Jaga Kesihatan Buah Pinggang, Dah Rosak Tak Ada Gantinya!
Gambar sekadar hiasan

Jaga kesihatan buah pinggang. Sebabnya kalau buah pinggang sudah rosak, pasti tak akan ada gantinya.

Kerap kali orang ramai dinasihatkan agar melakukan pemeriksaan kesihatan biarpun tidak mengalami sebarang gejala mahupun tanda-tanda awal penyakit. Mereka beranggapan bahawa sudah cukup sihat kerana tidak pernah mengalami sebarang masalah kesihatan.

Hakikatnya, penyakit kronik menyerang badan dengan diam, kehadirannya tidak dirasai malah individu itu hanya menyedari kesannya apabila sudah berada di peringkat yang serius.

Situasi sama berlaku terhadap masalah kerosakan buah pinggang yang mengambil masa bertahun-tahun sebelum ia memberi kesan terhadap fungsi sistem badan.

Oleh itu kesedaran diri terhadap penjagaan kesihatan buah pinggang adalah penting. Ikuti soal jawab bersama Pakar Perunding Nefrologi, Hospital Pantai Laguna Merbok, Dr Eason Chang mengenai kesedaran tentang penjagaan kesihatan buah pinggang.

Jaga Kesihatan Buah Pinggang, Dah Rosak Tak Ada Gantinya!
Dr Eason Chang, Pakar Perunding Nefrologi
1. Apakah yang dimaksudkan dengan sakit buah pinggang dan kegagalan buah pinggang?

Penyakit buah pinggang berlaku apabila buah pinggang rosak dan tidak dapat berfungsi dengan baik. Terdapat beberapa jenis kegagalan buah pinggang iaitu kegagalan buah pinggang akut (AKI)(ARD) yang berlaku apabila buah pinggang rosak secara tiba tiba.

Manakala kegagalan buah pinggang kronik (CKD) berlaku apabila buah pinggang beransur-ansur kehilangan fungsi dan ini berlaku dalam tempoh masa yang lama kemungkinan akibat beberapa sebab.

2. Apakah punca dan gejala penyakit buah pinggang?

Punca kegagalan buah pinggang akut termasuk tekanan darah rendah, jangkitan kuman, saluran air kencing tersumbat akibat batu atau ubat-ubatan tertentu.

Punca kegagalan buah pinggang kronik pula terjadi akibat penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, glomerulonephritis (kumpulan penyakit yang menyebabkan keradangan dan kerosakan ke unit penapisan buah pinggang) dan penyakit yang diwarisi seperti penyakit ginjal polikistik.

IKLAN
3. Seawal usia berapa pesakit boleh dikesan menghidap sakit buah pinggang?

Penyakit buah pinggang biasanya melibatkan orang yang lebih berusia tetapi mungkin juga berlaku kepada pesakit muda bergantung kepada risiko dan penyakit yang dialami.

4. Apa yang dimaksudkan dengan penyakit buah pinggang kronik atau lebih dikenali CKD?

CKD selalunya berlaku dalam tempoh yang panjang melibatkan kehilangan fungsi buah pinggang yang tidak dapat dipulihkan. Ketidakfungsian ini memberi kesan perubahan dalam keseimbangan kimia badan, gangguan terhadap proses fungsi badan dan pembentukan produk sisa dalam darah yang mengakibatkan kesan pada organ lain dan sistem badan.

Jika keabnormalan ini berpanjangan selama lebih dari tiga bulan, penyakit buah pinggang dianggap kronik.

Ujian darah digunakan untuk mengukur tahap fungsi buah pinggang seseorang. Creatinine iaitu produk sisa yang dikumuhkan oleh buah pinggang digunakan untuk mengira kadar penapisan glomerular (GFR) iaitu anggaran keupayaan penapisan buah pinggang.

Berdasarkan nilai GFR, ia boleh dikategorikan tahap 1 hingga 5, di mana tahap 5 menjadi paling parah di mana fungsi buah pinggang telah menurun dan kemungkinan memerlukan terapi penggantian buah pinggang seperti dialisis atau pemindahan buah pinggang.

Pesakit buah pinggang juga mungkin mengalami kebocoran protein dalam air kencing dan ini merupakan petanda bahawa mereka mengalami penyakit buah pinggang. Tahap kebocoran protein dalam air kencing adalah amat penting untuk menentukan tahap kerosakan buah pinggang yang dihadapi.

