Perasan kan kewujudan Jambatan Victoria dekat Karai, Kuala Kangsar, Perak ini. Selalu jadi tumpuan bergambar pelancong, pengantin baru dan siapa pun yang tertarik dengan seni binanya yang unik.
Bak kata Syuraida Eeda ini, “epic sangat-sangat, tersergam indah, penuh sejarah.” Dan ini yang Syuraida kongsikan tentang asal usul Jambatan Victoria yang rata-rata orang Kuala panggil ‘Geghotak Karei’.
Kata Syuraida lagi, asal usul nama tempat ini ada 2 ke 3 versi. Ini versi yang dikongsikan pakar sejarah Kuala Kangsar kepadanya.
KARAI, Kuala Kangsar, Perak.. Siapa orang Kuala memang biasa dengar nama ni kan? Karai ni kalau hari biasa tak berapa ada orang sangat, macam Pekan Koboi.
Lengang, kedai-kedai makan majoriti nya tak buka, tutup. Tapi kalau Hari Selasa.. subuh-subuh sapi’e pun orang dari seluruh pelusuk Kuala Kangsar datang ke situ berjemaah, berbondong-bondong.
Ada pasar pagi, macam ada pesta pulak kat situ. Kedai-kedai makan semua bukak macam ada keraian. Sungguh memang ramai datang makan. Gerai-gerai nasi lemak sampai 5-6 gerai buka.
Kedai roti canai, 3 kedai ada.. kedai mee kari dan lain-lain. Kundas viral yang orang duk canang pun ada di sini. Makcik-makcik, opah-opah, atuk-atuk yang bertongkat semua sanggup datang ke sini. Ada masa nanti saya snap.
Yang saya nak cerita kat sini punya lah lama hidup kat Kuala ni, baru ada rezeki nak menjejak kaki ke Jambatan Victoria. Epic sangat-sangat. Tersergam indah, penuh sejarah.
Ramai pengunjung yang datang tak lupa mengambil peluang bergambar, terutama pengantin-pengantin baru. Tak lupa juga pengantin lama.
Tahu tak mana datang nya nama KARAI?
Saya dulu tertanya-tanya kenapa dinamakan nama ni. Ikut sejarah, Jambatan Victoria atau lebih mudah orang panggil Victoria Bridge ni dibina pada 1897 oleh buruh-buruh dari Selatan India dari Daerah Kilakarai.
Entah macammana akhirnya lekat nama KARAI di sini.. cuba try search di google maps.. ada tak nama Selatan India ‘Kilakarai’?
(Asal nama Karai ni ada 2-3 versi.. kena tanya pada yang lebih arif.. Wallahu’alam)
Orang Kuala juga panggil landasan Karai ni nama Geghotak Karei (Gerotak, Karai) dengarnya dari pengaruh British “Grow Talk”.. tang mana kaitnya pun tak tahu.
Victoria Bridge dibina untuk memudahkan pengangkutan Bijih Timah waktu tu.. dibina pada 1897 dan dirasmikan oleh Sultan Perak. Waktu tu, Sultan Mursyidul Azam Shah pada 21 Mac 1900.
Ikutkan usia jambatan ni dah berumur 119 tahun. Ia mempunyai 6 batang tiang besar yang kukuh. Jurutera yang terlibat dalam pembinaan ni, G.W. Fryer dan C.R.Hanson.
Pada tahun jambatan ini dibina, ia digunakan untuk menghubungkan pengangkutan Bijih Timah dari negeri Melayu Barat ke Pelabuhan P.Pinang.
Sir Frank Swettenham pernah menyatakan bahawa Jambatan Victoria ini merupakan jambatan keretapi terbesar di bahagian Timur di luar India.
Semasa Perang Dunia Kedua, jambatan ini pernah dibom. Menurut cerita penduduk setempat, jambatan ini terbelah dua. Betapa pentingnya jambatan ini sebagai laluan pengangkutan suatu ketika dahulu. Sekarang ni ia jadi tumpuan pelancong-pelancong.
Saya ni duduk lama di Kuala ni baru berani nak bergambar. Huhu.. gayat weh!
Laluan jambatan Victoria ni sekarang menghubungkan Kampung Karai ke Kampung Kubang Halban (seberang Karai). Bawah nya Sungai Perak. Kalau tak nak ikut situ atau nak ikut jalan raya, dalam 4-5km jugak nak ke sana.
Senyum-senyum dalam pic tu muka tak ikhlas tau tak. Gayat sangat sebab jarak-jarak lubang landasan tu besar, muat untuk saiz macam saya ni telus ke bawah.
Terima kasih, Kaseh Anis dan Kak Roshita Ros sudi meluangkan masa hari Selasa, Booth Jamu tak jadi buka.. kita shooting pulak ya.
MW : Sesekali layan pulak cerita sejarah lokasi menarik di negara kita. Seronok kalau dapat rakam kenangan dekat sini.
Sumber/Foto : Syuraida Eeda
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.