Jaga Sebaiknya Cinta Sepenuh Hati, Ikrar Cinta Azlan Buat Elly Mazlein

Share

Bagaikan pinang dibelah dua, merpati dua sejoli Elly Mazlein, 39, dan pasangannya, Mohamad Azlan Che Nuh, 29, telah selamat disatukan dalam satu acara gilang gemilang.

Pada tanggal 18 Januari dengan sekali lafaz tepat jam 9.09 malam, Mohamad Azlan telah selamat bergelar suami kepada ibu Putri Sara Sefhia, 4 ini yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dalam majlis itu juga pihak lelaki memberikan mas kahwin berupa seutas gelang tangan emas bernilai RM1,800 bersama empat dulang hantaran lain yang merupakan barang kemas dan senaskhah al-Quran.

Pihak perempuan pula membalas dengan tujuh dulang barangan hantaran yang terdiri daripada barang berjenama iaitu sebentuk cincin, sebuah beg tangan, sebuah beg dompet, sebuah beg, seutas tali pinggang, topi keledar dan sepasang kasut.

Paling menarik perhatian, rakan-rakan artis turut menjadi pengiring pengantin dengan membawa dulang hantaran yang terdiri daripada Fasha Sandha, Rita Rudaini, Nad Zainal, Jasmine Ashraff, Azza Elite, Intan Sarafina, Linda Beego dan Faradhiya.

Dipermudahkan & Berjalan Lancar

“Saya bersyukur kerana segala-galanya dipermudahkan dan berjalan lancar seperti dirancang. Kini, saya dan suami mengecap fasa baharu dalam ikatan perkahwinan. Doakan kebahagiaan kami berdua,” ungkap pelakon yang popular dengan drama Kampung People yang dibintangi sejurus selepas diijabkabulkan.

“Insya-Allah, kami akan sama-sama melayari bahtera rumah tangga ini dengan sebaik mungkin,” sambung Elly sambil menjeling suami yang berada di sisi.

Elly mengenali suaminya yang juga seorang guru menerusi laman sosial. Sebelum ini lebih setahun Elly lebih selesa menyembunyikan identiti bakal suami kepada umum. Akhirnya sehari sebelum majlis pernikahan berlangsung, Elly mendedahkan wajah Mohamad Azlan pada malam berinai.

Lelaki yang menjadi pilihan Elly merupakan seorang pemuda yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan. Pasangan ini telah mengikat tali pertunangan pada 17 Disember yang lalu, namun Elly memilih untuk tidak memperkenalkan bakal suaminya itu kepada umum.

Tema Malam Bulan Di Pagar Bintang

Pada majlis pernikahan dan resepsi ini, Elly yang mesra dengan panggilan Kak Lina Pom Pom begitu cantik mengenakan tiga persalinan rekaan Jimmy Couture dan solekan oleh Gebriel Padan. Manakala Azlan pula begitu segak dengan rekaan Senitra.

Majlis yang bertemakan Malam Bulan Di Pagar Bintang ini juga turut menyaksikan kehadiran kira-kira 740 tetamu jemputan yang terdiri daripada keluarga, sahabat handai dan rakan media.

Antara rakan artis yang hadir meraikan mempelai ialah Rozita Che Wan, Aidil Aziz, Uqasha Senrose, Emelda Rosmila dan Catriona Ross.

Seusai majlis persandingan pasangan ini sempat beramah mesra dengan pihak media dan Elly yang popular dengan lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan tersenyum manis tatkala dilontarkan pelbagai soalan.

“I Love You, Terima Kasih Terima Mama”

Tatkala ditanya perasaan Elly selepas bergelar isteri buat kali kedua, terus pelakon yang terkenal dengan sikapnya yang manja berpaling ke arah Mohamad Azlan lantas meluahkan perasaan yang terbuku.

“I Love You, terima kasih banyak-banyak kerana sudi terima Mama seadanya, jagalah saya dan anak kita Sefhia baik-baik,” kata Elly penuh romantik. Elly turut menyatakan dia dan Mohamad Azlan sememangnya gementar menantikan detik bersejarah mereka.

“Perasaan gementar itu memang ada, apatah lagi Mohamad Azlan yang tak biasa dengan keadaan sebegini. Dulu saya pujuk juga dia untuk bergambar sama tapi dia segan. Sefhia pula dia tak banyak tanya cuma saya terangkan hari ini merupakan hari bersejarah buat Mama dan Papa jadi dia tak perlu takut.

