emak macam Al-Quran buruk!
Seorang wanita tua yang hadir dengan berkerusi roda ke set Mingguan Wanita hari ini, merupakan salah seorang penghuni Pusat Jagaan Husna Arrashid. Identitinya sengaja dirahsiakan dan beliau meluahkan kenyataan ini apabila SIti Elizad bertanyakan apa pesanannya khas untuk anak-anaknya.
"Saya redha dihantar anak-anak ke sini. Saya cuba memahami situasi mereka. Masing-masing sudah dewasa dan saya tak pernah lupa usaha saya dan suami membesarkan dan menyekolahkan mereka sewaktu mereka kecil. Pesan saya, jangan dianggap Emak ini seperti Al-Quran buruk, dibaca tak boleh …dibuang berdosa,"kongsinya ringkas tapi mendalam maknanya.
Azab Allah balasan anak mengabaikan orang tua – Datuk Ustazah Siti Norbahyah Mahmod
Ustazah Siti Norbahyah menegaskan darjat seorang ibu bapa, letaknya ditempat kedua selepas kita mentaati Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W. Susu termahal di dunia adalah susu yang lahir dari ihsan dan kasih sayang seorang ibu, Keringat termahal dunia pula datangnya dari keringat yang menitis dari usaha keras seorang ayah.
"Jangan kamu bercakap kasar dan melayan kasar orang tua mu. Allah juga mewasiatkan kepada manusia, agar sentiasa menjaga pintu syurga kita di dunia yang ada pada ibu dan bapa kita. Syukur kepada Allah SWT kerana memberikan kita nikmat untuk berbakti kepada orang tua. Rebutlah dan hargai syurga kita itu sebaiknya.
"Anak-anak hari ini duji dengan tiga situasi yang menyebabkan mereka kurang peka dengan kepentingan menjaga orang tua. Kurangnya rasa bersyukur, terlalu mengejar kebendaan dunia dan desakan daripada pasangan yang enggan menjaga orang tua antara punca mengapa anak-anak mengabaikan orang tua. Pantun orang dulu juga ada memberi nasihat,
Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan,
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.
Jangan kerana berpaling kasih kepada pasangan, kita buang dan lupakan syurga yang menjaga kita sejak kita dialam rahim lagi,"pesan Ustazah SIti Norbahyah.
Dalam sesi yang sama Ustazah sempat berkongsi tiga potongan doa melembutkan hati anak-anak yang mengabaikan orang tua. Jangan lupa ikuti siaran ulangan Mingguan Wanita TalkShow untuk mengetahui apa doa-doa tersebut jam 8 malam ini berkenaan topik "Syurga Yang Dipinggirkan" di Astro Prima 105 dan Prima HD 121.