Niat tidak menghalalkan cara. Sebaiknya jaga mulut dalam menegur orang walaupun niat kita baik, bimbang silap haribulan boleh putus silaturahim. Kadang-kadang mak-mak anggap menegur untuk kebaikan apa salahnya, namun tidak semua dapat menerima teguran jika tidak kena caranya.
Oleh sebab itu, orang-orang tua dahulu seringkali mengingatkan agar berhati-hati dalam berkata-kata. Jangan dek kerana mulut, badan binasa. Ikuti perkongsian Farizal Radzali ini dan hadam baik-baik.
Mak saya dulu selalu pesan… (1) Jangan tegur saiz badan orang (2) Jangan tegur saiz makanan orang (3) Jangan tegur buruknya muka orang (4) Jangan tegur buruknya perangai orang (5) Jangan tegur cara hidup orang
Kalau tegur nanti kita jatuh sakit. Betul ke?
Jaga Mulut Dalam Menegur
Sekarang saya sudah faham, itu kiasan orang dulu-dulu. Semua 'JANGAN' itu adalah untuk tidak menjatuhkan air muka orang lain, di masa yang sama kita menjaga tutur bicara diri kita sendiri.
Ads
Kadang pada kita teguran itu tak berniat apa-apa, tapi pada yang menerima mungkin lain penerimaannya.
Ada orang yang suka menegur itu, ini sebab padanya niatnya baik tapi bila dia ditegur perkara yang sama, dia punya sentap sampai putus silaturahim.
Salah Menegur Boleh Putus Silaturahim
Ada orang suruh orang bersabar di atas segala ujian. Tapi bila dia terkena ujian yang sama dan orang lain memintanya bersabar, dia mengamuk.
Ads
Sebab apa?
Sebab berkata-kata lebih mudah dari melaluinya. Kita hanya akan tahu bila kita melaluinya walau macam mana kita kata kita memahami setiap satu situasi yang dihadapi oleh orang lain.
Jadikanlah bahu kita untuk disandar oleh sahabat kita yang kesusahan. Andai tak tahu bagaimana nak bantu dia, cukuplah untuk sediakan telinga supaya dia dapat melepaskan perasaannya.
Ads
Selebihnya, diamlah. Doakan urusannya dipermudahkan. Doakan agar kita kuat andai kita juga diberi ujian yg sama.
Hari ini hari dia, Kita tak tahu bila hari kita.
Farizal Radzali
MW: Baik macam mana sekali pun kita dengan seseorang, berhati-hatilah dalam berkata-kata. Bimbang tersalah kata buruk padahnya, apatah lagi hingga terputus silaturahim yang telah terbina sejak sekian lama.
Kemelut gangguan ‘orang ketiga’ dalam rumahtangga Puteri Sarah Liyana,37 diteruskan dengan tindakan undang-undang apabila pelakon ini nekad memfailkan tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di pejabat agama terhadap wanita dikenali sebagai Ira Kazar yang didakwa kekasih suaminya, Syamsul Yusof.
4 Tahun Menanggung Derita
Puteri Sarah berkata, selepas hampir empat tahun menangis, menahan sabar dan menanggung derita, akhirnya dia nekad mengambil tindakan undang-undang.
“Selepas pulang daripada menunaikan umrah, Mei lalu, saya nampak jelas dengan apa yang saya hendak buat dan sekarang saya fokus.
“Jadi, sebelum pergi umrah, saya sudah beri semua maklumat kepada peguam. Sepanjang sebulan di luar negara, mereka sudah siap dan kaji semuanya.
“Selepas saya pulang, kami terus berbincang dan mengambil tindakan saman,” katanya ketika ditemui di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini, hari ini.
Mempertahankan Maruah Diri
Memperincikan tindakannya itu, Puteri Sarah berkata, dia mengambil langkah berkenaan demi mempertahankan maruah diri yang tercalar dan sekian lama didiamkan.
“Isu ini tidak akan berlarutan kalau saya tidak diganggu pihak ketiga yang terus mencabar.
“Sebelum ini, saya ada kongsi di Instagram (IG) bahawa dia mencabar saya dengan menyatakan bila saya hendak saman dan meminta peguam saya membuat tindakan segera.
“Jadi, sekarang, kami sudah failkan dua saman,” katanya.
Demi Selamatkan Rumahtangga
Selain menuntut keadilan, Puteri Sarah mahu menyelamatkan rumah tangganya dan memperjuangkan hak sebagai wanita teraniaya.
“Sebelum buat keputusan ini, saya berfikir panjang mengenai apa yang akan berlaku kepada saya, perkahwinan dan keluarga saya.
“Saya buat semua ini untuk diri sendiri dan keluarga saya. Sampai bila saya hendak kena pijak macam ini?
“Malah, ramai wanita teraniaya yang menghantar mesej peribadi bertanya nasihat. Sekarang, saya sudah bukakan jalan kepada mereka.
“Insya-Allah selepas ini, siapa yang mahu ‘menyondol’, mungkin lebih berhati-hati.
“Saya buat semua ini bagi memperjuangkan perkahwinan dan hak saya. Sudah ambil orang punya, duduk diam-diam.
“Jangan ambil orang punya, kemudian nak canang sana-sini dan kacau keluarga serta orang sekeliling,” katanya.
Perintah Injuksi Interim
Sementara itu, peguam yang mewakili Puteri Sarah, Ummi Kartini Abd Latiff berkata, defendan iaitu Ira sudah menerima perintah injuksi interim, Selasa lalu.
“Kami failkan satu tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung gangguan. Kami sudah mendapatkan perintah injuksi pada 24 Jun yang lalu.
“Perintah ini dimohon agar agar defendan (Ira) berhenti meluah atau menyebarkan apa-apa bentuk gangguan di sosial media atau di mana-mana platform sama ada dirinya atau yang berkaitan dengan dirinya.
“Sebab kadang-kadang ada pihak yang menggunakan akaun palsu. Jadi, ini adalah penting untuk memastikan tiada lagi gangguan dalam keadaan semasa terhadap anak guam kami.
“Perintah dan permohonan ini sudah diserahkan kepada pihak defendan, Selasa lalu. Beliau sudah menerima dokumen itu dan kami akan bertemu di mahkamah pada 4 Julai depan,” katanya.
Dalam masa sama, Ummi Kartini berkata, tindakan di Mahkamah Syariah pula masih dalam proses.
“Untuk tindakan di Mahkamah Syariah, kami perlu bermula dengan aduan. Kami sudah failkan aduan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 24 Jun lalu.
“Hari ini kami berada di JAIS atas sebab perkara berkaitan syariah ini di bawah undang-undang negeri.
“Berikutan alamat tempat tinggal anak guam kami dan defendan di Selangor dan ada kejadian berlaku di Kuala Lumpur, kami dinasihat membuat aduan di kedua-dua negeri,” katanya.
Kehadiran Orang Ketiga
Sebelum ini, rumah tangga Syamsul dan Sarah didakwa dilanda masalah disebabkan kehadiran orang ketiga.
Puteri Sarah juga mengakui sudah tidak tinggal sebumbung dengan Syamsul, malah, mendakwa suaminya tahu kenapa dirinya bersikap ‘dingin’.
Syamsul yang ketika ini ‘meledak’ dengan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, juga dilaporkan mengaku tidak tinggal sebumbung, tetapi tidak bermaksud mahu berpisah.
Puteri Sarah, 37, berkahwin dengan Syamsul pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam serta Sumayyah.
Mingguan Wanita: Bukan mudah untuk mempertahankan rumahtangga apatah lagi diganggu oleh orang ketiga. Semoga pengakhiran yang baik dalam rumahtangga Puteri Sarah ini.
Bawa Pulang Cenderahati Dari Tanah Suci, NEKAD Sarung 15 Lapis Pakaian Elak Lebihan Bagasi! Penumpang kapal terbang memang mempunyai pelbagai ragam. Ada yang menggunakan pelbagai taktik dan cara bagi mengelakkan dikenakan caj lebihan bagasi.
15 Lapis Pakaian
Seorang jemaah haji wanita dari Makassar, Sulawesi Selatan bernama Ummi nekad memakai 15 lapis pakaian ketika hendak pulang ke Indonesia semalam, lapor laman berita Kompas.
Bukan itu sahaja, dia dikatakan turut memakai lima lapis seluar supaya kapasiti bagasinya tidak berlebihan.
Video itu tersebar di media sosial khususnya dalam kumpulan perbualan WhatsApp dan TikTok.
Bawa Pulang Cenderahati Dari Tanah Suci
Dalam video tersebut, Ummi mengaku dia berbuat demikian demi membawa pulang cederahati pakaian dari Tanah Suci untuk keluarganya.
“Biarlah saya sengsara begini (berlapis-lapis) yang penting orang di rumah suka dapat cenderahati,” katanya.
Video itu dirakam ketika Ummi masih berada di Lapangan Terbang Raja Abdul Aziz, Jeddah dan bersiap untuk pulang ke Indonesia.
Kelihatan dua orang rakannya dari kumpulan pertama jemaah haji Indonesia sedang mengira pakaian yang dipakai Ummi sambil ketawa.
Mingguan Wanita: Macam-macam ragam. Demi elak dikenakan caj, kerana lebihan bagasi, sanggup bersusah payah menanggung berat dan panas menyarung 15 helai pakaian. Segalanya demi membawa pulang cenderahati dari tanah suci.
Sudah tersurat ajalnya. Pegawai khas Tanah Perkuburan Raudhatul Baqi’ sempat uruskan 19 jenazah pesakit Covid-19 sebelum meninggal dunia.
Pengarah Jabatan Kesihatan dan Persekitaran Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) yang juga pegawai khas yang mengendalikan Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi’, Cyberjaya 10, meninggal duniadi Hospital Putrajaya, hari ini.
Kuzaini Hamidon, 47, dimasukkan ke hospital selepas rebah di kediamannya di Puchong Perdana semalam dan disahkan meninggal dunia pada 2.45 pagi tadi ketika menerima rawatan.
Pegawai Khas Raudhatul Baqi’ Meninggal Dunia
Allahyarham yang mula bertugas di MPSepang sejak 2012 dan meninggalkan isteri, Nor Azean Ahmad, 44, dan tiga anak.
Menurut sumber, arwah meninggal dunia disebabkan kegagalan fungsi organ.
Jenazah akan dibawa ke Masjid Assalam Puchong Perdana dan dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ 22, Subang Jaya selepas semua proses pengurusan dan dokumentasi selesai.
Sementara itu, Yang Di Pertua MPSepang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, Allahyarham seorang pegawai yang berdedikasi dan komited dengan kerjanya.
Menurutnya, sebelum ini Allahyarham diberikan tugas khas untuk mengendalikan Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi’ membabitkan jenazah pesakit Covid-19 Hospital Kajang, Hospital Serdang dan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM).
Katanya, sejak diberikan tugas khas itu, Allahyarham sempat menguruskan 19 jenazah bermula Sabtu lalu.
“Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi’ menjadi tanah perkuburan ketiga di Selangor bagi menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19.
“Pemergian Kuzaini adalah satu kehilangan besar kepada MPSepang dan seluruh warga pihak berkuasa tempatan (PBT) ini,” katanya.
Mingguan Wanita : Pihak MW mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga allahyarham, semoga Allah menempatkannya di kalangan orang beriman. Al-Fatihah.