“Lagipun papa dia cakap jangan menangis sebab kita nak sambut majlis keraian. Sefhia seolah-olah faham dan tidak meragam,” cerita Elly yang akui sejak berkenalan dengan Mohamad Azlan, pemuda itu begitu rapat dengan anaknya. Apatah lagi kini Mohamad Azlan sudah bergelar suami, sudah pasti Sefhia lebih menyayangi dirinya.

“Saya Tak Kisah Orang Cakap Dia Gedik” Mohamad Azlan

Walaupun beza usia hampir 10 tahun dengan Elly namun Mohamad Azlan tampak relak dan matang.

“Ikutkan sebenarnya saya masih gementar tapi saya cuba biasakan diri. Alhamdulillah dengan sekali lafaz Elly sah menjadi isteri saya. Selepas Elly mendedahkan bakal suaminya sehari sebelum kami diijabkabul, kawan-kawan ramai yang bagi ucapan. Namun saya sama seperti dulu. Cuma saya kena biasakan diri dan terima dunia baru memandangkan Elly merupakan seorang selebriti,” ungkapnya.

Ditanya mengapa dia memilih Elly Mazlein sebagi suri hatinya, Mohamad Azlan menerangkan kelembutan yang ada pada wanita itu menarik hatinya untuk lebih mengenali sekali gus memperisterikan Elly.

“Saya jatuh cinta kerana kelembutan dia. Kalau menonton drama lain karakter berbeza dengan dunia nyata. Elly seorang yang sangat lemah lembut dan menjaga setiap pertuturannya. Saya tak kisah jika orang cakap dia gedik. Saya bertuah dijodohkan dengan Sayang (Elly) kerana kelembutan dan kesopanannya,” sambung Mohamad Azlan.

Memandangkan isterinya merupakan seorang selebriti popular, Mohamad Azlan tidak meletakkan syarat dan restu jika isterinya aktif dalam dunia seni seperti biasa.

“Kami sudah bincang perkara ini sebelum berkahwin lagi. Saya percaya isteri akan menjaga batas-batas. Sebelum kahwin pun dia sangat menjaga Batasan inikan pula selepas bergelar isteru. Saya percaya dia mampu menjaga imejnya sebagai seorang isteri,” luah Mohamad Azlan.

Berkongsi tentang diri isteri yang dia fahami, Mohamad Azlan menjawab Elly sebenarnya seorang yang tidak suka orang yang banyak alasan.

“Isteri sebenarnya tak susah kalau kita pandai ambil hati dan tak banyak alasan. Dia sendiri tak suka orang banyak alasan. Contohnya jika buat salah saya kena minta maaf dan tak boleh cakap alasan itu dan ini. Kalau saya dengar cakap dan saya mengakui salah saya dalam sekelip mata dia boleh berubah,” getus Mohamad Azlan yang sentiasa menyokong kerjaya isteri serratus peratus. Ini kerana sebelum mengenali lebih rapat wanita ini dia sudah mengetahui Elly merupakan seorang artis terkenal.

Usia Bukan Halangan

Elly Mazlein juga turut menambah walaupun dia dan suami berbeza usia namun itu bukanlah satu masalah besar.

“Pada permulaan memang rasa tak yakin sebab usia berbeza. Tapi sebenarnya usia tak jadi masalah sebab benda tu benda baru dalam hidup saya. Alhamdulillah suami faham dengan kerjaya saya tapi pada awalnya saya agak susah nak faham kerjaya Azlan, lama-lama barulah faham. Selepas berkahwin kami akan berbulan madu di rumah kami di Cyberjaya. Insya-Allah sewaktu cuti sekolah bulan Mac ini baru kami merancang berbulan madu di London,” jelas Elly.

Ditanya tentang cahaya mata, pasangan ini mendoakan agar dikurniakan anak secepat mungkin.

“Saya dah bincang dengan isteri, insya-Allah jika diizinkan Allah kami mahu anak secepat mungkin. Saya faham dengan faktor usia isteri dan kalau boleh nak secepat yang mungkin,” jawab Mohamad Azlan sambil tersenyum.

Memandangkan Elly pernah kecundang pada bahtera perkahwinan yang pertama, diaju apakah janji yang disimpan untuk memastikan isterinya itu tidak menderita lagi, tegas lelaki itu.

“Di hadapan semua, saya berjanji akan menjaga Elly Mazlein dengan baik dan akan cinta awak sepenuh hati saya. I Love You.” Ikrar Mohamad Azlan.

************************************************************

Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh pasangan pengantin baru ini. Ingin ketahui lebih lanjut, baca sambungannya di dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu Februari, volume 1 yang kini telah pun berada di pasaran.

TEKS: NORHAYATI SUBOH
FOTO: TM AZMAN & TERIMA KASIH @faridsmproduction

Published by
Suhaidah Abd Wahab