Mak ayah suami, memang tak pernah lahirkan atau besarkan kita. Menjaga kita bagai menatang minyak yang penuh jauh sekali. Macam mana kalau tiba-tiba mentua jatuh sakit dan cuma kita yang boleh diharap memeliharanya malah jaga mentua yang jatuh sakit itu.
Fasa permulaan jaga mentua yang sakit memang memeritkan. Hidup menantu berubah 360 darjah. Kalau dulu cuma ada kita, suami dan anak-anak. Bila ditambah mentua yang sakit pula, kita jadi haru biru. Buka ruang hati, berlapang dada, semak asbab apa yang Allah nak beri dekat kita.
Orang sakit emosinya lain. Tak boleh lambat, tak boleh silap layanan. Melentingnya cepat, mulutnya lancang meluah ketidakpuasan. Sebagai menantu selain sabar kita boleh terang dengan baik apa yang kita rasa. Dengan cara yang tak menggores hatinya. Tuhan beri kita ujian sebegini untuk melatih jadi sabar. Andai ujian lebih besar terjadi, kita dah boleh terima.
Bila datang merajuk mentua tak nak makan apa yang dimasak, kita akan jadi susah hati. Rasa nak marah pun ada. Kedegilan mentua yang sakit sebenarnya menguji anda bagaimana mahu selesaikan masalah itu. Otak kita akan berfikir ligat macamana nak memujuk mentua supaya ikut apa yang baik untuknya. Kita akan usaha berikan kasih sayang, tak ambil kisah emosi negatifnya, cekalkan hati dan tak layan sangat keletihan yang kita alami.
Rutin tak sama macam sebelumnya. Jika dulu cuma siapkan makanan untuk suami dan anak. Sekarang kena fikirkan keperluan mentua juga. Kena buat seawal pagi, siapkan setiap tugasan seawal mungkin. Anda akan jadi orang yang sangat menghargai setiap masa yang ada. Walaupun letih, dengan sendirinya anda mengatur waktu. Mana yang perlu didahulukan mana yang kemudian. Anda akan jadi ibu yang hebat dalam pengurusan masa.
Bila ditekan dengan tugasan baru, kita akan jadi kreatif.Apabila anak bertanya tentang tugasan dan tanggungjawab kita, sudah tentu kita akan menerangkan kepada anak dengan cara yang paling kreatif. Sampai anak faham dan akhirnya anak pun terdorong mahu meringankan tugasan kita. Kita juga jadi kreatif menyediakan juadah dalam masa yang singkat dan cepat, supaya tidak terkejar-kejar waktu. Menguruskan mentua dengan cara paling menyenangkan kedua-dua belah pihak.
Ini yang paling utama. Selepas dibebani dengan segala macam ujian dan akhirnya kita redha, pahala menjaga mentua itu Allah juga yang akan membalasnya. Dan siapa pun tidak tahu bahawa andai kita ikhlas, Allah akan gandakan rezeki kita baik dalam bentuk wang ringgit mahupun anak-anak yang mendengar kata, suami yang memahami dan ketenangan hati sendiri.
Ketika isteri, bersedia menjaga mentua anda seharusnya suami lakukan perkara ini agar isteri anda akan jadi lebih tenang dan menerima setiap perubahan hidupnya dengan penuh rela.