Jalan Jauh Dalam Kapal Terbang Atau Kenderaan Susah Berhenti, Solat Cara Ini

Share

Kata lelaki ini, Najmi Farisham sebenarnya walau dalam kapal terbang atau sedang menaiki kenderaan bergerak yang susah berhenti, mak ayah boleh saja lakukan solat atas tempat duduk kenderaan.

Cara inilah membolehkan kita tak terlepas waktu solat. Lagi-lagi bila dalam keadaan jalan jauh yang boleh sampai melibatkan beberapa waktu solat. Dan berguna untuk bakal atau para jemaah haji.

Atas Kapal Terbang, Solat Di Kerusi Masing-masing

Dalam senarai kapal terbang yang aku pernah naik, rasanya Saudi Airlines paling ‘rare’ dan spesel. Mereka ada sediakan surau kecil di hujung kapal bagi memudahkan para penumpang tunaikan solat.

Tak adalah luas sangat tempatnya, cuma muatlah untuk solat berjemaah 3 ke 4 orang dalam satu masa. Boleh berdiri, rukuk dan sujud dengan sempurna. Bila lagi nak rasai pengalaman menunaikan solat di atas awan. Fuh masya-Allah.

Untuk aku sendiri, ada surau ke tiada tak menjadi masalah. Kita dibolehkan untuk solat di kerusi masing-masing.

Duduk dengan selesa dan angkatlah takbiratul ihram. Masa rukuk, tundukkan kepala sikit ke bawah. Ketika sujud pula, rendahkan lagi kepala berbanding rukuk tadi.

Senang bukan?

Namun sesetengah orang tak reti dan tak yakin untuk solat duduk ketika dalam kapal terbang. Alasannya tak boleh nak berdiri tegak. Jadi mereka tinggalkan terus dan qadanya apabila dah sampai di destinasi. Kalau setakat perjalanan singkat tak apalah. Dah kalau 10 jam terbang, mahunya 4 waktu tergadai.

Ini kalau dah naik Saudi Airlines yang sediakan surau pun kita beri bermacam alasan lagi, tak tahulah nak cakap apa.

 

Cara Tentukan Arah Kiblat

Nak solat itu mudah saja, kawan. Cara ini boleh diaplikasikan ketika menaiki kenderaan yang sukar untuk berhenti dan dikhuatiri akan habis waktu solat. Bas dan kereta api contohnya. Jika mampu berdiri, silakan. Namun kalau tak mampu, boleh buat sambil duduk.

Kiblat pula macam mana?”

Kalau tahu arah kiblat dan mudah untuk menghadapnya, hadapkanlah wajah kita ke sana. Cuma kalau tidak tahu, memadai untuk kita duduk di kerusi dan hadaplah ke arah depannya saja.

Pentinglah juga untuk kita ambil tahu soal ini. Terutamanya buat mereka yang selalu travel ke luar negara. Penerbangan yang memakan masa berbelas-belas jam sudah pastilah akan berhadapan dengan waktu solat.

Takkanlah sampai ke sudah nak qada sedangkan agama kita telah sediakan jalan keluarnya.

Paling mudah nak fikir, kita jamak siap-siap solat tersebut sebelum bertolak. Solat zohor boleh dilaksanakan sekali dengan asar. Maghrib pula dengan isyak. Pandai-pandailah kira waktu bertolak dan sampai untuk tentukan jamak taqdim atau takhir yang sepatutnya kita lakukan.

Pokoknya, jangan jadikan penerbangan ini sebagai alasan untuk kita tinggalkan solat. Sudah banyak rukhsah ataupun kelongkaran yang agama berikan buat kita. Tambahan dengan kemudahan teknologi semasa yang sangat membantu. Tinggal untuk kita ambil dan laksanakan saja.

Itulah.

Ini Jawapan Persoalan Lain

 

 

 

 

 

 

 

Sumber/Foto : Najmi Farisham, Solatlah di mana-mana.

Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.

Published by
Netty Ah Hiyer