Jaga Kesihatan Buah Pinggang, Dah Rosak Tak Ada Gantinya!
Gambar sekadar hiasan
5. Apakah gejala awal penyakit CKD? Saya didiagnosis CKD bulan lepas tetapi tidak mempunyai sebarang gejala. Kenapa ia berlaku?

Pada peringkat awal, ramai pesakit tidak berhadapan sebarang simptom. Pada peringkat yang lebih lanjut, pesakit mungkin mengalami keletihan dan kurang selera makan. Gejala lain termasuk loya, muntah, gatal, bengkak kaki, kesukaran bernafas dan gangguan tidur mungkin akan berlaku.

IKLAN

Baca Sini Lagi:
Kalau Buah Pinggang Rosak, Kulit Putih & Cantik Pun Takde Maknanya!

6. Apakah langkah pencegahan terhadap penyakit CKD?

Lakukan pemeriksaan kesihatan terutama untuk kumpulan berisiko tinggi seperti pesakit yang mengalami kencing manis, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, kolesterol tinggi dan individu yang merokok.

Umur, berat badan berlebihan dan mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang mengalami penyakit buah pinggang juga merupakan faktor risiko untuk mengalami CKD.

Antara intervensi yang digalakkan termasuk mengawal kandungan gula dan tekanan darah, menghentikan tabiat merokok serta pengubahsuaian tabiat pemakanan dengan mengurangkan pengambilan protein.

7. Apakah rawatan yang disyorkan buat pesakit buah pinggang?

Secara umumnya, rawatan adalah bergantung kepada punca atau penyakit yang menyebabkan kerosakan buah pinggang.Terdapat ubat-ubatan yang boleh mensasarkan proses penyakit dan akan diberi mengikut nasihat doktor.

Apabila buah pinggang gagal berfungsi secukupnya untuk mengekalkan fungsi tubuh badan, doktor akan menasihati pesakit mengenai terapi penggantian buah pinggang. Rawatan ini dikenali sebagai dialisis bertujuan untuk menyingkirkan bahan kumuh dan bendalir lebihan dari badan.

IKLAN

Terdapat dua jenis rawatan dialisis iaitu Peritoneal Dialisis(PD) dan Hemodialisis (HD).
Peritoneal dialisis menggunakan cecair yang dimasukkan ke dalam rongga perut pesakit melalui satu tiub khas bertujuan membuang bahan buangan dan cecair berlebihan dari badan.

Manakala hemodialisis menggunakan mesin hemodialisis yang mempunyai penapis khas untuk menapis darah dan membuang bahan buangan dan air berlebihan dari badan.

Rawatan terbaik ialah melakukan pemindahan buah pinggang. Pemindahan buah pinggang yang berjaya boleh menawarkan kualiti hidup lebih baik dan jangka hayat pesakit lebih lama berbanding dengan dialisis. Kehidupan selepas pemindahan buah pinggang yang berjaya adalah hampir seperti normal.

8. Tips untuk mencegah CKD? Apa yang boleh saya lakukan untuk membantu menguruskan penyakit buah pinggang kronik saya?

Amalkan pemakanan seimbang dan sihat, kurangkan garam dalam diet, melakukan aktiviti fizikal secara tetap dan berhenti merokok.

Bagi pesakit yang mempunyai tekanan darah tinggi, adalah penting untuk mengawal paras tekanan darah, jika menghidap diabetes, pastikan paras gula dikawal dengan baik.

9. Apakah diet terbaik untuk penyakit buah pinggang?

Mengurangkan pengambilan garam adalah penting kerana sodium mengekalkan keseimbangan air dalam badan dan juga tekanan darah. Sesetengah pesakit CKD yang mempunyai tahap fosfat yang tinggi dinasihatkan untuk memilih makanan dengan kandungan fosfat yang lebih rendah.

Pesakit juga boleh dinasihatkan untuk mengelakkan makanan tinggi potassium bagi pesakit CKD yang mempunyai tahap potassium yang tinggi. Selain itu, pengurangan pengambilan protein untuk meminimumkan pengeluaran sisa adalah salah satu strategi yang digunakan untuk pesakit CKD.

Sumber: Artikel sumbangan Dr Eason Chang, Pakar Perunding Nefrologi, Hospital Pantai Laguna Merbok

Follow Mingguan Wanita
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI