Mak ayah yang outing dengan anak-anak kecil terutama ke pasaraya. Sebaik turun kereta, janganlah cuma ambil gambar tiang parkir semata. Ambillah juga gambar anak sama.
Ini pesanan wartawan Mingguan Wanita sendiri yang telah mengalami situasi anak lepas dari pandangan ketika ke pasaraya. Yang kebetulannya, pada hari itu ada jualan murah dan jumlah pengunjung tentulah lebih dari biasa ramainya.
Walaupun kejadian anak terlepas dari pandangan cuma berlaku dalam 10 minit. Hati ibu tetap cuak dan resah berdepan situasi panik sebegitu.
Hari itu kebetulan ada satu majlis yang perlu dibuat liputan. Kebetulan majlis itu berlangsung di sebuah pasaraya terkemuka di Putrajaya.
Memandangkan hari berlangsungnya majlis, hari Sabtu…maka awal-awal lagi dah berpakat dengan suami bawa dua ketul Eeman kami sama-sama ke mall. Lagipun kerja tu tak makan masa yang terlalu lama.
Selesai sahaja kerja, maklum sajalah hari cuti. Ramailah orang berpusu-pusu ke mall. Kebetulan jam menjelang jam 3 petang dan suami bergegas nak ke surau yang letaknya di aras 3.
Manakala saya dan dua anak bercadang nak ke bahagian barangan barang dapur dan mentah. Berpisahlah kami di situ. Janjinya selesai urusan, masing-masing akan update dan jumpa di mana-mana lokasi dalam mall ini.
Sambil menolak si adik yang terlena di dalam stroller tangan sebelah menjijit beg. Dengan harapan si sulung ikut kita dari belakang menuju ke pasaraya. Sedang bercakap-cakap,
rasanya macam kita sedang bercakap sorang-sorang… tahu-tahu bila toleh di belakang si sulung tak ada. Ke mana pula dia ni?
10 Minit Tunggu Anak Tepi Kedai, Tak Ada Tanda Dia Ada
Saya kemudian menunggu di tepi kedai dengan harapan boleh nampak dia, ataupun dia nampak saya. 10 minit di situ belum ada tanda-tanda dia ada. Gelabah tu jangan cakaplah. Sambil buat-buat cool, saya menyorong stroller ke bahagian tengah mall yang kebetulan ada pameran produk penjagaan bayi di situ.
Mulut ni berzikir manalah budak ni sebab kami terpisah sebaik segerombolan orang muncul di antara kami.
Mungkin dia dan ketinggiannya yang separas pinggang orang dewasa, membuatkan dia tak perasan saya di mana.
Tak lama kemudian telefon bimbit saya berbunyi, dan sebaik diangkat suara seorang wanita bertanya mengenai nama penuh anak saya dan dia maklumkan anak saya berada bersamanya. Dari jauh saya nampak anak saya berdiri di sisinya. Alhamdulillah, usai mengucapkan terima kasih kami bertiga kemudian berjalan menuju ke pasaraya seperti yang dijanjikan sebelum ini.
Dalam perjalanan ke pasaraya itu, saya tanya pada anak saya. Ke mana dia menghilang, kata dia mula-mula dia nampak ibu..lepas orang ramai lalu…dia terlepas pandang.
Tak Sia-sia Tampal Sticker Ada Nombor Telefon Saya
Saya tanya lepas tu apa dia buat. Benda pertama dia beritahu dia tak menangis dan dia tak pergi pada orang yang tak dikenali. Sebaliknya dia cari polis bantuan yang kebetulan ada di sekitar kawasan itu.
Kemudian dia maklumkan kepada polis itu ‘ibu saya hilang’ dan sebaik diminta info ringkas mengenai ibu.
Perkara pertama yang dia maklumkan adalah nombor telefon bimbit saya.
Alhamdulillah tak sia-sia saya tempah sticker dan saya tampal di bersama di bawah sticker itu nama penuh dia dan nombor telefon saya. Sedar tak sedar dia menghafal nombor saya. Dalam keadaan genting sebegini ada manfaatnya. Syukur dia tak panik dan berjumpa dengan orang sepatutnya.
Konklusinya, sebaik turun kereta selepas parkir selain ambil gambar tiang yang mencatatkan nombor bagi panduan kita. Perlu diingat ambil sama gambar anak-anak kita sebagai ‘backup’ sekiranya berlaku kejadian kehilangan yang tidak diduga sebegini. Semoga perkongsian ini boleh menjadi panduan buat ibu bapa di luar sana.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI