Resepi Jamu Ibu Kunyit ini mempunyai cerita yang cukup dekat dengan Puan Rosnizah Shamsudin, 37 yang juga ibu kepada dua orang anak. Inilah amalannya selepas pernah melalui keguguran sejak setahun lalu.
Ini pengalaman yang dilaluinya. “Ketika kandungan berusia 5 bulan, saya alami keguguran. Sejak itu kesihatan dalaman saya menurun. Dekat 80 hari saya berpantang kerana darah turun tak berhenti.”
“Sampailah saya hampir berputus asa. Kemudian, kawan syorkan saya mencuba jamu ibu kunyit. Saya pun mencari maklumat tentangnya ditambah dengan ilmu perbidanan arwah nenek yang pernah dia buat dulu.
“Saya pun mencuba untuk beberapa hari. Alhamdulillah, genap 100 hari darah saya berhenti. Sejak saya amalkan petua ini banyak perubahan yang jadi pada diri saya.”
Kenapa Mesti Ibu Kunyit
Sebenarnya tak kisah pun kalau nak guna kunyit biasa. Ramai yang guna kunyit biasa. Tapi kepercayaan saya pada ibu kunyit tentang khasiatnya agak kuat.
Mungkin juga dari apa yang saya baca dari apa yang orang dulu-dulu cerita dan beritahu tentang khasiat ibu kunyit membuatkan saya percaya.
“Antaranya kata nenek saya yang merupakan bidan kampung zaman dulu-dulu. Bila nak buat jamu, mesti guna ibu kunyit. Sebab khasiat dan manfaat yang tersendiri dan lebih baik dari kunyit-kunyit yang tumbuh di sekelilingnya.
Bidan dulu-dulu sampailah sekarang ini sarankan mesti ambil ibu kunyit kerana terbukti khasiatnya mengecutkan rahim selepas bersalin, mencuci darah kotor dan darah beku mudah keluar.
Cara Mendapatkan Ibu Kunyit Yang Baik
Cara saya, biasanya saya akan cabut pokok kunyit dan potong daun bahagian bawah sekali. Dan ambil kunyit bahagian permulaan. Saya akan ketepikan cabang-cabang kunyit lain yang tumbuh di bahagian ibu kunyit.
Jamu Ibu Kunyit ini saya amalkan selepas bersih dari haid, 2 ke 3 hari dalam seminggu berselang-seli.
“Alhamdulillah, saya tak mudah rasa penat. Haid saya berjalan dengan lancar. Padahal sebelum ini haid saya datang ikut suka dia. Kadang 2 hari dah kering. Sekarang dah normal, senggugut pun tak ada.”
Bahan-bahan Jamu Ibu Kunyit
2 ketul saiz 2 inci ibu kunyit
3 inci halia bentung
1 biji manjakani (ditumbuk/diketuk)
2 sudu asam jawa
Gula batu (agak-agak saja)
1 batang kayu manis (tak nak letak pun boleh)
400 ml air
Caranya:
1. Kupas dan bersihkan ibu kunyit dan halia bentong kemudian dikisar.
2. Didihkan dengan 400ml air tadi. Masukkan manjakani, kayu manis dan asam jawa.
3. Agak-agak mendidih dalam 5 minit tutup api dan masukkan gula batu. Kemudian, tapis. Minum panas boleh, suam atau sejuk pun boleh.
Sumber/Foto : Rosse Nizha
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI