Jaga solat kerana solat itu adalah tiang agama. Mari kita mulai kehidupan tahun baru ini dengan muhasabah diri. Kita tinggalkan pengalaman tahun lalu dengan keazaman untuk melalukan sesuatu yang lebih baik pada tahun ini.
Mendepani kehidupan yang serba mencabar, kita perlu kembali kepada asas-asas kehidupan yang dituntut dalam Islam. Antara yang sangat diperlukan adalah kesyukuran.
Ibadah Malam Rasulullah
Bercerita mengenai syukur, sirah tentang ibadah malam Rasulullah s.a.w hingga bengkak-bengkak kaki menjadi motivasi untuk dicontohi. Bila Saidatina Aisyah r.a. bertanya kenapa dilakukan sampai begitu rupa, baginda ingin menjadi hamba Allah SWT yang sentiasa ingin bersyukur (‘abdan syakura).
Keinginan untuk menjadi hamba yang sentiasa bersyukur ini perlu meresap di dalam sanubari muslim mukmin. Ia menjadi tuntutan daripada satu ayat dalam surah al-Fatihah yang dibaca saban waktu, “Hanya kepada Engkau kami menyembah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan”.
Ikrar ini meletakkan manusia berstatus sebagai hamba kepada Tuhan. Antara tanggungjawab hamba tentunya memiliki perasaan bersyukur kepada-Nya.
Pelihara dan Jaga Kefarduan Solat
Bila Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa amalan pertama yang bakal disoal di hari pembalasan adalah solat, dan ia penentu penerimaan atau penolakan amalan-amalan lain, maka jelas kedudukan solat di dalam kehidupan seseorang muslim.
Justeru itu, kayu ukur tanda bersyukur kepada Tuhan adalah dengan menilai solat yang dikerjakan. Individu perlu bermuhasabah tentang solat yang dikerjakan saban waktu agar solat yang dikerjakan itu benar-benar menjadi tanda kesyukuran kepada Tuhan.
Ads
Muhasabah Tentang Solat
Bagaimana bermuhasabah tentang solat? Bila mengerjakan solat, individu meyakini bahawa solat yang dikerjakan berlaku dengan izin-Nya. Maksudnya, individu merasai bahawa Tuhan beri pertolongan untuk bersolat. Tuhan buka hati untuk menunaikannya. Tuhan memudahkan segala urusan berkaitan solat. Dia meyakini Tuhan kurniakan perasaan khusyuk serta kehadiran hati sewaktu dalam solat.
Mohon juga agar solat yang dilakukannya itu datang daripada kurniaan kasih sayang-Nya. Dengan kata lain, Tuhan menyayangi dirinya dan Tuhan berkehendakkan dirinya menjadi hamba yang pandai bersyukur. Maka dengan sifat kasih sayang-Nya (al-Rahman dan al-Rahim), Tuhan rezekikan kemudahan untuknya bersolat.
Kejayaan Didahului Dengan Jaga Solat
Sesungguhnya Allah SWT menjanjikan kejayaan dan kecemerlangan hidup melalui solat. “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1 – 2)
Dengan memperbanyakkan solat serta memelihara waktu dan kualitinya, seseorang mengukuhkan nilai ketakwaan diri. Nilai ketakwaan bakal menambah rezekinya. Bukankah Tuhan menjanjikan rezeki yang luas melalui jalan yang tidak disangka-sangka kepada orang-orang yang bertakwa!
Maksudnya, cara betul seseorang beroleh rezeki adalah melalui ibadah solat yang dikerjakan demi mencari keredaan Tuhan. Solat dipelihara maka barulah rezeki akan dilimpahkan kepada seseorang sebagai memenuhi janji Tuhan kepada hamba yang bertakwa serta banyak bersyukur.
Bagaimana jika nikmat atau rezeki yang diperoleh itu tidak didahului dengan solat? Nikmat diperoleh dalam keadaan seseorang masih cuai atau meninggalkan solat, atau solat dalam keadaan leka dan lalai. Maka nikmat yang diperoleh itu belum menepati syarat sebagai rezeki Tuhan yang penuh berkat.
Rezeki dalam bentuk sedemikian belum mampu menambah kesyukuran dalam hati. Ia hanya menjauhkan seseorang daripada Tuhan, sambil menambah keegoan dan kesombongan diri. Ia bakal menjerumuskan seseorang ke lembah kebinasaan “al-Istidraj” sebagai tanda kemurkaan Tuhan kepada seseorang hamba.
Jaga Kualiti Solat
Dalam hal ini, maka tidak salah untuk bertanya kepada orang-orang yang sering dilanda masalah hidup tentang solatnya atau tentang kekhusyukan solat yang mereka lakukan. Kita khuatir masalah itu sebagai tanda Tuhan tidak memandangnya dengan pandangan rahmat dan kasih sayang-Nya.
Ads
Memang masalah hidup itu ujian Tuhan, namun solat yang menjadi keutamaan dalam hidup mampu memberi kekuatan emosi dan spiritual, lantas menyuburkan kesyukuran dalam hati.
Rasa Syukur Ubah Persepsi Masalah
Dengan kesyukuran itu maka persepsi tentang masalah hidup yang dihadapi mampu ditukar menjadi ujian Tuhan yang penuh hikmah untuk disyukuri. Lalu terhindar diri daripada sebarang rungutan, kekecewaan dan berburuk-sangka kepada Tuhan.
Semoga tahun baru ini menjanjikan kebahagiaan dan ketenangan hidup untuk kita. Tidak salah mengejar kejayaan yang dicita-citakan, namun jangan lupa untuk sentiasa bersyukur serta memelihara kefarduan solat. Mudah-mudahan kita dikurniakan rezeki yang berkat oleh-Nya, insya-Allah.
Sabar sangat diperlukan saat ditimpa ujian hidup, nasihat untuk sabar memang mudah diucapkan. Tapi bagaimana pula dengan orang yang menanggung ujian berkenaan. Berapa lama individu harus bersabar atau adakah kesabaran itu akan ada noktahnya?
Ikuti perkongsian daripada Dr. Muhamad bin Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi, RMJ HOLISTIC SOLUTION, yang pernah disiarkan di dalam Majalah Mingguan Wanita. https://www.facebook.com/mingguanwanita/
Sabar Dan Ujian
Ujian hidup yang melanda manusia memang ada had masa. Begitu juga dengan kesabaran yang diperlukan semasa ujian melanda, juga ada had masa. Berapa lama had masa bagi sesuatu ujian dan kesabaran, semua itu ketentuan Ilahi. Segala-galanya berada dalam ilmu serta kehendak Ilahi yang mahu menduga tahap keimanan dan ketakwaan hamba-Nya.
Rahsia Ilahi dalam menentukan tempoh masa ujian dan kesabaran tentu ada hikmahnya. Oleh itu, tempoh masa kesabaran tidak harus dipersiakan. Individu perlu melakukan sesuatu yang bermanfaat agar ganjaran kesabaran yang disediakan untuk orang-orang yang bersabar akan individu peroleh. “Hanya orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batas.” (Surah al-Zumar, ayat 10)
Tempoh Masa Sabar
Tempoh masa dalam kesabaran harus dijadikan sebagai proses untuk individu kembali kepada Tuhan. Memang tidak dinafikan, antara punca mengapa manusia diuji adalah dek dosa yang mereka kerjakan. Ujian hadir sebagai kafarah penghapusan dosa.
Memang manusia berhak memberi komen tentang ujian yang mereka hadapi, namun kesedaran bahawa ujian itu merupakan teguran daripada Tuhan bakal menyuburkan kesedaran bahawa manusia wajib kembali kepada Pencipta. Maka jadilah ujian itu sebagai tanda kasih-sayang Tuhan agar insan kembali kepada-Nya.
Bila kesedaran sebegini tertanam dalam lubuk hati maka sudah tentu tempoh masa dalam kesabaran itu dapat diisi dengan taubat dan istighfar, diikuti dengan zikir membesarkan dan memuji Ilahi, disertai dengan doa agar diselamatkan daripada ujian. Individu sedar bahawa bantuan dan pertolongan Tuhan tidak akan datang melainkan setelah individu benar-benar meyakini kekuasaan Tuhan ke atas dirinya.
Sebenarnya bila proses mendekatkan diri Tuhan ini dapat direalisasikan dalam tempoh kesabaran maka itulah rezeki daripada Tuhan. Itu tanda Tuhan mengasihi hamba. Berapa ramai manusia yang masih lalai dan alpa walau saban masa Tuhan ‘menegur’ mereka dengan perbagai ujian hidup.
Proses yang berulang
Memang tabiat manusia mudah lupa. Manusia kembali kepada Tuhan bila mereka diuji. Manusia kembali lupa bila mereka dilimpahi dengan nikmat kesenangan hidup. Lalu Tuhan uji lagi agar mereka kembali bersabar serta kembali kepada Tuhan.
Sesungguhnya itulah keindahan kasih sayang Tuhan kepada manusia. Manusia terus diuji dan diuji selagi mereka masih hidup. Bila manusia diuji, mereka dituntut untuk bersabar. Kesabaran mereka diberikan tempoh masa tertentu supaya mereka dapat melalui proses penyucian diri kembali kepada Ilahi.
Mati penamat segalanya
Jika ditanya sampai bila manusia akan diuji dan berapa lama manusia perlu bersabar maka jelaslah bahawa kematian adalah penamat segalanya (ada orang berdoa minta cepat mati kerana sudah tidak tahan menempuh ujian).
Hakikat ini menjelaskan kepada kita bahawa seluruh kehidupan ini merupakan ujian Tuhan dan kesabaran adalah penawar terbaik agar manusia dapat mempersiapkan amal-amal soleh untuk bertemu Allah SWT di akhirat. Tempoh kesabaran memotivasikan individu untuk beramal dengan sepenuh hati dan menyerahkan urusan hidup kepada Ilahi secara total dan istiqomah.
Bertuahnya kita jika terdiri dikalangan 12 golongan manusia yang mendapat doa daripada para malaikat. Keampunan segala dosa-dosa dan keberkatan di dalam kehidupan pastinya dimakbulkan. Bersama-samalah kita merebut peluang ini, pada waktu dan keadaan yang dijelaskan dalam hadis ini.
12 GOLONGAN MANUSIA YANG DI DOAKAN MALAIKAT
1. Orang Yang Tidur Dalam Keadaan Bersuci
“Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa ‘Ya Allah, ampunilah hambamu si fulan karena tidur dalam keadaan suci.” (HR. Imam Ibnu Hibban dari Abdullah bin Umar)
2. Orang Yang Sedang Duduk Menunggu Waktu Solat
“Tidaklah salah seorang di antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali para malaikat akan mendoakannya ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia”(HR. Imam Muslim dariAbu Hurairah, Shahih Muslim 469).
3. Orang-Orang Yang Berada Di Saf Barisan Depan Di Dalam Solat Berjamaah
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada (orang – orang) yang berada pada saf – saf paling hadapan.”(Imam Abu Dawud dan Ibnu Khuzaimah dari Barra’ bin ‘Azib)
4. Orang Yang Menyambung Saf Solat Berjamaah (Tidak Membiarkan Kosong Di Dalam Saf)
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat selalu berselawat kepada orang-orang yang menyambung saf-saf.”(Para Imam yaitu Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim meriwayatkan dari Aisyah)
5. Para Malaikat Mengucapkan ‘Aamiin‘ Ketika Seorang Imam Selesai Membaca AlFatihah
“Jika seorang Imam membaca ‘ghairil maghdhuubi ‘alaihim waladh dhaalinn’, maka ucapkanlah oleh kalian ‘aamiin’, karena barangsiapa ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, maka ia akan diampuni dosanya yang masa lalu.” (HR. Imam Bukhari dari Abu Hurairah, Shahih Bukhari 782)
6. Orang Yang Duduk Di Tempat Solatnya Setelah Melakukan Solat
“Para malaikat akan selalu berselawat (berdoa) kepada salah satu diantara kalian selama ia ada di dalam tempat solat dimana ia melakukan solat, selama ia belum batal wudhunya,(para malaikat) berkata, ‘Ya Allah ampunilah dan sayangilah ia.’” (HR. Imam Ahmad dari Abu Hurairah, Al Musnad no. 8106)
7. Orang-Orang Yang Melakukan Solat Subuh Dan Asar Secara Berjamaah
“Para malaikat berkumpul pada saat Solat Subuh lalu para malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga shubuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat ‘asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat ‘asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal, lalu Allah bertanya kepada mereka, ‘Bagaimana kalian meninggalkan hambaku?’, mereka menjawab, ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, maka ampunilah mereka pada hari kiamat,”(HR. Imam Ahmad dari Abu Hurairah, Al-Musnad no. 9140)
8. Orang Yang Mendoakan Saudaranya Tanpa Pengetahuan Orang Yang Didoakan
“Doa seorang muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikatyang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, maka malaikat tersebut berkata ‘aamiin dan engkaupun mendapatkan apa yang ia dapatkan.”(HR. Imam Muslim dari Ummud Darda’, Shahih Muslim 2733)
9. Orang-Orang Yang Berinfak
“Tidak satu hari pun dimana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali 2 malaikat turun kepadanya, salah satu diantara keduanya berkata, ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak’. Dan lainnya berkata, ‘Ya Allah, hancurkanlah harta orang yang (bakhil)”(HR. Imam Bukhari dan Imam Muslim dari Abu Hurairah, Shahih Bukhari1442 dan Shahih Muslim 1010)
10. Orang Yang Sedang Makan Sahur
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (berdoa ) kepada orang-orang yang sedang makan sahur” Insya Allah termasuk disaat sahur untuk puasa “sunnah”.(HR. Imam Ibnu Hibban dan Imam Ath Thabrani, dari Abdullah bin Umar)
11. Orang Yang Sedang Menjenguk Orang Sakit
“Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.”(HR. Imam Ahmad dari ‘Ali bin Abi Thalib, Al-Musnad no. 754)
12. Seseorang Yang Sedang Mengajarkan Kebaikan Kepada Orang Lain.
“Keutamaan seorang alim atas seorang ahli ibadah bagaikan keutamaanku atas seorang yang paling rendah diantara kalian. Sesungguhnya penghuni langit dan bumi, bahkan semut yang di dalam lubangnya dan bahkan ikan, semuanya berselawat kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain.”(HR Imam Tirmidzi dari Abu Umamah Al-Bahily)
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Sebenarnya (malaikat–malaikat itu) adalah hamba–hamba yang dimuliakan, mereka tidak mendahuluiNya dengan perkataan dan mereka mengerjakan perintah-perintah-Nya. Allah mengetahui segala sesuatu yang dihadapan mereka dan yang di belakang mereka, dan mereka tidak memberikan syafa’at melainkan kepada orang–orang yang diredhai Allah dan mereka selalu berhati–hati karena takut kepada-Nya”(Q.S. Al-Anbiya: ayat 26-28)
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Dialah yang memberi rahmat kepadamu dan para malaikat-Nya (memohonkan ampunan untukmu), agar Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman.”(Q.S. Al-Ahzab: ayat 43)
Masya Allah, alangkah bahagianya menjadi orang-orang yang dicintai para malaikat.Sebab mendapatkan syafa’at, pertolongan, dan do’anya.
Kebiasaannya apabila masuk sahaja tahun baru, pelbagai azam dan niat disemat didalam diri dengan harapan dapat dicapai sepanjang tahun nanti. Namun dalam kita bercita-cita dengan pelbagai azam, jangan lupa untuk pasang niat berazam memperbaiki diri dan ibadah sebagai salah satu usaha dalam mengundang redha Allah.Biarpun sikit amalan yang dilakukan, berusahalah untuk kekal istiqamah dalam melakukannya.
Antara amalan yang boleh dilakukan ialah;
1. Solat Sunat Qobliah (Subuh)
Jangan tinggal Solat Sunat Qobliah (Subuh) sekalipun bangun jam 6:45am kerana Nabi saw ada bersabda bahawa ganjaran solat ini adalah lebih baik dari dunia dan seisinya.
2. Istqamah Amalan Zikir
Zikir Subhnanallah, Alhamdhulillah, Allahu Akbar, 33 kali jangan ditinggalkan setiap kali lepas solat. Kerana ini lah zikir khas buat menantu Nabi saw sebagai zikir istiqamah penguat semangat.
3. Solat Subuh Berjemaah
Berusahalah sedaya upaya untuk Solat Subuh Berjemaah di rumah-rumah Allah, @ paling kurang berjemaah dengan anak isteri di rumah. Kerana ganjaran solat subuh berjemaah adalah sama seperti berqiamullail sepanjang malam.
4. Berdoa Selepas Azan Sebelum Iqomah
Jangan dilepaskan peluang berdoa selepas azan sebelum iqomah setiap waktu solat kerana disana diantara waktu-waktu mustajabnya doa.
5. Fahami Bacaan Dalam Setiap Solat
Pelajari serta hayati setiap bait-bait bacaan dalam setiap solat, bawa ia setiap kali solat, seolah-olah kita berbisik-bisik mengadu hal dengan Robbul Jalil setiap kali kita solat. Agar dengan yang demikian hati kita sentiasa berada dalam solat, mudah-mudahan dengan asbab itu jugalah hati kita tidak lalai setiap kali solat. (Memang itu pun diantara tujuan 5 kali sehari kita bersolat) dan itu janji Allah bahawa solat yang sedemikianlah punyai roh untuk menjaga kita dari berbuat keji & mungkar.
6.Baca Alquran Setiap Hari
Jangan dilepaskan Al Quran setiap hari terutama selepas Solat Subuh, bacalah apa juga surah, selain jadikanlah amalan 3 surah ini setiap hari iaitu 10 awal & akhir surah Al Kahfi, Surah Al Waqiah, juga surah Al Mulk. Asbab kepada sabda nabi : Bacalah Al Quran.. sesungguhnya Al Quran itu akan memberi syafaat (pertolongan) pada sahabat-sahabatnya.
7. Amalkan Solat-Solat Sunat
Jangan ditinggalkan solat-solat Sunat Qobliyyah, Ba’diyyah, Witir, Dhuha kerana solat sunat itu menambah asbab kepada redhanya Allah pada kita.
8. Istiqamah Solat Di Awal Waktu
Sentiasalah istiqamah solat di awal waktu. Wanita, bersedia, ternanti-nanti masuknya waktu solat manakala lelaki berusaha istiqamah solat berjemaah di rumah-rumah Allah kerana ia adalah sunnah Nabi kita saw yang utama.
9. Biasakan Selalu Ada Wudhu’
Lazimi menjaga wudhu’ setiap masa kerana orang yang punyai wudhu’ akan didampingi para malaikat-malaikat Allah.
10.Amalan Bersugi Selalu
Amalkan sentiasa bawa ke mana-mana kayu sugi untuk bersugi kerana ada 70 kelebihan orang-orang yang sentiasa bersugi. Antaranya;
-Zikir & bacaan ayat-ayat Al Quran orang yang bersugi lebih 70 kali disukai Allah berbanding bacaan orang-orang yang tak bersugi.
-Dua rakaat solat orang yang bersugi juga lebih disukai Allah vs 70 rakaat solat orang yang tak bersugi dan juga syaitan benci pada golongan-golongan mereka yang istiqamah bersugi.
Riwayat Aisyah.. Bahawa aku tidak bisa mengira berapa kalikah dalam sehari Rasulullah saw bersugi. Dikatakan juga perkara terakhir yang Rasulullah saw lakukan sebelum ajalnya sampai adalah baginda saw sempat bersugi.
Saya pernah terbaca dalam artikel tulisan ulama tersohor bahawa nyawa orang yang sentiasa bersugi mudah keluar ketika di datangi sakaratulmaut.
12.Biasakan Berzikir, Selawat
Sentiasalah melazimi lidah untuk berzikir seperti selawat, kalimah-kalimah taubat, kalimah-kalimah tauhid asbab kita bersugi dikatakan mulut kita ringan untuk tujuan itu.
13. Amalkan Makan Kurma
Lazimi berpagi-pagi dengan kurma dan ambillah juga ia sebelum tidur kerana khasiat makanan sunnah ini sudah cukup sempurna bagi menjana hormon-hormon perangsang kesihatan, kecergasan tubuh & juga minda kita untuk menjurus kepada sentiasa berfikir yang positif setiap hari.
Berusahalah menyantuni akan setiap perkara-perkara sunnah serta perkara-perkara ma’ruf setiap masa kerana itu semua akan mengundang redha Allah kepada kita.Asbab bertambahnya redha Allah pada kita maka janji Allah;
“Wahai jiwa-jiwa yang sentiasa tenang, kembalilah kepada tuhanmu dalam keadaan engkau redha dan aku redha. Dan berkumpullah kalian dalam kalangan orang-orang yang berbahagia dan masuklah kalian ke dalam syurga”.
Ini adalah ayat sakaratul maut.. Kalau lah seluruh manusia mengetahui akan ini lah tujuan utama kenapa kita hidup di dunia ini (hanya nak dapatkan redha Allah) ketika mana saat kematian menjemput kita.. nescaya sepanjang masa seluruh manusia akan sentiasa khusyuk lagi tawadhu dalam berusaha untuk mengejarnya.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Masuk tahun baru ini, sama-samalah kita berusaha memperbaiki diri, meningkatkan amalan dan ibadah agar dapat mengundang ‘Redha’ Allah hendaknya. Amin.